Jumaat, 16 Mac 2012

KUDENGAR JERITAN HANTU ITU

Tapak lama rumah Kak Long yang diambil semalam
 Beginilah gambaran rumah Kak Long pada tahun 1972

Kira-kira empat puluh tahun dahulu, Kak Long telah tinggal di sebuah rumah atas bukit yang dikelilingi hutan rimba. Lokasinya ialah Pt No 7, Parit Jayus Seri Medan. Ia kira-kira 10 km dari pekan Seri Medan.

Untuk sampai ke rumahnya aku perlu menaiki basikal yang ditunggang oleh arwah ayahku. Selepas itu, kami perlu berjalan kira-kira 2 km dengan meniti pokok-pokok balak seperti yang dilalui oleh kanak-kanak sekolah di Sarawak sekarang ini. Kami meniti dari satu pokok balak, ke satu pokok balak yang lain. Akhirnya sampailah ke rumah Kak Long.

Kenapa abang ipar aku memilih untuk tinggal di tempat yang dipenuhi binatang buas itu? Pada masa itu aku tidak mengerti. Namun aku rasa beliau seorang lelaki yang sangat berani. Mungkin kerana belum memiliki tapak rumah yang strategik, di samping ingin jadi peneroka pertama kawasan itu. Aku melihat ada tiga buah rumah di kampung itu dan jarak antara satu dengan yang lain sangat jauh. Rumah Kak Long, terletak di hujung sekali.

Aku meminta kebenaran dengan ayahku untuk tinggal di rumah Kak Long itu selama  seminggu. Aku sungguh gembira kerana ayahku memberi kebenaran. Aku seronok di situ kerana boleh bermain-main dengan anak saudaraku Yati yang sangat keletah itu. Yati suka memanjat dinding dan pokok. Setiap kali turun ke bawah Kak Long akan berpesan supaya jangan main jauh-jauh. Dia menakut-nakutkan aku ada gergasi.

Rumah kak Long berdindingkan kulit pokok meranti. Lantainya pula daripada pokok nipah. Apabila aku berlari-lari, kadang-kadang kaki aku terjulur ke bawah, dan Yati akan mentertawakan aku. Padan muka...padan muka! Apabila angin bertiup, terasa nyamannya dan sejuknya.

Kadang-kadang aku memancing dengan yati di depan rumah itu. Ikan keli dan haruan mesti dapat seekor dua.
 Apabila terpandang foto ini rasa sangat terharu, Kak Long dan Abang Johari telah melepasi zaman sukarnya

Namun keseronokan itu lenyap apabila pada suatu malam, aku terjaga dari tidur. Waktu ketika itu lebih kurang pukul 2.00 pagi.  Aku dengar suara orang lelaki menjerit "Tolonggggggggg...tolong.........tolong....." Tidak berhenti-henti. Dalam hutan ini mana ada orang? Jiran Kak Long pun satu batu dari sini? Aku berpeluh-peluh. Aku segera tutup telinga. Perlahan-lahan aku buka semula telingaku. Lama-lama suara itu semakin dekat dengan rumah Kak Long. Dia mengetuk-ngetuk dinding rumah Kak Long. Yang hairannya, mereka bertiga tidur begitu nyenyak.

Tiba-tiba Yati terbangun dan menjerit meminta susu. Lega aku. Kak Long dan Abang Long pun bangun. Namun aku tidak berani nak beritahu apa-apa kepada mereka.

Pagi esoknya, aku cakap dengan Kak Long, aku nak balik, dah rindu dengan emak, dengan Amanah adik aku. Kak Long tanya aku kenapa nak balik cepat, kata seminggu, ni baru tiga hari. Mahu atau tidak mahu aku terpaksa bercerita tentang peristiwa malam itu.

Kak Long biasa saja. Tidak ada apa-apa perasaan terperanjat atau apa. Dia kata, itu sudah biasa. Dia bercerita setiap malam dia mendengar orang mandi di kolam depan rumahnya. Setiap malam juga dia dan Abang Long dengar suara orang menajak di sekeliling rumahnya. Dia kata, rumahnya itu merupakan perkampungan orang bunian. Kak Long juga berkata, Abang Johari setiap malam akan membaca Yasin, duduk di tempat seperti itu jiwa mesti sekuat waja. Keberanian mesti sehebat Hang Jebat.

Kak Long memujuk aku supaya teruskan tidur di rumahnya. Aku tetap menggelengkan kepala. Petang itu ayahku datang, dan aku mengikutnya balik sebelum Magrib tiba.

Dua tahun kemudian, 1974 sebelum kelahiran Anis, mereka berpindah ke Parit Ju setelah membeli sebidang tanah hasil-hasil jualan kobis yang ditanam Abang Long. Tinggallah dua keluarga saja yang tinggal di kampung itu.

Tiga puluh lapan tahun kemudian........2010, ketika aku duduk-duduk mengeteh di sebuah warung di Parit Sulong, aku disapa oleh seseorang. Oh Abang Likin....Dia merupakan salah seorang jiran Kak Long pada tahun 1970-an itu.

Aku bertanya Abang Likin, kenapa sekarang duduk di taman perumahan?
"Panjang ceritanya, di Parit No 7 tu akulah antara penduduk yang paling lama duduk di situ. Aku ada kebun lima ekar di situ. Memang tenang di situ, tetapi waktu malam kami selalu ditakutkan dengan bunyi jeritan"

"Jeritan..? Lelaki atau perempuan?"
"Perempuan....bunyi itu datang dari belakang kebun aku, yang lebih menggerunkan kami selalu nampak api menjulang di situ, oleh sebab kami sentiasa dalam ketakutan, kami pun mengambil keputusan berpindah pada tahun 1980 lebih kurang"

Dan pada tahun lepas, ada sebuah kereta masuk ke dalam parit di depan tapak lama rumah kakak kau itu, tak taulah kenapa. Yang pelik, kenapalah dia lalu di situ pada waktu malam.

Begitulah cerita benar saya untuk entri pagi Jumaat yang hening ini...... 

Isnin, 12 Mac 2012

BARONGAN PT BARU, SERI MEDAN

Miss Mirror, entri ini belum lengkap, ha sekarang aku bagi maklumat. Semalam Ahad aku ada ke beberapa jemputan kahwin. Video yang pertama ni ialah di rumah Lek Kamirin Pt Jayus, rumahnya berhampiran rumah Lek Jamal. Sawah dia dulu bersebelahan dengan sawah kita. Masa tu kau kecik lagi, tentu tak ingat. 
video
Isteri aku melayan Alif Iskandar
video
Video Barongan ini pula adalah di rumah Lek Saripah. Kan nampak tu gerai Yati. Pengantin lelaki tu Samsuri. Inilah anak bongsu Lek Saripah.

Untuk rakan-rakan dari negeri lain, Barongan ini beberapa tahun lepas jadi kontreversi di Indonesia kerana kita didakwa merampok budaya mereka. Hal ini berpanjangan dalam komen-komen mereka di Youtube, blog dan sebagainya.

Memang sebahagian besar, penduduk kampung ini, ayah dan datuk mereka dari Jawa. Tentulah mereka membawa bersama budaya itu di sini, dan diperturunkan pula kepada anak-anak. Pakaian dan topeng-topeng itu pun diimport dari Indonesia. Dalam video ini pelaku-pelaku Barongan ini merupakan generasi muda. 

Barongan ini pada saya lebih kepada watak badut kalau zaman sekarang ni. Mereka memeriahkan majlis-majlis sedia ada, khasnya majlis perkahwinan. Mereka juga dijemput dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, khasnya di Batu Pahat.