Rabu, 28 Oktober 2009

SEJARAH-KISAH BINTANG TIGA MENGAMUK DI JOHOR

Sebelas orang penduduk kawasan Seri Medan dan Seri Pasir Batu Pahat menjadi korban di hujung senjata komunis, namun komunis yang berpangkalan di Kampung Air Putih Parit Sulong masih menaruh dendam terhadap penduduk di kawasan tersebut.

Mereka yang terkorban ialah:
1. Hj Ahmad Masmuda berusia 40 tahun- Pt Hj Khalid
2. Hj Nasmulia Othman berusia 70 tahun- Ketua Kampung Pt Ulong
3. Zaini Hj Abdul Rahman- 20 an- Pt Ulong
4. Hj Nawi Abdul Manap- 50 an - Pt Ulong
5. Allahyarham Ratnayan -50 an -Pt Ulong
6. Rokayah Binti Esa- 20 an- Pt Ulong
7. Hj Abas Hj Abdul Shukor-60 an- Pt Lapis Bangas
8. Hj Osman Mandan - 60 an- Seri Pasir
9. Hj Ismail- 50 an- Seri Pasir
10.Hjh Saadiah Binti Hj Othman- 30 an- Seri Pasir
11.Hj Tamin- 70 an- Pt Lapis Bangas

Pasukan Bintang Tiga semakin rakus, berang dan ganas setelah ketuanya Ah Chang yang lebih terkenal dengan gelaran Chuan yang berasal dari daerah Penadu Indonesia dibunuh oleh penduduk Seri Pasir.

Mana-mana pemimpin yang menyokong kerajaan Jepun telah menjadi buruan pasukan Bintang Tiga.

Anak-anak muda di kampung-kampung kawasan Seri Medan, Parit Sulong dan Mukim Empat ramai yang dipengaruhi untuk masuk ke hutan bersama komunis.

"Anak-anak dara hilang dari rumah kerana diculik oleh pengganas itu adalah cerita yang kian menjadi-jadi ketika itu". cerita seorang penduduk Pt Mohamad, En Mohamad Hj Kasda 55 tahun, anak tiri Panglima Ijam Bin Ahmad, pemimpin kumpulan Muhammadiah Simpang Kiri, Batu Pahat.

Orang ramai lebih gelisah lagi apabila mendapat tahu setengah daripada anak-anak muda dan anak dara kampung itu dijadikan sebagai anggota tentera dan jururawat, rupa-rupanya dijadikan hamba nafsu mereka.

"Kejadian rumah-rumah dan kedai-kedai terbakar, pembunuhan, penduduk hilang dan berbagai-bagai angkara keganasan tambah meruncing lagi" katanya.

Orang ramai semakin tidak tertanggung. Cukai yang dikenakan keatas hasil kerja mereka seperti hasil minyak kelapa yang mereka proses secara tradisional ketika itu.

Mereka yang pernah menjadi musuh kepada tali barut itu sebelumnya mudah menjadi mangsa fitnah hingga berakhir dengan hukuman penggal leher. Atau senyap-senyap diculik atas laporan jahat yang diada-adakan.

Suasana semakin genting, kegiatan ekonomi tidak wujud dan ketenteraman jauh sekali ketika itu sebaliknya dengki mendengki, fitnah memfitnah, lapor melapor sahaja yang menjadi amalan para penduduk setempat, sedangkan yang rugi tetap di pihak rakyat, manakala yang memperoleh kepentingan hanyalah pihak komunis.

Dalam api kegelisahan itu, Mian Bin Sulong menjadi ketua Pt Sulong. Ketika itu umurnya 39 tahun.

Sebelum memegang jawatan penting dalam pemerintahan Jepun, Encik Mian telah dilantik sebagai Ketua Kampung Pekan Parit Sulong dalam sistem warisan ayahnya sendiri yang memegang jawatan yang sama sebelum itu.

SURAT UGUTAN

"Sebelum diserang ayah saya pernah menerima ugutan yang tertulis dalam tulisan jawi" ujar Cikgu Hj Abdul Karim Mian anak Encik Mian Bin Sulong.

Surat itu berbunyi,
"Wahai anjing hitam, kamu akan dibakar, daging kamu akan dicecah kicap!"

Daripada surat ugutan itu, sudah tentulah daripada agen-agen PKM berbangsa Melayu. Beberapa hari selepas menerima surat itu, Encik Mian menasihati isterinya Puan Nyemah Nordin 36 tahun menumpang di rumah saudara mara bersama empat orang anak-anaknya, Rahmah 14, Saadiah 12, Abdul Karim 10 dan Hashim 8 tahun.

Isteri dan anak-anaknya selepas itu ditempatkan di Rumah Guru Sekolah Melayu Parit Sulong.

Pemerintah Jepun yang dimaklumkan tentang ugutan itu telah mengarahkan pasukan pengawal di bawah pimpinan Jegedang Encik Mohd Sahal Bin Bongsu 58 tahun.

Pada 13 Mei 1945, kira-kira jam 6.00 pagi, waktu itu pasukan pengawal selesai menjalankan tugas dan kembali ke rumah masing-masing, tibalah satu gerombolan komunis seramai kira-kira 200 anggota.

"Saya dan adik-beradik serta emak saya lari bersembunyi di tepi sungai dekat Parit Sulong kerana rumah guru tempat kami bersembunyi digelidah dan dibakar komunis" kata Cikgu Abdul Karim.

Hj Abdul Karim sempat menyaksikan tragedi yang mengerikan dan paling hitam yang menimpa ke atas ayahnya.

Ayahnya memiliki sepucuk pistol dan selaras senapang patah dan senjata itulah yang digunakannya untuk menentang musuh yang sedemikian besar dengan hanya seorang diri.

Ketika
rumah bahagian dapur dibakar, En Mian berusaha melarikan diri dan lari bersembunyi di ruang tengah rumah itu. Serangan demi serangan bertubi-tubi hingga tidak tertangkis lagi.


Ketika itu juga, bapa saudara Hj Abdul Karim, Semat Abdullah 45 tahun, sempat melepaskan beberapa das tembakan senapang patah dari jarak dekat hingga mengenai bom tangan yang terlekat di pinggang ketua ketua komunis yang bernama Ah Chai.

Akibat daripada itu berlakulah ledakan yang amat kuat hingga memusnahkan tidak kurang 10 anggota komunis.

Pada hari tersebut Soncho Mian Bin Sulong tidak terbunuh. Beliau mendapat cedera parah di peha dan kaki.

Oleh sebab Encik Mian cedera parah dan berlumuran darah, beliau pengsan hingga komunis menyangka beliau telah terkorban lalau meninggalkannya lalu menyerang rumah-rumah penduduk yang lain.

Pada hari yang sama, beberapa orang penduduk Parit Sulong turut menjadi sasaran di muncung senjata api komunis termasuklah:
- ibu seniman dan pengarah filem Jamil Sulong, iaitu Temun Binti Manang 44 tahun
- adik ipar pengarah itu iaitu Harun 30 an dari Melaka
- dua orang anak Harun, seorang anak lelaki yang berusia baru dua tahun, seorang anak perempuan tiga tahun
- adik kepada Cikgu Abdul Karim bernama Ismail Nordin-12 tahun
- anak saudara Jamil Sulong iatu Tahir Harun 8 tahun yang meninggal beberapa hari selepas serangan kerana cedera parah

MEMBAWA NASIB

Jamil Sulong ketika itu kebetulan sedang berada di Batu Pahat kerana sedang berada di Batu Pahat kerana menuntut di High School Batu Bapat.

Mengenang nasib En Mian Bin Sulong, beliau dirawat di Hospital Batu Pahat, manakal anak-anak dan isterinya ditempatkan di rumah penduduk bandar itu.

Setelah tiga bulan En Mian sembuh dan beliau pulang dengan diiringi seorang pemuda yang bernama Salleh dari Low Piak. Pemuda ini kemudian terkenal dengan gelaran Panglima Salleh, Kiyai Hj Salleh atau Penghulu Hj Salleh.

Keluarga En Mian menumpang di rumah Hj Othman Taib di Pt Mohamad. Beberapa bulan kemudian mereka menumpang di rumah saudaranya di Parit Penghulu.

Setelah itu beliau kembali ke Parit Sulong.

Beliau meninggal setahun selepas peristiwa berdarah itu. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau sangat berdukacita kerana Parit Sulong dalam huru-hara dan sentiasa diancam komunis.

*****************************TAMAT***********************************



1 ulasan:

aza ni berkata...

As Salam cikgu
maklumat yang penuh...teruskan cikgu.