Ahad, 10 Februari 2013

PALOH, KENANGAN DAN PENANGAN

Rumah Cikgu Salleh di Taman Melati, Paloh, Kluang Johor. Lokasi Paloh di antara Kluang dengan Bekok, Johor. Untuk sampai ke sini, paling senang dengan kereta api.
Cikgu ingat saya saya? Saya Siti Hajar. Dulu cikgu pernah ajar saya...... Anak saya tiga dah....Sekarang saya buka kedai baju di pekan Paloh
Cikgu Salleh Mohd Nor ialah rakan sejawat saya semasa saya mengajar di SMK PALOH, dari tahun 1988-1994.
Cikgu ingat saya? Saya Jegathesan. Dulu cikgu ajar saya di Peralihan K. Semua budak-budak mesti kenal sama Cikgu Amran dengan Cikgu Mat Som yang garang....hahahaha.....Nasib baik saya tak pernah kena lempang.......kawan-kawan banyak sudah kena.....hahahahahah
Ha....ni dia wajah Cikgu Amran yang terbaru (yang botak tu) sedang berbual-bual dengan Cikgu Isa Kasan di Surau Taman Melati, Paloh.
Banyak event di Paloh waktu aku datang ke sini semalam. Nama seorang menteri tersohor terpampang di sana-sini.



Jemputan daripada Cikgu Salleh Mohd Nor tentunya tidak  kuuzurkan, sedapat mungkin aku mesti pergi. Kenangan mendiami pekan bersejarah ini dari 1988-1994, pasti menarik-narik untuk aku ke sana.

Dengan Cikgu Isa Kasan, aku ke Paloh nan indah……. Paloh? Ya…namanya begitu hebat sehingga dijadikan tajuk filem. Paloh, cerita tentang kekejaman komunis itu.

Sesampainya di sana ramai sahabat lama, yang masing-masing telah bermastautin di Bandar-bandar lain, ia bagaikan satu pertemuan majlis reunion.

Antara yang dapat ditemui ialah Cikgu Safar, Zairuddin, Mat Shah, Cikgu Masehood Tijo (adik Mariamah Tijo) dan Cikgu Amran. Ramai juga bekas anak murid yang dapat kami temui dalam majlis itu. 

Selepas itu, kami menelusuri pekan Paloh. Ingatkan nak ambik gambar Quarters tempat aku tinggal, stesen kereta api, namun disebabkan cuaca sangat panas, dan Paloh didatangi seorang menteri dan pekan itu jadi sesak, maka niat itu aku batalkan saja.

Ada juga antara bekas murid aku tu yang mengintai-intai blog aku, namun mereka tidak meninggalkan komen, terima kasih kerana masih mengingati aku….dan yang pernah tertampar dan tersindir, termarah tu, aku mintak maaf banyak-banyak, kerana semasa mengajar di sana dulu, aku masih muda dan berdarah pahlawan lagi.
 

Sabtu, 9 Februari 2013

MASING-MASING NAK BALIK KAMPUNG







Raya Cina ni, meninjau-ninjau kat Stesen Bas Batu Pahat. Kat Batu Pahat ni dah ada maktab perguruan, universiti, jadi sibukle stesen bas ni, tak macam dulu-dulu.

Buat yang memandu tu hati-hatile ya. Dan dalam gambar terakhir tu ialah gambar di pasar Sabtu di Pt Sulong. Penuhle orang memenuhi setiap ruang pasar. Yang tua nak beli ikan dan aneka benda nak menyambut anak-anak balik ke kampung. 

Sementara  emak bapak masih hidup tu, rajin-rajinlah jengok. Besok dah tak ada, baru menyesal tak sudah….

Selasa, 5 Februari 2013

DIA YANG DIABAIKAN



Wajahnya kelihatan sugul. Semua kawan-kawannya sudah dibelikan buku, beg , alat tulis, kasut dan pakaian  yang serba baru. Tetapi dia masih memakai baju sekolah yang lusuh, kasut yang kekuningan dan beg sekolah pun sudah nampak begitu kusam.

Aku tahu dia budak bijak. Tetapi ayah dan ibunya agak mengabaikannya. Daripada tulisan karangannya, bahasanya lebih matang daripada rakan-rakannya yang lain. 

Pada waktu rakan-rakannya sedang mengira dan menyusun buku baru, dia hanya ada buku teks. Ayahnya masih juga tidak datang membayar duit buku walaupun pembelajaran telah berjalan selama seminggu. Petang itu aku singgah di pasaraya lalu kubelikan buku-buku tulis yang sepatutnya dia ada.Buku itu tiada nama sekolah seperti rakan-rakannya yang lain. Yang penting dia dapat membuat latihan dan mancatat nota yang diberi oleh guru-gurunya.

Pagi itu aku memanggilnya, dan menghulurkan buku itu kepadanya. Dia agak terharu, walaupun apa yang kuhulurkan tidak seberapa nilainya. Hanya itu yang dapat kubantu. Anak-anakku sendiri empat orang yang bersekolah. Juga ada kaum kerabatku yang masih perlu kubantu dalam menghadapi saat-saat getir awal persekolahan itu.  

Soalnya, kenapa ayah dan ibunya begitu kejam? Dia disuruh bersekolah tanpa satu sen pun bayaran. Ayah dan ibunya tidak pernah muncul ketika sesi membeli buku atau ketika hari terbuka? Duit bantuan banjir dan duit bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 pun diambil ibunya.

Sewaktu keputusan UPSR 2012 diumumkan, namanya tersenarai antara pelajar lelaki yang berjaya memperoleh 5A. Ia sangat menakjubkan. Dalam serba kekurangan, dan kurang ambil perhatian ayah dan ibunya, dia dapat menggapai kejayaan.

Kini dia telah mendaftarkan diri di sebuah sekolah berasrama penuh di bandar Batu Pahat pada awal tahun ini. Sekolah itu baru sahaja setahun beroperasi.


Aku pun tidak tahu, bagaimana dia mengharungi sekolah berprestij seperti itu, dalam keadaan keluarganya yang serba kekurangan. Semoga dia menerima bantuan dari pihak kerajaan atau mana-mana syarikat swasta yang menaja persekolahannya.  

SEKADAR PESANAN



*Hari ini tiada apa-apa yang ingin aku kongsikan, cuma nak cuba tulisan berseni ni sikit, sambil nak beri TIGA mutiara kata yang tidak seindah mana ini:

* Dalam kehidupan kita sehari-hari, sama ada semasa memandu, semasa memasak, atau semasa termenung, tiba-tiba kita ada IDEA yang baik untuk menaikkan negara kita, organisasi kita, atau kehidupan keluarga kita, maka cepat-cepat tulis dalam BUKU KECIL atau simpan dalam peringatan handphone. Jika tidak dicatat, kita takut idea yang hebat itu akan lenyap begitu sahaja. Aku pernah terfikir, masa bila Tun Razak dapat idea wujudkan Felda? Masa bila Tun M dapat idea wujudkan Proton? Masa bila pula Ustaz Azahar Idrus dapat idea berdakwah secara era baru? Idea yang baik, jangan disimpan sahaja, kongsikan kepada organisasi kita, atau jika untuk negara, kongsikan dalam coretan pembaca dalam akhbar terpilih.  

* Buat apa manusia nak sombong, kerana tanpa air di dalam badannya beberapa hari saja, dia sudah tak bermaya dan mungkin tak boleh bernafas lagi. 

*Buat apa manusia nak riak dan bangga dengan mahligainya yang tersergam, dilihat dalam Goggle Map pun cuma nampak setoet, apa lagi dilihat dari bulan tidak nampak apa-apa?