Jumaat, 6 November 2015

SITUA YANG BERTUAH


Petang itu kulihat orang tua itu duduk sorang-sorang di bus stop. Wajahnya tidak menunjukkan boleh aku menyapanya. Dia bukan menunggu teksi atau bas. Cuma saja-saja duduk di situ. Mungkin dia ingin mencari udara pekan. Setelah setengah jam di situ, aku lihat dia mula bangun dan menyeberang jalan.....

Pertama yang aku fikir, apabila terlihat lelaki tua seperti itu, automatik aku teringat arwah ayahku. Dulu ayahku pun begitu juga, petang-petang akan minum-minum di kedai mamak bersama kawan-kawannya. Aku yang waktu itu masih bersekolah menengah tidak mahu kacau daun kalau ternampak motosikal arwah ada di pekan.

Kedua, mungkin anak-anaknya sudah tidak bersama lagi di rumah. Sebenarnya orang-orang tua ini elok bersama-sama anak-anak, kerana keadaan jalan raya kita bukan macam sepuluh tahun lepas. Sibuk 24 jam. Ngeri melihat orang-orang tua bermotosikal dan menyeberang jalan yang sentiasa sibuk itu.

Tapi, abang ipar aku sorang tu, bukan saja jalan pekan ini hari-hari diredahnya,malah beberapa kali dah berkereta tanpa GPS atau Vaze,pusing-pusing KL. Umur dah dekat 70, tapi berjiwa kental. Dia kata pernah malam-malam, hujan lebat pulak tu, turun kereta,  cari nama jalan untuk ke rumah anaknya....Aku sendiri kalau ke KL tanpa GPS alamatlah sesat barat jadinya.

Satu hari yang lain aku terserempak dengan seorang rakan guru, dah 15 tahun bersara. Setelah berbual-bual, aku rasa dia dah agak nyanyuk. Dia kata sekarang kalau ke mana-mana, dia dah tak bawak kereta, jirannya yang baik hati tolong dia ke bank, pejabat pos dan ngeteh-ngeteh.

Akhir kata, kita juga akan tua, bagaimanalah keadaan kita nanti? Semoga Allah memelihara kita semua.    
 

Khamis, 5 November 2015

KAU SAYANGKAN PEMIMPIN ATAU NEGARA?





Hari ini kita melihat orang sayang akan pemimpin itu, walaupun terang-terang kebejatan telah dilakukannya. Kebobrokan yang bagaimana lagi yang perlu kita terima baru kita hendak sedar bahawa kita sekarang ini sedang dipimpin oleh satu sosok tubuh yang menjerumuskan kita semua ke jurang kehancuran?

Adakah kita semua ini sedang menuju kehinaan? Sehingga tidak nampak lagi mana yang benar dan mana yang batil? Terlalunya banyak kita memakan riba dan makanan subhat sehingga hati kita jadi gelap berkarat, sehingga pencuri dianggap negarawan yang disanjung?

Peliknya ada yang membela bermati-matian. Besar sangatkah gaji kamu sehingga kesusahan orang ramai kamu remehkan. Kalau sebulan kau boleh simpan separuh daripada gaji kamu bolehlah kau anggap ekonomi kita sekarang ni bagus.

Aku doakan pemimpin yang zalim ini diganti dengan pemimpin yang lebih berintegriti. Tunggu!

Syukur Alhamdulillah dan Tahniah Diucapkan kepada Puan Nureen & Suami, semoga kehadiran baby akan menyerikan lagi kehidupan Cikgu Nureen sekeluarga. Semoga menjadi anak yang menyejukkan hati ibu dan bapanya.
~Msom Sadono~

Sabtu, 17 Oktober 2015

GADIS INI HILANG TAK DAPAT DIKESAN



FATIN AUNI FARZAH BT AZMI hilang tak dapat dikesan keluarganya. Semoga Allah melindungi kelamatannya. Harap sama-sama sebarkan.

Rabu, 14 Oktober 2015

SATU CARA MENGESAN MADU ASLI YANG MENAKJUBKAN

Hari itu saya membeli madu (ada orang alergik sungguh dengan perkataan MADU ni)....lalu saya merasa sangsi dengan ketulenannya, almaklumlah madu yang saya beli tu murah dalam RM12.00 SEBOTOL.

Lalu saya teringat lima belas tahun dulu ada sahabat buat demo di depan saya ketika.....dan saya pun ingin mencubalah 

Jom kita sediakan:

1. Madu
2. Pinggan
3. Air 

Pertama sekali saya tuang madu ke dalam pinggan....   

Seterusnya tuang air sekira-kira menutup madu yang ada....

Dan kita goyang-goyang ikut arah jam atau lawan jam...dan Saksikan apa jadi pada corak yang terhasil!

Jalinan corak sarang lebah. Subhanallah.....Cubalah sendiri...terbukti madu murah yang saya beli adalah madu asli....

Rabu, 7 Oktober 2015

PERSETAN DENGAN JEREBU YANG MELEMAHKAN

Bekalan produk yang dipasarkan memerlukan tambahan stok, disebabkan suplier berdekatan tidak menyediakan stok yang mencukupi. Justeru seawal jam 6.00 pagi aku terpaksa bertolak ke utara Melaka. Persetan dengan suasana jerebu yang melemahkan seluruh semangatku. Walaupun badan kurang sihat, pedal minyak kereta yang kupijak membawa aku ke destinasi seawal jam 8.00 pagi, setelah meredah hujan di sana-sini selama dua jam lamanya. Dan Alhamdulillah suplier juga membuka kedainya seawal itu,berbanding kedai lain yang bermula pukul 10.00 pagi.

Lalu aku terfikir, tanpa semangat mungkin aku tidak melakukan semua ini. Lebih baik aku menyambung tidur dengan cuti yang diberi secara tiba-tiba oleh kementerian pelajaran ini. Namun setelah mengenangkan wajah-wajah isteri dan lima orang anakku, kekuatan itu datang. Bahawa aku mesti terus menambah pendapatan.

Aku juga teringat wajah anak-anak sahabat-sahabat yang menjadi dealer produk yang kujual ini. Sahabat-sahabatku itu jua ingin membantu suami, membantu isteri mereka mencari pendapatan sambilan melalui jualan barang kegunaan rumah ini. Jika aku tidak berusaha keras, bagaimana bekalan barang ini dapat kusediakan buat mereka?

Sahabat, teruskan usaha kalian. Aku akan berusaha keras dan memastikan stok sentiasa ada buat kalian menjalankan bisnes sampingan. Semoga Allah memberkati usaha kita.