Isnin, 1 Disember 2008

KRONOLOGI SESAT DI HUTAN JENGKA 1987


















Gambar-gambar yang sempat diabadikan sewaktu sesat itu. Cuma aku seorang sahaja yang membawa kamera ketika itu. Kamera kecil filem 110.


Dibongkar dari Diariku 1987
3 April 1987
Dari MPTI, JB menuju ke Bandar Pusat Jengka. Singgah di Segamat dengan menaiki bas. Semua ahli pengakap sesi 85/88 MPTI mengikuti perjalanan ini. Tujuan utama adalah kursus manik kayu iv. Tiba di Kem Mahkota, BPJ tepat pukul 9.00 malam. Kehadiran kami dari Johor, disambut dengan meriah pengakap dari Pahang daripada pasukan Kelana, Pemimpin-pemimpin Pengakap Pahang dan mereka menerima kedatangan kami seperti telah kenal begitu lama. Malam ini, kami dikehendaki tidur dulu di dataran kem itu, kerana kesuntukan masa untuk mendirikan khemah.


4 April 1987.
Dari pagi hingga waktu Zohor, kami dikehendaki membersihkan kawasan khemah. Gabungan pengakap dua negeri yang berkumpul ini dibahagikan kepada 12 patrol. Aku termasuk dalam Patrol Tualang, yang terdiri daripada tiga teman dari MPTI iaitu Rosli Ismail, Abdul Razak Hussein dan Rizal Ghazali. Tiga pemimpin pengakap yang bergabung dalam patrol ini ialah Mohamad Jais Idrus, Zainal Abidin Hamzah, dan Hasnah Yusof.



5-8 April 1987
Kami mempelajari ilmu-ilmu pengakap seperti berkawat, membuat gajet, motivasi, teknik memasak di dalam hutan dan pelbagai kemahiran pengakap yang lain. Setiap malam kami tidur jam 2 - 4 pagi. Juru latih bagaikan tentera. Malam 7 April angin ribut melanda kawasan perkhemahan kami. Sebatang pokok yang besar (yang masih hijau) tumbang menghempap khemah di sebelah patrol kami. Khemah dan segala peralatan seperti beg, pinggan-mangkuk hancur dihempap pokok besar itu.Keadaan begitu huru- hara. Alhamdulillah tidak ada yang terkorban dalam kejadian jam 11.30 malam itu. Ketika mendengar pokok itu tumbang, kami semua lari lintang pukang meninggalkan tempat itu.


9 April 1987.
8.00 pagi, kami diberi penerangan tentang tracking yang akan ditempuhi tengah hari ini. Jam 11.50 tengah hari kami mula memulakan pengembaraan ini. Semua patrol yang jumlahnya 12, dikehendaki mengembara mengikut tempat-tempat yang berlainan. Kami dibekalkan sekotak mancis, sekati beras, sekeping khemah, bawang merah, satu tin sardin. Kami difahamkan akan sampai di SK Jengka 10 pada jam 7.00 petang nanti.
Di kawasan hutan simpan inilah peristiwa ini terjadi


Perjalanan ini memang mencabar. Kami menempuh hutan yang penuh berduri, terutama duri rotan. Hutan ini pernah diambil balaknya mungkin 10 tahun lalu. Kami menyeberangi anak-anak sungai. Meskipun ini tiada rehatnya, namun setelah tiba magrib, kami belum menemui apa-apa. Sungguh aneh, kami tidak terjumpa bekas tapak kaki manusia. Seolah-olah kami telah mengembara di hutan Jengka ini seminggu lamanya!



Rosli yang kami anggap ketua mengumumkan sesuatu yang menakutkan. "Kita telah sesat". Masing-masing terpinga-pinga. "Malam semakin hampir, lebih baik kita berkhemah di kawasan ini" Kami berpatah balik beberapa meter dari kawasan yang dipenuhi pokok buluh itu. Rosli membisikkan kepadaku "Aku tadi nampak seorang lelaki memakai baju Melayu macam cerita Hang Tuah kat pokok buluh tu" " Mungkin itu bayangan kau sahaja" Ujarku "Betul Som, tak kan kau tak percayakan aku" Aku meninggalkan Rosli, dan melihat Jais memanggil kami. "Aku dah jumpa tempat yang sesuai untuk kita berkhemah malam ni, tu ha tempat lapang tu"



Rosli mengajak aku mencari kayu api untuk unggun api malam ini. Razak, Rizal, Jais, Zainal dan Hasnah membersihkan kawasan itu. Hasnah mula memasak, Jais mengingatkan supaya masak berjimat, kerana kami tidak tahu berapa hari pengembaraan ini akan berakhir.


