Rabu, 9 April 2014

BAGAIMANA DIA MENJADI HEBAT TANPA PELAJARAN?

Aku memang suka gunakan istilah aku engkau kerana untuk mengurang jurang dengan mereka, dan supaya mereka tidak malu-malu untuk berinteraksi dengan aku 



Pagi tadi ruangan personal mesejku, menerima berita yang mengejutkan.

Seorang bekas pelajarku dari sebuah sekolah menengah yang aku mengajar di situ ketika itu, menyapa aku secara tiba-tiba. 26 tahun sudah berlalu, dan aku masih ingat sangat dengan dia. Kerana dialah, dan pelajar kelasnyalah pelajar yang pertama aku ajar dalam kehidupanku sebagai seorang guru, sudah tentunya aku tak akan lupa. Tambahan pula dialah yang menceriakan kelas yang aku ajar itu. Jika dia tidak datang, kelas menjadi senyap dan sunyi. Apabila tiba bab berlakon, dialah yang angkat tangan dengan suka relanya. Dan seluruh kelas akan menjadi gamat, apabila dia membuat kelakar. Dia suka menyakat kawan-kawannya. 

Namun pada satu hari, dia membuat keputusan untuk berhenti sekolah. Aku tahu, dia tinggal di sebuah kampung yang disisihkan dari prasarana yang sewajarnya, pinggiran kota Jay Bey yang pesat membangun itu. Rumah-rumah di situ kulihat jauh tertinggal dengan taman-taman perumahan berhampiran yang nampak gah dan mewah. Ketika itu dia masih dalam tingkatan dua. Cikgu-cikgu perempuan memujuknya dengan sepenuh hati agar membatalkan hasrat itu, ada yang menangis-nangis, membayangkan betapa dia akan menjalani kehidupan sukar dalam hidupnya.Namun dia berkeras juga untuk meninggalkan alam persekolahan, ketika usia masih terlalu mentah.

Tetapi....26 tahun kemudian, dalam mesejnya kepada aku tadi, dan melihat gambar-gambar dalam Facebooknya, ternyata dia kini menjadi orang yang senang-lenang. Dia kini menjadi bos, dan ramai orang menjadi kakitangannya. Subhanallah!  

Dia bercerita, selepas berhenti sekolah ketika usia baru 14 tahun, dia terkontang-kanting, menjadi kacang hantu.Dia berpeleseran di kota besar itu. Dan pada usia 17 tahun dia kerja di sana-sini.

Akhirnya dia berhijrah ke utara. Dan dengan usaha gigihnya, kini dia menjadi seorang kontraktor. Dan paling mengejutkan aku, dia mempunyai tiga orang isteri dan beberapa orang anak. Alhamdulillah.

Dalam mesejnya juga, dia teringin menemui aku. Ah....siapalah aku, hanya sempat mengajar dia empat bulan ketika itu, dan mengapa ia begitu terkesan dengan aku? Baru aku ingat, akulah gurunya yang terakhir, sebelum dia membawa diri ke dunia bebas tanpa kerja-kerja sekolah yang memang meletihkan. 

Aku juga tidak sabar untuk menemui insan istimewa ini.

Pengajaran yang aku dapat daripada peristiwa ini, usahlah memandang sebelah mata kepada budak-budak yang kurang pandai, nakal, susah, kerana masa depan manusia bukan ditentukan oleh segulung kertas. Tetapi komitmen kepada kehidupan itu sendiri.Dan toko-toko, gudang, aneka premis di kota-kota besar itu dimiliki oleh orang yang tidak ada apa-apa sijil.    

6 ulasan:

Kayu Manis berkata...

Terharu baca cikgu..
rezeki Allah yg beri itulh hakikatnya..

jgn asyik nk pndang rendah kt org jer..

Umialya berkata...

itu le rezeki ada di mana2, pokok pangkalnya usaha..

muhasabah diri...

che mid berkata...

pokok pangkalnya kita tak boleh bersangka buruk dan pandang rendah hanya kerana dia berhenti sekolah..entah apa onak duri yang ditempuh utk menjadi seperti jari ini. Dan tak semua orang boleh melaluinya...

Miss Mirror a.k.a Sam berkata...

Sedihnya..
Suruh la Farhan baca..

Bagus anak murid kau ni, menghargai guru sbb tu la hidupnya senang di kemudian hari walau pelbagai onak dan duri telah dijalani.

Cute Oven berkata...

Alhamdulillah...

kebesaran ALLAH

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr berkata...

betul tu..kebanyakan orang yg berjaya tiada pendidikan tinggi tapi diorang ada usaha dan pengalaman hidup yang menjadikan siapa diorang hari ini...