Selasa, 26 Februari 2013

KENANGAN PAHIT MANIS BELAJAR MENGAJI


Pejam celik pejam celik sudah setahun juga, aku mengajar sendiri anak aku (yang ketiga) mengaji. Sebelum tu Ikhwan belajar dengan ustazah. Sampailah masa, sampailah ketika ustazah tersebut berpindahlah pulak ke Tongkang Pechah. Anak aku yang sulong dan kedua juga sudah khatam belajar dengan ustazah Helimah tu. 

Anak ke empat Arina, mula-mula belajar Iqro' dengan ustazah Anim pula, sampailah separuh Muqadam, kerana risaukan gelap-gelap dia balik rumah, akhirnya aku mengambil keputusan mengajarnya sendiri. Kini sudah sampailah masuk surah Al-Baqarah. Irfan pun bersetuju mengajar Ikhwan. Aku bagilah elaun kepada abangnya tu.....Ikhwan pula kalau belajar dengan bapaknya ni, dia akan muncung dan mencuka sahaja, sebab muka aku ni memangle bengis, salah sikit kena marah, terus menitik air mata dia!

Teringat dulu masa aku kecik, aku mula-mula belajar mengaji dengan abang aku. Baru hendak masuk ke Quran, dia sudah pergi ke Brunei selama tiga tahun. Terkapai-kapailah aku belajar sendiri.Nak belajar dengan ayah aku, lagi aku takut, lagipun ayah aku tu sibuk bekerja, balik sudah penat.

Tahun 1980 akhirnya aku belajar dengan bilal mesjid kampung aku. Nak belajar dengan pak imam, ramai sangat orang mengaji rumah dia. Pak bilal ni, bekerja sawah. Waktu aku sampai di rumahnya selepas Magrib, kadang-kadang dia belum balik dari sawah lagi. Kalau dah balik pun, dia akan mengentel-gentel rokok daun dulu...disedut dalam-dalam....lepas tu dihembus, asap memenuhi ruang tamunya yang berdindingkan papan dan tiada tingkap lagi.

Masa tu masih pakai lampu pelita lagi. Aku dan lebih kurang 10 orang budak yang mengaji di rumahnya tu, bergilir-gilir membawa sebotol minyak tanah. Satu hari tu, entah bagaimana minggu itu tiada seorang pun yang membawa minyak tanah. Pak bilal tu menghidupkan pelita dengan minyak makan. Kecik benor cahaya lampu tu, tengah-tengah mengaji terus padam.....aku dan kawan-kawan aku terus terdiam, nak bercakap takut pak bilal naik angin.....

Dalam senyap-senyap tu kami keluar rumah seorang demi seorang,....senyap.....pak bilal pun tidak menegur langsung.....agaknya susahlah sangat, atau malu ....maklumlah masa tu zaman memang sangat susah.....nak makan pun tak cukup, lagilah nak beli minyak tanah.

Sebulan kami tak berani nak ke rumah pak bilal. Aku dan kawan-kawan aku berpakat nak berpindah ke rumah pak imam pula. Mungkin pak bilal kecik hati, tapi nak buat macamana....? Yang pelik terjadi lagi ketika itu, seorang rakan mengajiku, budak perempuan yang berumur 15 tahun tu (yang kupanggil kakak) menerima pinangan seorang lelaki tua dari kampung sebelah,umurnya 70 tahun......Aku dan kawan-kawan aku sangatlah pelik, kenapa dia sanggup nak kahwin dengan atuk tua itu?

(Dan kawan aku tu setia dengan orang tua itu sehingga atuk tu meninggal dunia, dan mempunyai lapan orang anak!)  Eh...lari pulak tajuk....

Dengan pak imam pulak, aku sempat mengaji selama dua tahun. Paling tak boleh lupa, anak pak imam yang masih kecik tu suka membuli kami, satu hari tu dia pijak Quran yang aku baca....Anak pak imam ni nak kena, nampaknya.

Entah bagaimana, pada tahun tersebut kecoh khabar angin orang cari kepala nak masukkan ke Jambatan Pulau Pinang. Cikgu kat sekolah pun siap bagi nombor plat kereta pemburu kepala kepada kawan aku. Sejak tu aku ketakutan untuk pergi mengaji.....!

  

3 ulasan:

Kayu Manis berkata...

TGG JAMBATAN P.PINANG TU..TAU JUGA..NOSTALGIA NI..

DULU MASA MENGAJI RUMAH JIRAN DKT AJE..TAP NAK MASUK RUMAH DIA NUN HUJUNG BENDANG..SERAMLAH JUGA.

BILA TERINGAT BALIK JIRAN TU MENGAJAR CARA MENGHAFAL..INGATLAH DUA TIGA HARI LPS TU LPA BALIK..BEZA DGN SKRG..KENAL HURUF DULU..BARU BOLEH BACA..JIRAN2...ALHAMDULILLAH

soziyana berkata...

salam....
bagus tu ,ajar sendiri anak-anak.
banyak kebaikan kalau boleh ajar sendiri.kak yana minta suami mendalami ilmu tajwid.hasratnya supaya dapat ajar sendiri anak-anak.

! Arjunakirana ! berkata...

Alhamdulillah... teringin nak mengaji semula ramai2... :(