Di sekeliling kami penuh hutan. Tiada satu suara yang menunjukkan adanya manusia. Tidak ada suara dengungan motosikal yang mungkin tiga atau empat kilometer dari sini. Segala-galanya senyap dan sunyi sesunyinya.



Kami telah sediakan kayu-kayu yang ditajamkan seperti bambu runcing. Tidak jauh dari sini, ada anak sungai yang jernih airnya. Kami gunakan air itu untuk minum, mandi dan memasak. Kami rasa, ada binatang buas yang sama-sama ingin meminum air itu. Malam ini kami bergilir-gilir berkawal. Tiba-tiba jam 11 malam, keadaan menjadi kecoh. Sekumpulan beruk di atas pokok memaki hamun kepada kami. Mungkin mereka berkata "Penceroboh itu cuba memasuki kawasan kita!!". Keadaan itu berlangsung selama satu jam"



Hasnah seperti mengingati ibunya. Pasti ibu dan saudara maranya di luar sana sangat risau apabila Hasnah sesat bersama 6 pengakap lelaki yang belum tahu asal-usulnya.( Bayangkan kalau Hasnah itu anak anda, pasti anda menjadi gila memikirkannya). Yang mungkin menjadikan mereka tidak risau kerana adanya Jais dalam kumpulan kami. Jais itu adalah jiran Hasnah di Jerantut.



10 April 1987
Akhirnya pagi menjelma, dan kami lalui 9 April dengan selamat. Kami mengemas khemah dan peralatan yang ada. Kami mula meneruskan pengembaraan, dan yakin hari ini pasti kami akan keluar dari hutan Jengka ini. Perjalanan hari ini lebih mencabar. Rizal yang berada paling di belakang mendakwa, ada suara yang memanggilnya "Rizal, Rizal,...Rizal". Kami buat tak endah dengan dakwaan Rizal. 


 RIZAL MENYEBERANGI ANAK SUNGAI


Mata dan pandangan kami juga mula di pukau oleh fatamorgana. Pertama sekali, kami melihat satu puncak bukit yang seperti sedang dibangunkan. Kawasan itu ditambak dengan batu merah. Kami melihat kawasan berdekatan tempat itu seperti perkampungan. Ada barisan pokok getah. Kami sangat bersyukur, kerana telah menghampiri kawasan felda.


Yang menjadikan kami tertanya-tanya, tempat yang tadinya nampak cuma beberapa puluh meter, semakin ghaib daripada pandangan kami. Kami tidak menemui perkampungan itu, sebaliknya sebuah tasik seluas padang bola sepak. Akar-akar kayu yang berjuntaian menghiasai tasik itu. Malangnya aku tak terfikir untuk mengambil gambar yang indah itu!



Oleh sebab malam semakin menghampiri, dan hujan rintik-rintik mula membasahi kami, maka kami mendirikan khemah di kawasan berhampiran tasik itu. Aku,Jais dan Rizal mengumpulkan kayu api. Razak dan Rosli terlalu letih dan terbaring di banir kayu. Zainal menyiapkan khemah. Hasnah membersihkan kawasan. Kawasan dalam lingkungan 10 kaki itu anehnya tidak ditumbuhi walau sehelai rumput. Sedangkan kawasan sekeliling, dipenuhi aneka flora rimba.



Unggun api dihidupkan. Guruh di langit sesekali menunjukkan suaranya. Cahaya bulan pun tidak kelihatan. Hujan masih renyai-ranyai. Masing-masing bercerita kecuali aku dangan Zainal. Kami berdua memang pendiam. Senda gurau itu melupakan kami bahawa kami sedang menghadapi satu masalah yang sangat serius. Di luar sana, entah apa yang terjadi? Entah berapa ramai yang berdoa dan mencari kami?


Malam ini kami makan cepat. Seperti semalam, kami makan hanya sejemput nasi berlaukkan bawang merah yang direbus oleh Hasnah. Kami benr-benar mencatu makanan kami. Malam ini aku tidur cepat. Rizal, Rosli dan Jais berjaga sehingga jam 1.00 pagi.


Jam 1.00 pagi aku dikejutkan. Giliran aku, Zainal dan Razak berkawal. Malangnya, jam 3.00 pagi, kedua-dua sahabatku itu tertidur dengan memegang pisau kecil.Mungkin mereka terlalu letih. Aku cuba kejutkan kedua-duanya, tetapi beberapa minit kemudian mereka tertidur semula. Aku benar-benar merasa takut. Mataku liar memandang sekeliling. Petang tadi aku nampak tapak gajah dan harimau di tepi tasik itu. Kalau mereka datang malam ini. habislah kami semua.


11 April 1987
Setiap minit yang dilalui terasa begitu lama. Akhirnya subuh pun menjelma. Jais orang yang pertama bangun pagi itu, diikuti oleh yang lain. Rosli mengajakku solat Subuh. Dia menyuruh aku mengaji. Aku membaca ayat-ayat lazim yang aku hafal.


Selepas bersarapan dengan sejemput nasi, tanpa lauk kami pun mengemas dan membersihkan kawasan itu.Jam 8.30 kami memulakan perjalanan untuk hari ketiga. Hari ini semangat kami paling parah. Jam 11.oo pagi, kami telah menghentikan pengembaraan yang tiada kesudahan itu.


Kami menemui kawasan yang agak lapang. Tetapi tanah itu berbatu-batan dan tidak rata. Zainal dan Jais mengumpulkan timbunan kayu kering dan daun-daun lalu membakarnya. Asap hitam menjulang ke langit. Kami telah pasrah dan perlukan bantuan dari luar. Petang itu kami hanya makan biji barli yang dibekalkan. Hasnah memasak barli itu di campur dengan sedikit garam. Kami memakan barli itu sesudu bagi setiap orang.


Kami berbaring di situ. Memanggil dan menjerit sekuat hati, mana tahu ada penyelamat yang menghampiri kawasan ini. Kami terdengar sebuah helikopter, malangnya ia tidak melalui kawasan ini. Cuaca sungguh panas hari ini. Ada sejenis serangga hutan yng menghurungi kami. Kami tak kenal jenis serangga itu. Nak kata rengit-rengit bukan. Nak kata agas jauh sekali. Lalat? Bukan..bukan....entahlah


Aku teringat, hari pertama kami masuk ke kawasan ini, ada antara kami yang celupar. "Macam ni je hutan Pahang ni? Macam hutan kat belakang rumah aku je" Ada pula yang kata "Tak Camel langsung hutan ni!"Segala pantang larang masuk hutan kami langgar. Kami memasukkan apa sahaja yang kami jumpa ke dalam beg plastik yang dibawa. Kami menemui bunga aneh, cendawan yang kekuning-kuningan, duri landak. Benda-benda itu kami telah buang semula ke hutan ini pada petang kami mula sesat itu (9 April 1987). Brutal sangatkah kami, sehingga menjadi kemarahan warga rimba Jengka ini? Apa nak buat waktu ini, umur kami betul-betul tengah muda perkasa! 21 tahun - 26 tahun.


Kami benar-benar berehat hari ini. Hingga magrib menjelma lagi, tiada tanda-tanda akan tiba penyelamat yang akan membawa kami keluar. Kami terbaring di sana-sini. Entah berapa kali teman-temanku suruh aku membaca doa. Mereka mengaminkan doa ringkas yang aku baca. Doa itu maknanya Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat.


Malam pun tiba, kami telah makan pada pukul 7.30 tadi. Malam itu kami membuat ketetapan. Esok 12 April 1987, kami mesti bermati-matian keluar dari tempat ini. Segala alat yang membebankan akan ditinggalkan di tempat ini, termasuk khemah dan periuk. Cadangan Rosli itu kami terima tanpa bantahan.


Paling sedih dalam peristiwa ini selepas Hasnah ialah Rosli. Sepatutnya 12 April 1987 esok Rosli akan bertunang dengan seorang bakal guru Bahasa Inggeris dari Pulau Pinang (juga dari MPTI). Majlis pertunangan akan berlangsung di Pulau Pinang esok. Tetapi dia masih ada di dalam hutan bersama kami! Bayangkan kalau anda mengalami situasi seperti itu!


Malam ini aku tak dapat catatkan apa-apa kerana aku antara yang terus tidur dari pukul 9.00 sampai subuh. Cuma ada sesekali aku terjaga, aku nampak Razak dan Rizal sedang duduk termenung. Mereka seringkali membetulkan kayu api yang sedang dibakar itu.


12 April 1987
Apabila aku bangun, aku lihat Hasnah telah siap dengan pakaian pengakap yang kemas. Awal-awal pagi lagi dia telah menyediakan masakan "Banyak pula nasi hari ini?"Dia kata "Kita makan kenyang-kenyang hari ini. Kita mesti keluar dari sini. Rosli suruh kita puasa esok, kalau kita masih belum dapat keluar dari sini". 


