*AMANAT TERAKHIR YAHYA SINWAR*
Wasiat terakhir Yahya Sinwar ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bersumberkan sumber bahasa Inggeris.
Aku adalah Yahya, seorang anak pelarian yang telah menukar pembuangan menjadi watan sementara, aku juga telah menukar mimpi menjadi pertarungan abadi. Di saat aku menulis kalam-kalam ini, daku terkenang semua saat-saat kehidupanku yang sudah pun berlalu: zaman kecilku ketika di lorong-lorong, hingga ke zaman aku dipenjarakan, aku teringat akan setiap darah yang ditumpahkan di tanah watanku ini.
Aku dilahirkan di kem pelarian Khan Yunis pada tahun 1962, pada ketika Palestin merupakan memori yang tercarik-carik dan menjadi peta yang dilupakan di atas meja para politikus. Aku adalah seseorang yang telah menjahit kehidupanku di antara api dan debu, dan sejak awal aku menyedari bahawa kehidupan di bawah penjajahan tidak lebih dari penjara yang berkekalan.
Aku sedari dari zaman muda bahawa kehidupan di tanah ini bukanlah kehidupan biasa, dan sesiapa yang lahir di dalamnya mesti membawa di dalam jiwanya senjata yang tidak mungkin ditewaskan, dan menyedari akan jalan menuju kebebasan adalah jalan yang jauh dan panjang.
Wasiatku buatmu bermula di sini, dari kanak-kanak yang membaling batu pertamanya kepada sang penjajah, kanak-kanak yang belajar bahawa batu adalah bahasa pertama yang disebutkan dalam menghadapi dunia yang terus membisu sedang dirinya terluka dan berdarah. Aku berlajar di lorong-lorong Gaza bahawa manusia itu bukan diukur dengan panjang umurnya, tetapi diukur dari apa yang diberikan kepada tanah watannya. Dan itulah kehidupanku: penjara dan perlawanan, kesakitan dan juga harapan.
Aku meringkuk di dalam penjara bermula pada tahun 1988, aku dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, tetapi aku tidak pernah mengenal erti ketakutan. Di dalam bilik penjara gelap tersebut, aku melihat tingkap pada setiap dinding, dari tingkap ini aku merenung samudera jauh, pada setiap jeriji besi aku melihat cahaya yang menyinari jalan menuju kebebasan. Dalam cengkaman penjara, aku belajar bahawa kesabaran bukanlah satu nilai kosong, tetapi adalah sebuah senjata…senjata yang sangat pahit, kepahitannya ibarat tegukan air laut, diminum setitik demi setitik.
Nasihatku padamu: Jangan pernah takutkan penjara! Kerana ianya hanyalah sebahagian dari jalan panjang menuju kebebasan. Penjara mengajarku bahawa kebebasan itu bukan sahaja merupakan satu hak yang dicuri, tetapi adalah sebuah idea yang lahir dari kesakitan, diasah dan ditajamkan dengan kesabaran. Apabila aku dibebaskan dalam Perjanjian “Wafa al-Ahrar” pada tahun 2011, aku tidak keluar sebagai insan yang sama. Aku telah menjadi manusia yang kuat, dan keimananku telah bertambah bahawa apa yang kita sedang lakukan bukanlah hanya sebuah perjuangan yang berlalu, tetapi ini adalah takdir kita, yang harus kita kendong hingga ke titis darah yang terakhir.
Nasihatku padamu adalah agar engkau tetap tegar berpaut pada senapangmu, kekal menjaga maruahmu tanpa kompromi, dan tekal dengan mimpi yang tidak pernah mati. Musuh mahu kita meninggalkan perlawanan, untuk menjadikan perjuangan itu sebagai rundingan berterusan tanpa penghujung… Tetapi akan aku katakan padamu! Jangan dirunding apa yang telah menjadi hak engkau! Mereka takut akan kesabaranmu melebihi ketakutan mereka kepada senapangmu. Perjuangan ini bukan hanya pada senjata yang kita bawa, tetapi ia adalah kecintaan kita pada Palestin dalam setiap udara yang kita hirup, ia adalah keinginan kita untuk kekal hidup, disebalik segala sekatan dan juga kezaliman yang dilemparkan.
Nasihatku padamu adalah agar engkau tetap terus setia kepada darah para syuhada’, mereka yang meninggalkan kita dan menunjuki jalan ini yang penuh dengan duri. Mereka telah menerangi jalan ini dengan darah mereka, jangan engkau bazirkan pengorbanan mereka dengan perkiraan miskin politikus dan permainan diplomasi mereka. Kita di sini bagi melengkapkan apa yang telah dimulakan oleh pejuang pertama, kita tidak mungkin akan meninggalkan jalan ini dengan harga apa pun. Gaza akan kekal menjadi ibu kota kesabaran, jiwa Palestin tidak akan pernah berhenti berdegup, walau tanah ini menjadi begitu sempit kepada kita.
Apabila aku mengambil alih tugas sebagai kepimpinan Hamas di Gaza pada tahun 2017, ia bukanlah sekadar pertukaran kuasa, tetapi adalah sambungan dan penerusan kepada perjuangan, perjuangan yang bermula dengan lontaran batu dan disambung dengan bedilan senapang. Setiap hari, aku merasai keperitan bangsaku yang dikepung, dan aku tahu bahawa setiap langkah yang ditapaki untuk mencapai kebebasan perlu dibayar harganya. Tetapi aku ingin memberitahumu satu perkara: harga menyerah kalah itu lebih tinggi! Oleh itu, tekallah dengan tanah airmu ibarat akar yang menggenggam tanah, tiada angin yang mampu mencabutmu jika kamu berkeinginan untuk terus hidup di tanah ini.
Dalam Pertarungan Taufan Al-Aqsa, aku bukanlah ketua kumpulan mahupun gerakan, akan tetapi aku adalah suara setiap bangsa Palestin yang bermimpikan kebebasan. Aku digerakkan dengan kepercayaanku bahawa perjuangan bukanlah satu pilihan, tetapi adalah tanggungjawab. Aku mahukan perlawanan ini menjadi helaian baharu dalam kitab perjuangan bangsa Palestin, di mana setiap pecahan akan bersatu dan setiap anak bangsa akan bersama di dalam parit peperangan untuk melawan musuh yang tidak pernah membezakan antara kanak-kanak dan orang tua, atau antara batu dan pohon hijau.
Pertarungan Taufan Al-Aqsa adalah pertarungan jiwa sebelum bermulanya pertarungan jasad, pertarungan kemahuan sebelum bermulanya pertarungan senjata. Aku tidak meninggalkan legasi peribadi, tetapi legasi kolektif, untuk setiap anak bangsa Palestin yang berani bermimpikan kebebasan, bagi setiap ibu yang mengendong anaknya yang telah syahid di bahu mereka, untuk setiap ayah yang meratap penuh kepedihan melihat anak perempuannya dibunuh oleh peluru-peluru yang khianat.
Wasiat akhirku ini adalah untuk engkau kekal mengingati bahawa perjuangan bukanlah suatu yang sia-sia, perjuangan bukan perihal peluru yang dibedil ke arah musuh, tetapi adalah tentang kehidupan yang dijalani dengan penuh maruah dan kemuliaan. Penjara dan kepungan telah mengajarku bahawa perjuangan adalah jalan panjang dan penuh kesusahan, tetapi aku juga belajar bahawa mereka yang pantang menyerah kalah akan mencipta keajaiban dengan tangan-tangan mereka sendiri.
Jangan engkau harapkan keadilan dari dunia, aku telah hidup dan melihat dunia berdiam diri ketika kita menghadapi kesakitan. Jangan harapkan keadilan, tetapi engkaulah yang perlu menjadi keadilan. Bawalah impian Palestin di dalam jiwamu, jadikan setiap luka sebagai senjata, dan setiap air mata sebagai sumber harapan permata.
YAHYA SINWAR π΅πΈπ΅πΈπ΅πΈ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan