MAKLUMAN

NO HANDPHONE SAYA (DI ATAS TU) JENDELALIMA TRADING HANYA UNTUK TEMPAHAN PRODUK YG SAYA JUAL.

Khamis, 11 Disember 2008

AMAR MA'RUF, NAHI MUNKAR

Assalamualaikumwarohmatullahiwabarokatuh..!
Surah Al-Imran ayat 104 maksudnya:
" Wajiblah ada antara kamu semua itu suatu umat (golongan) yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang berbahagia"

Amar ma'ruf (menyuruh ke arah kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah puncak yang tertinggi dalam agama. Kerana hal itulah, maka Allah mengutuskan para nabi dan rasul ke dunia ini. Maka tugas itu sekarang dipikul oleh para ulama dan kita semua yang bernama muslimin dan muslimat. Jika kedua perkara itu diabaikan, maka kesesatan dan kejahilan akan bermaharalela dan tersebar luas. Negara kita akan hancur kerana akhlak
rakyat semakin rosak seperti yang berlaku hari ini.

Amar ma'ruf, bukanlah diletakkan di bahu Jabatan Agama Islam sahaja. Kita semua harus mengajak manusia ke arah kebaikan. Mungkin sumbangan kita tidak besar, tetapi kita telah turut melakukan amar ma'ruf seperti mengajak rakan-rakan sekerja kita bersolat setelah sampai waktunya. Atau mengajak rakan kita untuk mendengar ceramah agama. Pendek kata, segala usaha ke arah orang untuk melakukan kebaikan adalah amar ma'ruf.

Nahi munkar (mencegah kemungkaran) itu apa pula? Inilah yang tidak dapat kita lakukan, kerana ada Jabatan Agama Islam yang dicela, dihina kerana menangkap orang Islam yang minum arak di pub. Malah ada mufti yang dipecat kerana menangkap ratu cantik yang memperagakan tubuh di depan khalayak. Apatah lagi kita sebagai insan kerdil, yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan dalam masyarakat? Hendak menegur anak-anak orang lain pun takut dikata busy body. Jangan jaga tepi kain orang lain dan sebagainya. Guru-guru yang mendidik pelajar pun telah menerima padah, DISAMAN di mahkamah. Namun begitu, kita tidak harus mengalah dengan kedaan ini. Kerana ianya adalah perintah Allah, supaya ada segolongan kita yang mencegah kemungkaran yang semakin menjadi-jadi ini.

Apakah syarat-syarat untuk mencegah kemungkaran?
1. Hendaklah perbuatan itu benar-benar suatu kemungkaran. Contohnya kita lihat muda-mudi bercengkarama di taman bunga. Kemungkaran itu bukan dosa besar sahaja. Dosa kecil pun termasuk dalam mungkar.



2. Kemungkaran itu tampak jelas dan nyata. Ia berlaku di depan kita. Biasanya kita lihat seperti orang membeli nombor ekor. Kita lihat ada orang makan di warung pada bulan Ramadhan. Lelaki yang tegap itu uzurkah?



3. Hendaklah kemungkaran itu sesuatu yang dimaklumi tanpa adanya ijtihad.

Tahap-tahap Nahi Munkar


TAHAP 1. Memberi penerangan-hendaklah secara berhemah bukan dengan membentak-bentak.

TAHAP 2. Memberikan nasihat- menakutkan dia dengan siksa Allah atas perbuatan itu. Orang yang bersalah tetap harus dipandang dengan mata belas kasihan dan kerahmatan. Tugas kita adalah untuk membetulkan apa yang telah tersilap. Tugas kita adalah untuk menyelamatkannya dari api neraka.

TAHAP 3. Melarang dengan kekerasan yakni dengan ucapan yang bernada paksaan, tetapi tetap harus menghindari kata-kata kasar dan tidak sopan. Dua kesopanan yang perlu diambil perhatian ialah:
i. Jangan tergesa-gesa dengan cara Tahap 3
ii. Ucapannya hendaklah semuanya benar, ringkas dan tidak
berjela-jela seperti berleter

TAHAP 4.
Melarang dengan menggunakan kekuasaan. Contohnya dengan menggunakan tangan seprti membuang arak yang diminum. Bagi rakyat biasa seperti kita, sehebat-hebatnya yang boleh kita buat adalah mencegahnya dengan tangan sahaja. Tetapi bagi Kerajaan yang berkuasa, mereka boleh menggunakan kaedah yang lebih daripada itu. Contohnya menutup premis-premis yang menyediakan arak untuk orang-orang Islam, menutup sarang-sarang pelacuran, kedai judi. Memenjarakan dan memukul orang-orang yang melakukan kemaksiatan ini.

Tata kesopanan orang yang Beramar Ma'ruf dan Nahi Munkar


1. Berilmu
2. Wara' - Niat semata-mata kerana Allah bukan untuk mencari nama
3. Berbudi mulia dan berakhlak luhur

Surah Thaha ayat 44 maksudnya:

" Maka katakanlah (hai Musa dan Harun) kepadanya (Firaun) dengan ucapan yang lembut, barangkali ia suka ingat atau takut"

Jadi, dengan Firaun yang terang-terang mengaku sebagai Tuhan pun, disuruh berlembut, apatah lagi dengan anak muda kita yang tidak tahu apa-apa. Insya Allah, kita meneruskan amar ma'ruf, nahi munkar agar bumi Malaysia menjadi negara yang diberi barakah dan kerahmatan oleh Allah s.w.t.


Diadaptasi & diupgrade daripada Bimbingan Mukmin oleh Imam Ghazali.


Tiada ulasan: