Selasa, 31 Ogos 2010

KATAKAN TIDAK PADA.....

Ni kad kredit sebuah bank yang aku potong-potong pagi merdeka tadi. Ni bahagian belakang kad.Nak kena saman kalau aku tunjuk bahagian depan. Mentang-mentanglah dah nak raya. Mentang-mentanglah aku cuma dapat RM 500 raya ni. Bank ni pos laju kad ini kepada aku. Aku tak mohon pun. Lepas tu bank tu call suruh aku aktifkan segera dan boleh berbelanja berapa ribu aku suka.

Aku selama ni sentiasa katakan tidak kepada kad kredit. Kalau ada amoi kat shoping kompleks yang tahan aku dengan sehabis rayuan pun supaya ambil kad kredit, aku masih tetap mempamerkan wajah garang. Aku bukan kaki jalan jauh pusing dunia. Pusing Malaysia pun dengan rombongan budak sekolah. Bila aku nak pakai kad-kad kredit itu?

Minggu ni juga aku terima kad debit. Kad itu masih aku simpan. Tengah dok fikir, nak guna tak kad debit yang diposkan juga oleh bank yang lain pula ini.
Mesin ATM pun dah ada di mana-mana. Buat apa guna kad debit?

Kenapa tiba-tiba aku dapat kad itu serentak?

Isnin, 30 Ogos 2010

ANYNOMOUS TELAH DAPAT DIKESAN

Bendera Malaysia itu menunjukkan kedudukan Anynomus yang terus menyerang aku

Senangnya Anynomous ni, rumah dekat Pasar, Kompleks, Balai Polis, sebelah kiri ada Shell. Besar juga bandar Jitra ni. Hari ini ada tiga pengunjung dari Kedah, tetapi dua lagi sebagai silent readers sahaja, satu dari Alor Star, dan satu lagi dari  Kulim.

Kalau boleh aku nak bagi dekat lagi gambar ni biaq nampak gambaq tingkap rumah dia nooo, tetapi aku masih ada perasaan kesiannnn.....


Kalau aku ke Jitra nanti, aku nak ke rumah Anynomouslah......Hang masaklah sedap-sedap, kita boleh cerita sampai pagi fasal MLM okkkkkkk.

Walaubagaimana sekalipun dia akan menafikan sekeras-kerasnya, silalah jumpa Karpal Singh!

SAMAN SEKARANG BERJUTA-JUTA

Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) wanita di Kota Bharu menyaman Celcom Axiata  sebanyak RM20 juta kerana didakwa mendedahkan kandungan SMS dan rakaman perbualan telefon beliau dengan individu lain.


Noor Haslina Abdullah, 39, yang merupakan CEO Kolej Islam Sains dan Teknologi memfailkan saman tersebut ke atas Celcom Axiata di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kota Bharu petang semalam.


Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menuntut RM10 juta bagi pendedahan  SMS dan RM10 juta lagi bagi pendedahan perbualannya.


Jumlah tersebut merangkumi ganti rugi teladan iaitu masing-masing sebanyak RM8 juta dan ganti rugi bagi kecederaan perasaan, trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta.

Tetapi paling digeruni sekarang saman ekor, kerana membuatkan kita beraya tanpa makna.

Tulis blog pun hati-hati, jika salah langkah, kita pun boleh disaman. Kalau kena saman RM 1 juta, bagaimana kita nak bayar?

Ahad, 29 Ogos 2010

KELEBIHAN AYAM ORGANIK HPA

IHSAN GOOGLE

Umat islam di negara ini tidak lagi perlu berasa was-was apabila menjamu ayam. Tiada lagi ayam cucuk , ayam disuntik dengan vaksin babi atau ayam dicampur dengan daging babi sebelum diedarkan. Ini kerana HPA Industries Sdn Bhd (HPA) kini melangkah setapak lagi dalam usaha menyediakan produk halal dan suci kepada ummah dengan mengembangkan sayap perniagaan kepada industri penternakan ternakan ayam organik di Kok Klang, Perlis.


Lebih menarik ialah reban ternakan menggunakan teknologi moden dengan dilengkapi sistem pemakanan dan penyejukan yang terkawal secara automatik sepenuhnya. Tujuan dilaksanakan projek ini ialah untuk memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah bagi menyediakan makanan dan pasaran yang halal lagi suci untuk umat islam, terutama dengan laporan ‘tidak enak’ mengenai ayam di pasaran sekarang. Ayam organik atau dipanggil ayam sihat kerana pemakanannya datang dari sumber yang bersih seperti temukut, jagung, serbuk ikan dan sebagainya. Ia benar-benar bebas daripada sebarang makanan yang bercampur dengan bahan kimia. Ayam organik HPA turut diberi makan daun mambu yang cukup baik untuk kesihatan.


Menurut En. Abd Ghani Husein selaku Pengurus Besar R&D, ayam organik ini tidak disuntik apa-apa hormon, vaksin atau antibiotik. Kaedah suntikan itu kini menjadi amalan sebahagian besar penternak, terutama bukan islam supaya ayam mereka cepat besar.


“Makanan ayam organik ini bukannya seperti dedak yang diambil dari kilang, tetapi sumber daripada tumbuh-tumbuhan herba,”katanya. Ayam organik yang sudah terbukti memiliki protein lebih tinggi dari ayam kampung biasa. Kaedah ayam organik ini diberi makan ekstrak herba yang kaya dengan bahan antioksida dan antikanser seperti halia, kunyit , pandan dan lain-lain dan tanpa penggunaan antibiotik, tidak menggunakan hormon, beta agonist dan salbutamol”, kata Abdul Ghani ketika ditemubual. Sementara itu, Pengarah Urusan HPA mengalukan sesiapa yang mempunyai reban untuk bekerjasama menghasilkan ayam organik HPA”.


“Pasaran ayam ini cukup luas. Bekalan kita tidak cukup. Saya harap siapa yang tidak dapat jangan kecewa terus cuba”,katanya yang berhasrat menambah pengeluaran kepada 300,000 ekor ayam organik sehari.

Dipetik daripada: ARTIKEL HPA

Jumaat, 27 Ogos 2010

NASIB KERETA LEBIH 15 TAHUN

Pejabat JPJ Batu Pahat yang baru.
Lokasi selepas Kilang Sharp
sebelum Sri Gading 

Nak raya kena bayar road tax pulak.



Selepas solat Jumaat dan menghantar Iwan ke sekolah agama aku terus ke Batu Pahat. Aduh...! Jem pulak, macam KL pulak. Lampu isyarat terasa begitu lambat. Tiga kali lampu hijau baru aku dapat melepasi simpang-simpang itu.

Sampai di pejabat Takaful Malaysia (Bank Islam) aku terus mengajukan soalan kepada seorang abang yang nampak tak bermaya (macam sakit) di kaunter itu. Biasanya orang insurans ni cergas-cergas macam nak makan orang.

"Ok kereta saya ni Kancil. Umur sudah 16 tahun. Berapa insuransnya?"

" Bang, kena ambik third party"

" Ai? Tahun lepas wajib ambik firs party, alih-alih suruh tukar third party semula pulak?"

" Peluang baru dibuka" jawab abang itu seakan dengar dengan tidak.

" Bila dasar ini ditukar?"

" Awal bulan Julai, tahun lepas kereta bawah 20 tahun mesti ambik first party, sekarang diturunkan ke 15 tahun, jadi kereta macam sdra ni (15 tahun ke atas) kena ambik third partyla" 

" Berapa insurans saya?"

" Kejap, saya check"

Tik tok tik tup tik taf......

" RM 213.20"
Ah...lega aku.....!

Aku terus ke JPJ, jauh juga dari bandar ni, agak-agak 6 km.....

" Road Tax Kancil tu baru RM 20.00....Yahoooo!"

Semalam aku sms kerabatku. Sedihnya dia bukan kepalang. Raya ini sungguh tidak bermakna. Bila nak membaharui road tax, didapati ada lima saman ekor. RM 300 x 5 = RM 1500.00 Adoi! Sudahlah kereta baru itu insuransnya empat angka.....

Khamis, 26 Ogos 2010

CUTI KE TAK CUTI?


4-9-Cuti sekolah
10 Sept (Jumaat) Cuti Raya Aidil Fitri
13 Sept (Isnin) Cuti Raya
14 Sept (Selasa) Cuti Berganti
15 Sept (Rabu) Cuti Berganti
16 Sept (Khamis) Cuti Hari Penubuhan Malaysia.
17 Sept (Jumaat) Mula SEKOLAH SEMULA.

Itulah cuti kebanyakan sekolah di daerah Batu Pahat ini. Walaubagaimanapun ada sekolah yang dibuka pada 14 dan 15 September. Bagus juga cepat buka sekolah, murid-murid pun sudah nak UPSR.
Lama-lama takut lemau nanti. Lagipun boleh jimatkan kuih raya.....! hehehe

AKHIRNYA KAKITANGAN KERAJAAN DAPAT BANTUAN KEWANGAN


RM 500

Nak kata bonus bukan bonus,
Tetapi dapatlah mengurangkan beban kakitangan kerajaan sempena
Aidilfitri ini. Jika tahun lepas ia diterima seminggu selepas 1 syawal,
kali ini tidak tahulah pula bagaimana?  

Rabu, 25 Ogos 2010

PROTOKOL DALAM KEKELUARGAAN DAN PERGAULAN


Zaman kita kecil dahulu, kita diajar protokol. Bagaimana harus adik memangggil abang.
"Abang Man"
" Kang Man" (Jawa)


Jika memanggil kakak kita pula
" Kak Ita"


Juga apabila kita memanggil sepupu kita.
Ada yang dipanggil Abang, atau Kakak. Dengan Makcik kita panggil Cik.


Sekarang, kita harus meneruskan budaya itu. Usahlah ajar anak kita dengan budaya sesat dan
tidak ada nilai kelembutan langsung.


Dulu kalau panggil nama sahaja kepada abang kita, kita kena tegur.




Sekarang apa sudah jadi? 


Contoh yang paling popular:


" Apa khabar bro?"
"Gua mau pergi rumah Lu!" 


Media massa kita, televisyen dan radio pun sudah terikut-ikut dengan bahasa yang agak kesat itu.
Lalu ke mana haluan bahasa indah kita?


Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa


(akan hanya tinggal kenangan)


Kini ramai orang yang lebih tua daripada kita
yang memendam rasa
 kerana mereka sudah tidak dihormati.
Seenak-enaknya kita memanggil mereka
" Kau, aku".


Lebih malang lagi, ramai sudah isteri memanggil suami mereka"Kau"

Sabtu, 21 Ogos 2010

HARGA BAWANG NAIK, TAK ADA SIAPA PUN NAK BISING!


Baru beberapa bulan lalu harga bawang putih ni Sekilo RM 6.00,
tiba-tiba kini melambung ke RM 10.00 sekilo? Dahsyatttt!

Aku kalau tak ada kelas tambahan, biasa cari bawang di pasar Pt Sulong ni. Sebabnya,
bawang dia nampak cute dan bersih. Tetapi alangkah terperanjatnya aku, bawang yang biasa berharga
RM 4.00-RM 5.00 kini sudah naik jadi RM 9.00!


Akhirnya aku belilah bawang yang tak berapa comel ni. Bawang ni pun dulu cuma berharga RM 2.50.
Pelik juga kita ni, gula naik orang bising, minyak naik orang melenting, tetapi bawang yang kita guna hari-hari ni naik, kita tenang sahaja?

PARIT SULONG GEGER!!!

Pagi Sabtu nan geger di Pt Sulong

Tak ada pulak orang beli songkok aku hari ni...?
Sabar....sabar....awal lagi tu.....

Mari kak, set untuk minum kopi...murah kak...baru RM 70....bla...bla....

Dipilih...dipilih.....murah...murah!!!! RM 10 saja !!!!

Peninglah aku pilih kain ni, tak kan nak beli warna kuning lagi? 

Kalau tak pandai jahit, beli je yang dah siap, berlambak-lambak ni kak...
Kesianlah kat kami ni, belilah.....!
Sekian, candid kamera dari Matsomherbs dari bumi Pt Sulong yang sedang GEGER!!!

Jumaat, 20 Ogos 2010

AKU DAN DUNIAKU

Selain mengajar tahun 6, aku juga mengajar murid tahun 5.
Ini antara wajah-wajah sicilik yang bakal mengambil UPSR
pada tahun 2011.

Ramadhan ini sentiasa dihujani rahmat. Air terjun yang turun
dari bumbung rumah aku ini menyejukkan suasana


Malam semalam selepas Terawih Arina, Iwan dan Irfan ajak ngeteh.
Makanlah yang ringan-ringan, saja mencari angin malam
di pekan Parit Sulong

SUSU IBU TIDAK AKAN KERING

PANDUAN IBU YANG MENYUSUKAN ANAK PADA BULAN RAMADHAN (sila klik di sini)
Ramai ibu yang menyusukan anak mengalami kerisauan kehilangan susu untuk bayi yang tersayang pada bulan puasa yang mulia ini. Apa kata mereka membaca rencana Kosmo Online yang tersebut agar meleraikan kekusutan yang menyelubungi mereka.




Yang hairannya ada ibu yang menyuruh anaknya minum air busuk di dalam tong sampah. Ibu ajaib, bayi pun ajaib juga. 

Khamis, 19 Ogos 2010

Kisah Seorang Isteri Yang Terlalu Lurus



Kisah ini diceritakan oleh seseorang kepadaku kira-kira tujuh tahun dahulu. Lelaki itu memang suka bercerita. Kalau dibukukan pasti sudah ada berpuluh- puluh buah buku yang diterbitkan.

Arakian, maka dia bercerita.......

Terletak di daerah Madiun, Jawa Timur tinggal sepasang suami isteri yang baru berkahwin. Kehidupan mereka serba kekurangan. Sarapannya hanyalah ubi bakar dan kadangkala tidak makan langsung. Keperitan itu menyebabkan suami ingin sekali mencari pekerjaan di Malaysia.

Setelah didapati isterinya, Sutirah hamil dua bulan Gono memberitahu  isterinya yang ayu bak Revalina S Kemat itu akan hajatnya bekerja di Malaysia.

Oleh sebab Sutirah memahami situasi keperitan hidup dia pun reda suaminya akan meninggalkannya. Gono telah berjanji akan pulang enam bulan kemudian iaitu sebelum anak sulung mereka lahir. Sutirah pun faham bahawa kos kelahiran di negaranya begitu membebankan rakyat umum(kira-kira RM 800 di hospital kerajaan).

Maka Gono pun berangkat ke Malaysia dan mendapat pekerjaan di ladang kelapa sawit. Setelah enam bulan, dan setelah berjimat-cermat hinggakan dia makan nasi berlaukkan telur dan kicap sahaja, maka Gono telah dapat mengumpulkan duit sebanyak RM 4000. Pada sebelah malam pula, dia bekerja membasuh pinggan di restoran di pekan itu.

Maka setelah cukup enam bulan, dia pun pulang ke desanya. Alangkah gembira Sutirah dengan kepulangan suaminya. Perutnya semakin memboyot dan menunggu masa sahaja beberapa minggu lagi untuk melahirkan cahaya mata pengikat kasih sayang mereka.

Malam itu setelah berehat-rehat di kamar tidur, Gono bertanyakan akan kandungan itu.

Bagaimana keadaan anak kita, pastinya kamu selalu ke klinik?"

" Semuanya bagus kang mas, tetapi itupun atas jasa baik Pak Sriwijoyo"

" Kenapa dengan Pak Sriwijoyo? Pak Dukun itu maksud kamu?"

" Begini Kang Mas, dulu waktu saya berjumpanya kerana kandungan ini, dia mengatakan anak kita ini cacat, tidak punya tangan sebelah kanan..."

" Lalu....?" Gono sudah mula suspen sekali.

" Dia kata jangan bimbang, masalah itu gampang sekali..."

" Apa yang diperbuatnya?"

" Dia meng XXXX saya beberapa kali, supaya tangan sebelah kanan anak kita tumbuh...dan syukur atas susah payahnya, kini anak kita sudah sempurna, tinggal sahaja ia dilahirkan"

" Sutirah, kamu tahu apa yang kamu ucapkan itu!? Dengan ini Kang Mas ceraikan kamu dengan talak 30! Aku tidak mahu melihat isteri bodoh seperti kamu lagi!"

Adus....sejak itu Gono lari ke Malaysia, dan kini entah di mana dia!!!

MASAK SENDIRI LAGI PUAS HATI

Oleh sebab hari ni masih hujan, aku ingat nak masak sendiri.
Anynomouse mesti alergik tengok aku upload gambar ni.
Namun Iwan tetap minat ayam Ayamas, jadi aku kena belilah juga,
kalau tak dia tak nak puasa.

Aliff Iskandar demam hari ini, pertama kali sejak lahir pada April lalu.
So akulah kena masak, juga pertama kali Ramadhan ini.
Dan labu masak lemak ialah menu pertama aku petang tadi. Ok tak?

Untuk jaga kesihatan, aku pun beli cekur ini. Tetapi tak sempat
masak apa. Simpan di dalam peti ais saja.

Ayam organik goreng tanpa sebarang tepung.

Sambal bilis tumbuk lumat. Apa pulak tu...oh itu seketul
belacan goreng. Ingat jangan beli belacan yang warna merah jambu, kerana
mengandungi pewarna plastik penyebab kanser!

Penat-penat aku buat koktel ini tetapi anak aku tak minat langsung.

Anak merengek mintak emak dia goreng mi. Hamidah terpaksa masak
juga akhirnya.

Seratus peratus makanan kami buka puasa petang ni semua made in 
sendiri. Air bandung inilah kegemaran budak-budak tu.

Eh, tunjuk gambar-gambar ni riak eh? Tak kan...tu kawan semua tunjuk makanan dia. Lagi pun malas hari ni nak cerita isu-isu negara. Korang nak buang bayi ke...korang nak simbah anak bini dengan asid ke...korang nak apa ke...kauorang punya fasal. Aku dah bosan....aku dah bosan....! Baik aku makan koktel yang aku buat tadi, pasal apalah anak aku tak minat? Something wrong? 

Rabu, 18 Ogos 2010

ANONYMOUS NYAH KAU DARI SINI!



Barulah aku tahu kenapa banyak blog melarang keras manusia sibacul itu daripada menulis komen di dalam blog mereka. Kerana mereka sering membuat fitnah melulu dan mencerca sesiapa sahaja. Dua hari ini aku terpaksa melayan virus berbahaya itu. Aku tidak kira dia seorang kawan akrab atau musuh dalam selimut. Jika memfitnah maka aku mengistiharkan perang terhadapnya. Jika terus menerus menghentam mana boleh tahan. Entah apa nafsu serakah yang menyebabkan dia memaki hamun di sini, aku pun tidak tahu.

Maka mulai hari ini aku blok spesis anonymous jonggos itu selama tujuh keturunan!

SUPAYA SENTIASA CERGAS SEMASA BERPUASA



Biasalah, jika kita berpuasa maka panorama yang kita lihat ialah orang tidur di sana-sini. Kerja pun tidak secergas biasa. Mari kita pergi farmasi, cari B Complex.
Di rak farmasi tu ada berjenis-jenis jenama B Complex. Yang murah ada, yang mahal lagilah ada.

Biasalah, yang mahal mestilah lebih berkualiti. Macam Kancil dengan Merc, tentulah ada beza!

Apa khasiat B Complex? Membekalkan tenaga dan mengurangkan mengantuk. Ingin tahu bezanya, silalah berkunjung ke farmasi berdekatan. Sebab saya telah mencubanya antara sebelum dan selepas pengambilan B Complex.

Pada usia seperti saya, maka sudah sampai masanya mengambil makanan tambahan. Kita lihat perniagaan farmasi hidup kerana kesedaran ini telah berkembang di kalangan rakyat Malaysia. Satu masa dulu ia satu momokan. Hari ini pengkritik makanan tambahan secara sembunyi-sembunyi membeli produk kesihatan di farmasi berdekatan.


Selasa, 17 Ogos 2010

PENYAMARAN DALAM FACEBOOK

Contoh gambar lelaki idaman para gadis




Dalam facebook macam-macam boleh berlaku. Pagi tadi selepas bersahur, aku buka facebook aku sekejap. Adalah dalam wall itu aku lihat seorang kawan aku yang sudah berumur separuh abad membuka akaun facebook barunya dengan profile yang berusia 20an, dan gambar entah Vietnam mana yang nampak kacak digunakan sebagai gambar profile. Gambar-gambar lain juga mempamerkan wajah yang mirip pemuda itu, semuanya nampak sebagai lelaki idaman gadis-gadis yang tercari-cari bakal suami idaman.



Kasihan sungguh aku melihat, dalam wall itu para gadis bagaikan histeria melihat kehenseman kawan aku itu. Dan komen mereka menunjukkan betapa anak gadis kita mudah tertipu dengan orang yang menyamar dalam internet. Patutlah mereka jadi kaldai dadah sampai ke luar negera. Aku ingin sahaja menyampuk kat situ, tetapi nanti dia menganiaya gambar aku pula.



Sewaktu dia mengunjungi aku bulan lalu setelah 20 tahun tidak berjumpa, aku menyangka dengan umurnya menjangkau 50 tahun, sudah mula bercerita fasal masjid atau hal anak isteri. Ini tidak, dia masih seperti 20 tahun dahulu. Cerita fasal dunia siber dan keasyikannya.



Adalah lebih baik bercerita tentang perkara yang berfaedah atau membaca buku agama daripada bersembang dan memainkan perasaan orang lain.

Isnin, 16 Ogos 2010

KEHADIRAN FACEBOOK MENJANA EKONOMI



Walaupun aku ada streamyx, namun aku rajin juga menjengok cyber cafe yang ada di seluruh pekan ini. Macam-macam kerenah pelanggan. Ada yang buka sound kuat-kuat. Ada yang nyanyi sorang-sorang, nyanyi lagu Kebahagiaan dalam Perpisahan. Ada yang main game. Tetapi majoriti aku tengok sibuk melayari facebook. Akulah paling veteren antara pengunjung-pengunjung itu.


Apabila duduk di situ, aku sudah tidak peduli siapa yang sedang duduk di kanan dan kiriku. Tetapi aku tahu apa yang sedang mereka layari. Ya kebanyakannya facebook.


Apabila aku check frend aku dalam facebook, anak cucu aku pun sudah ada facebook (umur pun belum sampai 12 tahun, mesti tipu umur semasa daftar e-mel). Cucu kakak sulong aku adalah cucu aku da! Maknanya facebook menyebabkan cyber-cyber cafe sentiasa penuh dengan pelanggan.


Facebook juga menyebabkan laptop, notebook, hanphone yang canggih-manggih tu laris seperti jagung rebus.

BELI KUIH SAJA PETANG NI


Puasa yang ke enam ni barulah nak berbuka secara simple. Sebabnya hujan amatlah lebat petang ini, dan aku tidak dapat ke pekan seperti biasa.
Penjual kuih di simpang Pt Gantung itu menjual kuih yang sedap belaka. Kalau datang pukul 6.00 ptg alamatlah sudah licin. Jadi seawal jam 3.45 aku sudah mampir ke sini. Murah pulak tu, harganya masih 20 sen sebiji. Yang ada di Simpang Tiga (cuma beberapa meter dari situ) semua sudah 25 sen. Dahlah kat sini murah, rasanya sedap pula. Apa salahnya aku jadi duta kuih?
Habis juga aku beli kuih RM 5.50. Paling banyak yang kuih hijau putih yang ada kelapa tu, aku beli 15 biji. Ini kerana ia diminati oleh Hamidah, Arina dan Ili. Iwan pula minta kuih donat bersambal (tiada dalam gambar). Kuih warna cokelat tu, kuih kole? Entah apa namanya? Tu kuih yang paling aku minat. Ia diperbuat daripada kacang hijau. Irfan pula minat kuih lapis. Tu yang jadi macam-macam tu.
Petang ini Hamidah masak sup ayam organik HPA. (jangan sebut tentang sistem MLM, ada member dah marah-marah kat entri aku kat bawah tu, gasaklah dia). Harap-harap dia tak kutuk aku kat sini. Anak-anak mintak air bandung buatan sendiri. Dah jemu minum air soya.
Kurma Safia Yusuf Toyub (sebut secara bisikkk) macam iklan akan menjadi introduction berbuka puasa kami sekeluarga.

Ahad, 15 Ogos 2010

KUMAN PUN GENIUS MACAM MANUSIA


Kuman Super-pertama kali kita dengar minggu lalu.
NDM-1 (NEW DELHI METTALO-BETA-LACTAMASE-1)
Ia kalis terhadap semua antibiotik termasuk antibiotik yang paling kuat-CARBAPENEMS.
Kes pertama lelaki Sweden yang dirawat di hospital di India.
Kini ia merebak ke Amerika Syarikat, Belgium, Kanada, Britain, Belanda dan terbaru Australia 3 kes kelmarin.

Mangsa maut yang pertama ialah rakyat Belgium pada Jun lalu.
Sakitnya bagaimana? Radang paru-paru, jangkitan di ginjal dan saluran darah.
Pakistan dan Bangladesh juga telah diserang oleh kuman super ini.
Macam-macam lah jenis kuman ni! H1N1 dah mula reda, datang pulak Kuman Super!
Kini ia sedang dalam perjalanan ke negara kita?
Ya Allah....jauhkanlah!






MINTA GAJI DIAWALKAN?


CUEPACS meminta gaji kakitangan awam dipercepat bagi bulan September. FOMCA pula bantah. Saudara-saudara, saudari-saudari, gaji bulan Ogos akan diterima pada 25 Ogos, ok....gaji Ogos ni hanya untuk kegunaan sebelum raya. Manakala gaji September akan diterima pada 23  September iaitu selepas raya sudah berakhir.Raya akan jatuh pada 10 September.

Biasanya kakitangan awam pada masa itu sudah miskin balik. Lainlah mereka yang suami isteri bekerja. Lainlah mereka yang ada kebun kelapa sawit. Masalah ini akan dihadapi bagi mereka yang akan pulang ke kampung, yang akan membayar tol dan duit minyak yang bukan sedikit. Tambahan pula mereka masih ada hutang kereta. Rasanya pada masa itu mereka akan pegang duit tidak sampai RM 1000. Duit anak buah lagi antara RM 200-RM 500.Bayangkan! Bagaimana pula mereka yang bekerja sebagai staf sokongan yang gajinya cukup untuk hidup.

FOMCA bersuara atas prinsip kesatuan itu. CUEPACS pula bersuara atas permintaan ahli.

Saya tetap sokong CUEPACS. Saya memahami masalah golongan ini. Syukurnya satu, aku sudah tak ada hutang kereta, tapi kereta sudah tualah, tak bergayalah raya macam orang lain!

Sabtu, 14 Ogos 2010

KENAPA AKU DUDUK DI SINI?


Aku sudah jemu dengan gambar yang aku ambil sendiri. Jadi aku ciplak sajalah gambar-gambar yang indah daripada google.
Seronoknya jadi hartawan, boleh beli rumah yang sekelilingnya ada taman seperti di atas. Balik kerja boleh duduk-duduk baca akhbar bawah pokok itu sambil dengar lagu kegemaran. Dengar lagu Kitaro ke...Dyloid ke....
Hari ini aku nak cerita sejarah aku membeli rumah kecil yang aku duduk sekarang ini. Masa itu (1995) memang coner lot cuma RM 60 ribu. Jadi aku dah target satu rumah tulah...Dan itulah corner lot yang terakhir orang belum beli.
Punyalah semangat aku malam itu sampai tidak tidur. Masa tu aku sudah bertunang dengan Hamidah. Aku bayangkan akan tanam sedikit pokok buah-buahan. Anak aku boleh main panjat-panjat. Ada lanskap sikit. Air terjun. Yalah orang berangan-angan.
Tiba-tiba satu abang kat situ beritahu, dia sudah beli rumah itu daripada pemaju.
"Kan abang dah beli rumah kat depan tu" aku agak tidak puas hati.
"Ni saya belikan untuk anak saya yang kat Kuantan tu" abang tu sudah beria-ia. Maklumlah duit pampasan pencen banyak lagi. Kebun pun ada di sana-sini.
"Kalau macam tu bang, saya tak jadi belilah rumah kat sini. Lot tengah ni saya tak minat, baik saya buat rumah kat kampung"
"Janganlah macam tu Mat"
Keputusan telah aku buat, aku tidak akan duduk Parit Sulong. Nak cari rumah kat Seri Medan pula lepas ni.
Entah macamana, isteri abang tu, Kak Wok, selama seminggu setiap hari memujuk aku menelefon aku di Paloh waktu itu suruh beli rumah (yang aku duduk sekarang ni).
"Rumah tu bagus Mat Som, ia menghadap matahari waktu pagi, ....bla bla...beli langsir pun tak banyak.....bla....bla.....jimat...." Kak Wok memang pandai memujuk.
Kuasa Allah, tiba-tiba sahaja esok paginya aku ke pejabat pemaju di Jalan Rahmat Batu Pahat, aku bayar cengkeram. Dan pemaju itu dengan penuh yakin terus bagi aku kunci. Aiii...betul ke ni? Pada hal aku belum tengok lagi rumah itu di bahagian dalam. Dari luar memang nampak macam rumah terbengkalai. Fesyen rumah masa tu mana ada yang cantik? Macam kotak mancis je.
Yang peliknya Kak Wok dan abang tu duduk kat rumah dia cuma dalam tempoh lima tahun sahaja. Rumah yang aku nak sangat itu pun cuma disewakan daripada satu penyewa kepada penyewa yang lain. Baru nak mesra-mesra dengan jiran tu, mereka berpindah. Macam tulah.
Kak Wok dan suaminya berpindah ikut anaknya di Kuala Lumpur. Anaknya kerja bagus-bagus, ada yang jadi doktor.
Khamis lalu aku agak terkejut apabila imam mengumumkan abang tu sudah meninggal dunia di Kuala Lumpur. Para jemaah diseru supaya mengirimkan al-fatihah.......
Lalu aku melihat rumah yang jadi rebutan aku dan Allahyarham...terbiar semak. Penyewa itu tidak menjaga kebersihan langsung. Semak-samun macam terbiar....Siapalah yang menjadi pemilik rumah ini seterusnya?

MARI DENGAR CERAMAH RAMADHAN



Marilah dengar ceramah. Jika kita sudah lama tidak menghadiri majlis ilmu, maka eloklah kita dengar ceramah daripada ustaz yang ada di YOU TUBE. Sebab dunia di luar sana dipenuhi dengan semangat keduniaan dankebendaan yang menggila, yang boleh menyebabkan kita terjerumus di kalangan orang-orang yang sesat dan lalai.

Sebab itulah Islam mewajibkan kita solat 5 kali sehari. Seminggu sekali lelaki wajib mendengar khutbah Jumaat supaya kita sentiasa berpegang kepada Islam yang suci. Dan yang lalai Jumaatnya sebanyak 3 kali Jumaat boleh munafik!

Ok....itu sajalah bebelan aku tengah hari ini, banyak-banyak nanti menyampah pulak kalian. Apa yang aku lakukan pagi tadi?

Hari Sabtu ini aku rehat habis. Pagi basuh kereta sendiri (jimatlah RM 22.00 untuk dua kereta buruk aku itu). Produk BIO ASLI yang aku tempah petang samalam sudah pun sampai di depan pintu. Kurier GDEX memang hebat. 3.00 petang semalam aku faks, jam 11.00 produk sudah sampai. Petang ini produk itu kena hantar segera kepada pelanggan.

Kawan seorang itu mendakwa ubannya semakin berkurangan setelah menggunakan minyak rambut kelapa dara. Sorang lagi tu menjelaskan ruam anaknya hilang setelah mengguna menyapukan minyak kelapa dara. Dah hampir dua tahun aku jadi stokis, macam-macam testimoni yang aku dapat. Cuma aku tidak dokumentasikan. Paling ramai adalah aku dapat menyelesaikan masalah dalaman rumah tangga!

Ikutilah TESTIMONI terkini daripada syarikat.

Rabu, 11 Ogos 2010

MENCARI JUADAH BERBUKA PUASA


Seperti tahun-tahun yang lepas, awal Ramadhan di pekan Pt Sulong tetap meriah. Cuma tahun ini aku agak kurang semangat hendak upload gambar di sini, kerana first time beli Nasi Ambeng, tiba saat hendak dijamah ketika berbuka, bau basi merosakkan selera. Lain kali aku tak nak beli lagi makanan yang dimasak di rumah oleh peniaga-peniaga itu. Biar kita nampak makanan itu sedang digoreng, dibakar, direbus barulah kita boleh beli. Jaga kau siapa-siapa yang jual makanan basi...!

Selasa, 10 Ogos 2010

SELAMAT BERPUASA RAMADHAN 1431 HIJRIAH


Semoga kita semua dapat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dengan lebih baik daripada masa-masa yang lalu. Jangan lupa niat sebulan, dan niat sehari-hari. Usah sampai tidak bersahur, set jam betul-betul kat handphone tu!

Ahad, 8 Ogos 2010

FAKTOR-FAKTOR KENAPA LELAKI SENTIASA HAPPY


Berikut ialah sebab-sebab Lelaki Sentiasa Happy-petikan majalah Mastika Ogos 2009:

  1. Tidak perlu mengandung
  2. Boleh kencing merata-rata
  3. Kedut dan boroi lambang kejantanan
  4. Orang tidak memandang ke dada apabila bercakap dengan mereka
  5. Berbual di telefon 30 saat sahaja
  6. Boleh pakai sepasang baju dan sepasang seluar untuk cuti selama lima hari.
  7. Dipuji sebab berjaya keluarkan satu idea ciput.
  8. Boleh pakai seluar dalam RM 9.90 sekotak ( ada 3 helai).
  9. Boleh pakai baju yang berkedut.
  10. Apa yang ada di muka semuanya original.
  11. Stail rambut sama sahaja selama bertahun-tahun, mungkin berdekad.
  12. Boleh pakai sepasang kasut dan sepasang stoking, sampai koyak.
  13. Boleh pakai seluar pendek walaupun kaki macam....!!!!
  14. Misai berserabut, no hallah........

Lepas ni kita fikir pulak kenapa wanita pula sentiasa happy....antaranya sebab boleh shoping berjam-jam tak peduli suami marah ke tidak?

Sabtu, 7 Ogos 2010

HUJAN YANG TURUN BAGAI MUTIARA

Hujan yang turun bagaikan mutiara...................

Lagu nyanyian Sudirman itu terngiang-ngiang di telingaku. Pagi yang indah ini, seluruh bumi Pt Sulong dilimpahi hujan yang sangat lebat. Anak-anakku bersekolah pagi ini sebagai menggantikan cuti hari perayaan akan datang. Cuma sekolahku sahaja yang boleh menyambung
tidur. Aku juga telah batalkan kelas tambahan tahun 6 Arif sebab ramai yang terlibat dengan petandingan dikir barat.

Oleh sebab hujan rahmat ini, maka aku memandu kereta sehingga di depan kelas Ili Nabilah. Iwan aku hantar sampai kelas dengan payung. Irfan pula sampai pintu pagar seperti biasa, kerana kelasnya berdekatan dengan gate sekolah itu.

Seronoknya bercuti! Setelah pulang aku membantu mengemaskan rumah. Bilik anak lelaki itu sudah seperti kapal karam. Kemudian aku buka facebook. Teringat pula ADO Razak, aku call dia. Dia pun tidak keluar ke pekan sebab hujan.

Apa aku nak buat ni? Petang nanti rasanya ingin menemui ibuku. Hujan masih tidak berhenti sehingga jam 11.00 pagi. Pasti air parit itu sudah melimpah? Mungkinkah sudah banjir di beberapa kampung? Itu cuma dugaanku.

Hujanlah, tidak mengapa. Kerana catuan selama sebulan lebih tempoh hari sungguh memeritkan. Pokok-pokok kelapa sawit yang menjadi nadi pendapatan penduduk kampung ini sentiasa memerlukan air. Alhamdulillah....!

Lalu kenangan silam terimbas kembali. Jika cuaca seperti ini, maka alamatlah dapur kami tidak berasap. Kerana ketika itu sumber pendapatan ayah daripada pokok getah. Jika sebulan cuma dapat menoreh empat hari, betapa bayangkan bagaimana?

Hari ini pekebun sawit sudah lebih selesa daripada cikgu. Yang petik kelapa sawit pun orang Indonesia. Tuan tanah cuma mengambil duit di tempat timbang kelapa sawit. Yang perlu mereka buat ialah maintain racun dan baja. Bruning setahun dua kali. Itupun semua yang buat orang lain.

Isteri-isteri di kampung pun sudah tidak seteruk seperti ibu-ibu kita dahulu. Tugas rutin mereka cuma menghantar anak ke sekolah, balik lalu kedai beli ikan dan sayur. Masak. Sudah siap masak basuh baju. Jam 1.00 pergi ambik anak sekolah. Petang boleh lagi mereka menonton sinetron.

Kalau dahulu, ibu-ibu di Seri Medan kerja keras membanting tulang di kebun getah, menoreh, memungut getah dan memesin sekali. Biasanya siap jam 12.00 ke atas. Petang kerja kebun pula tanam ubi, keladi , jagung, dan pisang.

Pendapatan mereka? Tengok keluasan kebun. Paling minima pun tiga ekar. Tetapi kebanyakannya 5-10 ekar. Ada segelintir yang memiliki lebih 10 ekar. Yang memiliki 50-100 ekar pun ada, tetapi peratusnya kecil. Aku kenal seorang kenalan itu. Setiap bulan dia membuat simpanan di CIMB sebanyak RM 10 000. Dia cuma menunggang motosikal dan berselipar jepun. Tetapi orang-orang bank itu sudah tabik dengan dia. Semasa perompak menjengah rumahnya dia dermakan RM 7000 kepada mereka. Nak buat macamana parang sudah ada di leher? Kalau mereka datang rumah aku, apa yang aku nak gantikan dengan nyawa di hujung senjata itu? Duit tabung anak aku, adalah!!!!!

Rabu, 4 Ogos 2010

PERKAHWINAN SEAWAL 16 TAHUN


Tadi aku baru terdengar kerajaan Melaka membenarkan pelajar lelaki boleh berkahwin seawal umur 18 tahun, dan pelajar perempuan seawal 16 tahun.

Bagi aku baguslah kerajaan Melaka bertindak bijak kerana pada tahun 2009 lebih 300 remaja telah hamil sebelum nikah di seluruh Melaka. Johor apa kurangnya? Bila ingin ikut jejak langkah negeri Melaka?

Jika boleh tu hantaran yang tinggi sekarang ni dikurangkanlah sedikit agar lebih ramai orang berpeluang untuk berkahwin.

Yang penting segala kebejatan sosial yang ada dapat dibendung agar tidak terus melarat.

PASAR TANI BERPINDAH LOKASI



Pasar Tani Pt Sulong mulai petang tadi berpindah lokasi dari tepi sungai ke depan Balai Polis Pt Sulong. Ini untuk memberi laluan sepanjang bulan Puasa nanti untuk kumpulan peniaga Bazar Ramadhan yang akan menjajah Pt Sulong tidak lama lagi.
En Samijan semalam memberitahu antara Bazar Ramadhan yang akan dibuka ialah kawasan lapang berhadapan Klinik Pt Sulong.
Tahun ini pasti suasana lebih meriah daripada tahun lepas kerana lebih ramai peniaga diberi peluang untuk membuka gerai.
Dan dapat dibayangkan bagaimana keadaan malam raya tahun ini.....!
Sekian, Matsomherbs membuat liputan lintas lansung dari Pekan Pt Sulong...!

Selasa, 3 Ogos 2010

WARNA-WARNI KEHIDUPANKU

Aliff Iskandar sudah boleh bergurau...!

Tanpa diduga, pada 23 Julai anak angkat Kak Long, Cikgu Azman dari Rawang muncul
dengan motorsikal berkuasa tinggi di depan rumahnya. Tujuh tahun
terputus hubungan gara-gara hanphone diserang virus.
Kebetulan hari itu hari jadi Kak Ipah (Kak Long!)


Satu lagi gambar yang belum sempat disiarkan sebelum ini.
Sampai hari ini basikal Iwan aku sita dengan rantai besi.

Gambar ketika kenduri adik-beradik di rumahku 19 Jun



Aku uruskan permohonan PTPTN Amirul di BSN Pt Sulong.
Kini Amirul di Politeknik Merlimau.

Kerja-kerja finishing di rumahku

Selamat hari lahir Kak Long!



Kembalinya Putri Cahaya dan Amsuda untuk meraikan hari lahir ibunya!