Kembara Ibadah Ke Bumi Barakah
Seawal jam 7.00 pagi aku berkumpul dengan 26 orang jemaah lain di Dataran Taman Mutiara di perumahan aku ini. Memang itu yang aku inginkan daripada ustaz Hasanin Tamio mutawif kami. Dan biasanya begitu agaknya. Selebihnya 14 orang dihantar oleh anak dan keluarga di KLIA.
Lebih kurang pkl 12.00 tengah hari bas sampai di KLIA, satu taklimat diberikan oleh CEO Glocal Travel yang menguruskan umrah kami.
Jam 2.00 petang kami terus menjalani pemeriksaan kastam, dan kami bersolat di surau bording area.
Jam 3.25 petang MH 158 membawa kami terbang ke bumi Rasulullah SAW. Dalam kapal Boeing ini dipenuhi oleh jemaah umrah dari Glocal Travel dan Tiram Travel.
Penerbangan selama 9 jam, aku tidak dapat tidur langsung. Itulah kelemahan aku. Aku lihat isteriku Hamidah nyenyak tidur. Tentu dia kepenatan berhari-hari menyiapkan persiapan umrah di samping tetap menyiapkan tempahan jahitan daripada para pelanggannya..
Tambah-tambah aku tak dapat tidur, di sebelah aku ni seorang akak yang berdengkur kuat. Ah, mungkin itu dugaan kecil sahaja...Dia pun berpenat lelah untuk pergi ke umrah ini barangkali...
Apabila berada dalam rombongan jemaah umrah ini, aku gembira sekali dapat berjumpa kawan-kawan lama. Antaranya Kak Kalsom yang sangat peramah itu. Juga Cikgu Rahman Hamid, Cikgu Norman Naim dan isterinya Cikgu Zaimah. Di sini juga aku bertemu kembali Hj Maliki dan Kak Salmah, dari Parit Simis Seri Medan. Mutawif aku ni pula sahabat lama aku masa mengajar di SMK Penghulu Saat sekitar awal tahun 2000 dahulu.
Dua hari lepas, aku telah bertemu dengan seorang sahabat aku dari Selatan Pahang. Dia memberitahu sembilan orang guru dari sekolahnya telah mendaftar umrah dengan satu syarikat yang kurang dikenali. Sudah daftar sejak bulan Mei 2022 lagi. Tiba-tiba syarikat gagal untuk menguruskan, dan nasib baiknya duit telah dipulangkan.
Namun mereka sangat kecewa, jika tahu terjadi begini alangkah baik berurusan dengan syarikat yang telah pun ternama dan terbukti pengurusan umrahnya. Bukan sedikit persiapan yang telah dibuat, di samping kecederaan mental sahabat-sahabatnya itu.
Aku pulak mendaftar dengan Ustaz Hasanin ini kerana beliau telah berpengalaman membawa jemaah umrah bertahun-tahun. Alhamdulillah, akhirnya hari ini aku tiba di bumi Rasulullah buat pertama kali dalam hidup aku dan isteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan