DALIL MANA DALIL: SUATU PENCERAHAN
Nukilan ilmu oleh: Ustaz Iqbal Zain
Dewasa ini, kita menyaksikan fenomena masyarakat awam dimomokkan oleh pihak tertentu untuk bertanya dalil pada setiap amalan agama. Apa yang lebih parahkan keadaan ialah dalil yang diminta itu mesti dilihat ianya disebut secara jelas dalam al-Qur’an dan hadith sahih. Jika tidak ada, maka mereka anggap ianya bukan dalil sebab menganggap ianya hanyalah rekaan Ulama yang tidak maksum.
Akhirnya, apa yang terjadi ialah berlakunya penyempitan pengertian “dalil” dalam keilmuan Islam, yakni mereka telah mempersempit pengertian dalil hanya terhad pada ayat al-Qur’an dan hadith sahih sahaja. Padahal, Ulama mempunyai pelbagai kaedah pendalilan untuk menzahirkan hukum-hakam agama.
Ini adalah sebuah kekeliruan yang amat nyata dalam fenomena “mana dalilnya”. Ya kita faham kepentingannya jika ia berlaku dikalangan Ulama, namun yang menakjubkan ialah ia menjadi budaya dikalangan masyarakat awam sedangkan dalam budaya ilmu, tuntutan mengetahui dalil untuk masyarakat awam hanya berlaku dalam pengajian Aqidah bukan Fiqh.
Seseorang yang sepanjang hidupnya tidak mengetahui satu dalil pun terhadap ibadah yang dilakukannya, sedikit pun ianya tidak menjejaskan mutu ibadahnya itu, namun seseorang yang tidak mengetahui dalil mengenai hal Aqidah dan hanya bertaqlid, boleh menjejaskan kesempurnaan iktikadnya. Pendek kata, taqlid hanya dituntut dalam ruanglingkup Fiqh iaitu amalan ibadah jika seseorang itu tidak mencapai darjat mujtahid, manakala dalam bidang Aqidah, taqlid adalah sebuah kekurangan.
Kepincangan yang terjadi pada masakini ialah masyarakat awam disibukkan dengan mencari dalil dan disuruh bertanya mana dalilnya untuk amalan ibadah yang telah disusun oleh Ulama, sebaliknya pada hal Aqidah tidak ditekankan bahkan dijauhi. Contohnya adalah pengajian Aqidah Sifat 20 yang di dalamnya dibincangkan dalil-dalil dalam iktiqad, bukan sahaja ianya tidak ditekankan untuk dipelajari, bahkan segelintir pihak memomokkannya sebagai bid’ah, falsafah yunani dan sebagainya.
Lalu masyarakat diajar untuk mengkritik amalan yang telah menjadi praktik para Ulama muktabar secara turun temurun seperti talqin di kubur, baca Yasin malam Jumaat, membaca selawat dipertengahan terawih dan sebagainya. Walhal, segala permasalahan Fiqh tersebut telah diselesaikan penjelasannya oleh para Ulama sejak sekian lama.
Imam Ibnu al-'Arabi al-Ma’afiri al-Maliki (m. 543 H) dalam 'Aridah al-Ahwadhi Sharh Sunan al-Tirmidhi (Abwab al-Zakat, j.3, hadith no.620), sangat tegas terhadap kelompok yang menuntut dalil berbentuk nas bagi setiap masalah hukum, bahkan menyebut mereka sebagai "keldai”. Beliau berkata, “Maka apabila datang keldai-keldai yang menuntut kewujudan nas untuk setiap hukum-hakam dari yang sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya, mereka adalah orang-orang yang ditutup pintu petunjuk oleh Allah, dan mereka terkeluar dari jalan orang-orang yang mengikuti jejak langkah Salaf dan yang berada di atas jalan hidayah”.
Fenomena “mana dalilnya” dikalangan masyarakat awam tidak berlaku pada zaman Salaf. Seseorang yang mengaku sebagai pengikut Salaf, pasti tidak akan bertanya dalil pada setiap amalan ibadah yang telah diusun oleh para Ulama Muktabar. Ramai sahabat Nabi dan Tabi’in yang dihantar ke pelosok tempat untuk berdakwah dan menjadi Mufti, TIDAK menjadi kebiasaan para pengikut mereka bertanya mengenai sandaran dalil terhadap fatwa yang mereka keluarkan. Contohnya ialah Sayyidina Mu’az bin Jabal dihantar ke Yaman untuk menjadi Mufti dan Sayyidina Mus’ab bin Umayr ke Madinah untuk mengajar ilmu, tidak direkodkan penduduk di sana bertanya dalil mengenai fatwa yang mereka berikan.
Fenomena “mana dalilnya” ini seolah-olah sudah menjadi model Usul Fiqh baru bagi masyarakat awam untuk mengamalkan ibadah. Untuk masyarakat awam bertanya “mana dalil”, mereka mesti sedar apa yang disebut sebagai “dalil”. Dan yang lebih penting, mereka tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan “dalil” itu. Kalau diberi dalil al-Quran atau Hadith sekalipun, sudah pasti masyarakat awam tidak tahu cara untuk berinteraksi dengannya kerana ia memerlukan penguasaan pelbagai bidang ilmu untuk mengetahui cara bagaimana berinteraksi dengan nas al-Qur’an dan hadith.
Apabila diberikan dalil hadith kepada masyarakat awam, kemudian mereka masih bertanya apakah statusnya, maka pertanyaan itu sahaja sudah cukup menjadi petanda bahawa dia tidak menguasai ilmu yang cukup untuk berinteraksi dengan nas. Oleh itu, di sini saya terpanggil untuk menerangkan sedikit sebanyak apa yang dimaksudkan dengan “dalil” dalam amalan ibadah.
Dalil secara bahasa ertinya sesuatu yang menghantarkan kepada maksud tertentu (Abu Ya’la al-Farra’ w. 458 H, al-Uddah fi Usul al-Fiqh, ms.1/131).
Sedangkan dalam istilah syar’i, dalil adalah:
ما يمكن التوصل بصحيح النظر فيه إِلى مطلوب خبري
“Segala sesuatu yang memungkinkan untuk menghantarkan kepada sesuatu yang diinginkan yang bersifat khabari (berita) dengan analisis yang benar”.
(Ibnu Muflih dalam Usul al-Fiqh, ms.1/19, lihat pula: Muhammad bin Ali as-Shawkani dalam Irshad al-Fuhul, ms.1/22).
Ertinya para ulama dari sejak zaman salaf tak pernah terburu-buru menentukan sebuah hukum hanya bermodal kepada satu hadith sahih saja. Kerana hadith sahih saja belum cukup menjadi produk hukum kecuali setelah melalui pemahaman yang sahih pula dengan kaedah yang tepat.
Dalam perbahasan Usul Fiqh, dalil yang disepakati oleh semua ulama ada 4 iaitu:
1.al-Qur’an
2. Hadith
3. Ijma’
4. Qiyas.
Selain keempat-empat perkara yang telah sepakati di atas, masih ada lagi kaedah-kaedah pendalilan lain yang di aplikasi oleh para ulama Sunni yang mana praktiknya adalah bergantung kepada metodologi mazhab masing-masing seperti:
1.‘Urf (kebiasaan setempat)
2.Istihsan (sesuatu yang dianggap baik)
3.Istishab (ikut hukum asal)
4.al-Masalih al-Mursalah (kemaslahatan umum)
5. Amal Ahli Madinah
6. al-Talaqqi bi al-Qabul (penerimaan Ulama secara meluas)
7. Syariat sebelum Nabi Muhammad
8. Sadd al-Zara’i’ (pencegah mudarat)
9. Al-Mundarij tahta asli al-ma'mul bih (terangkum dalam dalil umum)
10. dan lain-lain.
Ulama Fiqh akan proses sesuatu dalil itu sama ada ianya Am-Khas, Juz’i-Kulli, Mujmal-Mubayyan, Nasikh-Mansuh, Mutlaq-Muqayyad, Mantuq-Mafhum, Muwafaqah-Mukhalafah dan lain-lain.
Sesungguhnya “dalil” untuk orang awam adalah para Mufti dan ilmuan Fiqh ikutannya. Imam al-Shatibi (w. 790 H) dalam as-Muwafaqat menulis:
فتاوى المجتهدين بالنسبة إلى العوام كالأدلة الشرعية بالنسبة إلى المجتهدين
"Fatwa-fatwa ulama mujtahidin bagi orang awam itu ibarat dalil syar’i bagi para mujtahid" .
(Ibrahim bin Musa al-Shatibi w. 790 H, al-Muwafaqat, ms.5/336).
Hal itu cukup munasabah kerana dalil bagi orang yang awam itu ibarat orang yang tidak cekap memasak bahkan tidak mempunyai alat memasak, maka untuk apa diberi bahan mentah. Demikan itu sebagaimana Imam Shatibi sampaikan, bahkan Imam al-Shatibi melarang orang awam untuk ikut-ikutan menggali hukum sendiri dari dalil, beliau berkata:
والدليل عليه أن وجود الأدلة بالنسبة إلى المقلدين وعدمها سواء؛ إذ كانوا لا يستفيدون منها شيئا؛ فليس النظر في الأدلة والاستنباط من شأنهم، ولا يجوز ذلك لهم ألبتة
“Dasarnya adalah ada dan tidaknya dalil bagi orang awam itu sebenarnya sama saja. Kerana mereka tidak mampu untuk mengambil faedah dari dalil-dalil itu. Menganalisis dalil-dalil syar’i bukanlah tugas mereka. Bahkan tidak boleh sama sekali mereka melakukan tugas tersebut”.
(Ibrahim bin Musa al-Shatibi w. 790 H, al-Muwafaqat, ms.5/337)
Imam al-Shatibi memang cukup keras dalam melarang orang awam untuk menilai al-Qur'an dan hadith lalu menggali hukum sendiri. Dan memang seperti itulah seharusnya. Persolan mungkin timbul di sini, adakah kita ini tergolong masyarakat awamkah atau bagaimana? Untuk menjawab hal itu, memang perlu sedar diri. Tak jarang ada yang beranggapan bahwa kalau sudah ustaz bererti tidak awam, kalau sudah lulus sarjana syari’ah bererti sudah terlepas dari keawaman.
Bahkan seorang penghafal al-Qur’an dan hadith sekalipun tidak serta merta terkeluar dari menjadi awam yang boleh menggali hukum sendiri, apalagi hanya pernah belajar Bahasa Arab. Bukti paling nyata adalah tidak semua Orang Arab yang sudah faham Bahasa Arab sejak kecil lantas tiba-tiba boleh menggali sendiri hukum dari al-Qur’an dan Hadith.
Imam Ibnu Hajar al-Haytami as-Shafi’i (w. 974 H) menukil perkataan Ibnu Uyaynah (w. 198 H):
الحديث مضلة إلا للفقهاء
Hadith itu boleh jadi menyesatkan kecuali Fuqaha’.
(Ibnu Hajar al-Haytami w. 974 H, al-Fatawa al-Hadithiyah, ms.202)
Kita akan lihat buktinya bahawa penghafal banyak hadith belum tentu Faqih. Syarat menjadi faqih adalah tahu banyak hadith beserta tahu cara memahaminya. Hanya saja kadang orang yang hafal banyak hadith, tidak tahu banyak terhadap kandungan hadith yang dihafalkan itu. Hal itu sebagaimana sabda Nabi Muhammad shallaAllahu alaihi wasallam:
رب مبلغ أوعى من سامع ورب حامل فقه ليس بفقيه ورب حامل فقه إلى من هو أفقه منه
“Ramai orang yang hanya disampaikan kepadanya suatu hadith, dan dia lebih faham daripada orang yang mendengarkannya langsung. Ramai yang menyampaikan fiqih tetapi tidak faqih/ faham. Dan ramai pembawa fiqih, dia membawakannya kepada orang yang lebih faham darinya”.
(al-Bukhari, h. 1/ 24, an-Nasa’i dalam as-Sunan al-Kubra, h. 5/ 365, Ibnu Majah dalam Sunan-nya, h. 1/ 159, Ahmad dalam Musnad-nya, h. 27/ 301)
Kesimpulan sederhana yang dapat kita ambil dari hadith di atas ini adalah tak semua penyampai hadith itu faham atas hadith yang mereka sampaikan. Imam Ibnu Wahb (w.197 H) salah seorang murid dari Imam Malik bin Anas (w.179 H) pernah suatu ketika berkata:
لولا مالك، والليث لهلكت، كنت أظن أن كل ما جاء عن النبي صلى الله عليه وسلم يعمل به
"Kalau saya tidak bertemu dengan Imam Malik dan al-Layth bin Saad, maka binasalah saya. Dahulu saya menyangka segala sesuatu yang datang dari Nabi itu pasti semua mesti diamalkan" .
(Jamaluddin Muhammad al-Mizzi as-Syafi’i w. 742 H, Tahdzib al-Kamal, h. 24/ 270, lihat pula: Ibnu Asakir w. 571 H, Tarikh Dimasyq, h. 50/ 359)
Awalnya Imam Ibnu Wahb (w. 197 H) yang merupakan pakar hadith menyangka bahawa semua yang datang dari Nabi itu mesti diamalkan. Untungnya beliau bertemu dan berguru kepada Fuqaha’ sehebat Imam Malik bin Anas (w. 179 H) dan al-Layth bin Saad (w. 175 H).
Hal ini mirip-mirip yang terjadi akhir-akhir ini. Banyak yang menyangka semua yang datang dari Nabi mesti diamalkan. Tidak mengamalkan bererti menolak, menolak bererti menentang hadith Nabi. Seharusnya mereka itu perlu belajar memahami bagaimana sesebuah hukum agama itu tidak terhenti prosesnya pada status hadith semata-mata, akan tetapi terdapat kaedah-kaedah pendalilan yang digunakan Fuqaha’ untuk menentukannya sebelum ia dapat dihidangkan kepada masyarakat awam.
Seseorang yang yang terhenti pada status hadith semata-mata adalah umpama seseorang yang ingin memiliki kereta tapi ingin membelinya terus di kilang pembuatan kereta yang mana komponen-komponennya masih belum dipasang, maka akhirnya dia belum dapat memandu kereta yang diidamkannya, bukan kerana komponen-komponen itu tidak sempurna, akan tetapi kerana ia belum melalui proses-proses yang berikutnya.
Seseorang yang bukan mujtahid yang ingin mengetahui hukum-hakam agama dengan terus lompat kepada al-Qur'an dan hadith, perumpamaannya ialah ibarat orang yang memiliki kereta dan ingin isi minyak petrol, tapi dia tidak mahu isi minyak di pam minyak, sebaliknya dia ingin mendapatkannya dari sumbernya yang asli lagi tulen dan sahih di tempat petroleum digali dibawah dasar lautan. Boleh jadi dia karam tenggelam dalam lautan yang dalam.
Pokoknya, hadith yang sahih juga harus ditapis dan disaring dengan pemahaman yang sahih oleh orang-orang yang ahli dalam hukum-hakam iaitu para Fuqaha’, bukan Muhaddithin. Istinbat hukum-hakam adalah menuntut seseorang untuk tenggelam dalam lautan nas yang luas dengan kemahiran yang sangat cekap. Bukan sekadar mengetahui dari sumber aslinya, kemudian terus mengeluarkan hukum.
Contohnya seperti isu talqin mayat di kubur, ada segelintir pihak hanya berhenti pada status hadithnya yang da'if lalu menghukum ia perlu diketepikan sedangkan majoriti Fuqaha' dan Muhaddithin menetapkan ianya sebagai sunnah berdasarkan kaedah-kaedah pendalilan (wajh al-istidlal) dan penelitian kepada seluruh lautan nas-nas dalam agama.
Antara contoh hadith sahih yang tidak diamalkan secara zahir begitu sahaja ialah Nabi Muhammad sallaAllahu alaihi wasallam bersabda:
إِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْغَائِطَ فَلَا يَسْتَقْبِل الْقِبلَةَ وَلَا يُوَلها ظهره، شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا
"Ketika kalian buang air besar, maka jangan menghadap kiblat atau membelakanginya. Tetapi menghadaplah ke TIMUR atau ke BARAT".
(Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW melarang buang air menghadap atau membelakangi kiblat, tetapi Baginda menyuruh menghadap ke timur atau ke barat. Jika kita di Malaysia, bukankah kiblat kita ke arah barat? Disinilah pemahaman terhadap hadith harus tepat menurut perbahasan Fuqaha’.
Suatu hal yang menarik ketika membaca sejarah para sahabat Nabi SAW. Beberapa riwayat menyebutkan ada beberapa sahabat Nabi tidak mengamalkan hadith yang mereka riwayatkan sendiri. Contohnya ialah Sayyidatina Aishah Ummu al-Mu’minin radhiyaAllahu anha. Beliau suatu ketika pernah menikahkan anak saudara perempuannya tanpa izin walinya terlebih dahulu. Iaitu Hafsah binti Abd al-Rahman bin Abu Bakar al-Siddiq dengan Mundhir bin Zubair. Sedangkan Abd al-Rahman adalah adik lelaki dari Sayyidatina Aishah dan wali bagi Hafsah sedang berada di Syam.
Padahal Sayyidatina Aishah sendiri meriwayatkan hadith tentang larangan menikahkan perempuan tanpa izin wali. Hadith tersebut adalah:
أيما امرأة نكحت بغير إذن وليها فنكاحها باطل
Setiap wanita yang menikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batil.
(al-Timidhi, h. 2/ 398, Abu Daud, h. 2/ 229, al-Hakim dalam al-Mustadrak, h. 2/ 182 dengan sanad yang sahih).
Kelihatan bahawa Sayyidatina Aishah sebagai perawi hadith diatas malah dalam perbuatannya menyelisihi terhadap hadith yang beliau riwayatkan sendiri. Hakikatnya kefahaman beliau terhadap hadith yang diriwayatkannya itu ditapis menerusi kaedah-kaedah pendalilan yang difahami oleh beliau, bukan sekadar wujudnya hadith.
(Abu Ja’far at-Tahawi w. 321 H, Syarh Ma’ani al-Athar, h. 3/ 18, lihat pula: Ibnu Hajar al-Asqalani w. 852 H, Fath al-Bari, h. 9/ 186).
Kitab sirah muktabar juga merekodkan bahawa Sayyidatina Aishah ikut di belakang imam jemaah sembahyang terawih 20 rakaat yang dibuat oleh Sayyidina Umar al-Khattab sedangkan Sayyidatina Aishah sendiri adalah periwayat hadith 8 rakaat didalam dan luar Ramadan.
Contoh lainnya adalah hadith Sayyidina Abu Hurairah tentang banyaknya basuhan sesuatu yang terkena jilatan anjing; S. Abu Hurairah meriwayatkan hadith dibasuh 7 kali, sedangkan beliau sendiri melakukan basuhan 3 kali.
