Sabtu, 16 Mei 2009

UCAPAN HARI GURU

Dari malam tadi hingga pagi ini seperti guru lain, aku menerima ucapan Selamat Hari Guru melalui sms. Ucapan daripada bekas-bekas murid dan sesama rakan guru menjadikan hari ini agak ceria seperti hari raya atau hari lahir aku.

Aku jua teringat wajah-wajah guru yang mencorakkan hidup aku sepanjang persekolahan aku di atas bumi Malaysia ini. Cikgu yang mengajar aku ABC hinggalah pensyarah MPTI, Johor Bahru.
Ada antaranya telah kembali kerahmatullah. Aku masih ingat segala cerita para Rasul yang disampaikan oleh Allahyarham ustaz Maarof Samsuri sehingga aku menghafal benar cerita-cerita itu. Ustaz Maarof mengajarku selama empat tahun.Yang paling menarik kisah Nabi Yusuf dengan adik beradik tirinya yang kejam itu.

Aku juga ingat benar segala ilmu yang disampaikan oleh Cikgu Jaafar, guru pertamaku dalam dunia ini. Beliaulah yang mengenalkan aku ABCdan 123. Sejak meninggalkan sekolah, aku tidak tahu khabar beritanya. Seterusnya aku diajar oleh Allahyarham Cikgu Tauhid, Cikgu Kandir, Cikgu Rafeah, Cikgu Asiah Abu Bakar, Cikgu Harneks Singh dan paling aku tidak boleh lupa Cikgu Lokman Abdullah.

Cikgu Lokmanlah guru kelas aku di SK Tenaga Setia pada tahun 1978. Beliau pernah berkata, andainya beliau tidak kenal Islam, sudah pasti beliau masih bersama sahabat-sahabatnya di hutan menyertai Parti Komunis Malaya. Ini kerana ramai rakan sekelasnya di Pulau Pinang menyertai pertubuhan haram itu. Beliau berkata ada antara yang terbunuh diserang angkatan tentera adalah sahabat sekolahnya.

Apabila ke sekolah menengah aku belajar dengan Cikgu Janis. Beliaulah guru yang paling lama mengajar aku iaitu dari tahun 1979 hingga 1983. Rujuk blog http://janis57.blogspot.com Kini beliau menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolahku bertugas.

Aku juga sangat terhutang budi kepada Cikgu Senin, Cikgu Mostamam, Cikgu Samad Awang yang sangat garang itu, Cikgu Zaleha, Cikgu Syaith, Allahyarham Cikgu Uyob Ismail, Allahyarham Cikgu Paiman, Cikgu Salbiyah dan guru yang paling cool Allahyarham Cikgu Abd Rahman Omar. Aku juga sangat mengkagumi dua orang ustaz yang sangat berkarisme Ustaz Meeraj dan Ustaz Zakaria Daud. Kedua-dua ustaz ini masih aktif berdakwah di Batu Pahat ini. Kedua-duanya ibarat guru sepanjang zaman.

Sempena hari yang indah ini, Selamat Hari Guru dan kepada guru-guruku yang telah tiada semoga Allah mencucurkan rahmat kepada mereka

3 ulasan:

jbfresco berkata...

Mungkin agak terlambat...tp apa2 pon nak ucapkan gak
SELAMAT HARI GURU

MSOM berkata...

Tkasih Jbfresco...Nak tau jugak sapelah jbfresco ni...jeng jeng

Miss Mirror a.k.a Sam berkata...

JBfresco ni seorang blogger BS yg tegar, downline BIOASLI yg semakin berkembang dan juga penjual kek coklat lembab yg lazat. Ermm...lazatnya...tp blom sempat lg la nk order kak...