Memaparkan catatan dengan label KENANGANKU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KENANGANKU. Papar semua catatan

Selasa, 10 September 2013

PENCURI DI TAMAN AKU TERTANGKAP HIDUP-HIDUP!


Hari ini aku mengambil cuti Rehat Khas....nak berehat.....hantar isteri ke bandar...ada urusan kesihatan sedikit. Tahun ini pun baru sekali ini aku bercuti. Urusan siap pukul 11.00 pagi. Kami pun baliklah ke rumah.

Sedang aku melayari Facebook.....tiba-tiba Midah menjerit..."Bang...bang....Kicap lari berdesup bawak topi keledar!" Kicap ialah nama suspek pencuri yang terkenal di sini. Tapi nama itu Kod yang aku bagi kepada ahli keluarga aku sahaja. Orang Simpang Tiga gelarkan dia Black.

Aku pun meluru keluar, dan pagar depan aku panjat, dan sampai di luar aku lihat kecoh...ada suara jeritan. Rupa-rupanya lelaki lain yang ditangkap....oleh abang Zizi bersama En Basar..dan seorang lagi jiran aku yang tidak mahu dikenali.....Aku terlupa yang aku cuma berseluar panjang tak pakai baju. Ustaz Fadzlan datang membawa baju aku, Midah yang memanggilnya keluar untuk memastikan pencuri itu tidak melarikan diri sebelum polis sampai.

Apabila polis sampai dan dia digari aku pun lega. Aku kata....sorang lagi lari balik rumah, Black Tuan namanya....Ya nanti kami uruskan kata polis.



Abang Zizi marah sangat, pisang di kebunnya telah hilang, dan kali ini abang Zizi nekad. Dia akan menangkap pencuri itu hidup-hidup. Dan sekarang semuanya terserah kepada polis.


Hero yang menangkap pencuri yang dikehendaki ialah abang Zizi (di tengah berkasut kuning). Aku memang tabik dengan beliau kerana boleh memberkas pencuri sorang-sorang. Kemudian dibantu En Basar....yang berbaju biru kat atas itu. Pak Imam 1 masjid Simpang Tiga Ustaz Fadzlan antara mangsa yang kehilangan sebuah gerabak motosikal yang berharga RM 1000 lebih. Mak cik belakang rumah aku hilang periuk belanga yang digantung di belakang rumah. Dan ada juga yang hilang motosikal.

Harap-harap pencuri ini disabitkan dengan kesalahan. Sejak mereka bermaharajalela dua bulan ini, kami telah takut untuk meninggalkan rumah kami kosong begitu sahaja....

Jadi, kesimpulannya Cuti aku hari ini bukan Cuti Rehat, tetapi Cuti Terkejut Khas

Sabtu, 3 Ogos 2013

MATI BALIK KARAOKE DI MALAM RAMADHAN

Sekadar gambar hiasan: kredit pisau.net

Malam semalam malam ke 25. Tentulah masing-masing telah berebut-rebut untuk dipilih oleh Allah agar merasai Lailatulqadar dan amalannya sama dengan 1000 bulan. Bukan semua orang boleh mendapatkannya, kerana mungkin kita masih penuh dengan dosa yang masih bersarang di dalam hati. Kita masih rajin mengumpat orang, memakan riba, fitnah, dan seumpamanya.

Kisah yang aku ingin ceritakan ini adalah kisah malam-malam 1o akhir Ramadhan, yang sangat mencemaskan aku. Kisah ini berlaku kira-kira tiga tahun yang lalu.

Malam itu, selepas berterawih, seperti biasa aku rehat di ruang tamu sambil membaca akhbar-akhbar semalam-semalam yang masih belum sempat membacanya.

Tiba-tiba aku kedengaran sebuah kereta berhenti di depan rumahku.
“Assalamualaikum” Macam suara En X saja tu.
Betul sangkaan aku. Bersama-samanya ialah En Y. Umur mereka telah menjangkau 5o tahun.
“Waalaikumusalam….”
“Sibuk ke? Kalau tak, kita orang nak ajak kau ngeteh”
“Boleh…baru pukul 10 suku.”
Aku pun naik kereta member aku tu. X dan Y memang kawan kamcing. Mereka ni mula berkawan dengan aku, sejak aku jadi stokis minyak kelapa dara tu.

Bersembang punya bersembang dalam kereta, aku menjadi pelik, kerana kereta itu menuju ke Pagoh.

“Nak ke mana ni, aku ingat ngeteh kat Sulong aje”

“Sekali-kali jauhlah sikit….Pt Sulong tak mainlah”

Tiga puluh minit kemudian sampailah kami di sebuah warung. Gegak-gempita warung itu, dengan suara orang tua menjerit-jerit lagu dangdut, dihiasi lampu kelap-kelip…Seorang perempuan sedang berjoget-joget bersamanya.

Astagfirullahal azim…..malam Ramadhan ke 23, mereka yang ganyut-ganyut ni terkinja-kinja kat sini. Warung ni jauh dari rumah orang, jadi mereka boleh menjerit sekuat hati mereka.

Tibalah giliran X untuk menyanyikan lagu….Semuanya lapan buah lagu….suaranya memang bagus, sebab semasa mudanya pernah berkursus vokal dengan Akhbar Nawab sewaktu kerja di Kuala Lumpur dahulu. Apabila orang bertepuk tangan lagilah X naik syok…aku dah terbayang wajah arwah ayah aku. Seolah-olah dia memarahi aku kerana aku berada di tempat seperti ini pada malam-malam yang mulia ini…aduh…

Kemudian Y pula menyanyi. Suaranya tidaklah sesedap mana. Dia mendakwa semasa dalam tentera dahulu, dia selalu ikut band askar.

Akhirnya pukul 1-00 pagi baru kami balik. Sepanjang perjalanan aku berdoa dalam hati, janganlah sampai eksiden. Kalaulah aku mati ketika ini, tentu malu emak aku….Mati eksiden balik dari Karaoke di malam Ramadhan….(Tajuk Harian Metro...)

Alhamdulillah akhirnya aku selamat sampai di rumah. Sejak kejadian itu, aku sentiasa menolak ajakan mereka untuk mengeteh. Semoga Allah memberi hidayah kepada kedua-dua orang sahabatku itu ….

Isnin, 20 Mei 2013

HILANGNYA SEORANG SAHABAT

Pagi Sabtu itu (18 Mei 2013) aku cuba meninjau jambatan baru yang menghubungkan Parit Sulong dengan Seri Medan Barat. Jambatan ini terletak di Kangkar Merlimau, Kolam Air dan jambatan ini dapat memendekkan perjalanan ke Kampung Pt Laman di Seri Medan.

