Selasa, 14 Januari 2014

LAGU TENTANG KANGKUNG 2014


Pengakap semua...............ini saya baru cipta satu lagu baru, mari nyanyi bersama-sama saya......tepuk tangan sama-sama......okey........

Lenggang-lenggang kangkung, kangkung di tepi paya
Siapa yang tak mahu untung, mari jual di alam maya.....
Lenggang-lenggang kangkung, kangkung di tepi bukit
Siapa yang tak mahu kangkung, jadi ubat sakit sembelit


Lenggang-lenggang kangkung, kangkung dibuat jenaka

Siapa yang tak balik kampung, nanti akhirnya menyesal juga
Lenggang-lenggang kangkung, PM kita buat seloka 
Siapalah yang tak ketawa, agaknya tersasul dalam bicara?

Ahad, 12 Januari 2014

HAK-HAK SEORANG JIRAN

Hak-hak jiran yang harus kita ketahui:(disesuaikan drp Kitab ihya' Ulumuddin oleh
Imam Alghazali) utk diriku dan untuk sahabatku: 

1. Dahulukanlah salam setiap kali bertemu dengannya
2. Usah terlalu banyak menanyakan hal ehwal kehidupannya sehari-hari.
3. Tengoklah jika dia atau ahli keluarga itu ada yang sakit.
4. Ikutlah berdukacita, jika dia ditimpa musibah, dan berilah pertolongan, sekalipun 
tanpa dimintanya.
5. Ucapkanlah tahniah dan ikut bergembira jika dia dilimpahi kurnia oleh Allah SWT.
6. Maafkanlah segala kesalahannya, apa lagi yang tidak disengajakannya.
7. Jangan meneliti cela dan keburukannya, baik dgn apa jalan sekalipun.
8. Jangan membuat sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya.
9, Usahlah mempersempit jalan ke rumahnya.
10.Jangan memerhati apa sahaja yang dibawa ke rumahnya.
11.Tutupilah segala rahsianya, agar tidak diberitahu kepada sesiapa pun.
12.Berilah semangat ketika dia dilanda kegagalan.
13.Lihat dan periksalah rumahnya, semasa dia pergi jauh agar tidak dicerobohi orang.
14.Jangan mendengar ucapan orang lain tentang dirinya, yang berupa umpatan dan
berita-berita yang tidak menyenangkan.
15.Tunduklah kamu ketika melihat isterinya.
16.Jangan selalu memandang pembantu rumahnya, dan anak perempuannya.
17.Bersikap lemah lembut kepada anak-anaknya, baik dgn percakapan dan kelakuan.
18.Tunjukkanlah sesuatu yang tidak diketahui oleh jirannya itu dalam dalam urusan
dunia mahupun akhirat.
Sekian.

Sabtu, 11 Januari 2014

RAYUAN KE KOLEJ VOKASIONAL



Pihak kolej vokasional di Johor Bahru semasa dihubungi memberitahu, hanya mengambil sedikit pelajar lelaki yang terdekat di Johor Bahru untuk kursus Kulinari tu, kerana tiada asrama disediakan untuk pelajar lelaki. Justeru secara mutlak, Irfan gagal ke Kolej Vokasional tersebut. 

Justeru, pagi tadi kami berusaha mengubati kekecewaannya dengan menghantarnya ke ujian IQ dan temu duga di Kolej Vokasional Muar, Jln Sg Abong. Dah cakap, kena pakai kemas-kemas, dia kata skema. Kan sampai sana dah bengang....huhuhu....nasiblah. Kalau dapat memang le syukur sangat. Adalah 7,8 orang berpakaian kasual. Berpuluh-puluh pelajar, ada yang datang dari Wilayah Persekutuan, semua datang bertali leher, kasut sekolah....

Selepas habis temu duga dan ujian IQ tu, aku bawa mereka ke Taman Botanical Air Keroh, naik buggy dan selepas tu berbasikal. Kemudian ronda-ronda Mydin, dan sampai rumah dah jam 6.00 petang.