(Abdul Karim an-Namlah, Mukhalafat al-Sahabi li al-Hadith an-Nabawi, h. 125).
Maka dalam hal seperti ini, hanya bermodal hadith sudah sahih saja belum cukup menjadi dalil hukum. Bagaimana mungkin seorang sahabat Nabi yang meriwayatkan sendiri hadith, malah dalam perbuatannya bercanggah dengan hadith yang diriwayatkan.
Maka, dalam kaitan kes-kes seperti ini para Ulama Usul Fiqih telah membahasnya secara tuntas dalam bab "perbuatan rawi menyelisih riwayatnya sendiri"; apakah mengikuti riwayatnya atau perbuatannya. Dalam contoh yang lebih nyata, para Ahli Hadith malah “tidak mengamalkan” hadith Nabi yang mereka tuliskan dalam kitab-kitab mereka.
Dalam hadith sahih riwayat Imam Muslim dalam sahih-nya; Nabi Muhammad sallaAllahu alaihi wasallam melarang menuliskan sesuatu apapun terkait beliau selain al-Qur’an.
عن أبي سعيد الخدري، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: لا تكتبوا عني، ومن كتب عني غير القرآن فليمحه، وحدثوا عني، ولا حرج.. الحديث
Rasulullah sallaAllahu alaihi wasallam bersabda: "Janganlah kalian menulis apa yang datang dariku, siapa yang menuliskan sesuatu dariku selain al-Qur’an maka hapuslah. Dan tidaklah mengapa untuk sampaikanlah hadith saya (secara verbal) "
(Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, h. 4/ 2298).
Larangan menulis sesuatu dari Nabi SAW ini malah tertulis dalam kitab-kitab hadith para ulama ahli hadith. Seolah-olah para ahli hadith tidak mengendahkan larangan Nabi SAW, padahal hadithnya sahih. Inilah mengapa memahami hadith Nabi tidak hanya cukup bermodal sahihnya saja. Hadith diatas dijelaskan dengan hadith khutbah Nabi saat Fathu Makkah:
اكتبوا لأبي شاه
"Tulislah (khutbahku) untuk Abu Syah" .
(Muttafaq alaih)
Para ulama menyebutkan bahawa alasan tidak boleh menuliskan sesuatu selain al-Qur’an saat itu adalah agar tidak bercampur dengan teks al-Qur’an sesuatu yang bukan al-Qur’an.
Ada hadith yang cukup tegas berbicara tentang orang-orang yang bicaranya hanya pakai hadith, tapi malah mendapat kritikan dari Nabi SAW:
سيخرج قومٌ في آخرِ الزمان، أحداثُ الأسنان، سفهاءُ الأحلام، يقولون من خيرِ قولِ البرية، لا يجاوزُ إيمانهم حناجرهم، يمرقون من الدين كما يمرق السهم من الرمية.. الحديث
"Akan datang di akhir zaman, suatu kaum yang muda usianya, bodoh cara berfikirnya dan berbicara dengan sabda sebaik-baik makhluk (hadith-hadith Rasulullah SAW) . Iman mereka tidak pun melepasi tenggorokannya Mereka tergelincir dari agama seperti anak panah tembus keluar dari badan binatang buruannya. (Bukhari dan Muslim)
Tentu hadith ini umum, tak hanya menuding kelompok ini atau itu, tetapi lebih sebagai pengingat dan amaran. Kita muhasabah diri masing-masing.
Anak muda, baik secara umur atau keilmuan yang punya cukup semangat menebarkan hadith dan sunnah Nabi tentu sangat bagus. Tetapi boleh jadi orang yang hanya ingin menuntut dalil hadith Nabi untuk setiap hukum-hakam, belum tentu benar-benar mewakili apa yang Nabi Muhammad syariatkan, bahkan perbuatan menuntut-nuntut dalil tersebut menyelisihi para Salaf sepertimana yang diterangkan oleh Imam Ibnu Arabi al-Maliki dalam Aridah al-Ahwadhi.
