Rabu, 22 Oktober 2014

PUTING BELIUNG MELANDA PANDAMARAN



PELABUHAN KLANG, 21 Okt (Bernama) -- Tujuh puluh dua buah rumah dan premis perniagaan di kawasan perindustrian di Pandamaran di sini rosak teruk akibat dilanda ribut pada kira-kira pukul 2 petang tadi.

Ribut seakan-akan puting beliung berserta hujan lebat kira-kira 30 minit itu mencemaskan kebanyakan penduduk di kawasan Pandamaran Jaya dan di sepanjang Jalan Banting serta Jalan Besar Pandamaran kerana ia turut menyebabkan pokok tercabut dan tiang tumbang.

Tinjauan Bernama di Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Pandamaran Jaya, mendapati kira-kira 72 rumah terjejas akibat kejadian itu.


Pengerusi pangsapuri, R.Sivabalan, 41, berkata dalam tempoh tiga minit angin kencang menerbangkan bumbung lima blok pangsapuri berkenaan menyebabkan kebocoran yang teruk.

Beliau berkata keadaan itu menyukarkan penduduk kaum India untuk menyambut Deepavali esok.

"Penduduk yang terjejas mengadu bumbung rumah mereka rosak dan bocor sehingga menjejaskan persiapan Deepavali. Ini kali pertama kejadian ini berlaku dan kami berharap pihak berwajib baik pulih kerosakan secepat mungkin.

Tambahan pula esok ramai penduduk yang menyambut Deepavali dan ramai yang mengalami kerugian sehingga menjejaskan persiapan perayaan esok," katanya ketika ditemui pemberita di sini.




Sementara itu, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago ketika ditemui pemberita berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan penduduk di pangsapuri itu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, beliau berkemungkinan akan meminta keluarga yang terjejas berpindah ke dewan orang ramai berhampiran supaya kerja baik pulih dapat dilakukan pada Khamis ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Kamarulzaman Mamat berkata pemeriksaan pasukannya di kawasan terjejas di Kunci Air Jalan Banting, Pandamaran, mendapati terdapat pokok tumbang serta bumbung premis diterbangkan angin ribut.

Selain itu, beliau berkata beberapa buah bot yang berada di jeti berhampiran juga telah tenggelam akibat kejadian itu.

"Antara premis yang terlibat adalah gudang penyimpanan tong gas, tokong, Pangsapuri PKNS dan Pangsapuri Pandamaran Permai.

Akibat daripada ribut tersebut bekalan elektrik telah terputus dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dihubungi. Setakat ini tiga laporan polis telah dibuat dan tiada kecederaan serta kematian berlaku," katanya ketika dihubungi.


sumber BERNAMA

1 ulasan:

Kayu Manis berkata...

ini sikit aje, murka Allah

minta di jauhkn