Isnin, 9 Januari 2012

BERJABAT TANGAN/BERSALAM DENGAN DUA TANGAN?

Surah Al-'An ' am ayat 70


Ertinya:
Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan senda gurau, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (daripada perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain daripada Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

Teringat pesan orang alim, jika kita mendengar kuliah agama, apabila balik ke rumah, kita haruslah sampaikan kepada isteri kita, kepada anak-anak kita, supaya ilmu itu dirasai oleh semua. Justeru, saya nukilkan di sini tentang apa yang saya peroleh sebentar tadi bukan sahaja saya kongsikan kepada keluarga saya, tetapi juga untuk anda yang sudi membacanya.


Tanda-tanda Celaka Bagi Seseorang Manusia
Penceramah telah memulakan mukadimmah dengan Surah Al -'An 'am ayat 70. Lalu menceritakan bahawa tanda-tanda manusia itu akan celaka ialah:


1. Orang yang bertambah ilmunya, namun ia bertambah lalai
2. Orang yang bertambah usianya, namun ia bertambah jahil
3. Orang yang bertambah hartanya, namun ia semakin kedekut


Jika tiga perkara itu dibincangkan, akan panjanglah entri ini dan tiada siapa yang sudi membacanya.


Ustaz berkata, kita semua yakin kita semua akan mati, memang terlalu yakin, tetapi kita gembira sangat, hingga kita rasa kita ini tidak akan mati, hingga kita tidak membuat persiapan langsung untuk itu.


Kita tahu generasi bertukar, bayi-bayi yang lahir itu, menggantikan orang-orang tua yang telah kembali kepada Allah, begitulah dunia ini berputar, dan kita sudah menghampiri kematian, namun kita tetap cool, kita tetap tenang, tanpa menambah amal kita.


Kita masih solat lebih kurang 5 minit X 5 kali sehari. Kita cuma beribadah menghadap Allah selama 25 minit sehari? Adakah ia cukup untuk kita menikmati anugerah Allah di akhirat nanti? Tidak malukah kita kepada Allah?


Ciri-ciri Akal Yang Waras
Akal yang waras akan memikirkan 3 perkara:
1. Munajat kepada Allah
2. Memperhitung amal diri sendiri
3. Memikirkan alam ciptaan Tuhan


Siapa Yang Tolong Kita Di Akhirat?
Lalu ustaz bercerita lagi, pada suatu petang beliau pergi berceramah di Shah Alam, sementara menanti waktu berceramah, beliau pergi ke satu pasar malam. Beliau terlihat seorang warga emas. Perempuan tua itu meminta sedekah. Beliau memerhatikan perempuan itu begitu lama lalu berfikir.... Di tengah-tengah penduduk Shah Alam yang kaya-raya ini, ada seorang insan yang miskin papa kedana. Kedua ustaz memikirkan ke manakah anak-anak perempuan tua itu? Kenapakah dia dibiarkan demikian rupa? Ketiga ustaz berfikir, memang ada orang yang lalu-lalang di pasar itu yang menghulurkan duit kepadanya.


Iktibarnya di sini , jika di dunia ini, kita susah, miskin, jika kita minta pertolongan orang, masih ada yang sudi hendak menolong! Namun di akhirat nanti, siapa yang hendak menolong kita? Masing-masing akan ditanya tentang amalan masing-masing, tiada sesiapa lagi yang dapat menolong kita ketika itu!


Songkok dan Kasut
Dalam perkara lain, penceramah memberi teguran, ada hamba Allah, bab-bab untuk ibadah, misalnya membeli songkok, ada yang membelinya bertahun-tahun lepas dengan harga yang murah.  Ia tetap dipakainya dan tidak pernah dibasuh sehingga rupanya seperti bantal busuk. Baunya Masya Allah..! Tetapi apabila beli kasut, sanggup beli harga yang mahal sehingga RM 300.00. Adilkah kita, untuk kepala kita beli yang harga RM 5.00, sedangkan untuk kita pakai di kaki kita sanggup beli dengan harga beratus-ratus?


Berjabat Tangan/Bersalam Guna Satu Tangan atau Dua Tangan? 
Penceramah bertanya, jika kita hendak masuk tandas, kaki kanan dulu atau kaki kiri? Ya kaki kiri. Masuk mesjid? Kaki kanan dulu. Hendak masuk ke rumah sendiri?...Oh tentulah dengan kaki kanan. Ya untuk kita masuk ke tempat-tempat yang baik, kita masuk dengan kaki kanan. Untuk ke tempat yang kotor, kita msuk dengan kaki kiri.


Jadi bersalam hendaklah dengan hanya tangan kanan sahaja. Kanan dengan kiri tidak boleh bersama. Bersalam dengan dua-dua tangan merupakan adat Melayu. Bolehkah kita masuk tandas atau mesjid dengan dua-dua kaki melompat serentak masuk ke dalamnya? Tidak.


Cara yang betul ikut Islam hanya dengan satu tangan, iaitu tangan kanan. 


Lima Milik Kita Akhirnya Ke mana?
Setelah kita mati, maka:
i. Nyawa kita akan diambil Malaikat Izrail
ii.Harta kita, tanah, rumah, kereta, saham, emas akan diambil oleh waris-waris kita
iii.Isi badan kita, akan dimakan ulat-ulat dan cacing di dalam tanah.
iv.Tulang juga akan dimamah tanah.
v. Amal kita yang baik, mungkin akan pergi kepada orang-orang yang pernah kita aniayai, sakiti.


Juteru....Apa yang tinggal pada kita?.....


Sekian, untuk kali ini, jumpa lagi. 

8 ulasan:

Sz berkata...

terima kasih atas perkongsian ilmu ye cikgu ms ...

ilmu baru juga ttg bersalam dua tangan ...tak terfikir pun sebelum ni... lepas ni dah tau kena implemen tangan kanan sahaja .... tapi kalo nak salam cium tangan lain pesen plak nnt ;)

Miss Mirror a.k.a Sam berkata...

Bab "benda" kat kepala tu.. kita org pompuan tak mcm tu plak.. Sbb kitorg lebihkan yg kat kepala contohnya tudung akan dibeli lebih mahal dari kasut .. Kasut maybe mahal tp beli setahun sekali.. tudung plak.. phm2 je la,klu dah hobi gila tudung, 2,3 bulan sekali kot.. tak gitu Puan2 yg membaca?.. kekekeke.. sorry termerepek..

MAT SOM berkata...

sAM,
kATA2MU MEMANG AKU DAH RAMALKAN, BAGI WANITA, HARGA TUDUNG BIASANYA LEBIH MAHAL DRP BAJU DAN KASUT MEREKA, KERANA kepala adalah bahagian terpenting bagi wanita.

MAT SOM berkata...

SZ,

Cari kat Google MCM tak ada, yg banyak tentang berjabat tangan dengan bukan muhrim, berjabat tangan dengan bukan Islam dll

Pada saya ia pun baru saya tahu, dan apabila saya tanya kpd kawan2, masing2 sama-sama tak tau, jadi marilah kira sebarkan ilmu yg Ustaz bagi ni.

~ Mummy Gee ~ berkata...

Setuju 400% dengan MMirror....

aslann as berkata...

Ilmu yg bermanfaat, terimakasih berkongsi cikgu. =)

MAT SOM berkata...

Mummy Gee

Bab tudung memang 100% ok
Ni saya nak habaq dgn Puan-puan kat sini semua

Telekung yg dah berkulat atau bercendewan tu (jika ada) eloklah dikitar semula

MAT SOM berkata...

Sama-sama Aslann

Selamat maju jaya