Khamis, 10 September 2009

PERATURAN UBAH SUAI KENDERAAN

Ubah suai kereta memerlukan kebenaran JPJ, tetapi ada ubah suai dan pemasangan eksesori boleh dilakukan tanpa kelulusan JPJ, terutamanya yang tidak memberi kesan kepada ciri-ciri keselamatan kenderaan tersebut antara ialah:
* Pemasangan air spoiler di bahagian depan dan belakang.
* Pemasangan skirt sisi, aerofoil dan pelindung cermin tingkap kereta.
* Pemasangan pelindung pada hadapan dan belakang kereta.
* Ubah suai kecil pada jaring radiator, bonet atau bentuk serta reka bentuk lampu.
* Ubah suai atau pemasangan tambahan bumper besar (sam,a ada jenis keluli tau kaca gentian) di depan dan di belakang.
* Pemasangan rim dan tayar yang lebih besar.
* Pemasangan para bumbung.
* Pemasangan lampu brek tambahan (berwwarna merah) atau lampu penunjuk arah (berwarna amber).
* Pemasangan lampu sorot atau lampu halogen (kedua-duanya berwarna putih dan kuning) di depan sahaja.
* Pemasangan penghadang angin, kaca gentian penutup lampu dan enjin fibreglass pada bahagian depan motosikal asalkan ia tidak terkeluar dari penghujung pemegang motosikal.

Bgaimanapun, ubah suai kecil ini mesti mematuhi peraturan contohnya pemasangan air spoiler, aerofoil atau skirt sisi, ia tidak boleh melebihi 150 milimeter diukur dari bahagian luar tayar belakang.

Bagi pelindung cermin tingkap, ia tidak boleh melebihi 100 milimeter lebar dan tinggi, manakala rim atau tayar lebar mesti ditutup sepenuhnya dengan mudguards atau penahan lumpur.

Pemasangan pelindung pula tidak boleh menutupi lamp kenderaan dan tiada bucu tajam atau bahagian yang terjulur melebihi 100 milimeter, manakala lebar keseluruhannya tidak boleh melebihi lebar asal kereta.

Bagi pemasangan para para bumbung, ia tidak boleh melebihi panjang bumbung atau lebar kenderaan dan tidak melebihi ketinggian 400 milimeter diukur dari bahagian teratas para bumbung itu.

Kelengkapan Tambahan Yang Tidak Dibenarkan Dipasang Iaitu:
* Lampu berkelip-kelip (selain lampu penunjuk arah dan lampu berjaga-jaga) di depan atau di belakang kereta.
* Lampu berwarna ungu, biru atau hijau.
* Hon berirama atau hon dua nada.
* Lampu sorot di bahagian belakang.
* Cermin gelap penampalan berwarna pada cermin depan dan belakang yang kadar ketelusan cahayanya tidak menepati kelulusan JPJ. Bagaimanapun, penggunaan cermin gelap atau penampalan bahan berwarna di bahagian atas cermin depan sebanyak 20% daripada keseluruhan lebarnya dan pada cermin tingkap sukuan dibenarkan.

Jika ingin mengubah suai kenderaan, terutama kereta, pemil;ik dinasihatkan mendapatkan pandangan JPJ kerana ada ubah suai serta pemasangan alat tambahan perlu mendapat kelulusan jabatan tersebut.

Jika ubah suai dan pemasangan kelengkapan tambahan itu membawa perubahan besar kepada rupa bentuk asal, ukuran, kestabilan dan keselamatan serta ciri-ciri asal kenderaan terbabit, kebenaran BERTULIS hendaklah diperoleh terlebih dahulu daripada JPJ.

Antara Ubah suai yang perlukan kelulusan JPJ ialah:
* Ubah suai membabitkan rangka dan rangkaiannya atau rangka monocoque sebuah kenderaan.
* Pengubahan bentuk atau ciri-ciri asal kenderaan.
* Pengubahan daripada kereta salun kepada convertible.
* Pengubahan sistem bahan api.
* Pengubahan sistem brek.
* Pengubahan sistem stering.
* Pengubahanbes roda kenderaan.
* Penggunaan badan kaca gentian bagi menggantikan badan keluli.
* Penuklaran enjin.
* Pemasangan sunroof di bumbung.