Plan Bnya ialah menyambung pelajaran di sekolah lamanya. Jika minat bidang chef, nampaknya aku kena hantar selepas SPM di Kolej Swasta. Nak suruh dia menghafal buku pun macam berat aje. Keputusan temu duga ini ialah 13 Januari.

Kakaknya Ili terpaksa mengorbankan temu duga biasiswa untuk pelajar lepasan SPM nanti di Yayasan Saat Air Keroh pada jam 8.00 pagi tadi, waktu yang sama Irfan ditemu duga. Kepala aku pening, bagaimana boleh masa dan hari yang sama? Nak minta tolong orang lain, semua sibuk. In Sha Allah, Ili ada tawaran lain nanti. Sabar ok.

Maklumat penting: Ujian dan temu duga ini terbuka untuk lepasan PMR, yang penting bawa kad pengenalan, dan salinan, serta slip keputusan PMR dan salinan. Bawalah alat tulis dan berpakaian kemas.

UPDATE 15 Jan 2014: Anak kami gagal dalam ujian IQ dan Temu duga hari tersebut. Selepas 13 Jan 2014, dah boleh buat rayuan terakhir. Kami ke kolej Vokasional Muar tadi 15 Januari jam 3.00 petang. Isi borang dan berbincang-bincang dengan guru bahagian berkenaan. Beliau menjelaskan tahun  ini permohonan begitu dahsyat. Dan apabila melihat keputusan PMR anak kami, dia menyatakan, amatlah sukar untuk masuk ke sini. Kalau boleh janganlah ada yang dapat gred D dalam PMR. Sebenarnya ini semua rezeki, ada kawannya ada D juga, tetapi dapat masuk kerana dalam permohonan awal dia minta kursus yang tiada sangat persaingan seperti bahagian elektrik. Untuk KULINARI memang banyak sangat daripada 1500 orang yang memohon ke Kolej Vokasional Muar ini, kolej hanya mengambil 30 orang sahaja pelajar. Itu pun cuma 5 orang dari Johor, selebihnya dari negeri-negeri lain. Nampaknya aku kena kumpulkan duit untuk Irfan, dan sasaran kami selepas SPM, sama ada di kolej Komuniti atau SWASTA. Nak buat macamana, persaingan sekarang begitu sengit.   

UPDATE: 23 Jan Khamis. Kolej Vokasional B.Pahat call suruh datang interview ke Kolej Vokasional tersebut di Jln Kluang. Aku terpaksa bergegas pulang dari mengajar, dan mengambil Irfan di sekolahnya dan mengambil fail-fail sijil di rumah. Empat hari lepas, aku dan isteri memang ada mengisi borang rayuan ke situ. Sebabnya Kolej Vokasional Muar macam tak nak terima Irfan.


Jam 1.00 tengah hari Irfan menghadap penemuduga. Ketika itulah aku dapat panggilan telefon daripada Kolej Vokasional Muar, rayuan Irfan ke Kolej Muar telah diterima. Aku ditanya sama ada nak menerima atau menolak tawaran itu. Tanpa banyak soal, aku kata SAYA TERIMA. IRFAN dikehendaki melaporkan diri pada Isnin minggu depan ni, 27 Jan. Alhamdulillah!


Irfan keluar dari bilik temuduga. Aku beritahu berita itu. Oleh sebab kami suka sangat kami pun balik. Dalam perjalanan pulang, Kolej Vokasional Batu Pahat pula buat panggilan, rayuan Irfan ke Kolej Vokasional Batu Pahat diterima....Alamak....Pelik sekali dapat dua-dua pulak. Pihak Batu Pahat bertanya aku kenapa mohon sampai dua kolej? Aku jawab, Kolej Vokasional Muar sebelum ini tidak memberi apa-apa harapan kepada anak saya. Dan saya terpaksa tolak tawaran ke Kolej Vokasional Batu Pahat. Mana mungkin Irfan terima dua-dua?


