Jumaat, 5 Ogos 2011

INI KUIH APA?

Google Punya Gambar 

Apabila tibanya bulan puasa, pasti aku ingat memori aku berniaga di pasar lambak. Seminggu hampir raya, bagi aku adalah waktu keemasan untuk menambah duit dengan menjual kuih raya. Ketika itu gaji aku baru RM 1200. Dengan anak dua orang, dan menanggung hutang kereta dan rumah, berapalah yang tinggal?

Maka pasar yang telah menyaksikan kelibat aku ialah Pasar Minggu di Chaah, Pasar Selasa di Pt Yaani, dan Pasar Parit Sulong. Kalau tak ada pasar biasanya aku berniaga di tepi jalan di Pekan Sri Medan atau Pekan Parit Yaani, kerana ketika itu tiada persaingan langsung. Aku juga pernah menjaja kuih raya sampai hujung Kampung Sejagong. Buka je booth kereta, makcik-makcik, kakak-kakak akan datang beramai-ramai. Biasanya habis licin. Mereka memang suka aku datang, sebab kampung mereka sangat jauh dari pekan, lagi pun harga yang aku jual lebih murah daripada yang ada di pekan itu sendiri.

Bekalan aku beli dari kilang kuih Saleh Urip, taukey Salleh Food yang kini mengiklankan produknya dalam radio dah. Ia terletak di Parit Kemang. Lepas Subuh aku akan menuju ke Senggarang. Ketika itu puasa dan raya masih dalam cuti hujung tahun.

Kenangan paling aku ingat ialah:

Sewaktu baru memulakan bisnes di Pasar Chaah, aku didatangi seorang penguatkuasa. Ada lima orang. Ramai-ramai itu, ada seorang yang sangat cerewet. Aku betul-betul ingat muka dia sampai sekarang.

" Sdra, ini kuih apa?" Soalan pertama, dia tanya aku. Dia memegang satu bungkus krepek pisang yang aku jual.

"Itu krepek pisang" Geramnya aku, takkan krepek pisang pun tak tau. Bangang betul. Dalam hati aku menyumpah.

"Kalau ini krepek pisang, tampallah LABEL. Krepek pisang ni dibuat daripada apa?" Aduhhh, betul-betul mencabar kesabaran aku.

"Krepek pisang tu dibuat daripada pisanglah"
"Yalah lekatlah label, Krepek pisang diperbuat daripada pisang tanduk ke, pisang awak ke, pisang keling ke, garam, gula, apa-apa, beratnya berapa, nama syarikat, tarikh luputnya"

"Saya dah jual tiga tahun, tak pernah orang tanya. Kat Parit Raja tu orang jual krepek berguni-guni tak ada label pun"

"Ini peraturan, awak kena ikut!"

"Dengan orang Melayu memang awak berkira, tu kilang-kilang haram awak tak kacau?"

Dengan muka merah, dia meninggalkan aku. Sambil berkata...

"Minggu depan, saya nak awak lekatkan label"

"Minggu depan dah raya, saya tak jual lagi"

Aku taulah, tu undang-undang. Takkanlah aku yang berniaga sekali-sekala ni nak modal tu semua?

Akibat daripada itu, pada tahun hadapannya aku menjual songkok raya pula di tempat yang sama. Penguatkuasa yang sama lalu di tempat aku. Dia tersenyum-senyum kelat melihat aku. Jalan terus tanpa berminat nak berbual.

Aku pun pelik, tiada penguatkuasa yang begitu cerewet melainkan di Pasar Lambak Pekan Chaah itu. Agaknya sampai sekarang. Aku pun dah 12 tahun pencen berniaga di pasar lambak. 

6 ulasan:

IMANSHAH berkata...

pengalaman adalah guru terbaik..madrasah kehidupan

Unknown berkata...

wowo....saya pom ada pengalamn berniaga pasar malam...jual langsir n toto banda...hehe jual nasi kat pasar malam...sonok plak kn cikgu bila ada pengalamn cam gni...hehe

Mat Som Sadona berkata...

Imanshah

Pengalaman tak dapat dibeli. Kena lalui dengan getir dan kepayahan.

Mat Som Sadona berkata...

Azana
Seronok apabila semua berjalan lancar. Tak seronok kalau datang ribut, dan ada curi barang kita secara bijaksana.

Mama Miraki berkata...

nasib baik penguatkuasa tu tak suruh letak label kat songkok tu...dibuat daripada apa..guna benang apa...hehehe

Mat Som Sadona berkata...

Mama Miraki

Pt Sulong tak pernah jumpa pulak Penguatkuasa.

Songkok pun ada label ya...cuba check. Cuma dia dah malas nak tanya saya agaknya.

Ameer kena pakai songkok saiz 17.