Isnin, 30 April 2012

PENYELENGGARAAN LOJI AIR YONG PENG 3

Google Imej

PENGUMUMAN! Kepada seluruh penduduk Yong Peng, Parit Sulong, Tongkang Pechah, Simpang Lima!

Gangguan bekalan air akan berlaku pada 2 Mei 2012 (Rabu) Jam 9.00 pagi -  3 Mei 2012 (Khamis) jam 8.00 pagi.

Jangka masa: 23 Jam

Kawasan yang terlibat ialah:

  • Seluruh kawasan Yong Peng
  • Seluruh Tongkang Pechah
  • Seluruh Parit Sulong
  • Seluruh kampung sepanjang Jalan Parit Jalil
  • Seluruh kampung sepanjang Jalan Simpang Lima-Pt Sulong
  • Seluruh Kampung Jln Muar-Pt Sulong
  • Seluruh Kampung SMK Datok Onn hingga Parit Sangit
  • Taman Putera Indah
  • Taman Sri Sulong
  • Kampung Bindu
  • Kawasan Industri Tongkang Pechah
  • Kawasan Industri Sri Sulong
  • Sepanjang Jalan Batu Putih


    Sekian, makluman matsomherbs.blogspot.com dipetik drp  SAJ 25/4/2012 


Ahad, 29 April 2012

PANORAMA HARI MINGGUKU

Jam 9.00 pagi baru berangkat ke kebun, di tengah jalan aku snaplah kebun orang ni, rasa segar.......
Jalan paling sunyi di Malaysia, aku tidak berselisih langsung dengan kenderaan lain...
Satu lagi kebun, kebun keladi hasil titik peluh penduduk Pt Jayus, Sri Medan....
Lumayan ni, sepokok RM 5.....kira ajelah........
Setelah menebas semak-samun di kebun tu, jam 12.00 tengah hari, aku ke rumah emak aku. Berborak-borak sekejap. Kemudian balik ke rumah. Jam 2.30 ke majlis perkahwinan anak Cikgu Tukiman di Pt Tengah, Yong Peng. Warna tema HIJAU menarik minat aku.
Berkat, oleh-oleh dari majlis perkahwinan ini juga HIJAU.
Dari Yong Peng kami ke NAGOYA di Karfour Batu Pahat, baru cari baju untuk raya. Aku kena awasi budak sorang ni, kalau tak susah nak cari apabila sembunyi di belakang kain-kain itu. Aku suka ke Nagoya sebab orang-orangnya memberi kebebasan untuk kami memilih, tidak seperti satu lagi syarikat itu, yang sentiasa agresif mengganggu kami.


Jam 6.00 petang, baliklah kami ke rumah, dan penuhlah hari minggu ini dengan aktiviti. Jalan-jalan kelihatan sesak kerana ramai yang menyambung cuti hingga Selasa sempena Hari Pekerja. Parking di Karfour pun terpaksa berpusing-pusing, dan kereta melimpah-ruah sampai ke tepi jalan besar.

Jumaat, 27 April 2012

PAGI YANG HENING

Nun jauh di sana, Gunung Mak Okil
Sebahagian rumah di Sri Pasir, Seri Medan

Khamis, 26 April 2012

KEYBOARD LAPTOP ROSAK


Keyboard Netbook aku rosak, langsung tak boleh menaip. Lantas aku hubungi pakar komputer di Pt Raja. Senang aje, kau guna dulu keyboard maya. Apa tu? Ikut aje.....

  1. Klik START
  2. Klik PROGRAM
  3. Klik accessories
  4. Klik acssibility
  5. Klik On-Sceen Keyboard
Nanti keluarlah keyboard macam tu.
Ini untuk sementara aje. Cepat-cepatlah hantar kedai aku untuk dibetulkan...katanya.
Budak-budak....minum tak habis, curahlah kat situ....adehhhhh 


Rabu, 25 April 2012

NAK INTERVIEW AKU?

