Isnin, 17 Ogos 2009

MANUSIA DAN MASALAH KEHIDUPAN

Entah mengapa malam ini aku tidak dapat melelapkan mata...? Aku selalu memikirkan masa akan datang, sampai tahap memikirkan kehidupan anak-anakku berpuluh tahun akan datang. Bagaimanakah cabaran yang akan mereka hadapi dalam menempuh kehidupan yang semakin menggila ini? Sewaktu manusia sudah semakin melupakan dosa dan pahala. Sewaktu manusia semakin bersikap keduniaan ini! Betapa kasihannya anak-anakku termasuk murid-muridku kerana mereka hidup dalam zaman manusia semakin rakus dan memperlekeh agama.

Aku teringat seorang Rasul berkata kepada anaknya, apabila aku sudah tiada di dunia ini, adakah kau masih menyembah Allah? Sampai ke tahap itu aku memikirkannya!

Allah telah mengatakan bahawa manusia itu bersikap keluh-kesah. Dan adakah malam ini aku sedang termasuk dalam kategori itu?

Jika ada seseorang mengadu sesuatu masalah kehidupan melalui lisan, soal jawab dengan pakar motivasi dalam akhbar dan majalah maka terlintas dalam fikiranku, tentang firman-Nya itu.

Masalah itu ada yang kecil, ada yang besar. Michael Jackson dilimpahi wang ringgit, tetapi dia mempunyai barisan masalah hingga membawa kematiannya. Artis legenda Monroe, mati menelan pil tidur, pada hal peminatnya jutaan manusia termasuk mendiang Presiden Kenedy.

Ada insan tersohor, setiap insan Melayu di Nusantara ini mengenalinya, suaminya bukan calang-calang, seorang jutawan yang juga hebat, tetapi beliau belum dikurniai anak. Di balik senyuman manisnya, siapa tahu jeritan jiwanya?

Kita melihat jiran-jiran kita. Cuba lihat pula teman-teman sekeliling kita. Masing-masing mempunyai masalah sendiri. Ada yang kekurangan wang, banyak hutang, sampai dia tidak sedar bahawa dia menikmati satu rahmat iaitu dia masih sihat walafiat. Ada yang duit simpanannya cukup untuk tujuh keturunan, namun dia memiliki koleksi pakej penyakit dan hidupnya lebih banyak di hospital daripada di mahligai indahnya.

Aku masih ingat lagi sewaktu kecil dulu. Memang dahulu majoritinya hidup dalam kesusahan. Aku merasakan telur dadar yang dibagi-bagi bersama adik-beradik itu sangat menyelerakan. Apabila arwah ayahku menghidupkan lampu gasolin (minyak tanah), aku rasa pada masa itu terlalu bahagia. Kami adik-beradik melonjak kegembiraan, kerana ruang tamu lebih terang daripada biasa. Biasanya ayahku menghidupkannya pada malam Jumaat.

Aku ingat lagi ketika lepas terawih di mesjid, aku dan rakan-rakanku berebut-rebut makan kuih yang dibawa oleh orang kampungku di Pt Baru, Sri Medan itu.

Tetapi mengapa sekarang semua itu sudah tidak seenak seperti pada masa itu? Apakah lidahku kini telah hilang deria rasa?

Aku bercerita ini supaya jika kalian sekarang ini merasa kekurangan, miskin dan tidak mampu, bersukurlah. Kerana dalam kesusahan itu ada nikmat yang kita tidak ketahui. Namun kalian mesti terus berusaha untuk terus mengubah kehidupan.

1 ulasan:

Miss Mirror a.k.a Sam berkata...

"Jangan sekali-kali mendahului sesuatu yg belum berlaku. Hakikatnya, hari esok masih di alam ghaib dan belum turun ke bumi. Maka tidak sepatutnya kita menyeberangi satu jambatan sebelum kita sampai di atasnya. Sebab siapa yg tahu dgn PASTI bahawa kita akan sampai atau tidak di jambatan itu"... dipetik dari DON'T BE SAD by 'AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI