Setiap malam anakku akan mengaji di rumah Ustazah Halimah yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumah aku. Daripada Nabilah berumur 5 tahun sampailah sekarang semua anakku belajar dengan ustazah Halimah. Tiba-tiba suatu malam Irfan memberitaku bahawa Ustazah yang penyabar dan dedikasi itu akan berpindah ke Taman Putera Indah di Tongkang Pechah.
Kehilangan Ustazah Halimah amat dirasai oleh penduduk di sini dan kampung berdekatan. Siapalah yang sanggup menjadi seperti ustazah? Beliau seorang guru besar sekolah agama di Pekan Pt Yusof, sampai rumah pukul 7.15 petang, dan jam 7.30 petang ramai budak-budak sudah menunggu untuk belajar mengaji. Itulah rutin harian ustazah Halimah sejak beliau tinggal di sini dari tahun 1993 lagi, tanpa jemu dan mengeluh seperti setengah orang yang lain. Dan tidakkan beliau berkecil hati, semasa beliau mengajar anak-anak orang mengaji, ibu bapa di rumah sedang asyik menonton televisyen? Kadang-kadang aku malu juga, sebab itu aku jarang menonton televisyen pada waktu-waktu begitu.
Kini aku bertekad ingin mengajar anak-anakku sendiri. Kali pertama aku mengajar mereka ada yang terkejut. Arina yang berumur empat tahun pada 7 Jun itu, menggigil ketika aku mengajarnya Iqro 2. Pada hal aku tak sedikit pun berwajah garang ketika itu. Ah.....lama-lama mereka sudah biasa dengan cara aku. Nabilah sudah khatam dua kali dengan Ustazah. Irfan pula baru sahaja khatam Quran sebelum Ustazah berpindah. Ikhwan baru sampai surah Al-Fil.
Nostalgiaku teringat kembali ke zaman silam. Aku mula-mula belajar mengaji dengan abangku Baharuddin. Aku belajar sampai Surah Ad Dhuha dengan abangku itu. Selepas beliau pergi kerja di Brunei aku kehilangan guru mengaji. Aku mula belajar dengan Pak Cik Kosno. Selepas itu belajar pula dengan Allahyarham Lek Hidayat.
Akhirnya aku masuk ke Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim. Alangkah bertuahnya bilikku berdekatan dengan Md Zin anak kepada Ustaz Hassan Ashaari (adik beradik Jalaludin Hasan dan Musa Hassan). Aku dapat belajar mengaji dengan Md Zin selama dua tahun. Wajah Md Zin
yang serius itu menyebabkan aku tidak pandai sangat bergurau dengannya. Apa yang disampaikan, aku ikuti. Kalau nak tanya-tanya lebih-lebih pun aku segan dan malu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan