MAKLUMAN

NO HANDPHONE SAYA (DI ATAS TU) JENDELALIMA TRADING HANYA UNTUK TEMPAHAN PRODUK YG SAYA JUAL.

Khamis, 30 Mei 2013

JOHOR PAHANG BERTEMU LAGI DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL



KOSMO -  PERLAWANAN semula separuh akhir Piala FA 2013 antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Perlawanan tersebut yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin terpaksa ditangguhkan gara-gara limpahan penyokong yang memasuki stadium yang hanya berkapasiti 40,000 itu.
Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Jawatankuasa tersebut juga menetapkan sepak mula perlawanan semula itu pada pukul 4.15 petang.
FAM akan membuka semula jualan tiket berharga RM15 itu untuk menyaksikan perlawanan Sabtu ini.
Pemegang tiket untuk menyaksikan perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin dinasihatkan menebusnya semula daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Pada mesyuarat semalam, FAM turut mengenakan hukuman ke atas PBNP dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) selepas meneliti kesemua laporan daripada pegawai pertandingan.

Jelas Hamidin, FAM telah menilai laporan tersebut dengan terperinci pada mesyuarat selama empat jam itu yang turut dihadiri pengadil perlawanan, pegawai PBNP dan PBSNJ yang terlibat di Kuantan malam kelmarin.

“Ahli-ahli jawatankuasa berpuas hati dengan laporan berkenaan dan kami melihat secara menyeluruh setiap kesalahan yang berlaku berdasarkan peraturan-peraturan dalam pertandingan Liga Malaysia (Liga M).

“Selepas menilai daripada semua aspek, FAM bersetuju untuk mengadakan semula perlawanan tersebut yang bakal diadakan pada pukul 4.15 petang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Jun dengan Pahang akan turun sebagai tuan rumah.

“Pengagihan tiket akan ditentukan oleh FAM dan pemegang tiket pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan boleh ditebus semula di PBNP sementara tiket baharu akan dicetak sebanyak 90,000 keping untuk perlawanan semula Sabtu ini.

“Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku di Stadium Darul Makmur, terdapat beberapa kesalahan dan sudah tentu perlawanan tersebut tidak dijalankan selepas tuan rumah, Pahang didapati melakukan tiga kesalahan.

“Tiga kesalahan tersebut mendapati Pahang gagal memastikan aspek keselamatan, para penonton berada di atas trek sebelum perlawanan bermula dan penyokong-penyokong tuan rumah menyerbu penyokong-penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) selepas pengumuman perlawanan itu ditunda.

“Selain itu, pihak jawatankuasa turut mendapati laporan daripada kedua-dua pasukan menjelaskan bahawa empat pintu di Stadium Darul Makmur iaitu Pintu 5, 7, 11 dan 14 telah dipecahkan oleh penyokong sebelum perlawanan itu bermula dan kejadian itu berlaku pada pukul 8.35 malam.

“Kami juga mengenal pasti bahawa ada beberapa penyokong Johor DT tercedera terkena batu yang dibaling dari luar stadium.

“Kesalahan pasukan Johor DT pula ialah mereka meninggalkan padang lebih awal berbanding tempoh 90 minit yang diperuntukkan untuk masa menunggu. “Justeru, atas kesalahan yang dikenal pasti itu, FAM telah mendenda PBNP sebanyak RM100,000 manakala PBNJ dikenakan denda RM20,000. 

“Kedua-dua pasukan tidak dibenarkan membuat rayuan kerana ia merupakan keputusan muktamad daripada ahli jawatankuasa,” kata Hamidin.

Tiada ulasan: