Sabtu, 30 Januari 2010

AKU SEDANG MEMBERSIHKAN SAWANG-SAWANG DI RUMAHKU INI

Ohhhh kalian kutuk aku ya? Aku sudah pulih daripada ketepuan. Sejak ANDUKA TARUNA menjadi tumpuan rakyat Malaysia, aku kena pastikan setiap entriku sebelum ini tidak mengguris mana-mana pihak. Kalau kita tulis di diari, tiadalah apa-apa bahana yang kita terima. Kalau tulis kat blog, facebook dan seumpamanya, boleh menyebabkan kita tidur bertilamkan simen dan berbantalkan lengan.
Jadi baiklah aku cerita bab makan-makan kali ini!
JOM KITA PERGI MENJENGAH ILMIAH CATERING NI!
Tengah hari tadi selepas shoping di Karfour, aku ke Ilmiah Catering di Taman Maju,
Batu Pahat. Murah, Cepat, Sedap moto perniagaan mereka bukan omongan kosong,
tetapi diterjemahkan secara realiti.

Siang-siang panas terik Ili memilih Nasi goreng kampung.

Ramai sungguh pelanggan di sini, kalau tengah hari mencecah ratusan orang
yang makan di sini

Aku makan tengah hari 6 beranak dengan jus karot gelas besar-besar baru RM 23.00
Kalau kedai lain mau RM 30.00 ke atas

Jadi kalau hendak makan murah di Batu Pahat carilah kedai makan ini

Buat orang Pt Sulong, Bank Simpanan Nasional sudah berpindah berdekatan Kedai Honda di sebelah Petronas. Kedai yang disewa BSN yang lama khabarnya akan disewa oleh hartawan emas dari Kelantan. Peniaga Melayu Muslim akan membuka kedai emas di lokasi strategik tersebut

Rabu, 27 Januari 2010

SEMAKIN RAMAI MANUSIA YANG SAKIT

Apabila kita ke hospital, kita lihat orang parking kereta memenuhi kawasan hospital sehingga melimpah ke tepi jalan. Wad-wad hospital pun sentiasa dipenuhi dengan manusia. Setiap orang mengadu sakit itu dan ini. Kurang-kurang pun sakit sendi sana-sini.

Itu yang sakit fizikal. Kini munculnya penyakit-penyakit baru. Terbaru ada sekumpulan pelampau meletakkan kepala babi di mesjid. Sebelum ini kita digemparkan dengan percubaan membakar surau dan gereja. Sesungguhnya mereka tidak pernah mahu memikirkan apakah kesan daripada perbuatan tersebut. Jika dibiarkan ini berterusan tidak mustahil negara kita akan menjadi Bosnia, Nigeria, Ambun, Lubnan dan banyak lagi contoh di dunia ini.

Namun setakat ini kita mengucapkan syabas kepada rakyat Malaysia yang masih waras dan mampu membuat pertimbangan.

Mungkin mereka tidak pernah membayangkan bagaimana nanti sanak saudara terdekat hilang nyawa, kudung,buta,rumah-rumah musnah, akibat sengketa yang dimulai dengan perbuatan yang penuh emosi itu. Seharusnya kita sudah berfikiran matang seiringan dengan kemerdekaan negara kita setengah abad ini. Lihatlah sengketa di negara-negara tersebut, siapakah yang bertepuk sorak? Kalah jadi abu, menang jadi arang.

Oleh itu peliharalah keamanan ini seperti menatang minyak yang penuh.

Sabtu, 23 Januari 2010

KEMANGKATAN DYMM SULTAN JOHOR


Dari jam 9.00 malam lagi, aku dihujani sms dan panggilan telefon daripada sahabat, ibu bapa dan sebahagian murid bertanyakan sama ada Sabtu hari ini cuti atau tidak? Aku terus menghubungi sdra Zulkeflee. Dalam ucapan pengumuman kemangkatan DYMM Sultan Johor, Menteri Besar tidak menyatakan tentang pengumuman cuti, barangkali kerana hari Sabtu secara keseluruhannya negeri Johor memang bercuti. Sdra Zulkeflee membalas sms yang diforward daripada sms Pengarah JPN Johor, En Sufaat Tumin yang mengarahkan arahan bercuti kepada semua pengetua dan guru besar. Dalam arahan itu beliau meminta pentadbir sekolah menampal makluman bercuti di pintu pagar dengan seberapa segera.

Seawal pagi jam 6.30 aku menyelusuri pekan Pt Sulong, dan didapati ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah. Ada antara mereka yang mengenaliku dan bertanyakan hal itu. Maklumlah mereka jarang mengalami pengalaman begini iaitu kehilangan sultan atau pemimpin, tidak seperti kita zaman yang lalu, di mana aku masih ingat lagi kita kehilangan Tun Abdul Razak dan kemangkatan Yang Dipertuan Agong secara tiba-tiba.

Dalam pengumuman Menteri Besar Johor, beliau meminta rakyat negeri Johor berkabung selama tujuh hari bermula dari baginda dimakamkan selepas solat zuhur hari ini. Mesjid-mesjid hendaklah mengadakan tahlil. Lelaki memakai songkok yang dililit kain putih dan wanita bertudung putih. Mereka yang bukan Islam hendaklah meletakkan kain hitami di lengan mereka. Bendera Johor hendaklah dikibarkan separuh tiang.

Semoga Allah mencucurkan rahmat kepada Almarhum DYMM Sultan Johor.

Rabu, 20 Januari 2010

ALLAH MAHA PENGAMPUN



Aku pernah mendengar cerita ini di kuliah subuh di kursus HPA di Pagoh lima tahun yang lalu. Lalu aku terjumpa cerita yang sama dalam sebuah buku. Kisah tentang seorang pemuda dengan perbuatan aneh yang terkutuk.
Ceritanya begini:

Pada suatu hari Umar r.a berjumpa Rasulullah sambil menangis, lalu baginda bertanya
" Wahai Umar, apakah yang membuat engkau sehingga menangis?"
" Ya Rasulullah, ada seseorang di muka pintu ini yang telah membakar hatiku"
" Ya Umar, bawalah dia masuk."
Lalu Umar membawa pemuda itu masuk sambil menangis.

Lalu baginda bertanya pemuda itu.
" Apakah yang telah engkau lakukan sehingga engkau menangis?"
" Wahai Rasulullah, aku telah melakukan dosa yang besar! Aku sangat takut kepada Allah yang sangat murka kepadaku."
" Apakah kamu mempersekutukan Allah?"
" Tidak ya Rasulullah."
" Adakah kamu membunuh jiwa yang kamu tiada hak membunuhnya?"
" Tidak ya Rasulullah."
" Maka Allah akan mengampunkan dosa kamu walaupun sebesar tujuh petala langit dan bumi dan bukit-bukit."
" Wahai Rasulullah, aku telah melakukan dosa yang lebih besar dari langit, bumi dan bukit-bukitNya."
" Apakah dosamu itu lebih besar daripada Al-Kursi."
" Dosaku lebih besar daripada itu."
" Apakah dosamu lebih besardaripada Arsy?"
" Dosaku lebih besar."
" Apakah dosamu lebih besar dari dimaaf oleh Allah?"
" MaafNya lebih besar."
Lalu baginda bersabda " Sesungguhnya tidak dapat mengampunkan dosa besar, kecuali Allah Yang Maha Besar, yang besar pengampunanNya." "
Baginda terus bertanya " Katakanlah wahai pemuda dosa apakaah yang telah engkau lakukan?"
" Aku malu hendak memberitahumu ya Rasulullah."
Rasulullah bertanya dengan kuat. " Beritahu aku apakah dosamu itu?"

" Begini ya Rasulullah, kerjaku ialah sebagai penggali kubur. Aku telah melakukan kerja menggali kubur selama tujuh tahun. Pada suatu hari, aku telah menggali kuburseorang gadis daripada kaum Anshar. Setelah aku menanggalkan kain kafannya, maka aku tinggalkan ia."

" Tidak jauh aku meninggalkannya, maka naiklah nafsuku. Oleh kerana tidak dapat menahan nafsu, aku kembali kepada mayat tersebut lalu aku pun memperkosanya. Setelah itu, aku tinggalkan dia. Belum jauh aku beredardari situ, tiba-tiba gadis itu bangun dan berkata " Celaka betul kamu, wahai pemuda! Tidakkah kamu berasa malu pada Tuhan yang akan membalas pada hari pembalasan kelak!? Apabila tiba masanya setiap orang yang zalim akan dituntut oleh yang teraniaya! Kau biarkan aku telanjang dan kau hadapkan aku kepada Allah dalam keadaan berjunub!"

Apabila Rasulullah selesai mendengar keterangan daripada pemuda tersebut, maka dengan segera Rasulullah bangun sambil berkata, " Hai orang yang fasik, memang layak kamu masuk neraka dan keluarlah kamu dari sini."
Maka keluarlah pemuda itu eninggalkan Rasulullah s.a.w.

Selama 40 hari pemuda itu memohon ampun kepada Allah dan pada malam yang ke 44, ia memandang ke langitc sambil berdoa, " Ya Allah, Tuhan kepada Rasulullah, nabi Adam dan ibu Hawa, jika engkau telah mengampunkan aku, maka beritahulah Rasulullah dan para sahabatnya. Jika tidak, maka kirimkanlah kepadaku api dari langit dan bakarlah aku di dunia ini dan selamtlanlah aku dari siksa akhirat."

Tidak berapa lama selepas peristiwa itu, turunlah Jibrail menemui Rasulullah. Selepas memberi salam Jibrail berkata, " Wahai Muhammad, Tuhanmu memberi salam kepadamu."
" Dialah Assalam dan daripadanya salam dan kepadanya segala keselamatan."
" Allah bertanya, apakah kamu yang menjadikan makhluk?" Tanya Jibrail.
" Dialah Allah yang menjadikan segala makhluk."
" Adakah kamu yang memberikan rezeki kepada makhluk?"
" Dialah yang memberi rezeki kepada akui dan makhluk-makhluk yang lain."
" Apakah kamu memberi taubat kepada mereka?"
" Dia Allah yang menerima taubat dariku dan mereka."
Maka berkata Jibrail, " Allah berfirman, maafkanlah hambaKu itu, kerana aku telah memaafkannya."

Maka segera baginda memanggil pemuda itu dan menerangkan kepadanya bahawa Allah telah menerima taubatnya dan memaafkannya.

Begitulah sebuah peristiwa yang penuh mengandungi iktibar untuk direnungkan bersama. Wasalam....

Selasa, 19 Januari 2010

MASA KIAN BERLARI

Lukisan Rahmat Salamon
Guru SMK SERI MEDAN

SEKARANG ini semua orang yang mempunyai anak yang bersekolah, kelihatan begitu sibuk sekali. Kesibukan itu mengalahkan jadual harian pemimpin negara. Aku dan Hamidah tidak ketinggalan, kami seolah-olah dihambat masa. Pagi-pagi sudah ada di depan SMKDS, kemudian ke SK PT SULONG dan tiba di tempat kerja SKSP pada jam 7.20 pagi. Hamidah pula menghantar Arina dan mengambilnya semula di Pasti. Jam 1.00 istriku mengambil anak-anak di SKPS. Kemudian menghantarnya pula ke sekolah agama. Jam 2.00 petang, aku mengambil Ili. Jam 3.00 petang menghantarnya pula ke latihan sukan. Jam 3.30 petang pula menghantar Irfan dan ambil Iwan di sekolah agama. Jam 5.00 ptg Hamidah pula mengambil Ili dari latihan sukan. Jam 6.25 aku pula menjemput Irfan. Jam 7.30 aku mengajar anak-anak mengaji (sejak Ustazah Helimah berpindah ke rumah barunya di Tongkang Pechah).
Pukul 10.00 sehingga jam 12.30 menyiapkan kerja-kerja sekolah, yang tiada pernah habis ini.

Idea hendak menulis blog pun sudah terbantut bulan ini. Patutlah blog YIN senyap sahaja akhir-akhir ini. Apatah lagi beliau memegang jawatan penting di sekolah. Mungkin Cikgu Yin terlalu sibuk dan mengalahkan kepadatan jadual Presiden Obama ketika ini?

Apabila melihat cermin, sudah ada tumbuh uban sehelai dua. Ia sebuah peringatan bahawa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja. Sudah sampai ketikanya aku mencari sebanyak ilmu agama buat menghadapi hari-hari yang semakin tua dan usang ini.

Hari ini Facebook aku bertambah frend-frend aku. Kebanyakannya anak murid aku di SMKPS dahulu. Sungguh pantas masa berlalu, kini mereka telah dewasa sehingga aku pun sudah tidak mengenali wajah-wajah mereka.

Akhir kata malam ini,kita tidak boleh lari daripada masalah. Tugas kita ialah menyelesaikan setiap masalah yang datang kepada kita. Semua orang melihat kerja orang lain lebih indah dan menyeronokkan. Tidak ada yang mudah di dunia ini. Semuanya ada cabaran tersendiri. Sekian sehingga berjumpa lagi.

Jumaat, 15 Januari 2010

BERPESAN-PESANLAH DENGAN KEBENARAN



Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh........
Kembali ke matlamat asal blog ini dihasilkan antara visinya adalah untuk menyampaikan sekecil zahrah ilmu agama kepada sesama insan. Maka bermula pada detik ini, RADIO RODJA ini dimasukkan ke dalam blog aku ini. Mana tahu ia dapat membersihkan HATI-HATI KITA yang sudah mula dicomoti oleh kebejatan dunia yang menggila ini. Aku jua tertanya-tanya, mengapa dengan tiba-tiba AMSUDA daripada tema blognya agak keremajaan kini telah beralih ketema dakwah. Sesungguhnya di alam barzah nanti, kita akan terputus dengan semua yang ada di dunia ini melainkan TIGA perkara:

1. Doa daripada anak yang soleh
2. Sedekah jariah
3. Ilmu yang dipergunakan orang

Untuk menjadi pendakwah tidak perlulah kita menjadi ustaz. Sampaikanlah walau hanya satu ayat.

Dengan rasminya aku melancarkan RADIO RODJA ini di sini selagi penganjurnya tidak menutup siarannya.

Khamis, 14 Januari 2010

BARU BELAJAR BUAT HYPERLINK



Blog aku ni sudah setahun, tapi ada satu lagi yang aku tak dapat kuasai. Kalian jangan ketawa! Tengok blog Mummy Gee dan Miss Mirror penuh dengan LINK. Maka entri kali ini mulalah aku boleh buat LINK. PAGI-PAGI BUTA AKU CALL Miss Miror bertanyakan perkara amat penting ini. Dan inilah percubaan pertamaku...BERJAYA! Terima kasih Miss Miror. Suara Miss Miror pagi ini lain benar, rasa macam suara minah salleh. Mungkin dia tertelan sedikit bulu kanggaru? Inilah pentingnya kita bertukar-tukar ilmu. Yang tidak tahu kenalah bertanya. Yalah, kadang-kadang godek sendiri tidak menjadi sampai lenguh tangan. Rupa-rupanya apabila bertanya dengan yang lebih tahu, seminit pun boleh buat. Macam TV kita rosak, kalau kita betulkan sendiri, mungkin ibarat TIKUS MEMBAIKI LABU (ya murid-murid inilah peri bahasa pertama saya untuk anda semua)!

Selasa, 12 Januari 2010

USAH BIARKAN HATI MENJADI GELAP



Kedurjanaan berleluasa kerana hati-hati telah menjadi gelap. Bagaimana hati menjadi gelap? Hati kita ini asalnya putih bak kain putih. Sedikit demi sedikit noda hitam telah menjadikan hati itu gelap. Kini penyumbang kepada hati menjadi rosak terbentang luas. Sebagai contohnya, ada malaun-malaun yang menghantar sms "Saksikan aksiku yang panas, sila balas YA sent ke........" Begitulah antara yang pernah aku terima. Dan syaitan-syaitan itu rasanya menghantar sms itu kepada ribuan remaja di tanah air kita ini.Oleh sebab hanphone aku ini masih cabuk dan tidak ada skrin bergambar, maka aku menjadi maksum, terpelihara! Bagaimana anak-anak muda yang menonton aksi-aksi tersebut? Pasti akan lahir penjenayah-penjenayah, dan bertambah bayi-bayi yang dilemparkan merata-rata?

Internet juga jika tidak dikawal akan akan menjahanamkan jiwa-jiwa manusia. Kita haruslah manfaatkan internet ini untuk memutihkan hati-hati kita yang mula hitam. Apa tanda-tanda hati kita menjadi gelap? Antaranya kita semakin malas untuk beribadah. Solat kita pun hanya seperti ayam patuk padi. Masa solat pun kita masih memikirkan keduniaan yang tiada sudahnya ini. Nak kaya bagaimana lagi? Lihatlah Michael Jackson yang dilimpahi wang berjuta-juta, tetapi tidak bahagia dan mati dalam keadaan tragis. Dunia ini jika dikejar, tiada sudahnya kerana semuanya fatamorgana.

Bagaimana caranya meningkatkan semangat kita untuk beribadah? Sudah pastinya kita kena bersahabat dengan rakan-rakan yang soleh dan solehah. Selalulah menonton ceramah-ceramah. Sekarang sudah mudah. Dalam YOUTUBE kita boleh dengar ceramah agama. Taip saja CERAMAH USTAZ ISMAIL KAMUS, USTAZ HARUN DIN, dan lain-lain yang anda minati. Kalian boleh dengar ribuan ceramah melalui internet. Yang penting ustaz yang diperakukan kealimannya, dan bukan guru-guru agama palsu yang mengajak kepada kesesatan.

Jika kita semakin jauh daripada agama, ditakuti kita membuat sesuatu keputusan berdasarkan hawa nafsu sahaja. Maka jadilah seperti hari ini, masyarakat kita semakin rosak dan dunia ini dipenuhi kemaksiatan dan penderhakaan kepada Allah SWT.

Ahad, 10 Januari 2010

YANG KAYA SEMAKIN KAYA, YANG MISKIN SEMAKIN MISKIN


Saudaraku Masngut baru sahaja balik dari negara tercintanya beberapa minggu yang lalu. Gembira kerana dapat bertemu anak isteri setelah dua tahun bekerja sebagai pemetik kelapa sawit di Seri Medan. Dalam kegembiraan itu, dia melahirkan kekecewaan terhadap perkhidmatan hospital di Indonesia yang menekan golongan rakyat bawahan sepertinya.

Apa tidaknya, anaknya demam panas dan cuma berada lima hari di hospital milik kerajaan dikenakan RM 800.00 duit kita. Nasib baik dia kerja di sini, bagaimana mereka yang cuma kerja bertani atau kerja kilang di sana dengan gaji RM 4.00 sehari untuk membiayai bil hospital itu? Jika kita di sini mungkin bayaran lima hari di wad biasa dalam lingkungan RM 100 ke bawah. Itu pun kalau merayu akan diturunkan lagi.

Pernah aku menonton satu drama Indonesia, ada sepasang suami isteri tidak dapat membawa bayinya pulang kerana mereka belum menjelaskan bil hospital. Rupa-rupanya Masngut kata, untuk setiap melahirkan bayi, kos yang diperlukan ialah sebanyak RM 400.00 duit kita. Jika bayaran seperti ini dikenakan di Malaysia, pasti ramai yang bersalin di rumah dengan dukun-dukun kampung. Bukan semua orang mampu untuk mengeluarkan biaya sebanyak itu.

Beberapa tahun dahulu kedengaran akan berlakunya penswastaan hospital di negara kita. Akibat tekanan oleh rakyat, akhirnya isu itu senyap begitu sahaja.

Yang terjadi sekarang, bayaran yuran di sekolah sudah mula membebankan mereka yang mempunyai anak yang ramai. Ia terus menjadi polemik yang tiada berkesudahan. Maka tugas kita ialah bersuara supaya kita hidup selesa dan tidak tertekan. Pihak pemerintah seharusnya terus menjadi pembela rakyat dan bukan mementingkan keuntungan sebagaimana yang berlaku di negara jiran itu. Ia semua rentetan pemerintahan Suharto yang mendahulukan kantung para kroninya. Oleh sebab ia telah berakar umbi, maka amatlah sukar untuk membuang barah yang semakin parah itu.

Khamis, 7 Januari 2010

BULI TERAGUNG ABAD INI

Januari 1976 sekolah dibuka. Sekolah Agama Tenaga Setia sungguh meriah setelah sekian lamanya ditutup kerana cuti akhir tahun. Aku mula masuk sekolah agama Darjah Satu. Sekolah kebangsaan aku Darjah Empat. Aku begitu seronok dapat bersekolah agama. Ketika itu sekolah agama masih menumpang di sekolah kebangsaan.

Bersama dengan aku mendaftar seorang yang dikenali sebagai Mamat. (nama penuhnya terpaksa aku rahsiakan) Badannya lebih besar kerana dia Darjah Enam sekolah kebangsaan dan berumur 12 tahun. Aku dan kawan-kawanku pula baru berumur sepuluh tahun. Mamat kacak orangnya. Rambutnya tegak jika dipotong pendek. Wajah Mamat tidak pernah luput daripada ingatan aku. Sayangnya aku tidak menyimpan gambarnya.

Bermulalah sejarah hitam apabila Mamat menang dalam pemilihan ketua kelas, kelas agama tersebut. Sebahagian besar daripada kami memilih Mamat budak yang muncul di kampung kami itu, kerana dia seperti ada karisma tersendiri. Kulitnya lebih cerah daripada yang lain.

Namun secara terus terang kami tidak mengenali asal-usul Mamat. Yang kami tahu dia menjadi anak angkat secara tiba-tiba kepada guru besar SK Tenaga Setia ketika itu.

Waktu itu sekolah agama tidak cukup guru. Kelas Darjah Satu dibahagi kepada dua kelas kerana murid agak ramai. Satu kelas untuk murid perempuan, dan satu kelas lagi untuk murid lelaki. Guru yang mengajar pun terpaksa membahagi masa, satu masa di kelas lelaki dan satu masa lagi di kelas perempuan.

Seminggu persekolahan berlalu, Mamat belum menunjukkan kehebatannya sebagai Ketua Kelas. Minggu kedua bermulalah tembelang sebenar siapakah Mamat. Ketika guru mengajar di kelas perempuan, Mamatlah mengawal kelas kami.

Mamat mengeluarkan beg sekolahnya. Semua mata tertumpu kepadanya. Dia kata siapa yang berani lawan dia akan dikerjakan cukup-cukup. Dia mengeluarkan lastik daripada beg itu. Mangsa pertama ialah Jamil dari Kampung Air Putih. Kaki Jamil dilastik dengan batu dan Jamil menjerit sekuat hatinya. Oleh sebab kelas kami agak jauh dari kelas lain, maka tiada seorang guru pun yang mendengar tangisan itu. Mamat menghalakan lastiknya kepada Jamil sekali lagi.

"Kalau kau tak berhenti menangis, aku lastik kau lagi!!!"

Semua murid kelas itu termasuk aku kecut perut. Yang aku pelik di dalam kelas itu ada murid yang sudah bermisai, kerana sudah banyak kali tidak lulus peperiksaan, jadi mereka tidak naik kelas. Mereka cuma diam membisu dengan kejadian itu. Jika ikutkan fizikal pasti dua orang abang senior itu dapat menewaskan Mamat. Tapi yang terjadi, mereka jadi dayus dan pengecut.

Pada hari lain, masih aku ingat lagi Mamat menyuruh kami mengangkat dia seperti menjunjung raja dan berpusing mengelilingi kelas. Sambil itu kami disuruh melaungkan "Hidup Mamat!....Hidup Mamat!"

Aku ingat betul, tahun 1975 Mamat belum muncul. Dia belum datang ke Sekolah Kebangsaan Tenaga Setia lagi. Ketika itu kami rasa begitu aman dan seronok bersekolah di situ. Mamat bukan sahaja mengganas di sekolah agama malah di sekolah kebangsaan juga. Dia cuma tewas kepada seorang murid bernama Muslimin. Mereka bertumbuk di bawah pokok saga berhadapan padang sekolah. Muka Mamat kena tumbuk bertalu-talu dengan Muslimin. Nasib baiklah Hj Rosdi tukang kebun sekolah, meleraikan pergaduhan itu, jika tidak, tidak tahulah apa yang terjadi. Kejadian itu berlaku antara pertukaran waktu antara sekolah kebangsaan dengan sekolah agama.

Walaupun Mamat tewas kepada Muslimin, namun murid lain di sekolah kebangsaan tetap takut menghadapi Mamat. Malangnya ketika itu kami tidak bersatu, maka mudahlah Mamat memperkotak-katikkan kami. Aku telah menyaksikan beberapa kejadian di mana Mamat menghantukkan kepala beberapa budak darjah enam ke dinding. Muslimin walaupun kuat, tetapi dia terus mendiamkan diri. Mamat ternyata bijak dengan tidak mencari fasal dengan Muslimin.

Satu lagi kejadian di sekolah agama itu ialah Mamat memanggil satu persatu daripada kami. Selepas mereka dibaringkan Mamat suruh mangsanya itu membuka seluar. Kemudian Mamat mencucuk 'burung' kawan tadi dengan jangka lukis yang tajam itu. Menangislah kawan-kawan aku itu kena dera. Tibalah giliran aku dipanggil Mamat. Aku terus menjerit dan menangis sekuat hati. Kebetulan masa itu cikgu masuk ke kelas. Aku secara automatik berhenti menangis. Mamat sudah menjeling tajam ke arahku. Jelingan itu merupakan amaran yang sangat aku fahami. Maka terselamatlah aku dari jadi mangsa jarum jangka lukis. Yang peliknya apabila cikgu bertanya,

" Kenapa bising-bising tadi?" Tiada satu suara pun yang menjawab. Mamat dengan selamba menjawab.
" Biasalah budak-budak cikgu, cikgu tak ada, bisinglah dia orang"

Dalam hari yang lain di kelas sekolah agama itu, Mamat menyuruh beberapa sahabatku supaya membawa rambutan. Jika mereka tidak membawa rambutan itu mereka akan kena belasah. Esoknya dua orang sahabatku membawa dua plastik rambutan. Oleh sebab rambutan itu masih kelat-kelat, Mamat sungguh marah. Dua orang sahabatku dari Kg Air Putih itu mengopek rambutan itu dan menyerahkan kepada Mamat. Mamat makan rambutan itu dan mengambil kulitnya. Dia meludah dua kulit itu lalu menyuruh dua sahabatku itu mengunyahnya.

"Ha ha ha Kunyah! Kau mesti kunyah, kalau tak aku hantuk kau semua ke dinding!"

Dua sahabatku itu mengunyah dan termuntah-muntah di depan kelas. Mamat ketawa terbahak-bahak. Murid-murid lain termasuk aku menjadi saksi bisu kejadian penderaan itu.

Ada satu hari yang kami rasa merdeka.
" Hari ini kita merdeka" jerit seorang sahabatku.
" Kenapa merdeka?"
" Mamat buat Kad Pengenalan!"

Mamat walaupun nakal tidak pernah ponteng kelas.

Kenakalan Mamat kami ajukan kepada beberapa guru di SK TENAGA SETIA itu. Malangnya mereka takut dengan Guru Besar. Ini kerana Mamat menjadi anak angkat Guru Besar. Guru Besar itu pula memang terkenal garangnya maklumlah guru besar era lepas perang dunia ke Dua. Jadi kami terpaksa menghadapi keganasan Mamat sehingga setahun lamanya.

Cuti akhir tahun pun bermula. Ini menunjukkan pemerintahan Mamat sebagai ketua kami telah berakhir. Tahun depan Mamat akan bersekolah di sekolah menengah.

Suatu malam pada awal cuti, sedang aku berbaring mendengar drama syair dari radio Singapura, aku dipanggil seseorang. Ipong rupanya.

