Rabu, 12 Ogos 2009

MENTERI KESIHATAN BERKATA-H1N1

Belum tahap 'darurat kesihatan'

Oleh HELMI MOHD.FOADpengarang@utusan.com.my

SERDANG 11 Ogos - Kerajaan masih belum sampai ke peringkat perlu mengisytiharkan 'darurat kesihatan' meskipun bilangan kematian dan kes positif selesema babi atau influenza A (H1N1) semakin meningkat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, buat masa ini kerajaan mengamalkan langkah 'pengelakan sosial' iaitu orang ramai tidak perlu hadir ke majlis-majlis umum termasuk yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.

''Tidak payah anjurkan program besar-besaran dan mereka yang mengalami demam, batuk dan selesema tolong jangan hadir ke majlis-majlis umum termasuk kenduri kahwin dan majlis-majlis kerajaan. Ini penting bagi mengelakkan penularan virus H1N1,'' tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan mengejut dan meninjau proses pemeriksaan ke atas pesakit luar dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan kes H1N1 di Hospital Serdang di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican.
Beliau berkata, bagaimanapun terdapat majlis-majlis penting kerajaan seperti sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 negara yang tidak boleh dibatalkan, namun pihak penganjur perlu mengambil langkah pencegahan termasuk membekalkan penutup mulut dan hidung kepada pengunjung.

Dalam pada itu Tiong Lai berkata, esok, beliau akan mengumumkan garis panduan baru berkaitan arahan penutupan sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) ekoran penularan wabak H1N1.
''Saya telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi semua garis panduan, perlu ada yang baru kerana terdapat sekolah-sekolah yang mengambil langkah berbeza-beza.

''Jadi kita hendak tetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam dan esok jawatankuasa teknikal kementerian akan bermesyuarat untuk memperincikan garis panduan itu,'' katanya.

Tiada ulasan: