Rabu, 23 Januari 2013

GURU DAN DUA ANAK MAUT NAHAS NGERI

 Imej:hMetro
Kereta dan Lori terbabit: Gambar sumber rakan Facebook

MUAR: Seorang guru dan dua anaknya maut setelah kereta yang mereka naiki dihempap oleh konkrit binaan dari sebuah lori treler dalam kemalangan di Kilometer 22.4, Jalan Muar-Parit Sulong di Air Hitam di sini Rabu.

Ngaisah Redzuan, 46, isteri kepada anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri Mohd Ghazali Salamon, serta dua anaknya Mohd Nurullah Al-Azim, 12, dan Puteri Balqis Sofea, 10, terbunuh di tempat kejadian pada kira-kira pukul 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Mohd Nasir Ramli berkata kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu oleh Ngaisah hendak membelok ke rumah dan wanita itu ketika itu baru saja pulang dari mengambil dua anaknya di Sekolah Kebangsaan Bukit Naning, Batu 15.

"Secara tiba-tiba sebuah lori treler yang membawa muatan bahan binaan pasang siap telah merempuh kereta yang dipandu mangsa sebelum bahan muatan menghempap kesemua mangsa dalam kereta itu menyebabkan ketiga-tiga mereka meninggal dunia dalam keadaan mengerikan," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kereta mangsa yang sedang membelok ke rumahnya di sebelah kiri jalan dari arah Air Hitam ke bandar ini.

Katanya, kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah disini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta PengangkutanJalan (APJ) 1997.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Muar untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Ismail Mahmood berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik saja menerima panggilan kecemasan pukul 1.30 petang.

"Kami mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat ketiga-tiga mangsa yang tersepit di dalam kenderaan akibat dihempap oleh konkrit berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Ghazali yang ditemui di hospital berkenaan tidak dapat menahan perasaan sedih dengan kejadian menimpa anak dan isterinya sehingga terpaksa ditenangkan oleh saudara mara. 

myStar Online & BERNAMA

Saya telah menghubungi seorang sahabat dari Bukit Naning, dan bertanyakan hal itu. Dia memberitahu, kereta Allahyarhamah Cikgu Ngaisah dari SK Bukit Naning, dalam perjalanan balik ke rumah di kawasan itu juga (ke arah Bakri). Lori juga dari arah Pt Sulong ke arah Muar. Kereta yang dipandu mangsa, membelok ke rumahnya di sebelah kiri. Sebagai langkah berhati-hati, kebiasaan orang akan rapat ke tepi (iaitu ke kiri jalan) baru belok, namun pada hari kejadian mangsa pada hari itu, (membelok seakan-akan ambik size/istilah sekarang). 

Lori dari belakang terkejut dan membuat pautan, dan lebih malang tiang konkrit itu tidak diikat sebagaimana sepatutnya. Justeru dengan brek yang kuat, ia menggolek bagai peluru. Dan sahabat saya mengatakan, kemalangan itu memang amat mengharukan. Sahabat saya berkata Cikgu Ngaisah adalah seorang yang sangat baik dalam pergaulan dengan rakan sekampungnya dan di Bukit Naning.

Semoga Allah mencucurkan rahmatNya ke atas mereka.

5 ulasan:

aza ni berkata...

Innalillahi wainna ilaihi rajiun,
Alfatehah , slam takziah untuk kelurga mangsa, semoga roh mereka dicucuri rahmat


Kita tahu ini ketentuan, tapi gelagat pemandu lori treler kadng kadang amat merisaukan,mentang mentang gergasi

che mid berkata...

Innalillah.. Tak terbayang bagaimana perasaan suaminya tiba-tiba kehilangan isteri dan dua anak sekaligus..

Mie berkata...

Memang tragis, mereka menjadi korban disebabkan kecuaian pihak lain...

boni kacak berkata...

kesiannya... Al-Fatihah...

sememangnya betul.. bukan nak cakap apa, kadang-kadang pemandu lori ni agak kurang ajar cara pemanduan dia.. saya berkali-kali pernah kena. apatah lagi saya ni just bawa motor je.. kadang-kadang naik takut dengan lori ni

Tanpa Nama berkata...

Al Fatehah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Saya mengenali Allahyarhamah, beliau pernah mebgajar di SMK Jalan Batu Pahat Kluang (kini dikenali dgn nama SMK Tun Hussein Onn /Sekolah Sukan Negeri. Sepanjang mengenali, beliau adalah seorang guru yang baik dan di sayangi para pelajarnya.