Petang tadi menghantar produk Bio Asli ke Pt Maimon. Aku cuma berhenti lima minit untuk menyerahkan produk kepada pengedar di situ. Selepas itu aku berpatah balik ke Pt Sulong. Di tengah jalan dekat Pt Othman, telah ramai orang menyaksikan satu kemalangan yang mengerikan. Rasanya baru tak sampai 10 minit aku lalu tempat ini, tidak ada apa-apa.


Aku lihat sebuah motosikal telah terperosok ke bahagian hadapan sebuah kereta yang melintang di tengah jalan. Hendak kukeluarkan kamera pun tidak tergamak, kerana kelihatan sekujur tubuh yang kaku, dan seorang lagi sedang mengerang kesakitan. Kerana telah ramai orang membantu kedua-dua mangsa tersebut, aku pun meninggalkan kawasan itu.....semoga kalian bersabar atas kejadian itu (entah siapalah mereka aku tidak tahu).


Akhirnya dapat juga gambar tersebut, tetapi bukan aku yang ambil, Sdra Muhamad Salleh kawan FB. Masa dia ambil gambar ni, mangsa sudah dihantar ke hospital 

........Semalam petang, sedang aku memandu ke Kangkar Senangar, aku dihubungi oleh suara seseorang. Dia dan kawan-kawannya ingin interview aku fasal JAMBATAN PARIT SULONG. Mereka memperkenalkan diri sebagai pelajar-pelajar UKM. Alamak....aku masukkan gambar-gambar tersebut hanyalah untuk suka-suka. Dan nombor handphone yang aku paparkan di sini pun untuk tujuan bisnes sahaja.


.......Macam nilah cik-cik adik yang call aku tu, malam ni aku usahakan cari insan-insan yang lebih arif tentang sejarah Jambatan Pt Sulong tu....Harap-harap bukanlah orang nak menyakat aku sudahlah.....  

Ahad, 22 April 2012

LANGIT MERAH DI UFUK SELATAN

Jam 6.30 petang anak-anak telah pun berada di dalam rumah. Jam 7.15, ada cahaya oren memancar dari tingkap rumahku. Aku terkesima sekejap, adakah mentari telah terbit dari barat? Aku membuka pintu dan ingin menyaksikan....Dunia belum Qiamat.....
 Awan yang dipancar mentari berlainan sekali petang ini....Subhanallah.....
Umpama letupan nuklear di Hiroshima
(Barisan rumah jiranku, mereka ni buat rumah ikut selera masing-masing, sehingga bumbung dapur bertemu dapur)
Pelangi senja menutup tirai siang, kelihatan rumah bakal jiran-jiran baru aku telah hampir siap. Nak berjiran dengan aku silakan, rumah ni baru RM 300K
Pada waktu senja beginilah syaitan dan iblis berkeliaran umpama burung-burung yang keluar sarang pada waktu pagi, sebab itulah anak-anak kita mesti berada di dalam rumah, dan tingkap-tingkap dan pintu ditutup. Boleh bayangkan bagaimana gembiranya iblis-iblis itu ketika ini...

PELANGI PAGI DI SRI PASIR

Masa: Jam 9.45 pagi
Lokasi: Dari tingkat 2 SK SERI PASIR
Jurufoto: Mohd Sahid Ismail
Situasi : Hujan panas
Subhanallah.....Maha Suci Allah.....

Jumaat, 20 April 2012

Khamis, 19 April 2012

ADAKAH BETUL POLA PEMAKANAN KITA?

Apabila bertandang ke hospital, kita dapati orang kita ramai yang sakit dengan pakej yang lengkap.

Lalu kita tertanya-tanya, adakah pola pemakanan kita ini betul?

Piramid makanan memang cadangkan kita makan mengikut peratus yang diberi, tetapi kita langgar sahaja. Yang sepatutnya kita makan sedikit, kita makan sebanyak-banyaknya, dan begitulah sebaliknya.

Rasulullah ajar makan buah-buah dahulu sebelum makan yang lain, kita pula terbalik, ada pula pembasuh mulut selepas makan nasi?

Dalam majlis kenduri khasnya majlis perkahwinan, masakan kita dipenuhi dengan lemak, minyak, daging, sos, minuman berklorin, pewarna, perasa terlampau dan sebagainya.

Pola pemakanan kita sepatutnya bagaimana?:

  • Waktu pagi- Makan lebih banyak daripada makan tengah hari dan waktu malam sebab pagi tu biasanya kita hendak bekerja kuat. Kalau di kampung pada waktu pagi itulah mereka hendak memetik kelapa sawit, membanting tulang di tengah sawah. Jika kerja di pejabat, pagi itulah mereka memerlukan tenaga yang banyak untuk memerah otak dan sebagainya. Kalau dah kenyang, tidak adalah kakitangan yang mengular di kantin, sewaktu klien datang untuk berurusan dengan mereka. 
  • Makan tengah hari - Jika pagi tadi 100%, pinggan penuh, tengah hari ni pula kena makan kurang sikit. Tinggal 75% sahaja atau 3/4 pinggan. Sebab, kalau tengah hari makan banyak, ditakuti tertidur sewaktu sedang bertugas. Atau menyebabkan menguap di depan orang awam. Nanti orang ambil gambar, masukkan facebook, malulah kita, kerana dilihat seantero Malaysia. Maklumlah semua orang mahir upload gambar ke internet sekarang ni. Mana ada rahsia lagi. Kalau kerja kebun tak apalah juga, boleh tidur di bawah pokok.
  • Makan malam - Makan malamlah yang sepatutnya paling sedikit. Setengah pinggan pun cukup. Sebab, kita menuju untuk tidur. Jangan pula makan malam dah pukul 10.00 malam. Kita dah terlena, usus-usus dalam perut kita bekerja keras gedebak-gedebuk! Tu yang perut berbunyi mengkeriang-keriuk


Okeylah cukuplah setakat ini untuk malam ini. Jumpa lagi.....!



Rabu, 18 April 2012

BREIVIK PENGGANAS KRISTIAN

Anders Behring Breivik berusia 33 tahun, seorang pengganas Kristian, mengaku telah membunuh 77 orang. Breivik membunuh dengan menggunakan bom dan senjata api di Norway pada musim panas lalu. Kejadian berlaku di kompleks bangunan kerajaan di Oslo dan Pulau Utoeya. Kompleks bangunan kerajaan dibom jangka. Sebanyak 8 orang terbunuh dalam serangan bom ini. Manakala kejadian ngeri di Pulau Utoeya, Breivik telah menembak selama lebih sejam ke arah kumpulan remaja yang menjalani kem musim panas anjuran Parti Buruh yang memerintah. 69 orang remaja terkorban dalam serangan membabi-buta ini. 






Dalam perbicaraan di mahkamah di Oslo semalam, Behring berkata dia akan menjalankan pembunuhan lagi pada hari kedua jika berpeluang kearah itu.


Yang nyata, Breivik tidak akan dihukum mati, memandangkan tiada hukuman tersebut di Norway. Mengikut kesalahan ini, dia akan menjalani hukuman penjara selama 21 tahun sahaja. Dan seterusnya akan menghadapi rawatan psikiatri sepanjang hayat.  




Jika didapati Breivik tidak siuman pada hari kejadian bagaimana? Dia tidak akan dipenjara, tetapi akan menjalani rawatan psikiatri sepanjang hidupnya.


Seorang pakar memberitahu, Breivik siuman pada masa kejadian. Dia telah dipengaruhi haluan politik melampau. Kebenciannya kepada kemaraan Islam di Eropah telah membuak-buak, dan mengakibatkan dia bertindak gila. Dipercayai terdapat lebih ramai lagi orang-orang yang sehaluan dengannya di Eropah?


Yang peliknya dalam kes ini, apabila ada orang Islam bertindak begini, media-media termasuk media kita cepat-cepat melabelkan sebagai Militan Islam, tetapi apabila mereka yang melakukannya, kita gelarkan mereka militan kulit putih? 


Satu lagi yang kita nampak di sini, betapa rapuhnya undang-undang ciptaan manusia di Norway ini. Bunuh 77 orang dengan sengaja, hanya akan dipenjara 21 tahun? Sungguh tidak adil! Seperti juga hukuman yang dijatuhkan kepada pemandu lori Zainol Fitri Hasan 14 April 2012, yang hanya dipenjara empat tahun setelah memandu lori secara cuai dan menyebabkan 9 kematian insan yang tidak berdosa? Lihat sahaja di jalan raya kita ramai lagi pemandu seperti Zainol, yang langgar lari tidak terkira banyaknya. Aku pun pernah dua kali membantu mangsa langgar lari. Kawan-kawan aku pun ada yang mati kena langgar lari. Pemandu-pemandu berbahaya ini juga setaraf dengan militan dan pengganas, kerana menyebabkan isteri kehilangan suami, anak kehilangan ayah, ibu bapa kehilangan anak dalam kematian yang sangat tragis.

Isnin, 16 April 2012

GAMBAR-GAMBAR PUTING BELIUNG DI AMERIKA SYARIKAT

Kredit untuk Cnnfhotos.blog

Aku copy paste gambar ini dengan satu tujuan....agar kita semua insaf akan kebesaran Allah. Selama ini aku bayangkan puting beliung tidak sedahsyat ini. Gambar-gambar ini diambil sekitar minggu ini, kerana puting beliung sedang mengganas di sana. Semalam sahaja lima orang terbunuh di Oklahoma.

Mari kita saksikan......!!!

Puting Beliung di Oklahoma 13 April 2012
Subhanallah......!!!
Allah maha agung....Allah maha besar!!!
Ya Allah....semoga Dikau tidak memurkai kami
Adakah dunia ini hampir sampai ke penghujungnya...?
Rumah siapalah tu?..Bush...Obama..Lain kali seranglah Iraq, seranglah Afhanistan...
Adakah ini awan?
Kalaulah rumah ini rumah aku, tak dapat aku bayangkan..Nauzubillah....!!!
Mana perginya lembu, kambing, ayam, itik?....Semoga ini tidak terjadi di tanah air kita....

Ahad, 15 April 2012

KENAPA SAYA BALING KASUT

Yang songlap duit mesjid, bebas. Imam yang tidak bersalah dipenjara. Inilah mahkamah dunia. Imam Hoslan.

Sabtu, 14 April 2012

HANTU DI DALAM BILIK SUIZ

Seawal jam 7.00 pagi, aku bertolak ke kebun bertemankan anakku Irfan. Projek menebas belum selesai lagi. Kami membawa bekal nasi bungkus. Irfan dengan dunia pancingnya. Aku menebas sehingga jam 12.00  tengah hari. Ibnu Masgut datang membincangkan hal pengurusan kebun, kerana Masgutlah yang memetik buah sawit ini sekarang sejak abang aku eksiden Januari lalu. Masngut ialah saudaraku dari Indonesia yang telah berada di sini sejak tahun 1993 lagi. Setiap dua tahun dia akan pulang ke Indonesia untuk melihat anak dan isterinya. Kesian kan. 
Jam 12.30 aku singgah di rumah ibuku. Kemudian membersihkan diri dan pergi ke SK SERI PASIR. Gambar di atas ialah kelas 5Arif di mana aku jadi Guru Kelasnya. Gambar tersebut diambil sebelum aku cat. Aku cat kelas ini tahun 2008. Kemudian aku tunggu kerajaan pusat supaya mengecat bangunan ini, rupa-rupanya ikut prosedur bangunan sekolah akan dicat sepuluh tahun sekali. Dan aku telah berada di sini selama sembilan tahun. Tahun depan lah kut?
Guru kelas lain semua dah cat kelas mereka. Malu pulak aku tak cat kelas aku ni. Murid-murid kumpul duit, dan aku bayar separuh. Mintak banyak-banyak nanti emak bapak bising pulak. Dah 17 tahun aku mengajar di sekolah menengah sebelum ini, aku tak pernah risau fasal dinding kelas yang bercapuk, kerana budak-budak besar pandai berdikari. Jadi cikgu sekolah rendah ni semua kena buat sendiri. Nak mintak mereka tolong cat, alamatlah berkecah sana, melekat sini, rosak nanti! 
Dinding yang menyakitkan mata tadi dah hilang. Jaga kau murid-muridku, kalau pijak dinding ni, taulah cikgu nak buat apa?
Senyap aje sekolah hari ni, hari Sabtu, yang ada cuma Jaga Sekolah. Pintu itu ialah pintu bilik suiz. Tahun 2009, seorang murid aku nampak hantu kat bilik itu. Menjerit-jerit pucat. Akhirnya dia mintak pindah sekolah. Korang tau? Bapak budak tu siap bawak bomoh ke bilik ini dan bawa air satu bekas plastik besar yang macam tempayan tu. Puh kanan, puh kiri. Kemenyan dan bau minyak wangi memenuhi kelas ini. Aku tetap mengajar di depan kelas, macam tak ada apa-apa yang berlaku. 


Al hamdulillah hantu ni tak kacau budak-budak lagi, tetapi kalau waktu malam kelibatnya sering disaksikan oleh guru-guru dan murid-murid sekolah kami. 
Dah penat, jam 3.30 petang aku ke mesjid, dan kemudian keretaku menuju ke Parit Sulong. Dalam benakku terfikir....banyak lagi yang perlu aku buat untuk menceriakan kelas ini. Mana aku nak mintak peruntukan ni?

Jumaat, 13 April 2012

OH SAHABAT....

FOTO CREDIT UTK AZHAM/FARIZA


Malam tadi aku memang penat sangat, dengan cuaca panas pada waktu siangnya dan aktiviti kehidupan yang tiada henti pada sepanjang minggu ini, aku terlelap jam 9.00 malam.


Sedang aku nyenyak tidur, handphoneku menjerit-jerit seperti bayi minta disusukan. Ah...kacau saja. Aku ingatkan dah pukul 2.00 pagi. Rupa-rupanya baru jam 10.00 malam. Anak-anak aku pula sedang menelaah buku dengan isteriku.


"Som, tolong aku....aku tengah sesak ni...." 


Aku masih kemamau dan baru nak mengingatkan kembali memoriku....


"Oh...kau.....tolong apa....?"


"Aku nak pinjam RM 200 ni....aku nak pinjam adik-beradik kau tau ajelah, nanti mereka ceramahkan aku..."


"Ok setengah jam lagi, kau tunggu aku dekat warung sebelah CIMB tu...ok"


"Ok...ok......"


Aku tak risaukan dia, sebab apabila dia meminjam dia akan bayar dalam waktu yang dijanjikan. Cuma aku tertanya-tanya, kenapakah duit mereka tidak cukup sedangkan isterinya juga seorang penjawat awam...? Entahlah. Masalah orang....yang penting, aku dah tolong dia.....

Khamis, 12 April 2012

SEHARI PENUH AGENDA

Assalamualaikum pembuka bicara, bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita masih dapat lagi bernafas lagi pada saat ini. Alhamdulillah kita semua dalam keadaan selamat dan dilindungi. Baru beberapa jam tadi, kita semua diselubungi perasaan takut, cemas dan bimbang akan berlaku petaka Tsunami 2004 berulang pada hari yang penuh indah ini. Sesungguhnya semua ini adalah milik Allah, dan kita hanya menumpang saja di atas muka bumi ini. Segala yang berlaku merupakan peringatan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT.
 Gambar ini ialah KFC Cawangan Parit Raja. Apabila ada bangunan KFC di sesuatu tempat itu, menunjukkan kawasan itu sudah maju dengan pelbagai prasarana. Di sini ada universiti, gedung perniagaan dan kilang tersohor. 

AGENDA AKU HARI INI, SEMPENA CUTI UMUM:
  • Jam 6.45 pagi: Melilau di Pekan Pt Sulong mencari nasi lemak untuk sarapan pagi ini. Hamidah cuti memasak hari ini.
  • Jam 7.00 pagi: Membantu mengemas rumah, menyusun surat khabar,   majalah dan memasukkannya ke dalam kotak untuk dihantar ke kedai Kitar Semula. Kemudian, aku mengerahkan anak-anak supaya mengemas bilik masing-masing.
  • Jam 9.00 pagi membuka Facebook, komen apa-apa yang patut, like sana, like sini. Buka Blog, cuma jadi silent readers sahaja, kalau ada nama Parit Sulong tu kat blog kalian, AKUlah tu orangnya. Kadang-kadang nak komen tak tau nak cakap apa, sejak akhir-akhir ni aku agak ketandusan idea sikit.
  • Jam 10.00 pagi: Bertolak ke Parit Raja untuk menziarahi ibu mertua. Tiba di Parit Raja, anak-anak dan isteri masuk ke kedai-kedai yang mereka suka. Adalah kedai jual alat-alat permainan, pakaian dan sebagainya. Ketika itulah aku ke hadapan KFC itu untuk menghubungi prospek-prospek aku.(Semua orang Pt Raja tahu lokasi KFC ini, kalau aku kata kat depan kedai runcit Tukijan, tentulah penat aku nak terangkan lokasinya)  
  • "Hello...Sekarang saya di depan KFC ni, kalau nak barang, datanglah dalam setengah jam ini....." Adalah yang datang, sesetengahnya pelanggan baru, yang masih malu-malu, maklumlah jual produk Bio Asli. 
  • Akhirnya jam 1.00 tengah hari: Baru sampai rumah mertua di Parit Nipah. Setelah berbual-bual, solat, tertidur. 
  • Jam 3.00 petang: Kami memohon untuk ke rumah lagi satu. Rumah biras aku Cikgu Md Isa Kasan di Parit Bingan. Md Isa baru dilantik sebagai Penolong Kanan HEM di sekolahnya. Banyak cerita baru yang aku dengar.
  • Jam 5.00 petang: Kami memohon untuk pulang ke Parit Sulong, sebab malam ini aku ada tuisyen UPSR. Sampai rumah jam 6.10 petang.
  • Jam 6.30 petang: Aku bertolak ke Seri Medan. Sampai kedai Sate Sahlan jam 7.00 petang. Berborak-borak dengan sahabat-sahabat dan abang iparku. Lepas tu solat Magrib di Mesjid Seri Medan.
  • Jam 8.00 malam: Seperti dalam gambar di bawah.....>>>


Jam 10.30 meronda-ronda pekan Parit Sulong....agak sibuk malam ini kerana jualan barang-barang ala nak raya. Ramailah peniaga menjual baju, kasut, brooch, dan macam-macamlah.......


Jam 11.00 malam: Barulah dapat rehat di rumah, sambil tulis buku persediaan mengajar.......!


Begitulah yang dapat aku laporkan hari ini, kerana tiada lain yang nak aku ceritakan. Nak cerita Tsunami yang tak jadi dan gempa bumi pun semua blogger dah cerita.


Panorama malam  ekspo di pekan Parit Sulong jam 10.30 malam tadi


Cuma di sini aku nak komen fasal jalan di kawasan Parit Raja ni. Aku betul-betul hairan dan pelik, kerana setelah bertahun-tahun jalan itu dibuat, masih tak siap-siap, mengalahkan bina lebuh raya PLUS.


Jalan raya antara Sri Gading dengan Pekan Parit Raja ini banyak perangkap maut. Lagi-lagi pada waktu malam. Garisan sana, garisan sini. Seolah-olah ia dibina dengan tidak mempunyai perancangan yang rapi. Dulu seperti sudah siap, sekarang pula buat U-TURN di sana-sini. Persimpangan ke Jalan Sri Bengkal itu sendiri seperti aneh kerana tidak begitu kemas...entahlah.


Nak tau sendiri, pandulah pada waktu malam di Jalan antara Sri Gading Ke Parit Raja tersebut. Dengar khabarnya dah banyak kemalangan di situ. 

Ahad, 8 April 2012

PANTUN PERTUNANGAN DAN PEMINANGAN

Rakaman aku berpantun gagal diupload, ada kesilapan teknik
Tahniah Ham, Tahniah Fariza, Tahniah Kak Long
Tempat pertemuan di pekarangan Mesjid Al Azim

Kami datang dari Batu Pahat
Orang Melaka Sungguh Budiman
Kami datang membawa hajat
Ingin Menyunting Bunga di taman


(Jika bukan orang Batu Pahat)
Petang petang di Tanjung Surat
Sungguh hening di Pulau Tioman
Kami datang membawa hajat
Ingin menyunting bunga di taman


(Jika guna sireh junjung)
Bunga Melur Bunga Tanjung
Bunga mawar dibawa ke pekan
Cincin sebentuk sireh junjung
Kepada Tuan kami serahkan


(Jika guna Tepak Sireh pula...)
Bunga melur putih bersih
Bunga mawar dibawa ke pekan
Cincin sebentuk tepak sireh
Kepada Tuan kami serahkan


(Penutup pantun pihak lelaki)
Daun selasih daun keladi
Terima kasih sambutan diberi
Hati gembira tidak terperi
Semoga pertunangan diberkati Illahi


Ketika pantun ini diucapkan, kerana dah penat mengarang dan menggubah pantun yang ada, aku berpantun juga, malangnya orang Melaka tak nak berpantun pula..... hahahaha

Hari ni aku ditugaskan sebagai jurupeminangan untuk mewakili abang ipar aku bagi pertunangan anak lelakinya Mohd Azham Syah dengan Cik Fariza Mostar. Majlis pertunangan berlangsung di kediaman En Mostar di Bakar Batu Melaka.

Ahli rombongan lain berangkat pada Ahad 8 April. Aku tak nak berlumba-lumba dengan pelumba-pelumba  Formula 1 tersebut, jadi kami pergi awal tengah hari Sabtu 7 April. Tiba jam 1.30 petang. Mula-mula biasalah ronda-ronda Bandar Hilir dengan aneka kesibukannya.
Kami menginap di DVillage Resort sebelah Zoo Air Keroh tu. Sebab kat situ adalah swiming pool...bolehlah buat budak-budak suka. Malamnya kami ke Mydin tak jauh dari DVillage..hampir jam sebelas malam sampai Mydin dah nak tutup baru semua nak balik ke tempat menginap.
Oleh sebab takut sesat...awal-awal kami dah tunggu kat mesjid Al-Azim berhampiran Tesco Melaka ni...Pukul 11.00 sampai mesjid ni, mereka semua sampai dalam jam 12.45 tengah hari. Betul yang aku agak, mereka bawak kereta macam drift......Alhamdulillah semua selamat.
Jarang dapat bergambar lengkap...hari tu ramai jurukamera, tumpang le sekaki 

Khamis, 5 April 2012

BAYI IKAN DUYUNG

Gambar:Kredit terbako.com

Maria Elizabeth dari Kampung Garam, Daerah Kota Uneng Wilayah Sikka telah melahirkan seorang anak perempuan yang mempunyai kaki seperti ikan duyung.

Bayi ini diberi nama Maria Oktaviani. Namun yang menyedihkan ia telah meninggal dunia selepas 8 jam dilahirkan.

Maria berkata, Maria Oktaviani tidak dapat diselamatkan kerana menghadapi masalah jangkitan dan kompilasi di bahagian paru-paru.

Usaha untuk menyelamatkan bayi istimewa ini tidak kesampaian kerana jarak antara rumah Maria dan hospital terlalu jauh, dan terpaksa menggunakan jalan darat dan sungai.

Maria menjelaskan, semasa mengandungkan Oktviani 3 bulan, Maria bermimpi didatangi seekor ikan duyung ketika mandi di laut. Dalam mimpi itu ikan duyung berkenaan meminta Maria mengikut perintahnya dan berjanji kandungan Maria akan membawa rezeki. Bagaimanapun Maria mesti mematuhi beberapa syarat. Syarat pertama, anak itu harus dinamakan Puteri Duyung. Maria tidak mahu nama itu kerana akan merosakkan nama keturunannya.

Ah tak sanggup pula nak melanjutkan cerita ini, kerana ia penuh dengan tahyul. Lagi pun ia hanya mimpi. Tetapi bayi ini benar-benar ada dan telah kembali kepada Allah. Nak tahu bacalah Mingguan Warta Perdana Bilangan 1163 bertarikh 1 April 2012.