Jumaat, 16 Mac 2012

KUDENGAR JERITAN HANTU ITU

Tapak lama rumah Kak Long yang diambil semalam
 Beginilah gambaran rumah Kak Long pada tahun 1972 (ok tak lukisan aku? hahahaha)

Kira-kira empat puluh tahun dahulu, Kak Long telah tinggal di sebuah rumah atas bukit yang dikelilingi hutan rimba. Lokasinya ialah Pt No 7, Parit Jayus Seri Medan. Ia kira-kira 10 km dari pekan Seri Medan.

Untuk sampai ke rumahnya aku perlu menaiki basikal yang ditunggang oleh arwah ayahku. Selepas itu, kami perlu berjalan kira-kira 2 km dengan meniti pokok-pokok balak seperti yang dilalui oleh kanak-kanak sekolah di Sarawak sekarang ini. Kami meniti dari satu pokok balak, ke satu pokok balak yang lain. Akhirnya sampailah ke rumah Kak Long.

Kenapa abang ipar aku memilih untuk tinggal di tempat yang dipenuhi binatang buas itu? Pada masa itu aku tidak mengerti. Namun aku rasa beliau seorang lelaki yang sangat berani. Mungkin kerana belum memiliki tapak rumah yang strategik, di samping ingin jadi peneroka pertama kawasan itu. Aku melihat ada tiga buah rumah di kampung itu dan jarak antara satu dengan yang lain sangat jauh. Rumah Kak Long, terletak di hujung sekali.

Aku meminta kebenaran dengan ayahku untuk tinggal di rumah Kak Long itu selama  seminggu. Aku sungguh gembira kerana ayahku memberi kebenaran. Aku seronok di situ kerana boleh bermain-main dengan anak saudaraku Yati yang sangat keletah itu. Yati suka memanjat dinding dan pokok. Setiap kali turun ke bawah Kak Long akan berpesan supaya jangan main jauh-jauh. Dia menakut-nakutkan aku ada gergasi.

Rumah kak Long berdindingkan kulit pokok meranti. Lantainya pula daripada pokok nipah. Apabila aku berlari-lari, kadang-kadang kaki aku terjulur ke bawah, dan Yati akan mentertawakan aku. Padan muka...padan muka! Apabila angin bertiup, terasa nyamannya dan sejuknya.
Gambar ihsan Google lubukawah.blogspot.com ini hampir menyamai 70% rumah Kak Long itu. Yang sama betul ialah dinding rumah yang diperbuat daripada kulit kayu balak itu.

Kadang-kadang aku memancing dengan yati di depan rumah itu. Ikan keli dan haruan mesti dapat seekor dua.
 Apabila terpandang foto ini rasa sangat terharu, Kak Long dan Abang Johari telah melepasi zaman sukarnya (Kak Long dan Abang Johari bersama-sama kelima-lima anaknya yang telah ada kerjaya sendiri. Yati, yang bertudung cokelat itu)

Namun keseronokan itu lenyap apabila pada suatu malam, aku terjaga dari tidur. Waktu ketika itu lebih kurang pukul 2.00 pagi.  Aku dengar suara orang lelaki menjerit "Tolonggggggggg...tolong.........tolong....." Tidak berhenti-henti. Dalam hutan ini mana ada orang? Jiran Kak Long pun satu batu dari sini? Aku berpeluh-peluh. Aku segera tutup telinga. Perlahan-lahan aku buka semula telingaku. Lama-lama suara itu semakin dekat dengan rumah Kak Long. Dia mengetuk-ngetuk dinding rumah Kak Long. Yang hairannya, mereka bertiga tidur begitu nyenyak.

Tiba-tiba Yati terbangun dan menjerit meminta susu. Lega aku. Kak Long dan Abang Long pun bangun. Namun aku tidak berani nak beritahu apa-apa kepada mereka.

Pagi esoknya, aku cakap dengan Kak Long, aku nak balik, dah rindu dengan emak, dengan Amanah adik aku. Kak Long tanya aku kenapa nak balik cepat, kata seminggu, ni baru tiga hari. Mahu atau tidak mahu aku terpaksa bercerita tentang peristiwa malam itu.

Kak Long biasa saja. Tidak ada apa-apa perasaan terperanjat atau apa. Dia kata, itu sudah biasa. Dia bercerita setiap malam dia mendengar orang mandi di kolam depan rumahnya. Setiap malam juga dia dan Abang Long dengar suara orang menajak di sekeliling rumahnya. Dia kata, rumahnya itu merupakan perkampungan orang bunian. Kak Long juga berkata, Abang Johari setiap malam akan membaca Yasin, duduk di tempat seperti itu jiwa mesti sekuat waja. Keberanian mesti sehebat Hang Jebat.

Kak Long memujuk aku supaya teruskan tidur di rumahnya. Aku tetap menggelengkan kepala. Petang itu ayahku datang, dan aku mengikutnya balik sebelum Magrib tiba.

Dua tahun kemudian, 1974 sebelum kelahiran Anis, mereka berpindah ke Parit Ju setelah membeli sebidang tanah hasil-hasil jualan kobis yang ditanam Abang Long. Tinggallah dua keluarga saja yang tinggal di kampung itu.