KESIMPULANNYA  nasihat saya JANGAN JEMU DAN BOSAN MERAYU di sekolah berkenaan. Telefon dan isi borang. Masih ada harapan. Cuma kalau baru nak membuat permohonan, rasanya dah tak boleh. Peluang merayu adalah kepada yang telah memohon tetapi tak dapat masuk ke kolej. Dan mintalah dua tiga kolej. Walaupun pada mulanya anak aku macam tak ada harapan langsung, akhirnya rayuan kami diterima. Mungkin pihak guru di kolej tu dah kesian kat kami kut yang datang dua tiga kali.... Ingat ya jangan jemu ...kunjungi semua kolej, bersemuka adalah lebih baik daripada buat rayuan secara online. Sekian pengalaman saya dalam menguruskan permohonan anak ke Kolej Vokasional. Muka kami terutama isteri saya cukup tebal dalam proses membuat rayuan ini. Semuanya demi anak-anak kan. 

Jumaat, 3 Januari 2014

ELAKKAN DARIPADA MENJADI JIRAN YANG BURUK

Sebagai jiran yang baik hati, elakkan perkara-perkara berikut:
(Adapun peringatan ini untuk yang tinggal di taman perumahan. Kalau tinggal kat kampung ada sedikit beza peraturannya)





1. Memulas minyak motosikal atau menekan minyak kereta, keterlaluan, setiap hari.
2. Membiarkan sampah berselerak di tong sampah, kerana ia menyakitkan mata, dan apabila terburai akan berterbangan lari ke rumah jiran.
3. Membela kucing, tetapi tak terurus lalu kucing tu buang air besar merata-rata termasuk di depan rumah jiran.
4. Membiarkan anak-anak bermain di rumah jiran pagi hingga petang, siang dan malam, sampai tak tau nak buat apa. Pantang buka pintu, terus zupppp….
5. Cuba mencuri password internet rumah jiran, atau meminta berkali password rumah jiran walaupun jiran tu Nampak seperti serba salah.
6. Bertandang ke rumah jiran terlalu kerap, sehingga jiran tak dapat buat kerja.

7. Berkaroke terlalu kuat, walaupun suara mengalahkan katak sakit tekak.
8. Membuang kahak dan hingus terlalu kuat, sedangkan jiran sedang bersarapan dan sebagainya.

9. Memaku dinding pada waktu malam terutama jam 10.00 malam ke atas, macamlah tak ada langsung waktu siang.
10. Membela ayam itik di taman perumahan. Kerana tak dapat duduk kampung, dia bela juga walaupun dibantah oleh jiran-jiran. Kalau hujan, baunya masya Allah…

11. Mengumpulkan barang-barang kitar semula di rumah, dan segala benda di kumpul, nak kata untuk dijual, tak dijual juga. Akhirnya tikus beranak-pinak, ular tedung membiak dan mengejutkan.
12. Parking kereta di depan rumah jiran sesuka hati.
13. Membawa kawan berlonggok-longgok di depan rumah setiap hari, sambil main gitar dan merokok.
14. Terlalu menyibuk tanya hal-hal peribadi jiran. Itu privasi mereka, janganle kacau…..

UPDATE NO 15. Jiran yang suka membakar tayar dan plastik seperti baldi buruk, bekas kuih, plastik belanja dan sebagainya yang menyebabkan asap hitam terbias dan akibatnya jiran kena semput tahap 4 (aduan kawan FB aku ni ).
UPDATE NO 16. Jiran bagi kuih atau lauk bersama pinggan atau mangkuk. Tapi pinggan dan mangkuk terus jadi hakmilik. Mangkuk hayun betul. Ni cadangan Puan S dari Cheras.
Lain kali kalau nak kasi jiran macam ni bagilah dia dengan plastik je Puan S...

Sekian, terima kasih.

Khamis, 2 Januari 2014

DUA TAHUN LAGI, AKU DINOBATKAN SEBAGAI WARGA EMAS

 2 Januari hari ni genaplah umurku 48 tahun
Dua tahun lagi aku dinobatkan sebagai warga emas! Serem dan tua bangka
UCAPAN Housemate aku MASA kat Paloh ni antara yang terpilih aku masukkan di sini. Eh, dia panggil aku Ustaz? 


 Aku MENERIMA HADIAH daripada wakil ibu dan kroni-kroninya
Tak sangka sibuk-sibuk bersekolah ni aku dapat hadiah. hehehe!
Syukur kepada Allah kerana masih memberiku kehidupan