MAKLUMAN

NO HANDPHONE SAYA (DI ATAS TU) JENDELALIMA TRADING HANYA UNTUK TEMPAHAN PRODUK YG SAYA JUAL.

Selasa, 30 April 2013

SEBAHAGIAN FAEDAH BERBLOG




Sudah jemu dengan entri politik? Tak apa, kali ni aku nak cerita lain. Nak cerita lagi tentang kenalan-kenalan baru yang aku dapat daripada blog aku yang merepek-meraban, blog yang tiada nilai intelektual ni, sebab aku pun tak larat nak masuk universiti. Tahun lepas dapat juga tawaran percuma daripada kerajaan, tetapi aku dah tua, tak laratlah kalau kena buli dengan pensyarah yang bijak-bijak itu nanti. Jadi dengan sukacitanya  aku menolak tawaran khas untuk guru-guru tua itu dengan alasan bertulis: Tidak sanggup untuk menghadapi tekanan.


Aku nak cerita tentang orang-orang yang aku telah temui Minggu Ini disebabkan blog ini. Kenalan pertama bernama Lim. Lim ni baru kahwin. Kerja dia jual ikan di pasar Batu Pahat. Kalau dia tengah kerja, memanglah baunya pun macam ikan juga. Mula-mula aku jumpa dia dulu, dia datang dengan Altis. Aku tak sangka produk Bio Asli ni diminati juga oleh orang Cina juga. Pertama kali jumpa, memang manyak seronok...macam kawan lama. Dia kata jumpa barang baik tu kat blog aku. Aku tanya dia, awak boleh baca Melayu ke? Dia cakap, tengok oranglah, dia dulu sekolah mana...

Kenalan baru yang kedua, yang aku jumpa minggu ni En Sukor dari Pagoh. Apabila aku tanya, di mana dia dapat nombor hp aku? Daripada blog akukah? Dia kata bukan, dia dapat daripada web Suara Simpang Kiri. Ah,  gasak dialah. Yang penting dia nak beli kapsul kelapa dara ni.

Selalunya yang call atau SMS, lelaki. Minggu ni pulak, dah mula ada Puan-puan yang menghubungi aku. Ada dua orang dari Pt Raja yang telah aku temui semalam. Semuanya kerana mereka nak anjalkan P.... D.....  mereka. Ah bagaimana aku nak terangkan cara-cara menggunakan produk ni? Dah Bio Asli keluarkan produk ni, aku kenalah jual. Kertas-kertas brosur dapat membantu, tak perlu aku terkeseng-keseng.

Baru ni tadi, aku jumpa satu akak di Parit Yaani. Turun aje kereta, dia dah datang menemui aku. Pada hal banyak orang dan kereta di situ. Bagaimana dia begitu kenal akan diri aku ni? "Saya dah lama ikut blog cikgu, cuma tak nak komen aje, saya ni ada masalah alergik..... "  Eh, macam doctor pulak, rasanya apabila orang mengadu sakit itu dan ini.

Apabila orang kata, orang baca blog aku, aku jadi malu sendiri. Entah apa-apa yang aku cerita di sini, dan orang baca...?

Dan yang paling merisaukan aku, Sabtu 4 Mei ni, penyarah UPM kat Sarawak tu nak datang jumpa aku, gara-gara entri fasal udang kara di Pt Sulong ni. Aku bimbang, beliau itu tidak akan memperoleh sesuatu yang berharga dalam pertemuan dan kajian tentang habitat udang kara di longkang Pt Sulong itu. Bagi ramai orang, kejadian udang kara menjengah Pt Sulong tempoh hari mungkin tiada apa-apa istimewanya, tetapi bagi Encik Johan, ia sesuatu yang sangat berharga bagi kajiannya.

Aku rasa aku akan keluarkan entri tentang kedatangan pensyarah UPM Sarawak itu nanti. Tetapi mungkin kedatangannya sehari sebelum PRU13 tidak akan diketahui dan dipedulikan oleh para penduduk tersebut, kerana masing-masing sedang sibuk berdebat di warung-warung sekitar Parit Sulong yang indah ini.

4 ulasan:

umi alya berkata...

Ylh, saya kenal cikgupn dari Blog: Suara Simpang Kiri, femes sebenarnya Cikgu Mat Som, ngalahkan retis femes gitu, ahakkkkkkk...

che mid berkata...

Che Mid dapat perkataan baru.. " terkeseng-keseng".. apakah maksudnya, adakah.. beria-ia.

Mat Som berkata...

Blog Umi Alya lagilah fames giler...
Blog saya ni kurang mesra alam sikit.

Mat Som berkata...

Terkeseng-keseng ada dlm kamus dewan, yg membawa maksud, TERSIPU MALU....lagu Carta Hati Najwa Latif kena tukar senikata nampaknya, utk femeskan TERKESENG-KESENG ni