Jumaat, 18 Disember 2015

SYIAH BERBAJU SUNNI MEMFITNAH IBNU TAIMIYYAH

Dr Maza menulis dalam catatan Facebooknya,
Oleh kerana terdapat pihak yang cuba mengheret pihak keselamatan dengan memfitnah Ibn Taimiyyah dan terdapat rakyat yang diberikan gambaran salah tentang Ibn Taimiyyah, maka tulisan ini akan cuba menjawab sebahagian dari fitnah itu dalam beberapa siri.


SYIAH BERBAJU SUNNI VS IBN TAIMIYYAH (siri 1)

Tulisan ini merupakan penilaian ringkas berkaitan beberapa perkara yang disebut dalam sebuah buku bertajuk “Salafiyah Wahabiyah: Suatu Penilaian” karya Zamihan bin Mat Zin al-Ghari yang merupakan murid tokoh ‘Syiah berbaju Sunni’ iaitu Hasan Saqqaf. Buku setebal 155 muka surat itu diterbitkan oleh Pustaka Yamien Sdn Berhad. Antara fokus utama penulis buku ini ialah menyerang ketokohan seorang sarjana terkenal umat Islam iaitu Ibn Taimiyyah, atau Abu ‘Abbas Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam bin Taimiyyah (661H-728H).
Pengaruh Syiah Berbaju Sunni
Penulis buku ini mengaku beliau adalah pengikut Hasan bin `Ali al-Saqqaf (السقاف) dari Jordan. Perkataan al-Saqqaf pada namanya bererti beliau berasal dari rumpun (clan) keluarga tersebut. Hasan al-Saqqaf yang menjadi guru penulis berkenan, beberapa aliran pemikirannya adalah pro-syiah. Tokoh-tokoh ulama Jordan menyenaraikannya dalam senarai Syiah.

Dia mengkafirkan para sahabah yang terlibat dalam peperangan dengan ‘Ali. Namun beliau cuba menonjolkan diri bahawa beliau seorang Ahl al-Sunnat dan bermazhab al-Imam al-Syafi`i. Dalam bukunya, Sahih Sifat Salat al-Nabi beliau menyebut: “Maka jelas bahawa hadith (kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan) “kitab Allah dan kaum keluargaku (Nabi s.a.w.)” itulah yang sahih lagi thabit di dalam Sahih Muslim, adapun lafaz (berpegang) dengan Kitab Allah dan sunnahku” adalah batil dari segi sanad dan tidak sahih. Maka hendaklah para khatib, penceramah dan imam meninggalkan lafaz ini..” (rujukan: Hasan al-Saqqaf, Sahih Sifat Salat al-Nabi, m.s. 294, Jordan : Dar al-Imam al-Nawawi (1993).

Dalam buku Salafiyyah Wahabiyyah, penulisnya (Zamihan) mencatitkan nasihat gurunya itu, dengan katanya: “Aku berpesan kepada engkau agar beriltizam dengan jalan ahli al-Haq dan Ahli Bait (kaum keluarga)”(m.s. ijazah am). Hasan al-Saqqaf juga memarahi Ibn Taimiyyah kerana menyatakan para ulama sepakat bahawa Saiyyidina Abu Bakar dan `Umar lebih afdal daripada Saiyyidina `Ali. Muridnya yang menulis buku ini turut membuat bantahan yang sama dalam buku tersebut (lihat m.s. 111).
Ibn Taimiyyah VS Syiah
Oleh kerana di dalam Ahl al-Sunnah, Ibn Taimiyyah adalah tokoh yang paling hebat mempertahankan aqidah aliran ini dan menyerang hujah-hujah Syi`ah, maka Ibn Taimiyyah sering diserang balas dalam penulisan-penulisan Syi`ah.

Tokoh pendakwah Islam yang terkenal di kurun ini, Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi dalam bukunya yang ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah sebagai tokoh pemikir dan dakwah yang terbilang, bertajuk “Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah berkata: “Sesungguhnya al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab Syi`ah dalam banyak tempat dalam buku-bukunya. Dia telah benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya mempertahankan Sunnah, aqidah Ahl al-Sunnah, al-Khulafa al-Rasyidin dan para sahabah yang mulia r.a.