Di belakang bukit tu antara tempat yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Puteri Gunung Ledang. M.Nasir dan krew-krewnya pernah berkampung di situ...

Untuk menyenangkan pergerakan, aku cuma mengambil gambar dengan telefon bimbit usang ini...
 
Selepas itu, aku berehat di rumah, sambil membaca buku yang aku pinjam dari perpustakaan, DIET PENYEMBUH AJAIB, Makanan Untuk Pencegahan dan Penyembuhan karangan George D. Pamplona- Roger. Rasanya sekarang aku terlalu banyak minum manis-manis...dan ini tidak baik untuk kesihatan..

Baru dua muka surat yang dapat kubaca, tiba-tiba aku menerima panggilan telefon dari Zulkeflee Rahmat, Hj Kassim Toiman, meninggal dunia sebentar tadi. Dalam pukul 11.00 pagi.

Bagi pelajar-pelajar yang pernah belajar di SMK Datuk Bentara Luar dan SMK Penghulu Saad, nama Cikgu itu sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.

Terasa dunia ini gelap kembali. Sepanjang empat tahun aku bersama Tn Hj Kassim di SMK Penghulu Saad, banyak kenangan dengannya. Setiap kali makan di mana-mana, dia akan membayar dengan segera. Teman-teman tetap tidak dapat membelanjanya makan sampailah akhir hayatnya.  


 Gambar kenangan lama....Hj Kassim dalam bulatan. Aku berdiri paling tepi ( yang tunduk tu)

Masing-masing bertanya Hj Kasssim sakit apa? Aku tidak dapat jawapan yang pasti. Allah lebih menyayanginya.

Jumaat, 17 Mei 2013

NYARIS MAUT KERANA...

Petang yang syahdu itu budak kecik itu hendak mengikut kakaknya dan beberapa orang kawannya berjalan-jalan di kebun. Zaman tu belum ada ledakan teknologi lagi. TV hitam putih pun belum mampu dibeli oleh mereka. Kalau nak tengok juga, kena ke kedai runcit di simpang kampung itu. 

Kalau tidak bermain sembunyi-sembunyi, mereka memancing ikan keli. Sesekali bermain layang-layang. Kadang-kadang bermain galah. Selalunya mereka bermain pondok-pondok.

Entah bagaimana, petang itu mereka bermain korek-korek tanah. Mereka mengorek dengan tujuan suka-suka. Sedang asyik mengorek tanah dengan pisau, tiba-tiba budak kecik itu ternampak sesuatu di dalam tanah itu. Dia begitu gembira kerana menyangkakan benda itu tembikar.

Kakak dan kawan-kawan budak kecik itu datang kepadanya dan tertanya-tanya apakah yang objek berkarat yang sedang dipegang oleh budak kecik itu.

Masing-masing membuat andaian........Nak kata emas, tiada warna kuning langsung. Nak kata tembikar, beratnya macam besi.

" Nanti kita balik tanya abang..." kata kakak...



Mereka berjalan pulang ke rumah budak kecik itu. Jauh juga mereka berjalan, lebih kurang 15 minit sampailah mereka di depan rumah.

 
"Bang.....bang.......kita jumpa ini....!" jerit budak kecik itu. Kakak dan kawan-kawannya berlari termengah-mengah....

Abang budak kecik sedang tertidur di beranda rumah, menggeliat dan mengusap-ngusap matanya yang bagai kena gam....

"Bang....bangunlah bang....ni kita jumpa benda ni?"

                                      V
                                      v
                                      V
                                      v
                                      v

"Masya Allah adikku,.....cool....jangan campak.....sini.....abang am........am  bikkk......."  


"Ambik bang...ni apa bang? UFO punya jatuh ke bang?"


Abang mengambil benda itu daripada tangan adik, budak kecik yang tak tahu apa-apa. Tangan abang menggigil dan memerhatikan kedua-dua orang adik perempuannya dan kawan-kawannya yang masih kecik sangat tu.

Adik, dan kalian semua....ini 


(lebih kurang begini bentuk bom tangan itu) 

bom tangan dik....!!!

Begitulah yang diceritakan oleh isteriku Hamidah (budak kecik dalam cerita di atas). Kalaulah bom tu meletup semasa di tangannya, sudah boleh digambarkan apa yang akan berlaku kepada mereka....Alhamdulillah mereka dalam perlindungan Allah. Tentulah mereka tidak kenal bom tersebut, kerana mereka tidak pernah melihatnya. Mereka pun tidak pernah menonton TV ketika itu.Bom tersebut adalah peninggalan pengganas komunis yang bertapak kuat di kampung kami ketika itu dalam zaman darurat dahulu. Kejadian Hamidah menemui bom ini berlaku dalam tahun 70-an.....begitulah ceritaku malam ini untuk menghargai dan mensyukuri sebuah kehidupan.                
                                      

Selasa, 2 April 2013

COMBAT VIC MORROW AND RICK JASON

Tahun 70-an dulu, waktu kecik-kecik, aku dan kawan-kawan sangat meminati rancangan TV ini. Nak tengok TV kenalah bayar 10 sen. Best kalau heronya Vic Morrow.

Selasa, 26 Februari 2013

KENANGAN PAHIT MANIS BELAJAR MENGAJI


Pejam celik pejam celik sudah setahun juga, aku mengajar sendiri anak aku (yang ketiga) mengaji. Sebelum tu Ikhwan belajar dengan ustazah. Sampailah masa, sampailah ketika ustazah tersebut berpindahlah pulak ke Tongkang Pechah. Anak aku yang sulong dan kedua juga sudah khatam belajar dengan ustazah Helimah tu. 

Anak ke empat Arina, mula-mula belajar Iqro' dengan ustazah Anim pula, sampailah separuh Muqadam, kerana risaukan gelap-gelap dia balik rumah, akhirnya aku mengambil keputusan mengajarnya sendiri. Kini sudah sampailah masuk surah Al-Baqarah. Irfan pun bersetuju mengajar Ikhwan. Aku bagilah elaun kepada abangnya tu.....Ikhwan pula kalau belajar dengan bapaknya ni, dia akan muncung dan mencuka sahaja, sebab muka aku ni memangle bengis, salah sikit kena marah, terus menitik air mata dia!

Teringat dulu masa aku kecik, aku mula-mula belajar mengaji dengan abang aku. Baru hendak masuk ke Quran, dia sudah pergi ke Brunei selama tiga tahun. Terkapai-kapailah aku belajar sendiri.Nak belajar dengan ayah aku, lagi aku takut, lagipun ayah aku tu sibuk bekerja, balik sudah penat.