Sekian, dipetik daripada HARIAN METRO 09.09.09

BAZAR RAMADHAN ALTERNATIF-SIMPANG TIGA PT SULONG

Kepada yang tidak mahu berasak-asak di Bazar Ramadhan Pt Sulong, terutama penduduk
yang tinggal di kawasan menghala ke Jalan Muar, boleh pergi ke Bazar Ramadhan Mini
di Simpang Tiga.

Kedai buah-buahan ini berhadapan Pt Gantung.
Selain menjual buah-buahan, kedai ini juga menjual air buah-buahan segar
seperti air tembikai, durian belanda, mata kucing dan air kelapa muda.
Ramai pemandu yang kepenatan merentasi Lebuhraya Utara Selatan akan singgah di sini
untuk menghilangkan dahaga.

Bazar Ramadhan Mini Simpang Tiga.


Walaupun gerai tidak banyak, tetapi cukuplah untuk menyediakan juadah berbuka puasa.
Sebagai contoh ayam golek, pelbagai jenis air, kuih-muih, nasi ambeng, laksa, rojak petis dan sebagainya.

Namun kat sini kena hati-hati, kerana ia terletak di jalan utama
iaitu jalan menuju ke Pagoh dan Kangkar Senangar.

Kepada penjenayah yang ingin membuat onar di kawasan Simpang Tiga
harus berfikir seribu kali, kerana kawasan ini dikawal oleh lelaki-lelaki perkasa setiap malam

Rabu, 9 September 2009

TIP BIJAK BERBELANJA

Jimat boleh tetapi jangan sampai anak-anak merana. Jimat bagus tetapi jangan kawan-kawan pun naik menyampah. Dalam pengalaman hidup di asrama, rumah sewa bersama teman-teman dan dalam pergaulan harian kita telah bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Antara pengalaman yang menggelikan hati ialah pada suatu hari itu, ada seorang teman serumah, ajak aku dan kawan-kawan aku makan. Dia kata nak belanja kami.

Kalian tau apa yang berlaku? Dia kata hendak buang air. Tetapi puas kami menunggu, dia tidak muncul-muncul selepas itu. Apabila kami tanya kaunter restoran tersebut, dia mengatakan kawan kami tadi sudah bayar, tetapi bayarkan untuk dia seorang sahaja. Menggelabahlah juga kami ketika itu sebab tiada seorang pun antara kami yang membawa duit. Sebab masa itu kami berjoging di tepi pantai Lido. Rumah sewa kami lebih kurang dua kilometer sahaja dari Pantai Lido itu. Kami berjanji akan membayar pada malam itu juga. Nasib baiklah tauke restoran itu baik hati dan memahami. Dia kata bayarlah apabila ada berjoging lagi ke kawasan itu. Apabila sampai rumah, kawan itu tadi buat selamba saja, memang sah jenis keturunan Hj Baghil bin Al- Kedekut.

Itulah muqadimah saya pada petang yang mulia ini iaitu bagaimana kita hendak menjimatkan duit belanja kita, apatah lagi pada hari-hari hendak menjelang hari raya pada tahun 2009 ini. Tambahan pula bonus pun yang akan diterima kali ini cukup untuk beli kuih sahaja (bersyukurlah juga ada). Buat diriku tidak kisah, kerana tahun ini aku sudah tidak ada hutang kereta, dan dengan tambahan bonus Radix dan Bio Asli dapat menampung hari bahagia itu...(macam eksen je ni?).

Di bawah ini aku hendak bincangkan tentang Tip-tip Bijak Berbelanja yang aku adaftasi daripada Majalah Mingguan Wanita. Aku sudah modified ikut bahasa mudah akulah.