Tiga puluh lapan tahun kemudian........2010, ketika aku duduk-duduk mengeteh di sebuah warung di Parit Sulong, aku disapa oleh seseorang. Oh Abang Likin....Dia merupakan salah seorang jiran Kak Long pada tahun 1970-an itu.

Aku bertanya Abang Likin, kenapa sekarang duduk di taman perumahan?
"Panjang ceritanya, di Parit No 7 tu akulah antara penduduk yang paling lama duduk di situ. Aku ada kebun lima ekar di situ. Memang tenang di situ, tetapi waktu malam kami selalu ditakutkan dengan bunyi jeritan"

"Jeritan..? Lelaki atau perempuan?"
"Perempuan....bunyi itu datang dari belakang kebun aku, yang lebih menggerunkan kami selalu nampak api menjulang di situ, oleh sebab kami sentiasa dalam ketakutan, kami pun mengambil keputusan berpindah pada tahun 1980 lebih kurang"

Dan pada tahun lepas, ada sebuah kereta masuk ke dalam parit di depan tapak lama rumah kakak kau itu, tak taulah kenapa. Yang pelik, kenapalah dia lalu di situ pada waktu malam.

Begitulah cerita benar saya untuk entri pagi Jumaat yang hening ini...... 

19 ulasan:

Mama Janet berkata...

dini jemuah ki riko gawe n3 seram yo..

Mat Som Sadona berkata...

Jumuah Kliwon agakee

Teman Setia Anis berkata...

Huuu... Sadisnya aku baca entri cik kali ni... Mungkin aku yg dah mls nak memandang ke belakang lagi untuk mengenangkan zaman2 kesusahan ibubapa aku... Biarlah aku meninggalkan seribu keperitan yg lalu melihat kesusahan org tua ku membesarkan kami 5beradik... Cuma kesusahan kami sekarang plk dlm dunia yg serba canggih ni yg lebih peritnya hari2 memerlukan duit dlm menyara kehidupan seharian.. Berusaha keras dgn apa cara untuk memajukan diri dlm membesarkan anak2... Cuma yg aku mampu beri hanyalah doa untuk kedua ibubapa aku agar kehidupanya sentiasa diberkati dan dilindungi allah sentiasa.. Aamin...

Mat Som Sadona berkata...

Kita sekarang duduk di hutan batu
Anak2 bukan takut hantu, atau harimau
Tetapi binatang2 yg bertopengkan manusia

Jaga anak-anak kau baik2 Anis

Apa yg berlaku kpd adik Dirang sangat merisaukan kita semua.

Semoga Anis dilimpahi rezeki yg melimpah-ruah.

mamawana berkata...

Sekarang hantu di hutan batu pelbagai rupa. Hantu di luar rumah suka menangkap budak kecil, membunuh dan membakar. hantu ddlm rumah tak kelihatan tapi selalu bunyi org ketuk2 dinding atau bunyi tasbih dan guli jatuh berteraburan. Kok gitu....?

RHI berkata...

seriau pulak bila baca cerita ni..

Alhamdulillah..akhirnya kebahagian menempa

Cute Oven berkata...

kite pun selalu juga dengar org ketuk dinding dan bunyi guli atau tasbih berjatuhan kat siling rumah...

Mat Som Sadona berkata...

Mamawana

Bunyi tasbih? Oh Jin Islam sedang bertasbih tu

Mat Som Sadona berkata...

Yatie Awang

Susah2 dulu, senang-senang kemudian
Allah bersama-sama org yg sabar

Mat Som Sadona berkata...

Cute Oven
Anggaplah semua itu cicak atau tikus yg sedang mencari makanan.

Kayu Manis berkata...

kenangan lama sesekali di imbau best juga..

Tanpa Nama berkata...

cerita camnie la yang org muda2 sekarang kena dengar.... banyak iktibar bole dapat...

mkf

Mama Miraki berkata...

entry yang sungguh syahdu dan menyeramkan hari ni...suka baca....buat n3 lagi cam ni cikgu MS....

Mat Som Sadona berkata...

Cinnamon
Blog ini dipenuhi cerita kenangan lampau

Mat Som Sadona berkata...

Tkasih MKF, ingatkan tak jengok lagi blog hamba ...

Mat Som Sadona berkata...

Mama Miraki

Oh nanti saya jadi Tamar Jalis pulak.
Tentu ingat Siri Bercakap Dengan Jin.

Saya hanya ceritakan pengalaman benar saya, tidak lebih drp itu.

NoorGie berkata...

ermm.seram jugak membaca pengalaman Cikgu MSOM ni...jarang2 ada yang sekuat Kak Long yang masih mampu tinggal di tengah keheningan dan rumah jiran yang jauh2 [kalau saya...eeeee tak kan duduk lah kat situ..saya ni penakut yang amat!!]

Mat Som Sadona berkata...

Cikgu Noorgie, zaman 70-an dulu pengalaman seperti itu sudah biasa mereka hadapi, terutama bagi perintis awal sesebuah kampung.

Namun kampung yang saya ceritakan di sini, penduduknya tinggal sebuah keluarga sahaja dan tidak pernah bertambah. Sepasang suami isteri dan 8 orang anaknya masih tetap tinggal di situ.

Tanpa Nama berkata...

hari2 singgah kat sini.. cuma banyak mendiamkan diri...

mkf