Tahun 1980 akhirnya aku belajar dengan bilal mesjid kampung aku. Nak belajar dengan pak imam, ramai sangat orang mengaji rumah dia. Pak bilal ni, bekerja sawah. Waktu aku sampai di rumahnya selepas Magrib, kadang-kadang dia belum balik dari sawah lagi. Kalau dah balik pun, dia akan mengentel-gentel rokok daun dulu...disedut dalam-dalam....lepas tu dihembus, asap memenuhi ruang tamunya yang berdindingkan papan dan tiada tingkap lagi.

Masa tu masih pakai lampu pelita lagi. Aku dan lebih kurang 10 orang budak yang mengaji di rumahnya tu, bergilir-gilir membawa sebotol minyak tanah. Satu hari tu, entah bagaimana minggu itu tiada seorang pun yang membawa minyak tanah. Pak bilal tu menghidupkan pelita dengan minyak makan. Kecik benor cahaya lampu tu, tengah-tengah mengaji terus padam.....aku dan kawan-kawan aku terus terdiam, nak bercakap takut pak bilal naik angin.....

Dalam senyap-senyap tu kami keluar rumah seorang demi seorang,....senyap.....pak bilal pun tidak menegur langsung.....agaknya susahlah sangat, atau malu ....maklumlah masa tu zaman memang sangat susah.....nak makan pun tak cukup, lagilah nak beli minyak tanah.

Sebulan kami tak berani nak ke rumah pak bilal. Aku dan kawan-kawan aku berpakat nak berpindah ke rumah pak imam pula. Mungkin pak bilal kecik hati, tapi nak buat macamana....? Yang pelik terjadi lagi ketika itu, seorang rakan mengajiku, budak perempuan yang berumur 15 tahun tu (yang kupanggil kakak) menerima pinangan seorang lelaki tua dari kampung sebelah,umurnya 70 tahun......Aku dan kawan-kawan aku sangatlah pelik, kenapa dia sanggup nak kahwin dengan atuk tua itu?

(Dan kawan aku tu setia dengan orang tua itu sehingga atuk tu meninggal dunia, dan mempunyai lapan orang anak!)  Eh...lari pulak tajuk....

Dengan pak imam pulak, aku sempat mengaji selama dua tahun. Paling tak boleh lupa, anak pak imam yang masih kecik tu suka membuli kami, satu hari tu dia pijak Quran yang aku baca....Anak pak imam ni nak kena, nampaknya.

Entah bagaimana, pada tahun tersebut kecoh khabar angin orang cari kepala nak masukkan ke Jambatan Pulau Pinang. Cikgu kat sekolah pun siap bagi nombor plat kereta pemburu kepala kepada kawan aku. Sejak tu aku ketakutan untuk pergi mengaji.....!

  

Rabu, 21 November 2012

KERETAKU PERNAH TERBARAI KERANANYA


Petang semalam aku menghantar abang aku yang tidak dapat berbicara (bisu sejak kecil). Dengan Kak Long dan abang aku tu pertama kali aku melihat dia dirawat oleh Doktor pakar Audiologi (aku keliru antara Doktor Neorologi dengan Audiologi ni?). Selama ini yang menghantarnya ke situ ialah Kak Long. Beliau memang kuat semangat untuk menjaga adiknya itu dari kecil sampailah sekarang ni (abang aku ni dah beristeri dan ada anak tiga orang, semua ok boleh bercakap, anaknya pun dah besar-besar, yang bongsu berumur 17 tahun).

Aku mengusik doktor muda itu, kerja sebagai Doktor audiologi ni taklah stress macam doktor bahagian lain ek? Dia kata "Tensionlah juga, maklumlah bercakap dengan orang bisu."



Yalah, adik-beradik ni kita kena ambik berat, terutamanya yang ada beberapa kekurangan seperti itu. Jika bukan kita yang bantu, siapalah lagi..? Sepanjang jalan, aku memikirkan, semuanya yang berlaku ini adalah qada dan qadar Allah. Ia adalah ujian kepada kami supaya bersabar....

Awal tahun ini, abang aku tu eksident, dan kakinya patah, DIA berulang-alik ke hospital selama dua bulan ....dan dugaan itu amat berat untuk kami tempuhi. Alhamdulillah kini abang sudah baik dan dapat bekerja semula seperti biasa.

Kak Long menasihati aku supaya menjaga abang aku tu baik-baik. Hampir 20 tahun dulu kamilah yang menguruskan segala yang berkaitan permasalahan mereka. Daripada anak pertama hingga ketiga anak abang aku tu, kamilah yang menguruskan kelahiran anak-anaknya itu. Surat beranaknya, bayaran itu-ininya, dan kamilah juga yang menjenguknya hari-hari di hospital Batu Pahat, dan yang sulong tu seminggu di hospital Muar. Hinggakan keretaku lamaku Celicaku terbarai di tepi jalan selama dua hari kerana rosak dan pulaknya kekeringan duit ketika itu. 

Adik-beradikku ramai yang perempuan. Daripada mereka kecik sampailah besar...aku dan Kak Long juga tempat mereka mengadu ketika itu. Yang balik malam-malam dari belajar, aku pernah juga tidur malam-malam buta di stesen bas Yong Peng, Air Hitam, stesen Batu Pahat semata-mata nak menyambut mereka balik. Pada masa itu mana ada hphone nak bagitau bas dah sampai mana. Begitu juga perginya kena juga hantar.....Aku juga pernah dimarahi dan disindir-sindir pengetua kerana mengambil cuti menghantar adik aku ke universiti.

.............Biarpun apa kata sebahagian mereka tentang aku sekarang ini, ingatlah aku telah dan akan menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang saudara lelaki. Aku akan teruskan komitmen itu selagi nyawa ini di kandung badan. 

Rabu, 14 November 2012

KISAH LAMA AKU SEWAKTU CUTI SEKOLAH

Aku dengan tanaman cili yang aku usahakan sendiri ketika itu  
Kelakarkan muka aku masa tu?...

Sesetengah orang mungkin malu untuk menunjukkan gambar ketika berada dalam keadaan terlalu daif. Nak kata miskin sangat taklah, sebab masih ada kamera yang merakamkan gambar. Namun tanah yang aku usahakan tu memang aku menumpang kebun orang. Namanya Mbah Yahyo. 

Gambar ni diambil pada tahun 1981. Waktu ni aku masih dalam Tingkatan Tiga. Nak beli syampu pun tak mampu. Mandi pun pakai sabun cap kapak. Tu yang rambut pun keras semacam.

Aku nak cerita ni, tentang aktiviti aku masa cuti sekolah. Aku memang suka tanam kacang panjang, petola, tomato dan cili untuk dijual di kedai berhampiran.

Sekarang, kedai tempat aku memasarkan tanaman aku tu pun dah tak ada. Orangnya dah lama meninggal.

