Ahad, 10 Jun 2012

JUMPA DOMPET WANITA

Lebih kurang beginilah rupa dompet yang aku temui tadi
Imej pinjam dari web sepatuindo.com

Pagi aku ke kebun lagi, namun ada jemputan kahwin yang perlu aku hadiri di Yong Peng. Rumah Cikgu Janis, bekas guru Prinsip Akaun aku dulu.

Balik dari kebun, dan lepas Zuhur aku bersiap ke sana. Jalan raya sesak luar biasa, berekor-ekor...banyaknya kereta hari ni macam kat kota besar pulak.

Hari ni aku pergi seorang diri, sebab isteri aku banyak tempahan jahitan yang perlu disiapkan dengan segera.

Sampai di kawasan perumahan itu, aku lihat tetamu cikgu Janis terlalu ramai. Aku parking agak jauh. Aku pun turun kereta. Baru jalan beberapa tapak, aku terpandang sesuatu di tepi jalan taman itu. Eh?....dompet mahal ni.... Aku pun ambil dan letakkan di wiper kereta hitam itu. Orang lalu-lalang boleh tak nampak pulak. Besar juga dompet tu.

Aku pun berjalan lagi, hati jadi tak sedap. Bagaimana kalau ada orang nampak, dan ia dikebas oleh bukan pemiliknya? Atau mungkin bukan milik tuan punya kereta Honda itu? Barangkali orang lain? Aku pun tak tengok apa isi dompet itu, takut-takut masa buka dompet tu, aku disergah pemiliknya dan menuduh aku mencurinya? Kacau maacam ni...?

Aku berpatah balik, dan mengambil dompet itu lalu berjalan laju ke arah rumah tuan rumah. Aku nak segera jumpa DJ biar dia buat pengumuman. Tiba-tiba DJ itu menjerit...

"Selamat Datang Encik Mat Sommmmmmm!!!! Ni kawan lama saya di sekolah menengah Seri Medan dulu....!!!"

"Kau Darus, kat sini pun ada....!" Kata aku. Dia buat aku sangat terkejut!

"Ni kan rumah Cikgu Kita, aku bagi murah-murah Mat Som" Bisik dia tanpa bercakap melalui mikrofon macam tadi.

Setelah aku menjelaskan tentang dompet itu,DJ Darus Buang pun membuat pengumuman.....Semua orang memandang ke arah Khemah DJ.

"Siapa yang bernama Puan ............Bt...... Alamat......Sarawak....datang sini, dompet ada ada di konti DJ....." Beberapa minit suasana sunyi...

Tiba-tiba datang terkocoh-kocoh seorang perempuan yang nampak orang berada....Namun dia tergamam dan lupa untuk mengucapkan terima kasih. Masa aku bukak di depan Darus itu, aku nampak ada duit dalam lingkungan RM 400- RM 500 berserta kad-kad kredit, lesen memandu, kad pengenalan. Suaminya nampak macam ustaz-ustaz gitu, berkat banyak berdoa, dompetnya itu tidak lesap.

Aku cerita ni bukan nak tunjuk aku baik. Tak sama sekali. Mesej yang nak aku sampaikan ialah, sentiasalah jaga dompet dan barangan penting kita. Kalau dah hilang kan susah. Sebulan dua juga nak ganti itu dan ini. Yang paling bahaya kad pengenalan digunakan orang lain untuk tujuan jahat seperti yang terjadi kepada Pn Noor Lela, gara-gara kehilangan kad pengenalan 18 tahun dulu kerana diragut, kini beliau menanggung hutang RM 250 000. Kad pengenalannya telah digunakan oleh penjenayah itu.

Sabtu, 9 Jun 2012

KISAH LOO JOO YEE DAN ISLAM


  • Pengajaran daripada Video ini: 
  • Kita orang Islam mesti memberi sokongan 100% dan mendekati golongan yang baru memeluk Islam ini, kerana sebahagian besar mereka telah disisihkan keluarga dan teman-teman. 
  • Segelintir orang-orang kita memandang serong terhadap keIslaman mereka, lalu kita biarkan mereka terumbang-ambing sendiri, dan ramai telah kembali ke agama asal kerana tidak dipedulikan. Sambutlah mereka sebagaimana mesranya sambutan terhadap ahli keluarga kita sendiri. Lindungi dan ambil beratlah tentang kebajikan mereka.
  • Berpegang teguhlah kepada agama Allah ini, kerana kini telah ramai yang telah menjadikan cara hidup barat dan aneka pegangan sesat termasuk nabi-nabi palsu sebagai pegangan. Ingatlah, apabila kebenaran telah datang, maka akan lenyaplah segala kebatilan.

Jumaat, 8 Jun 2012

MANDI DI PANTAI MENGUNDANG MAUT



Menyaksikan sendiri ombak mengganas di pantai barat Semenanjung Malaysia dalam dua tiga hari yang lepas, terfikir di dalam hati adalah tidak selamat lagi membawa anak-anak bermandi-manda di tepi pantai.


Tiga hari yang lalu pekerja kontrak Mathavanan 24 tahun, mati lemas di Pantai Klebang. Dan semalam di Georgetown Muaz Munawir 16 tahun, mati lemas di Pantai Kerachut Teluk Bahang.


Jika sebelum ini Pantai Timur Semenanjung menyaksikan lebih banyak kematian terutama setiap kali cuti sekolah dan cuti hujung minggu, dalam minggu ini nampaknya pantai barat kita turut bergelora demikian dahsyatnya.


Cadangan aku jika anak nak mandi sangat, elok saja dibawa ke taman tema air yang banyak terdapat di merata tempat di tanah air kita ini. Keluarlah duit sikit, yang penting keselamatan mereka lebih terjamin. Kawasan itu pun ada penjaganya berbanding pantai.


Air terjun Sekayu pun dah memakan korban minggu ini. Selain itu air terjun juga terdedah dengan kencing tikus, kencing gajah, kencing manusia yang menjejaskan kesihatan!


Kesimpulannya, jangan bawak lagi anak mandi-manda di pantai. Kita tak mau lagi tengok berita Kanak-kanak Mati Lemas di Pantai ABCDE. Untuk menyedut angin pantai, tak apalah sambil bergambar sakan di sana, Mandi...Mandillah kamu di bilik penginapan atau swiming pool cukuplah.


Selalu aku tertanya-tanya kenapalah pantai di sebelah barat ni terutama di Johor ni, air laut dia keruh semacam?  

Khamis, 7 Jun 2012

WARNA-WARNI CUTI SEKOLAH

26 - 27 Mei piknik di kebun, sambil bersihkan kebun. 28 Mei-31 Mei anak kelas tambahan
5 Jun jalan-jalan cari makan
6 Jun





Telur Dinasour
Tenang dan nyaman tempat ni
Sedang aku berdiri di tepi pokok itu, tiba-tiba aku dengar kerengga bargaduh ...hiruk-pikuk, rupa-rupanya berebut bulu burung.

7 Jun hari lahir Arina Zawani yang ke 7 tahun!
Mengutip durian di rumah abang ipar
Ombak besar agak menakutkan malam itu....
Ikan Koi yang keriangan

Isnin, 4 Jun 2012

USTAZ ITU BERMIMPI JUMPA RASULULLAH

Petang semalam aku ke jemputan Cikgu Suhood Kanapi di Pt Pulai. Siapa tak kenal Cikgu Suhood di Pt Sulong ini? Majlis perkahwinan adik iparnya di rumah ibu mertuanya ni meriah dengan siaran ceramah Ustaz Azhar Idrus dan ustaz-ustaz lain melalui DVD. 


Bagus tu, sepanjang hari ceramah, sesuailah sebagai rumah ustaz dan ustazah. Arwah Ustaz Hj Maarof (bapa mertua Cikgu Suhood) sudah lama meninggal dunia, beliau telah mengajar aku selama lima tahun semasa sekolah rendah pada tahun 70-an dulu. Arwah suka bercerita, lebih-lebih lagi cerita nabi-nabi. Kawan-kawan aku terutama pelajar perempuan paling suka, kalau arwah bercerita tentang kehandsomeman Nabi Yusof. Banyak yang diceritakan dan dinasihatkan arwah masih terpahat dalam ingatan aku. 


Arwah pernah bercerita kepada kami, (ketika di Sekolah Kebangsaan Tenaga Setia), sewaktu sedang berzikir di Mekah ketika arwah menunaikan haji, beliau tiba-tiba terlena. Dalam tidurnya, beliau bermimpi dikenalkan kepada beliau oleh seorang lelaki....


"Maarof, ingin saya perkenalkan kepada kamu, inilah Muhammad Rasulullullah."


Allahyarham terkesima melihat wajah Rasulullah. Beliau berkata wajah Rasulullah bercahaya bersih dan tersenyum kepadanya..


Lalu Allahyarham tersedar daripada tidurnya. Hj Maarof terlalu gembira dan memberitahu mimpi itu kepada sahabat arabnya di sana. Syeikh Arab itu memeluknya dengan erat dan menitiskan air mata, 


"Kamu sangat bertuah Maarof, aku setiap hari berdoa untuk bermimpi menemui Rasulullah, tetapi sampai sekarang, belum dimakbulkan Allah...."
(DIALOG DALAM BAHASA ARAB)


Sepanjang yang aku kenal sebagai hubungan antara murid dengan seorang guru, Allahyarham seorang yang sangat berbudi bahasa, lembut bertutur kata, tidak pernah menyakiti hati orang walaupun ketika itu kami pelajarnya yang masih hingusan, rajin sekali puasa sunat, dan setiap Isnin dan Khamis. Allahyarham juga sangat aktif dalam kegiatan dakwah.


Sekian untuk hari ini.
Berita baru!!! Nahas kapal terbang di Lagos Nigeria, 153 orang terkorban.