"Maknanya, dah tak ada bekalan makanan lagi?"Ya, aku yakin hari ini kita dapat keluar" ujarnya. Nasib baiklah dia ni kuat semangat. Kalau jenis yang cepat histeria, agaknya dah lama kami ikut meracau!
Pagi ni kami bertolak lebih awal dari biasa, 7.45 pagi. Seperti biasa, aku diarahkan membaca doa selamat. Robbana atina pidunya hasanah, wafilakhiroti hasanah, waqina azabannar...amin. Zainal kemudian membaca doa bersendirian, agak lama...!


Rosli pun berucap, seperti seorang ketua platun " Sahabatku, walau apa terjadi hari ini, kita mesti keluar dari hutan ini! Sekali lagi aku jelaskan di sini, barang-barang ni, kita akan tinggalkan di sini. Khemah, beg, periuk, baldi dan benda-benda yang berat ini. Semangat kami pulih kembali. Kami menuju satu arah. Malam tadi kami terdengar bunyi sebuah motosikal di arah itu. Kami menuju arah yang dimaksudkan.


Tanda-tanda kemenangan semakin hampir. Kami menemui petunjuk baru. Adanya bekas manusia di sini. Beberapa batang pokok yang dicat warna merah! Kami telah mula gembira, walaupun entah bila pokok itu dicat?Tetapi sekurang-kurang ada tanda-tanda adanya manusia di sini.


Akhirnya! Kami menemui barisan pokok kelapa sawit yang agak tinggi! Alhamdulillah! Rosli dan Razak yang memang agak kelakar itu memeluk pokok kelapa sawit itu!!! Syukur kita telah menemui jalan keluar!!! Kami lihat jam ketika itu menunjukkan pukul 10.26 pagi (12 April 1987).


Tidak jauh dari situ kami ternampak seorang lelaki sedang meracun lalang. Kami panggil "Pakcik! Pakcik" Lelaki itu seperti ingin melarikan diri. Dia agak terkejut, apatah lagi sebahagian daripada kami berdarah digigit pacat.


"Hang ni dari mana?"Tanya pakcik itu "Alamak, kita ni dah sesat sampai Kedah ke?""Pakcik ni kan peneroka, kat Jengka ni, ada orang Kedah, orang Perak dan negeri-negeri lain" "Jalan besar ada kat depan tu" "Terima kasihlah Pakcik"


Dah sah, kami telah tiba di jalan besar. Suara kenderaan bertali arus semakin kuat kedengaran. Langkah kami semakin laju.


Kami pun tiba di tepi jalan yang bertar itu. Tidak lama kemudian berhenti sebuah van di hadapan kami. Turun tujuh lelaki dari van itu.Yang tinggal pemandunya sahaja. " Alhamdulillah! Awak semua selamat. Kami ni peneroka Felda yang sama-sama mencari kamu. Ramai askar, polis hutan , Rela yang cari kamu. Tentera udara pun ada, semua hampir 200 orang!" Kata salah seorang dari mereka. " Kami tak terfikir yang awak semua masih cergas seperti ini. Kami bayangkan awak semua dalam kedaan yang sangat teruk!" Kata seorang lagi ahli RELA itu.


Kami pun masuk ke dalam van putih itu. Dari tempat ini ke tempat asal kami masuk hutan jauhnya lapan kilometer. Jauhnya! "Tapi orang kata hutan ni tak besar, tapi kenapa macam beratus ekar luasnya? " Kami tanya pemandu van itu "Entahlah! Ramai orang yang dah sesat sebelum ni, tapi orang cari ayam hutan, biasanya paling lama sehari je"
.
Tiba di Kem Mahkota, kami serbu oleh ratusan orang di situ. Air mata para juru latih sudah tidak tertahan lagi. Aku, Razak, Hasnah, Jais dan Rosli benar-benar tidak dapat menahan perasaan lagi. Rizal dan Zainal tetap dengan sikap tenangnya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.





Kami bersalam dengan anggota tentera (darat dan udara), Polis hutan, dan Peneroka Felda yang berada di situ. Kami diberitahu ramai lagi anggota tentera sedang mencari kami di dalam, hutan.

Dalam suasana gembira itu muncul seorang wartawan. Beliau ingin menemu ramahku. Aku dengan baik menolak, takut mengguriskan mana-mana pihak. Aku suruh wartawan Berita Harian iti berjumpa Rosli. Rosli selaku ketua lebih elok menjawab soalan-soalan pemberita itu.


Selepas itu kami dikumpulkan dan dikehendaki berjumpa Bomoh Siam yang ada di situ. Dia menyuruh kami meminum kelapa muda yang disediakan. Bomoh itu menjampi serapah kami. Kami disuruh mandi di situ juga, seorang demi seorang dengan pakaian pengakap.


Setelah mandi kami dibawa ke pusat kesihatan Bandar Pusat Jengka. Aku dan Hasnah didakwa oleh dreser itu kena Malaria. Kami diberi pil malaria. pil itu sangat besar, tiga kali saiz Panadol.


Kemudian van itu membawa kami ke Balai Bandar Pusat Jengka. Kami dikehendaki membuat statement. Balik dari balai polis En Aziz Ghani dan En Subramaniam (pensyarah kami dari MPTI) bersama ketua jurulatih pengakap Pahang, membawa kami ke Restoran. Mereka menyuruh kami makan apa yang kami suka dalam restoran itu.


Kemudian, kami balik semula ke Kem Mahkota, menyiapkan barang-barang untuk pulang . Beberapa orang di situ meminta sain outograf (macam artislah pulak kami ni).


Salam terakhir....aku, Rizal, Razak dan Rosli meninggalkan bumi Pahang Darul Makmur.....terima kasih semua!!!Jais, Zainal dan Hasnah...KALIAN SAHABAT KAMI DUNIA AKHIRAT , MOGA-MOGA SUATU MASA KITA BERJUMPA LAGI!!!


Aku dan Razak menaiki kereta En Subramaniam pulang ke Johor Bahru. Rosli dan Rizal menaiki kereta YB ENCIK HAMIDIN YAHYA Adun Jengka menuju ke KL. Rosli balik ke Tanjung Karang, dan Rizal ke Pulau Pinang.


Kereta En Subramaniam membelah malam, dan kami tiba di JB pada jam 2.00 pagi. Aku lihat rumah sewaku tiada penghuni. Rupa-rupanya Pauzi ada di rumah Yunos. Pauzi sama berkhemah di dalam kem. Tapi dia naik bas, terpaksa balik awal. Yunos dan Pauzi memluk aku. Alhamdulillah! kau hidup lagi!
Malam itu aku tak dapat melelapkan mata sampai pagi.


16 Disember 2008
Sehingga hari ini aku tak dapat melupakan kenangan hitam itu. Ia telah berlaku begitu lama...21 tahun lalu. Mengapa aku tak boleh melupakan peristiwa itu? Adakah sahabat-sahabatku yang enam orang itu pun seperti itu juga?.....entahlah....moga-moga mereka dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan mempunyai keluarga yang bahagia....!


LAGI CERITA BERKAITAN-KLIK







2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,
saya terharu baca peristiwa yg berlaku.

tahun 1987 saya masih di tingkatan 3, sek men jengka 21. masa tu tak berapa peduli kisah tu walau pernah ada guru2 beritahu..

namun kini saya sbg guru dan salah seorang pemimpin pengakap di jengka , kisah ini tersentuh di hati apatah lagi pemimpin2 pengakap veteran acap kali mengimbas peritiwa itu kpd kami generasi baru..

ditambah lagi,saya pernah berkursus, tak ingat dimana kalau tak silap semasa di kem bina negara. pn hasnah salah seorang yg mengalami peritiwa menceritakan sejarah beliau tersesat ketika sesi dlm kumpulan..

sementelah lagi , kini hutan2 yg dimaksudkan dah hampir tiada lagi kecuali di sekitar kem mahkota sahaja. hutan tlh diganti dgn bandar nadi kota, tmn2 perumahan, kilang, sek dan universiti. mungkin rumah yg sy beli skrg adalah hutan tmpt tuan tersesat dahulu..

moga sejarah itu menjadi kenangan dan pengajaran..


pen. pesuruhjaya pengakap jengka

MSOM berkata...

Tkasih atas perhatian TUAN atas lawatan ke dalam blog saya. Saya mewujudkan blog ini adalah tujuan utamanya ingin membongkar sejarah silam yg benar-benar memberi impak mendalam dalam hidup saya. Jika Tuan menemui sahabat2 saya itu khasnya Jais Idrus, Zainal Abidin dan Pn Hasnah, sampaikan salam saya buat mereka. Mereka tidak menyimpan gambar2 itu. Kerana saya seorang sahaja yang membawa kamera
dalam peristiwa tersebut.

Saya memang teringin sangat melawat ke tempat itu, tetapi apabila saudara katakan tempat itu menjadi rimba batu, hasrat itu hanya tinggal harapan.

Semoga Tuan terus berjaya sebagai pemimpin pengakap yang prihatin terhadap kebajikan ahli-ahli pengakap di bawah pimpinan Tuan.

Sekian, jutaan terima kasih.
Sekali Berpengakap Terus Berpengakap.

MAT SOM BIN SADONO.
BATU PAHAT, JOHOR.