Di kebun tu lah aku nyanyi lagu-lagu yang tengah top masa tu. Macam lagu Brorery, Kembara, Dyloid....terjerit-jerit hingga 'b*b*', monyet, tupai pun terkesima dan terkedu.

Ok untuk anak-anak muda, kalian sangat bertuah kerana sekarang tak perlu bersusah-payah cari duit sendiri macam aku. Tinggal mintak aje dengan ayah atau emak, pasti dapat punya.

Masa ni jangan harap nak melancong ke apa ke? Dapat keluar ke pekan terdekat pun dah suka sangat.

Sekarang Legolandlah, Gambang Water Parklah....macam-macam...untung-untung budak sekarang!



  

Jumaat, 13 Julai 2012

HARI KELUARGA ADIK-BERADIK AKU



Assalamualaikum warohmatullahiWabarokatuh.....
Tadi kami dah beli barang-barang runcit dan pelbagai dgn KAK SARIPAH di kedai Seri Medan untuk majlis kita Esok.


JAWATANKUASA MAJLIS HARI KELUARGA 2012 IALAH:
Pengerusi: Pn Hajah Saripah Sondono
Tim Pengerusi dan Setiausaha : Mat Som Sadono
Ajk:
1. Jamuan dan persediaan barang runcit : Pn Hjh Saripah Sondono dan Mat Som
2. Rewang : Siti Amanah, Timyati, Kak Roha, Fatimah Sulaiman.
3. Bacaan Tahlil dan Imam Solat Magrib - Baharuddin Sodono.
4. Permainan dan pertandingan (dan hadiah) : Puan Sam.
5. Pertandingan melukis dan hadiah : Marfiah Sodono
6. Persiapan tempat, persiapan pinggang mangkuk: Siti dan Azli.


Terima kasih kepada yang telah menyumbangkan:
Wang ringgit, daging-daging ayam, makanan, buah-buahan, kuih-muih, hadiah-hadiah, sumbagan tenaga, buah fikiran dan sebagainya. 


Antara tetamu KHAS yang telah dijemput ialah:
1. Lek Jamal
2. Lek Dolah
3. Ibnu Masngut


Kepada semua anak saudara, yang dekat, yang jauh, diJEMPUT HADIR.


Atur cara majlis:
3.00- Rewang bermula
4.00 - Kehadiran dip-dip kehormat
5.00 - Selepas Asar - Pertandingan anjuran Sam 
5.30 - Sesi bergambar 8 saudara, dan berserta semua anak saudara
6.30 - Jamuan petang
7.30 - Solat Magrib berjamaah
7.50 - Tahlil untuk para arwah 
8.00 - 2 JAM pertandingan mewarna utk kanak-kanak, yg tua bertahlil
9.00 - Jamuan 2
9.30 - Ucapan dan luahan ke, apa ke....borak-borak sampai mengantuk
10.30 Majlis bersurai


Sekian untuk makluman Azham Hj JohariNurul Amira Hj Johari,Nuruladiah Baharuddin, semua anak Rosli Katiman, semua anak Timyati Sodono, Semua anak Saripah, semua anak Siti Muriyati Hj Johari, semua anak aku, semua anak Marfiah, semua anak Puan Sam, semua anak Siti, semua anak Baharuddin Sodono, semua anak-anak, sdra2 , sdri2 yg lupa nak sebut di sini.


Semoga matlamat Majlis Hari Keluarga 2012 iaitu:


Mengeratkan hubungan 8 bersaudara dan seluruh anak cucu-cicitnya.
Agar sesama anak-anak kita saling mengenali dan dapat membina hubungan kekeluargaan yang mantap dan teguh akan tercapai.


Al-Fatihah untuk Ayahnda kita...Alfatihah...
Semoga Ibu kita yang tersayang panjang umur dan sihat walfiat hendaknya. 


Sekian, terimakasih
Wabillahitaufikwalhidayah wassalamualaikum warohmatullahiwabarokatuh....!

Selasa, 12 Jun 2012

KENANGAN YANG MEMILUKAN

Imej pinjam COLNECT.COM

Banyak kenangan yang masih terpahat dalam kotak rahsia AKU. Dan kali ini aku keluarkan satu lagi cerita aku. Kalau aku ceritakan, takut memalukan diri aku sendiri.

Mula-mula aku bertugas sebagai guru secara rasmi ialah pada tahun 1988, ketika umurku baru 22 tahun. Aku ditempatkan di SMK Paloh, Kluang.

Masa tu, setiap guru baru, paling cepat akan menerima gaji selepas tiga bulan bekerja.

Dalam tempoh tiga bulan tu, pandai-pandailah kami nak hidup. Berhutang ke, pinjam adik-beradik ke. Ketika mendaftar diri, aku diberi RM 200 oleh arwah ayah aku. Lepas tu aku tak pernah mintak lagi. Kepada kawan-kawan serumah yang dah lama kerjalah, aku meminjam.

Bulan ketiga, kerani sekolah memberitahu

"Esok gaji pertama cikgu akan keluar, bolehlah cikgu ambil di UMBC Yong Peng"

Malam tu gembira sangat, maklumlah akan menerima gaji pertama dalam hidup. Masa tu gaji aku tak besar, baru RM 404 setelah dicampur elaun.

Keesokannya, pagi tu aku naik bas ke Yong Peng (Aku tinggal di pekan Paloh). Duit aku cuma cukup tambang iaitu RM 1.30. Apabila aku dah bayar tambang tu, kocek aku dah kosonglah......!!!

Aku pun keluarkan kad bank UMBC ( yang kini dah ditelan bank-bank yang lebih besar) lalu dengan semangatnya aku memasukkan ke mesin ATM di Yong Peng tu.

Check-check balance.....RM 1.00 sahaja....!!! Aku dah mula pucat. Mana gaji aku tiga bulan sebanyak RM 1200 tu?

Aku pun mula panik, bagaimana aku nak balik ke Paloh semula. Jauh ni 20 batu jauhnya. Nak balik ke kampung aku pulak 28 batu lagi. Aku mula ke hulu, ke hilir....dah macam orang sasau....! Ya Allah...harap-harap adalah aku terjumpa duit jatuh kat bas station ni.

Aku tak ada cara lain. Aku jumpa uncle pemandu bas tu. 

"Mr Tan, saya mau mintak tolong awak boleh tak?"
"Apa fasal, boleh-boleh, wa boleh tolong punya..."
"Saya punya kad sudah kena telan itu mesinlah" Aku nak kata gaji belum masuk, malulah aku.
"Sekarang, saya sudah tak ada duit mau bayar tambang bas ma, kasi hutang boleh ka? Minggu depan saya bayarlah" tambah aku lagi.
"Oh wa tak kisah, mari sini saya belanja awak makan, banyak kasihan"

Mr Tan belanja aku makan nasi lemak. Malu aku tak terkata. Aku menyumpah-nyumpah dengan bank UMBC tu. Memang lembab.....!

Setelah menerima gaji berkali-kali, barulah aku tau, rupa-rupanya bank UMBC tu memang lewat masukkan gaji berbanding bank yang lain. LEWAT SEHARI SETIAP BULAN. Menyesal aku melilih UMBC.

Kini UMBC telah dikuburkan, dan tidak ada sesiapapun yang mampu nak belikan dia batu nesannya! Padan muka kau UMBC.

Jumaat, 16 Mac 2012

KUDENGAR JERITAN HANTU ITU

Tapak lama rumah Kak Long yang diambil semalam
 Beginilah gambaran rumah Kak Long pada tahun 1972 (ok tak lukisan aku? hahahaha)

Kira-kira empat puluh tahun dahulu, Kak Long telah tinggal di sebuah rumah atas bukit yang dikelilingi hutan rimba. Lokasinya ialah Pt No 7, Parit Jayus Seri Medan. Ia kira-kira 10 km dari pekan Seri Medan.

Untuk sampai ke rumahnya aku perlu menaiki basikal yang ditunggang oleh arwah ayahku. Selepas itu, kami perlu berjalan kira-kira 2 km dengan meniti pokok-pokok balak seperti yang dilalui oleh kanak-kanak sekolah di Sarawak sekarang ini. Kami meniti dari satu pokok balak, ke satu pokok balak yang lain. Akhirnya sampailah ke rumah Kak Long.

Kenapa abang ipar aku memilih untuk tinggal di tempat yang dipenuhi binatang buas itu? Pada masa itu aku tidak mengerti. Namun aku rasa beliau seorang lelaki yang sangat berani. Mungkin kerana belum memiliki tapak rumah yang strategik, di samping ingin jadi peneroka pertama kawasan itu. Aku melihat ada tiga buah rumah di kampung itu dan jarak antara satu dengan yang lain sangat jauh. Rumah Kak Long, terletak di hujung sekali.

Aku meminta kebenaran dengan ayahku untuk tinggal di rumah Kak Long itu selama  seminggu. Aku sungguh gembira kerana ayahku memberi kebenaran. Aku seronok di situ kerana boleh bermain-main dengan anak saudaraku Yati yang sangat keletah itu. Yati suka memanjat dinding dan pokok. Setiap kali turun ke bawah Kak Long akan berpesan supaya jangan main jauh-jauh. Dia menakut-nakutkan aku ada gergasi.

Rumah kak Long berdindingkan kulit pokok meranti. Lantainya pula daripada pokok nipah. Apabila aku berlari-lari, kadang-kadang kaki aku terjulur ke bawah, dan Yati akan mentertawakan aku. Padan muka...padan muka! Apabila angin bertiup, terasa nyamannya dan sejuknya.
Gambar ihsan Google lubukawah.blogspot.com ini hampir menyamai 70% rumah Kak Long itu. Yang sama betul ialah dinding rumah yang diperbuat daripada kulit kayu balak itu.

Kadang-kadang aku memancing dengan yati di depan rumah itu. Ikan keli dan haruan mesti dapat seekor dua.
 Apabila terpandang foto ini rasa sangat terharu, Kak Long dan Abang Johari telah melepasi zaman sukarnya (Kak Long dan Abang Johari bersama-sama kelima-lima anaknya yang telah ada kerjaya sendiri. Yati, yang bertudung cokelat itu)

Namun keseronokan itu lenyap apabila pada suatu malam, aku terjaga dari tidur. Waktu ketika itu lebih kurang pukul 2.00 pagi.  Aku dengar suara orang lelaki menjerit "Tolonggggggggg...tolong.........tolong....." Tidak berhenti-henti. Dalam hutan ini mana ada orang? Jiran Kak Long pun satu batu dari sini? Aku berpeluh-peluh. Aku segera tutup telinga. Perlahan-lahan aku buka semula telingaku. Lama-lama suara itu semakin dekat dengan rumah Kak Long. Dia mengetuk-ngetuk dinding rumah Kak Long. Yang hairannya, mereka bertiga tidur begitu nyenyak.

Tiba-tiba Yati terbangun dan menjerit meminta susu. Lega aku. Kak Long dan Abang Long pun bangun. Namun aku tidak berani nak beritahu apa-apa kepada mereka.

Pagi esoknya, aku cakap dengan Kak Long, aku nak balik, dah rindu dengan emak, dengan Amanah adik aku. Kak Long tanya aku kenapa nak balik cepat, kata seminggu, ni baru tiga hari. Mahu atau tidak mahu aku terpaksa bercerita tentang peristiwa malam itu.

Kak Long biasa saja. Tidak ada apa-apa perasaan terperanjat atau apa. Dia kata, itu sudah biasa. Dia bercerita setiap malam dia mendengar orang mandi di kolam depan rumahnya. Setiap malam juga dia dan Abang Long dengar suara orang menajak di sekeliling rumahnya. Dia kata, rumahnya itu merupakan perkampungan orang bunian. Kak Long juga berkata, Abang Johari setiap malam akan membaca Yasin, duduk di tempat seperti itu jiwa mesti sekuat waja. Keberanian mesti sehebat Hang Jebat.

Kak Long memujuk aku supaya teruskan tidur di rumahnya. Aku tetap menggelengkan kepala. Petang itu ayahku datang, dan aku mengikutnya balik sebelum Magrib tiba.

Dua tahun kemudian, 1974 sebelum kelahiran Anis, mereka berpindah ke Parit Ju setelah membeli sebidang tanah hasil-hasil jualan kobis yang ditanam Abang Long. Tinggallah dua keluarga saja yang tinggal di kampung itu.

Tiga puluh lapan tahun kemudian........2010, ketika aku duduk-duduk mengeteh di sebuah warung di Parit Sulong, aku disapa oleh seseorang. Oh Abang Likin....Dia merupakan salah seorang jiran Kak Long pada tahun 1970-an itu.

Aku bertanya Abang Likin, kenapa sekarang duduk di taman perumahan?
"Panjang ceritanya, di Parit No 7 tu akulah antara penduduk yang paling lama duduk di situ. Aku ada kebun lima ekar di situ. Memang tenang di situ, tetapi waktu malam kami selalu ditakutkan dengan bunyi jeritan"

"Jeritan..? Lelaki atau perempuan?"
"Perempuan....bunyi itu datang dari belakang kebun aku, yang lebih menggerunkan kami selalu nampak api menjulang di situ, oleh sebab kami sentiasa dalam ketakutan, kami pun mengambil keputusan berpindah pada tahun 1980 lebih kurang"

Dan pada tahun lepas, ada sebuah kereta masuk ke dalam parit di depan tapak lama rumah kakak kau itu, tak taulah kenapa. Yang pelik, kenapalah dia lalu di situ pada waktu malam.

Begitulah cerita benar saya untuk entri pagi Jumaat yang hening ini...... 

Jumaat, 28 Oktober 2011

SATU PETANG YANG MALANG

Selepas sembahyang Jumaat, aku ke kedai Gemuk di Taman Bintang. Beli baja sawit. Kebun isteri aku tu dah sepatutnya dibaja. Sampai di kedai Gemuk, Gemuk memberi penerangan tentang jenis-jenis baja.


"Lu mesti baja sekurang-kurang mau ampat bulan sekali. Satu ekar mau tiga kampit, baru buah sawit lu boleh manyak"


Selalunya aku beli di Peladang Seri Medan. Oleh sebab minggu ni busy sangat, walaupun cuti panjang. Aku belilah dengan Gemuk yang cuma lima minit dari rumah aku.


Gemuk pun hantar orangnya, seorang driver. Lim namanya.


20 minit, sampai di kebun itu, Lim pun turunkan baja-baja tu. Aku ikut sekali naik lori kerana senang nak tunjukkan jalan ke sana.   


Tiba-tiba apabila nak balik, tayar lori sudah terbenam di tanah. Berpusing-pusing. Lim sudah panik. Aku pun rasa dah cemas. Kilat mula menyambar dan hujan pulak turun dengan lebat sekali.


Semakin tayar berpusing, semakin terbenam. Habis sudah kayu, pokok dibuat alas. Tapi tak boleh lepas juga. Aku dah gabrah. Call sana, call sini. Tanya tauke yang ada JCB di seluruh Seri Medan. Kebanyakkannya out station. Tengah kerja di sana-sini.


Aku call Gemuk. Gemuk cakap suruh Lim tidur di lori malam ini dengan aku. Gila ke apa Gemuk ni? Hujan terus mencurah dengan dentuman guruh. Aku dah sakit semua badan. Kejap ambil cangkul, batu kerikil, papan dan entah apa-apa.


Setelah  tiga jam bersusah payah, Gemuk menghantar JCB khas dari Pt Sulong. Aku pun dah habis upaya. Dah call semua orang yang aku kenal...Nak tarik lori tu sampai melepasi bukit tu pun memakan masa 25 minit! 


Akhirnya masalah settle. Tetapi datang satu petaka lagi. Dalam perjalanan balik, JCB tu boleh tergelincir separuh di jalan tar, separuh dah senget ke parit......Jalan tu memang sempit. Tebing jalan tu runtuh!


Setelah dada berdegap-degup akhirnya masalah kedua ini selesai hampir setengah jam juga.


"Cikgu....ayo.....pasal apa kita tak ada ong hari ni?"


" Semua itu kerana aku beli baja Gemuk!"


"Jangan cakap itu macam.......Ini sudah nasib ma.....!"


Lepas Isyak ni aku nak tidur, penatnya tidak terkata....... 

Sabtu, 24 September 2011

PINTU SENTIASA BERKUNCI?

Gambar Hiasan Sahaja-Tiada kaitan dengan entri


Di mana-mana pun kita tinggal......sama ada di kota-kota besar, di kampung, di pinggir hutan......sama ada kita tinggal di rumah banglo, rumah teres, rumah murah, rumah setinggndern, rumah panjang, rumah orang asli....kita MESTI SENTIASA KUNCI PINTU RUMAH kita.


Kenapa? Kerana....kerana.....aku nak cerita kisah... emak aku menyelamatkan MISS MIRROR dan seorang adikku (yang tiada blog lagi) semasa mereka belum bersekolah tahun 70-an dulu.


Zeng..zeng...Maka tersebutlah kisah pada suatu hari, ada seorang lelaki mengamuk di kampung kami. Pagi itu cuma emak aku dan dua orang adik perempuan aku tu yang ada di rumah. Sedang emak aku memasak, tiba-tiba pintu yang memang sentiasa berkunci diketuk orang. Emak mengintai dari celah dinding dan mendapati seorang lelaki yang dikenali sedang memegang sebilah PARANG PANJANG.


" Aku nak bunuh kau semua!!!! Aku nak bunuh kau semua!"


Emak aku mendokong adik-adik aku dan lari ikut pintu belakang.Emak lari lintang pukang jauh menuju ke belakang kebun yang semak. Emak aku tahu, pintu itu tidak kukuh. Sekali tendang je boleh tercabut. Jadi tindakannya adalah bijak.


Hey Sam, kalau tak,..... kau dah tak ada kat dunia ini lagi dan aku dah jadi anak yatim!


Sambung cerita....ayahku yang tak sedap hati di kebun lain, balik ke rumah, dan dia ternampak lelaki itu. Kebetulan dia ada membawa betik. Ayahku dapat idea baik. 


"Sini makan betik, aku pinjam parang ni nak potong betik ni, kau nak tak?"


"Sedap betik ni!!! " Lelaki itu menyerahkan parang panjang itu kepada ayahku.


Ayahku memotong betik itu banyak-banyak. Lelaki itu makan dengan lahapnya. Ketika dia leka melantak betik tu, ayah mencampakkan parang tu jauh-jauh ke dalam semak. Ketika itulah orang kampung menyerbu ke arah lelaki itu, dan membawanya pulang ke rumahnya. Dia dipasung dengan kayu pokok pulai.


KESIMPULANNYA- Kuncilah Pintu....! Kalau emak aku tak kunci, apa kesudahan cerita ini....? Syukur kepada Allah.


Cerita yang berkaitan peristiwa ini ialah....kisah seorang lelaki misteri menawan sebuah sekolah tadika di Muar dua bulan lepas.


Dan hari ini di sekeliling kita ramai orang sakit mental. Ada yang kemas, ada yang comot. Tekanan hidup sekarang melahirkan ribuan orang bermasalah...


Dengan mengunci pintu, kita juga selamat daripada para penjenayah dan lanun Gores dan Menang yang tamak haloba itu.


Sekian, coretan aku pagi ini. Jumpa lagi....Insya Allah....Ok Kunci Selalu Pintu Rumah, Pintu Pagar walaupun ada OPEN HOUSE........!. 

Khamis, 25 Ogos 2011

HARI RAYA PENUH EMOSI


Hari raya tinggal lima hari lagi. Ketika inilah perasaan bercampur-baur. Ada ketikanya terlalu suka. Adakalanya agak sedih, apatah lagi apabila teringat memori silam. Kerana aku pernah merayakan hari raya ini dalam keadaan penuh dhaif. Ketika itu ayahku bekerja menoreh getah di kebun sendiri. Sepanjang bulan Ramadhan, hujan tidak berhenti-henti. Maka tiadalah apa-apa untuk kami meraikan hari yang indah itu. 


Ketika syawal menjelma, hujan yang turun saban pagi, telah berakhir. Maka oleh sebab itulah, hari raya kedua hingga raya berakhir, aku telah membantu ayahku menoreh getah sehingga tengah hari. Semangat aku untuk berhari raya telah terbantut pada tahun yang tersebut. Aku hanya menyembunyikan diri di rumah, ketika rakan-rakanku bersuka ria.


Aku memahami masalah arwah ayahku. Anak-anak seramai lapan orang perlu disara. Itulah kenanganku ketika berada di sekolah menengah.....Justeru apabila mendengar lagu S Jibeng ini, ingatanku terhadap arwah ayahku kembali menjelma.


Dan betapakah bertuahnya anak-anakku dan anak-anak  sekarang, kerana mereka telah hidup dalam keadaan serba mencukupi.....   

Sabtu, 6 Ogos 2011

KENANGAN MENGHADAPI PELANGGAN

Seri Medan Kampungku


Entri hari ini semuanya berkisar tentang kenangan berniaga di pasar. Benda yang pernah dijual ialah ubat, kuih raya, beg tangan dan songkok.


Kenangan menjual songkok ini ada beberapa insiden yang melucukan dan mengharukan.


Songkok budak yang aku jual ni, modalnya RM 5.00 satu ketika itu. Aku jual RM 10.00 bersama hiasan lilitan yang berwarna-warni. Songkok dewasa pula  dijual dengan harga RM 22.00. Pembekalnya kawan aku Masrom dari Kota Tinggi. 


Satu hari di Pasar Parit Yaani, datang sepasang suami isteri. Suami itu kelihatan lembut macam Jaafar On. 


"Abang minatlah dengan songkok ni yang" Dia ingin bertanya isterinya yang nampak macam quenn control.


"Abang tak hensemlah pakai songkok ni, Mah tak minatlah"
"Tapi, saya nak juga songkok ni"
"Tak boleh, Mah kata tak hensem, tak hensemlah"
"Ala.....habis songkok macamana abang nak pakai"


Akhirnya, mereka meninggalkan aku tanpa membeli. Tak apa, bukan rezeki aku.


Tak lama kemudian datang pulak seorang bapa dengan tiga orang anaknya.
Lelaki itu sendiri yang pilih. Ketiga-tiga anaknya diam, tak macam anak-anak aku yang tergedik sana, tergedik sini. 


Seorang anaknya macam nak buka mulut.


"Songkok ni......"
"Jangan cakap apa-apa, pakai je, muat ke tak muat, kau diam"
"Berapa?"
"Abang beli 3, saya bagi diskaun RM 27 termasuk lilitan itu" 


Aku tak boleh buat apa. Sebenarnya nak cari yang betul-betul muat kadang-kadang susah. Biasanya sekitar saiz 19-21 kalau budak-budak ni. Kalau keturunan kepala besar, kena beli songkok orang dewasa 22-23.


Ada juga anak masih merangkak, dibelikan songkok, alahai. Tu saiz 17 -18 biasanya.


Keuntungan? Satu songkok boleh untung RM 4.00, jadi kalau dalam sehari laku 100 dapatlah RM 400. Lumayankan?



CABARAN BERNIAGA DI PASAR

Pasar Parit Yaani-Ihsan Gambar Google

Jika entri sebelum ini aku cerita tentang kenangan berniaga di Pasar Chaah, ni aku nak cerita kenangan pahit berniaga di Pasar Selasa Parit Yaani.

1999.Seminggu lagi nak raya. Aku sudah memenuhkan kereta dengan bungkusan kuih raya. Biasalah sebagai peniaga bermusim, dengan cara berhemah aku tanya satu brother tu.

"Assalamualaikum, nak tanyalah....sebelah abang ni kosong tak bang?" Itulah pertanyaan pertama aku.

"Dia tak memandang aku. Tiba-tiba sahaja mengeluarkan kata-kata.......

"Ni saya nak cakap dengan awak....tu...tengah jalan tu kosong!!!"
Tengah jalan tu maksudnya, tempat lalu-lalangnya kenderaan. Nak mati ker?

Tengoklah gambar tu, Pasar Parit Yaani dibuat di tepi jalan besar, tak ada tempat khas macam Parit Sulong, Seri Medan atau Chaah. Kalau lori besar lalu, seringkali melanggar gerai-gerai tersebut.

Masalahnya, lelaki itu telah bersikap biadab dengan aku. Aku ni memang keras kepala. Disebabkan kata-kata dia tadi, maka aku buka gerai betul-betul bersebelahan tapak gerainya. Padan muka engkau. Kebetulan masa tu kuih-muih aku habis dijual. Bengang betul dia tengok aku. Sampai anak saudara aku AMSUDA yang ketika itu masih darjah empat, jadi pembantu aku, hampir pengsan melayan pelanggan. Melihat dia dah pucat, aku cepat-cepat balik.

Jumaat, 5 Ogos 2011

INI KUIH APA?

Google Punya Gambar 

Apabila tibanya bulan puasa, pasti aku ingat memori aku berniaga di pasar lambak. Seminggu hampir raya, bagi aku adalah waktu keemasan untuk menambah duit dengan menjual kuih raya. Ketika itu gaji aku baru RM 1200. Dengan anak dua orang, dan menanggung hutang kereta dan rumah, berapalah yang tinggal?

Maka pasar yang telah menyaksikan kelibat aku ialah Pasar Minggu di Chaah, Pasar Selasa di Pt Yaani, dan Pasar Parit Sulong. Kalau tak ada pasar biasanya aku berniaga di tepi jalan di Pekan Sri Medan atau Pekan Parit Yaani, kerana ketika itu tiada persaingan langsung. Aku juga pernah menjaja kuih raya sampai hujung Kampung Sejagong. Buka je booth kereta, makcik-makcik, kakak-kakak akan datang beramai-ramai. Biasanya habis licin. Mereka memang suka aku datang, sebab kampung mereka sangat jauh dari pekan, lagi pun harga yang aku jual lebih murah daripada yang ada di pekan itu sendiri.

Bekalan aku beli dari kilang kuih Saleh Urip, taukey Salleh Food yang kini mengiklankan produknya dalam radio dah. Ia terletak di Parit Kemang. Lepas Subuh aku akan menuju ke Senggarang. Ketika itu puasa dan raya masih dalam cuti hujung tahun.