1. Senaraikan semua keperluan harian, daripada keperluan penjagaan diri, barang dapur, anti nyamuk, dan lain-lain. Yang tidak penting sila gugurkan.

2. Pilih tempat untuk berbelanja. Bandingkan tempat yang paling baik tawaran harganya.

3. Jangan bawa wang yang berlebihan, daripada jumlah yang akan kita belanjakan. Katakan kita nak beli dalam RM 300.00, Bawalah RM 350.00 saja usahlah bawa sampai RM 600. Nanti kita terbeli benda-benda yang tidak ada di dalam senarai. Ini belanja normal untuk kakitangan kerajaan biasa seperti aku lah. Agak-agak penuh satu troli.

4. Beli barang secara sekali gus, jangan hari ni beli bawang bilis. Malam ni beli kicap eh? esok pula beli ubat nyamuk. Lusa beli syampu rambut. Beli minyak makan yang paling besar. Beli susu anak yang paling besar. Beli beras dua kampit terus. Jadi taklah baru nak susun bantal, alamak ubat nyamuk dah habis pulak dah...! Keluar lagi...minyak kereta lagi.

5. Jangan terpengaruh dengan orang di sekeliling anda semasa berbelanja.

6. Jangan terlalu lama di satu-satu bahagian. Mula-muila nak beli gula pasir, akhirnya terbeli gula batu, gula merah, gula melaka, ibu gula, bapak gula, gula-gula...! Kan itu membeli barang-barang yang tidak dirancang?

7. Pastikan senarai barangan yang hendak dibeli terus berada di tangan anda.

8. Pastikan harga barangan yang anda beli lebih rendah daripada yang anda jangkakan. Jangan beli barangan yang lebih tinggi daripada yang dirancang.

9. Belilah barangan semasa perut kenyang. Jika anda beli semasa keadaan lapar, tu yang nampak biskut , coklat, roti semua hendak dibeli. Berapa banyak roti dan biskut yang akhirnya berkulat dan dibuang ke dalam tong sampah?

10. Jangan bawa ramai ahli keluarga bersama semasa membeli barangan keperluan rumah. Nanti anak-anak nak menambah koleksi kereta mainan. Yang perempuan nak menambah anak patungnya. Berapa banyak dah benda-benda itu sudah ada di rumah kita? Dah berguni-guni, boleh dijual lagi! Kalau nak ikut juga, kena disiplinkan dari kecil lagi.

11. Gunakan wang tunai. Elakkan penggunaan kad kredit. Berapa ramai orang kita muflis disebabkan kad kredit?

Banyak lagi tip untuk bijak berbelanja, ikut kesesuaian sesebuah keluarga dan individu itu sendiri. Tetapi jangan lupa, duit raya untuk ibu bapa kalian jangan sampai tidak diberi. Lainlah kalau anda anak hartawan terbilang. Sekian, selamat berpuasa.

Sabtu, 5 September 2009

PENGGUNA ISLAM DIPERMAINKAN (2)

Sila Print dan edarkan
Periksalah makanan hasil industri yang anda beli terutama makanan anak-anak anda,
adakah mengandungi kod-kod industri tersebut di atas?


Pada bulan yang mulia ini, marilah kita mengelakkan diri, kita dan keluarga kita supaya tidak memakan makanan yang penuh subhat dan meragukan. Kebanyakan jajan dan gula-gula yang terdapat dipasaran mengandungi lemak babi, jika mengikut kod-kod yang terdapat dalam pembungkus yang ada.


Jadi untuk mengelakkan anak-anak kita terus menjadi mangsa, kita sebagai ibu bapa hendaklah menerangkan bahawa makanan ringan dan gula-gula yang terdapat di kedai-kedai itu akan menyebabkan anak-anak kita hilang kepintarannya, akan menjejaskan kesihatan. Gula-gula akan menyebabkan gigi mereka cepat rosak. Namun disebalik itu sebenarnya kita sangat bimbang, lemak babi yang terdapat di dalam produk-produk itu akan menyebabkan kita akan melahirkan satu generasi yang pincang seperti yang kita lihat hari ini.


Anak-anak sudah ada yang membunuh ibu dan bapa mereka. Ia jarang-jarang berlaku pada masa lalu. Apatah lagi anak-anak kurang ajar. Anak-anak laksana sitanggang telah berluasa. Saban hari kita melihatnya dalam paparan media. Bahkan bukan anak-anak sahaja yang rosak akhlaknya. Terdapat ibu bapa yang runtuh akhlaknya, antara faktornya ialah kita banyak makan makanan yang dicampuri unsur-unsur haram dan terlarang ini. Kadang-kadang kita merasa hairan bagaimana seorang bapa sanggup memperkosa empat anak kandungnya sendiri? Adakah mereka sudah tidak boleh membezakan antara yang halal dengan yang haram? Manusia membunuh sesama manusia dengan sebab yang terlalu mudah, hanya kerana tersilap kata, akhirnya ke kubur padahnya.


Mari kita kaji perkara-perkara di bawah: Ia telah saya simpan di dalam fail saya, maka pada hari ini saya ingin kongsikan kepada anda semua untuk sama-sama direnungkan.



Betapa anak-anak kita suka membeli gula-gula getah ini. Rupa-rupanya ia mengandungi lemak babi


Satu pusat penyembelihan di Batu Pahat yang diserbu telah mengejutkan
masyarakat sekeliling. Jangan beli ayam yang telah siap disembelih. Belilah di kedai-kedai
yang kita boleh melihat ayam itu disembelih oleh orang Islam yang baik ibadahnya. Bukan orang Islam
yang tidak pernah sembahyang dan bergelumang maksiat.


Tengoklah apa yang berlaku? Sampai bila kita hendak menjadi mangsa?

Dan................




Dan lebih parah lagi!
Saudara kita ni dah kenyang
makan babi bertanda Halal Jakim!

Kesimpulannya: Kita mesti sentiasa pastikan daripada mana sumber makanan kita!

Rabu, 2 September 2009

BONUS KAKITANGAN KERAJAAN 2009


Bonus untuk kakitangan kerajaan 2009? Soalan ini menjadi bahan perbualan semua kakitangan kerajaan menjelang hari Raya pada tahun ini. Bonus ini mula diperkenalkan dalam zaman keagungan Mahathir dan Anwar. Rasanya baru sekali kakitangan tidak mendapat bonus iaitu pada zaman PM Abddullah, itu pun dengan alasan kukuh kerana kakitangan kerajaan baru menikmati kenaikkan gaji 25%.

Maka dalam akhbar-akhbar dalam ruangan SMS pembaca aku ada terbaca antaranya "Bonus kakitangan kerajaan lebih elok diagihkan kepada fakir miskin". Amboi-amboi sedapnya mulut awak...!

Maka bagi aku sebagai kakitangan kerajaan merasa bahawa SMS seperti itu adalah SMS nakal. Majikan kami ialah kerajaan, kepada siapa pula kami hendak mengadu kalau tidak kepada kerajaan?

Syarikat besar-besar seperti TM dan TN memberi bonus berganda-ganda, tetapi akhbar tidak menyiarkannya pula. Pada hal bil-bil yang meningkat turut membebankan rakyat biasa? Tetapi apabila kakitangan kerajaan ingin mendapat bonus ramai yang cemburu buta.

Untuk golongan yang tidak berpuashati itu, dengar cerita aku. Aku mula menjadi guru pada tahun 1988 dengan gaji permulaan RM 405.00. Selama tiga tahun aku tidak mampu memiliki kenderaan. Naik bas. Orang kampung panggil aku "Cikgu...cikgu...gaji besar ni!" Aku tersenyum kelat sahaja.

Setelah mengikat perut bertahun-tahun barulah aku dapat membeli kereta second hand. Setelah tujuh tahun bekerja, barulah aku berani berumahtangga. Isteriku sangat tahu bagaimana ekonomi aku dan dia pun tidak pernah meminta apa-apa yang diluar kemampuan aku. Di sekolah terkenal di bandar Batu Pahat itu, aku memandu kereta itu. Murid-murid tingkatan lima itu memandang sinis kepadaku, kerana kereta mereka lebih mewah daripada guru mereka. Tahun 1995 ITU BUKAN KERETA AKU SAJA YANG BURUK MACAM ITU tetapi banyak kereta cikgu-cikgu lain pada masa itu terdiri daripada kereta buruk seperti Toyota GL, Toyota KE 20, Galant Sigma dan lain-lain. Semuanya uzur dan berkarat. Apabila pintu ditutup, bergegar. Sampai aku nak beritau kalian, kami tunggu orang tidak ada baru start kereta. Kerana kadang-kadang kereta itu tidak hidup. Malu kepada pelajar-pelajar kami yang membawa kereta yang lebih canggih pada masa itu. Sampai satu tahap, kami mengajukan kepada pengetua, supaya pelajar-pelajar dilarang parking kereta di kawasan sekolah.

Aku ceritakan hal di atas tadi bukan apa tetapi layakkah kami memandu kereta-kereta buruk itu? Bagaimana maruah kami? Ketika itu ramai kakitangan kerajaan tergolong dalam kalangan rakyat termiskin. Terdapat Ibu bapa yang datang menjemput anak mereka yang memandang kami seperti paria. Aku dapat ceritakan situasi tersebut kerana aku pernah mengajar di kawasan bandar. Kalau ibu bapa di kampung, lainlah cerita. Itu belum lagi guru-guru yang mengajar di kawasan elit seperti di Kuala Lumpur? Bagaimana perasaan mereka?

Alhamdulillah apabila Abdullah menjadi PM, beliau menghadiahi kami gaji yang lebih selesa. Dan itulah yang sepatutnya. Terima kasih jua kepada CEUPAC dan KPPK yang berjuang bermati-matian.

Meskipun kerajaan telah menaikkan gaji mereka, namun masih terdapat 100,00 kakitangan yang terjebak dengan hutang along. Entah benar atau tidak kenyataan akhbar itu?

Satu lagi yang aku ingin tujukan kepada golongan yang cemburu dengan kakitangan kerajaan itu ialah:

1. Bukankah ramai saudara mara kamu yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan? Kalau senang pun mereka, bukankah itu saudara kamu, bangsa kamu? Kurang-kurang mereka ada juga menghulur kepada anak-anak kamu?

2. Kakitangan kerajaan inilah juga yang banyak membeli rumah-rumah kediaman di taman perumahan. Sebagai contoh di Taman Sri Sulong yang berhampiran dengan tempat tinggal aku ni, hampir separuh yang membeli rumah berbandung dan banglo di taman tersebut merupakan guru. Sehingga ada orang menggelarnya Taman Guru. Jika gaji mereka kecil, bukankah rumah-rumah itu tidak mampu dibeli oleh orang-orang kita? Akhirnya orang-orang Melayu hanya menjadi penyewa selama-lamanya.

Cukuplah dua hujah itu. Oleh itu, jika raya ini kakitangan kerajaan mendapat bonus usahlah marah. Kamu semua tidak akan hilang apa-apa. Jika raya ni tak ada bonus pula, kakitangan kerajaan eloklah bisnes sikit-sikit, juallah apa-apa yang boleh menambah pendapatan. Sekarang ramai orang mempunyai dua pekerjaan. Aku juga begitu. Aku kini Stokis Bio Asli Batu Pahat. Jika kita dapat wang tambahan melalui usaha sendiri, tiada orang nak jealous. Itupun ada yang ada "Gaji awak tak cukup ke?"

Maka aku pun berpegang dengan kata-kata bekas PM Pakistan yang Syahid dibunuh Amerika Zia Ul-Haq "Jangan peduli apa orang lain kata, yang penting Allah tahu kita tidak bersalah".

Soalnya bonus tahun ini dapat tak? Aku tidak dapat menjawabnya. Tanyalah PM Datok Seri Najib.