MAKLUMAN

NO HANDPHONE SAYA (DI ATAS TU) JENDELALIMA TRADING HANYA UNTUK TEMPAHAN PRODUK YG SAYA JUAL.

Ahad, 3 Mei 2009

HIDUP KITA DIATUR ORANG LAIN?

Aku baru sahaja tamat membayar kereta. Kereta Iswara tahun 1994 itu sudah cukup dianggap usang. Tetapi, aku ingin berehat beberapa tahun ini daripada belenggu hutang. Kini, aku memiliki dua buah kereta yang telah habis bayar. Satu lagi Kancil 660 yang juga keluaran 1994. Semasa memandu di jalan raya, aku melihat kiri dan kananku penuh dengan kereta model terbaru. Dari Saga era baru, sehinggalah pelbagai kereta mewah yang menjalar.

Teringin juga memandu kereta idaman, tetapi buat masa ini, belum tiba masanya. Dari tahun 1990 lagi, aku tidak berhenti bayar kereta. Mula-mula dahulu, kereta pertama aku kereta Toyota Celica ST. Dengan gaji baru RM 545.00 aku sudah nekad memiliki kereta sport itu. Bayangkan selama beberapa tahun, separuh gajiku hanya untuk membayar kereta.

Apabila aku fikirkan dalam-dalam, dunia ini memang tidak adil. Sistem riba ini benar-benar menyusahkan orang-orang seperti aku. Orang kaya boleh beli tunai kereta idaman mereka. Katakan harga kereta itu RM 150 000, mereka boleh bayar dengan sekeping cek. Tetapi, orang seperti aku, jika membeli kereta RM 70 000, apabila habis bayar maka akan jadi RM 100 000 barangkali. Lebih kurang empat tahun untuk bayar interest sahaja.

Tidak perlulah jauh-jauh. Jika aku beli mesin basuh automatik di Court Mumet harga RM 1000 akan jadi RM 2000 setelah habis bayar. Jadi sistem KUTU bersama-sama sahabat itu memang patut digalakkan. Jika kita ada RM 2000 kita sudah boleh beli dua barang elektrik, berbanding bayar secara hutang.

Juga, golongan marhaen macam aku, apabila pinjam bank RM 10 000 akan jadi RM 15 000. Golongan kaya pula, duit banyak, duit pelaburan mereka daripada RM 100 000 semakin bertambah-tambah, duit aku pula dari setahun ke setahun buat habis bayar bunga. Jadi bila kita hendak senang?

Memang betul kata kalian, kalau tidak berhutang bagaimana hendak memiliki itu semua? Tetapi yang eloknya, jika kita meminjam bank untuk membeli kereta, eloklah dengan wang muka yang besar sedikit. Supaya bayaran bulanan itu tidaklah membebankan kita. Kalau separuh gaji kita buat bayar hutang, memanglah kita tidak bahagia. Tempohnya panjanglah pula. Akhirnya kita pun sedikit sakit mental.

Pendek kata, eloklah kita mengamalkan amalan menabung dan belilah apa yang tidak membebankan keluarga kita. Terlalu banyak lagi yang perlu kita fikrkan, selain daripada memiliki kenderaan yang hebat.

Tiada ulasan: