Sabtu, 6 Ogos 2011

BLOG ANDA JENIS YANG MANA?

KENANGAN MENGHADAPI PELANGGAN

Seri Medan Kampungku


Entri hari ini semuanya berkisar tentang kenangan berniaga di pasar. Benda yang pernah dijual ialah ubat, kuih raya, beg tangan dan songkok.


Kenangan menjual songkok ini ada beberapa insiden yang melucukan dan mengharukan.


Songkok budak yang aku jual ni, modalnya RM 5.00 satu ketika itu. Aku jual RM 10.00 bersama hiasan lilitan yang berwarna-warni. Songkok dewasa pula  dijual dengan harga RM 22.00. Pembekalnya kawan aku Masrom dari Kota Tinggi. 


Satu hari di Pasar Parit Yaani, datang sepasang suami isteri. Suami itu kelihatan lembut macam Jaafar On. 


"Abang minatlah dengan songkok ni yang" Dia ingin bertanya isterinya yang nampak macam quenn control.


"Abang tak hensemlah pakai songkok ni, Mah tak minatlah"
"Tapi, saya nak juga songkok ni"
"Tak boleh, Mah kata tak hensem, tak hensemlah"
"Ala.....habis songkok macamana abang nak pakai"


Akhirnya, mereka meninggalkan aku tanpa membeli. Tak apa, bukan rezeki aku.


Tak lama kemudian datang pulak seorang bapa dengan tiga orang anaknya.
Lelaki itu sendiri yang pilih. Ketiga-tiga anaknya diam, tak macam anak-anak aku yang tergedik sana, tergedik sini. 


Seorang anaknya macam nak buka mulut.


"Songkok ni......"
"Jangan cakap apa-apa, pakai je, muat ke tak muat, kau diam"
"Berapa?"
"Abang beli 3, saya bagi diskaun RM 27 termasuk lilitan itu" 


Aku tak boleh buat apa. Sebenarnya nak cari yang betul-betul muat kadang-kadang susah. Biasanya sekitar saiz 19-21 kalau budak-budak ni. Kalau keturunan kepala besar, kena beli songkok orang dewasa 22-23.


Ada juga anak masih merangkak, dibelikan songkok, alahai. Tu saiz 17 -18 biasanya.


Keuntungan? Satu songkok boleh untung RM 4.00, jadi kalau dalam sehari laku 100 dapatlah RM 400. Lumayankan?



CABARAN BERNIAGA DI PASAR

Pasar Parit Yaani-Ihsan Gambar Google

Jika entri sebelum ini aku cerita tentang kenangan berniaga di Pasar Chaah, ni aku nak cerita kenangan pahit berniaga di Pasar Selasa Parit Yaani.

1999.Seminggu lagi nak raya. Aku sudah memenuhkan kereta dengan bungkusan kuih raya. Biasalah sebagai peniaga bermusim, dengan cara berhemah aku tanya satu brother tu.

"Assalamualaikum, nak tanyalah....sebelah abang ni kosong tak bang?" Itulah pertanyaan pertama aku.

"Dia tak memandang aku. Tiba-tiba sahaja mengeluarkan kata-kata.......

"Ni saya nak cakap dengan awak....tu...tengah jalan tu kosong!!!"
Tengah jalan tu maksudnya, tempat lalu-lalangnya kenderaan. Nak mati ker?

Tengoklah gambar tu, Pasar Parit Yaani dibuat di tepi jalan besar, tak ada tempat khas macam Parit Sulong, Seri Medan atau Chaah. Kalau lori besar lalu, seringkali melanggar gerai-gerai tersebut.

Masalahnya, lelaki itu telah bersikap biadab dengan aku. Aku ni memang keras kepala. Disebabkan kata-kata dia tadi, maka aku buka gerai betul-betul bersebelahan tapak gerainya. Padan muka engkau. Kebetulan masa tu kuih-muih aku habis dijual. Bengang betul dia tengok aku. Sampai anak saudara aku AMSUDA yang ketika itu masih darjah empat, jadi pembantu aku, hampir pengsan melayan pelanggan. Melihat dia dah pucat, aku cepat-cepat balik.

Jumaat, 5 Ogos 2011

INI KUIH APA?

Google Punya Gambar 

Apabila tibanya bulan puasa, pasti aku ingat memori aku berniaga di pasar lambak. Seminggu hampir raya, bagi aku adalah waktu keemasan untuk menambah duit dengan menjual kuih raya. Ketika itu gaji aku baru RM 1200. Dengan anak dua orang, dan menanggung hutang kereta dan rumah, berapalah yang tinggal?

Maka pasar yang telah menyaksikan kelibat aku ialah Pasar Minggu di Chaah, Pasar Selasa di Pt Yaani, dan Pasar Parit Sulong. Kalau tak ada pasar biasanya aku berniaga di tepi jalan di Pekan Sri Medan atau Pekan Parit Yaani, kerana ketika itu tiada persaingan langsung. Aku juga pernah menjaja kuih raya sampai hujung Kampung Sejagong. Buka je booth kereta, makcik-makcik, kakak-kakak akan datang beramai-ramai. Biasanya habis licin. Mereka memang suka aku datang, sebab kampung mereka sangat jauh dari pekan, lagi pun harga yang aku jual lebih murah daripada yang ada di pekan itu sendiri.

Bekalan aku beli dari kilang kuih Saleh Urip, taukey Salleh Food yang kini mengiklankan produknya dalam radio dah. Ia terletak di Parit Kemang. Lepas Subuh aku akan menuju ke Senggarang. Ketika itu puasa dan raya masih dalam cuti hujung tahun.

Kenangan paling aku ingat ialah:

Sewaktu baru memulakan bisnes di Pasar Chaah, aku didatangi seorang penguatkuasa. Ada lima orang. Ramai-ramai itu, ada seorang yang sangat cerewet. Aku betul-betul ingat muka dia sampai sekarang.

" Sdra, ini kuih apa?" Soalan pertama, dia tanya aku. Dia memegang satu bungkus krepek pisang yang aku jual.

"Itu krepek pisang" Geramnya aku, takkan krepek pisang pun tak tau. Bangang betul. Dalam hati aku menyumpah.

"Kalau ini krepek pisang, tampallah LABEL. Krepek pisang ni dibuat daripada apa?" Aduhhh, betul-betul mencabar kesabaran aku.

"Krepek pisang tu dibuat daripada pisanglah"
"Yalah lekatlah label, Krepek pisang diperbuat daripada pisang tanduk ke, pisang awak ke, pisang keling ke, garam, gula, apa-apa, beratnya berapa, nama syarikat, tarikh luputnya"

"Saya dah jual tiga tahun, tak pernah orang tanya. Kat Parit Raja tu orang jual krepek berguni-guni tak ada label pun"

"Ini peraturan, awak kena ikut!"

"Dengan orang Melayu memang awak berkira, tu kilang-kilang haram awak tak kacau?"

Dengan muka merah, dia meninggalkan aku. Sambil berkata...

"Minggu depan, saya nak awak lekatkan label"

"Minggu depan dah raya, saya tak jual lagi"

Aku taulah, tu undang-undang. Takkanlah aku yang berniaga sekali-sekala ni nak modal tu semua?

Akibat daripada itu, pada tahun hadapannya aku menjual songkok raya pula di tempat yang sama. Penguatkuasa yang sama lalu di tempat aku. Dia tersenyum-senyum kelat melihat aku. Jalan terus tanpa berminat nak berbual.

Aku pun pelik, tiada penguatkuasa yang begitu cerewet melainkan di Pasar Lambak Pekan Chaah itu. Agaknya sampai sekarang. Aku pun dah 12 tahun pencen berniaga di pasar lambak. 

Rabu, 3 Ogos 2011

RAMADHAN OH RAMADHAN

Suatu pagi yang damai di Seri Medan
(Lokasi bersebelahan Dewan Seri Medan)

Puasa tahun ni, aku dah malas nak meronda bazar Ramadhan. Maka tak adalah gambar yang dapat aku siarkan setakat ni. Tak taulah esok lusa. Sebabnya, cuaca panas kali ni, menyebabkan aku banyak berkurung di rumah. Lagipun di depan rumahku macam-macam ada, walau tak sehebat yang ada di pekan.