Kenangan paling aku ingat ialah:

Sewaktu baru memulakan bisnes di Pasar Chaah, aku didatangi seorang penguatkuasa. Ada lima orang. Ramai-ramai itu, ada seorang yang sangat cerewet. Aku betul-betul ingat muka dia sampai sekarang.

" Sdra, ini kuih apa?" Soalan pertama, dia tanya aku. Dia memegang satu bungkus krepek pisang yang aku jual.

"Itu krepek pisang" Geramnya aku, takkan krepek pisang pun tak tau. Bangang betul. Dalam hati aku menyumpah.

"Kalau ini krepek pisang, tampallah LABEL. Krepek pisang ni dibuat daripada apa?" Aduhhh, betul-betul mencabar kesabaran aku.

"Krepek pisang tu dibuat daripada pisanglah"
"Yalah lekatlah label, Krepek pisang diperbuat daripada pisang tanduk ke, pisang awak ke, pisang keling ke, garam, gula, apa-apa, beratnya berapa, nama syarikat, tarikh luputnya"

"Saya dah jual tiga tahun, tak pernah orang tanya. Kat Parit Raja tu orang jual krepek berguni-guni tak ada label pun"

"Ini peraturan, awak kena ikut!"

"Dengan orang Melayu memang awak berkira, tu kilang-kilang haram awak tak kacau?"

Dengan muka merah, dia meninggalkan aku. Sambil berkata...

"Minggu depan, saya nak awak lekatkan label"

"Minggu depan dah raya, saya tak jual lagi"

Aku taulah, tu undang-undang. Takkanlah aku yang berniaga sekali-sekala ni nak modal tu semua?

Akibat daripada itu, pada tahun hadapannya aku menjual songkok raya pula di tempat yang sama. Penguatkuasa yang sama lalu di tempat aku. Dia tersenyum-senyum kelat melihat aku. Jalan terus tanpa berminat nak berbual.

Aku pun pelik, tiada penguatkuasa yang begitu cerewet melainkan di Pasar Lambak Pekan Chaah itu. Agaknya sampai sekarang. Aku pun dah 12 tahun pencen berniaga di pasar lambak. 

Khamis, 7 April 2011

GURU PEREMPUAN PATAH HIDUNG

KANGAR: Seorang guru wanita sebuah sekolah menengah di Bukit Ketri dekat sini patah hidungnya apabila ditumbuk oleh seorang pelajar lelaki sekolah itu hari ini. 


Jurucakap Jabatan Pelajaran Perlis berkata, seorang pelajar tingkatan dua dikatakan menumbuk muka guru berkenaan, Mariati Mat Ail, 37, semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan sekumpulan pelajar di hadapan sebuah kelas.



Dipetik Berita Harian 7 April


Dahsyat sungguh....Bagi aku yang dah mengajar 23 tahun ni, semua itu tak heran. Aku pernah ditendang. Dan aku pun pernah melempang pelajar sampai budak tu panggil gangter . Malaslah nak cerita. Tu zaman masa muda dulu, hati tengah panas, pantanglah dicabar. Semangat kita berkobar-kobar untuk mengajar, tiba-tiba ada budak yang memanggil kita dengan panggilan yang bukan-bukan, nak buat macamana. Semua yg dalam kain, yang dalam hutan semua disebut! 


Ramai-ramai itu aku teringat seorang budak bernama Tan .... ....,Kisah ni berlaku pada tahun 1988, tahun pertama aku mula mengajar.Kelas tu kelas Peralihan  Nama sekolah aku tak boleh sebut. Aku pasti, sampai anak cucu, Tan mesti ingat aku.Itu cikgu kecik-kecik banyak jahat. Dia berhenti sekolah kerana aku. Habis macamana, tengah aku mengajar, budak perempuan tu (Ng .... ....) mengadu kat aku, Tan .... .... melastik telinga dia dengan gelang getah. Apa lagi aku pun PANG sebijik. Dia lari ke belakang ambik batang penyapu dan menyerang aku. Aku pun rampas batang penyapu itu.....! Dia pun ambik beg sekolah dia, dan koyak-koyakkan buku teks dia depan aku, lalu lari keluar pagar. Sejak itu, dia tak datangke sekolah lagi. Harap-harap Tan .... .... kini jadi taukey besar!


Kisah aku ditendang pulak begini, aku sebutlah nama budak tu sebab dia pun dah mendiang. Nama dia Sam Kim MXX. Kisah ni berlaku pada tahun 1990. Sam Kim MXX dah 7 bulan tak pernah bawak kertas lukisan. Tujuh bulan dah aku sabar. Hari itu kesabaran aku dah hilang. Sam Kim Mxx berambut perang menjeling semacam apabila aku tegur. Aku pun dah hilang ingatan. Aku tumbuk perut dia. Sam Kim Mxx tergolek. Tanpa dijangka, tiba-tiba sepantas kilat dia bangun dan menendang aku. Aku pulak yang tergolek. 


Kawan-kawan dia tepuk tangan. Aku sudah hilang pertimbangan, belasah Sam Kim Mxx tanpa henti. Dia berlari keluar kelas. Aku kejar. Aku dapat tangkap dan menumbuknya bertubi-tubi dan menghenyak-henyaknya pada pokok bunga kertas. Darah keluar kerana dia tercucuk duri pokok bunga itu. Tangan aku pun luka juga. Ketika itu datang dua orang guru, Cikgu Jali dan Cikgu Chin Ah San menangkap erat badan aku supaya bersabar. Aku menolak Cikgu Jali, supaya tidak menghalang. Akhirnya kawan-kawan lain (guru-gurulah) datang menyelamatkan Sam Kim Mxx.


Rupa-rupanya itulah tahun terakhir aku di sekolah itu. 1995 aku berpindah ke Sekolah Menengah Convent Batu Pahat. Pada hujung tahun 1995 itu aku mendengar berita, Sam Kim Mxx menumbuk bahu Cikgu Arni sehingga bengkak. Baru pihak pentadbiran tahu, semasa Sam Kim Mxx melawan aku, mereka kata aku yang tak betul. Kini apa dah jadi..Akhirnya Sam Kim Mxx dibuang sekolah ke bandar Kluang. Namun dia tak tahan di sana, kerana dibuli samseng Kluang. Dia balik semula ke sekolah lama itu. 1996 sewaktu merempit, Sam Kim Mxx terlanggar lori sawit dan hidupnya berakhir di situ....Itu pun aku dengar cerita daripada sahabat-sahabat aku yang masih mengajar di situ ketika itu.


Sejak kisah itu, aku dah tak pukul murid lagi. Maklumlah dah tua....dan aku pun takut nak turun-naik mahkamah.