Khamis, 17 Februari 2011

JIRANKU AH HOCK

Dalam ramai-ramai jiran aku yang berjumlah 40 keluarga di kawasan rumah aku duduk ini, aku melihat Ah Hock sekeluargalah yang paling dahsyat bekerja untuk menyara kehidupan, dengan jumlah anaknya tujuh orang itu.

Bayangkan, serajin-rajinnya aku, aku balik jam 12.30 malam, Ah Hock anak beranak masih paking sayur-sayur yang akan dijualnya esok. Mereka akan tidur jam 2.00 pagi. Pukul 4.00 pagi Ah Hock sudah menghidupkan enjin lorinya untuk membeli sayur di pasar besar. Seawal jam 8.00 pula mereka sudah berada di sekitar pasar lambak di pekan, taman perumahan sehingga ke pekan Rengit.

Namun semenjak Tahun Baru Cina tempoh hari, aku lihat mereka sekeluarga seperti sudah berehat. Rasanya semenjak 10 tahun mereka menjual sayur, mereka tidak pernah berehat demikian lama. Sejak mereka jual sayur juga, mereka sudah memiliki sebuah lori, dua buah kereta, dan anak bujangnya sudah membeli motosikal berkuasa tinggi. Satu lagi, baru-baru ini mereka telah membeli rumah yang lebih besar, betul-betul di hadapan rumah murah yang diduduki mereka berpuluh tahun itu. Rumah berbandung yang dibeli itu kini masih dalam pembinaan.

Mungkin mereka kini sudah senang setelah bekerja tidak berhenti-henti sekian lamanya. Kini mereka ada masa untuk makan angin. Yang menariknya Ah Hock telah menyambut hari jadi isterinya secara besar-besaran, setelah berpuluh tahun tidak ada masa untuk meraikan hari lahir isterinya yang sentiasa tersenyum, walau ketika dalam saat-saat yang sukar.

4 ulasan:

AZANI berkata...

salam MSOM
antara nilai murni kaum Tiong Hua ini...kerja gigih tak mengenal penat...

MSOM berkata...

Kerajinan mereka tiada tolok tandingnya sehingga dapat menguasai dunia melalui perniagaan.

=sz= berkata...

jarang2 orang cina beranak ramai ye cikgu...
sungguh rajin ah hock tu.. ;)

Miss Mirror a.k.a Sam berkata...

Berakit2 ke hulu...berenang2 ke tepian. Kagum dgn isteri Ah Hock yg sering tersenyum dlm suka & duka suaminya (spt yg ko critakan tu). Mungkin kita boleh belajar sesuatu di situ.