Di samping itu dia mengkhususkan menjawab Syi`ah dalam sebuah kitab khas, dinamakan “Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah (ertinya: Jalan Sunnah Nabi dalam menolak pendapat Syi`ah dan Qadariyyah). (rujukan: Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah, m.s. 213 Kuwait: Dar al-Qalam (t.t)
Guru penulis Hasan al-Saqqaf begitu marah kepada buku “Minhaj al-Sunnat al-Nabawiyyat fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyat karya Ibn Taimiyyah tersebut. Murid yang setia selalu mengikuti jejak langkah gurunya.
Memburukkan Ibn Taimiyyah
Di sini dibawa beberap contoh yang dilakukan oleh pengarang buku Salafiyyah Wahhabiyyah (Zamihan) yang merupakan murid syiah berbaju sunni tersebut dalam percubaan menggambarkan permusuhan para ulama atau sarjana muslim dengan Ibn Taimiyyyah;
1. Pada muka surat 70-76, beliau menyenaraikan pertentangan pendapat para imam-imam Ahl al-Sunnah dengan Ibn Taimiyyah. Lalu beliau memetik nas-nas para imam berkenaan yang bukan ditujukan kepada Ibn Taimiyyah. Antaranya, al-Imam al-Nawawi yang meninggal pada tahun 676 hijrah, sedangkan Ibn Taimiyyah lahir pada tahun 661 hijrah. Beliau tidak mengenali Ibn Taimiyyah.
2. Begitu al-Imam Ibn al-Jauzi yang meninggal pada tahun 598 hijrah.
3. Beliau juga meletakkan tajuk (m.s. 75) “Percanggahan pendapat Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Hafiz al-Sayuti”. Sedangkan Ibn Taimiyyah telah meninggal 121 tahun sebelum kelahiran al-Sayuti pada tahun 849H dan meninggal pada 911H. Jika beliau sebut “percanggahan pendapat al-Sayuti dengan Ibn Taimiyyah”, maka itu lebih munasabah. Beliau juga memetik nas al-Sayuti yang tiada kena mengena dengan Ibn Taimiyyah.

Dengan cara ini pembaca akan menyangka al-Imam al-Sayuti dalam hayatnya tidak sukakan Ibn Taimiyyah. Sedang al-Sayuti memasukkan Ibn Taimiyyah dalam senarai huffaz hadith (para hafiz hadith), dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz, al-Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut: “Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini,..salah seorang tokoh terbilang..memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan..”( rujukan: Al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, m.s. 516, Kaherah: Maktabah Wahbah (1402H).
4. Demikian juga (m.s 76) Zamihan, meletakkan tajuk “Pencanggahan Pendapat Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Zarqani”. Beliau memetik ungkapan al-Zarqani yang tiada kena mengena dengan Ibn Taimiyyah daripada kitab Manahil al-`Irfan. Beliau cuba menggambarkan pertentangan yang sebenarnya tidak wujud sama sekali. Sebaliknya dalam buku itu sendiri penulisnya Muhammad `Abd a-`Azim al-Zarqani (meninggal 1367H), banyak memetik pendapat Ibn Taimiyyah dengan hormatnya. Pada semakan saya, sebanyak lima kali al-Zarqani memetik pendapat Ibn Taimiyyah dalam kitabnya tersebut. Dalam cetakan yang pada tangan saya pada jilid pertama muka surat 78 dan 90, pada jilid kedua pada muka surat 162, 192, 202 (rujukan: Al-Zarqani, Manahil al-`Irfan, 1/109, Beirut: Dar al-Fikr (1988). Bahkan muka surat 202 beliau menamakan Ibn Taimiyyah sebagai Syeikh al-Islam, katanya: “Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Khilaf di dalam tafsir itu ada dua jenis….” .
......

1 ulasan:

Umialya berkata...

Salam Jumaat