Kesimpulan
Hanya tahu ilmu hadith saja belum cukup kecuali difahami dengan cara yang benar oleh orang yang benar-benar benar. Jika tidak, ilmu hadith tersebut boleh menjadi asbab kegelincirannya dalam agama sepertimana yang ditegaskan oleh Imam Sufyan bin Uyaynah.
Amat penting untuk memahami bahawa dalil dalam keilmuan Islam bukan sekadar al-Qur’an dan Hadith Sahih semata-mata, akan tetapi Ulama menggunakan pelbagai kaedah pendalilan untuk menzahirkan hukum-hakam dan amalan agama. Gagalnya memahami hal ini menyebabkan seseorang itu mudah menghukum orang lain dengan label sesat dan bid’ah.
Perkara-perkara yang ditinggalkan Nabi SAW (al-tark) tidak dapat dijadikan dalil kepada sesuatu itu menjadi haram. Bukan itu sahaja, tapi juga termasuk persepsi-persepsi seperti:
1) "kenapa nak buat, sedangkan Nabi tak buat?"
2) "kalau takde hadithnya, kenapa kita nak buat?"
3) "kalau benda tu bagus, dah tentu Nabi dan Sahabat dah buat".
4) "hadith sahih masih banyak lg, kenapa nk amal benda yang tak sahih".
5) "bukankah ajaran Nabi dah sempurna, kenapa nak ada tokok tambah"
6) "seolah-olah apa yang diajar Nabi tak mencukupi dan kurang sehingga nak mereka-reka amalan baru".
7) “kenapa nak cipta perkara baru, bukan ke semua perkara baru adalah bid’ah yang sesat dan sesat masuk neraka!”
8) “buat apa nak amal benda yang Nabi tak buat, nanti takut orang ingat benda tu wajib”
9) “kan benda tu ada ikhtilaf, ada ulama yang kata amalan tu tak sabit, jadi buat apa nak amal sebab kalau tak amal lebih afdal, jadi dapat keluar dari ikhtilaf (al-khuruj min al-khilaf)”.
10) "kenapa tak bagi azan masa solat raya, benda baik kan?".
Senario yang terjadi pada masakini ialah persepsi-persepsi di atas telah dianggap sebagai dalil dalam agama sedangkan tiada Ulama Usul yang menetapkan mana-perkara di atas sebagai dalil yang menzahirkan hukum-hakam.
Senario lain pula pada masa ini ialah terdapatnya para penceramah hadith yang hanya membincangkan status hadith kepada masyarakat awam lalu membiarkan mereka terkontang-kanting membuat penilaian sendiri terhadap hukum-hakam. Hal ini jika tidak dibendung akan mengakibatkan kekeliruan dan kecelaruan yang berpanjangan terhadap kefahaman agama masyarakat awam. Jika diberikan status hadith kepada asatizah biasa pun belum tentu mereka mampu mengistinbat hukum daripadanya, apatah lagi masyarakat awam, lebih2 lagi mereka tidak mempunyai ilmu alat untuk menilai hadith, mentarjih dan membuat keputusan hukum untuk diikuti.
Ya, untuk masyarakat belajar ilmu hadith sudah tentu sentiasa terbuka agar diperdengarkan hadith-hadith kepada mereka supaya mendapat cahaya keberkatan darinya. Juga tidak menjadi masalah untuk masyarakat awam sekali sekala ingin bertanya mengenai dalil untuk mententeramkan jiwa yang meronta. Namun, jangan sampai mereka terhalang dari ilmu yang wajib dan fardu ain iaitu ilmu Aqidah, ilmu Fiqh dan Ilmu Tasawwuf.
Semoga bermanfaat.
Iqbal Zain al-jauhari