" Cepat...ikut aku, kawan-kawan kumpul di kedai Kadri"
" Ada apa ni?"
" Ikut je"

Sampai di sana aku melihat ada 30 orang sahabatku. Yang membotakkan kepala ada 10 orang .

" Kau semua tau tak, hujung tahun ni Mamat akan tinggalkan kampung ni!" Kata sahabatku S selaku ketua malam itu.
" Jadi kenapa?"
" Sebelum dia pergi berpindah ke Mersing, kita lanyak habis-habis dia malam ni!"
" Nanti kita kumpul di padang sekolah. Ipong dan Salison akan pergi ke rumah Guru Besar. Kau cakap nak ajak jalan-jalan kepada Mamat, apabila Mamat sampai aje di padang, kita belasah habis-habis sampai menangis!"
" Okey!!!!"
Aku lihat kawan-kawanku ada yang bawa kayu, pisau kecil, buluh dan lastik. Masa itu kami sudah tidak ingat lain. Balas dendam!

Malangnya apabila sampai di sana yang turun bukan Mamat, tetapi Debleng menantu guru besar. Dan kami tahu
guru besar ada senapang patah. Bila-bila masa dia boleh naik angin. Dia pernah menembak ke udara semasa beberapa budak menyerang rumahnya dengan mercun. Debleng memarahi utusan kami. Nampaknya rancangan kami telah bocor. Mesti ada antara kami yang belot! (kejadian ini berlaku pada Disember 1976)

Sebelas tahun kemudian.........1987 Aku kini berada di tahun akhir MPTI, Johor Bahru. Setiap hari boleh dikatakan aku akan berada di Kompleks Tun Abdul Razak. Sedang aku berjalan-jalan di sana, bahuku dilanggar oleh seseorang. Dia memanggiku
" Mat Som!!!"
" Kau? Kau? Kau Mamatkah?"
" Hahahahaha...!!!! Kau ingat aku lagi ya?"
" Aku akan ingat kau sampai mati Mamat!"

Aku lihat badan Mamat dipenuhi tatoo. Dua orang yang mengiringinya nampak seperti pondan jalanan. Badannya dan pakaian mereka begitu tidak terurus.

Sebelas tahun aku tidak berjumpa Mamat. Kalaulah rancangan malam itu berjaya mungkin Mamat telah mati di kampung aku dan mungkin aku dan kawan-kawanku masuk mahkamah.

Kini Mamat telah tiada. Dia telah kembali kepada penciptaNya sewaktu berada di penjara Simpang Renggam. Itu semua aku peroleh daripada cerita kaum kerabatnya. Aku pun tidak tahu jenayah apakah yang dilakukan oleh Mamat!



Ahad, 3 Januari 2010

FACEBOOK PEROSAK RUMAH TANGGA

FACEBOOK dapat menemukan semula dengan teman-teman lama. FACEBOOK seperti dadah, ia digunakan dalam perubatan, namun ramai juga yang rosak kerananya. METRO AHAD hari ini mengetengahkan keluhan seorang suami tentang isteri yang ketagih FACEBOOK. Di luar sana ramai juga isteri merana kerana suami gila FACEBOOK. Maka gunakanlah FACEBOOK dengan sebaik-baiknya, jangan sampai ia merosakkan masa depan anda kerana dakwaan FACEBOOK adalah agen YAHUDI memang ada benarnya. ENTRI saya 2010 ini memang keras bunyinya sesuai dengan angka 44. Saya tidak peduli apa, yang penting ALLAH S.W.T tahu saya tidak bersalah. Yang paling dahsyat FACEBOOK digunakan oleh agen-agen barat untuk cuba menumbangkan kerajaan Ahmadeejad Iran pada tahun 2009.
Klik untuk lebih JELAS

Sabtu, 2 Januari 2010

HARI LAHIR KE-44


Hari ini hari lahir aku yang ke-44 tahun. Inilah hadiah daripada Isteriku Hamidah. Hamidah mengharapkan suaminya ini terus komited menjadi pendidik. Siapa yang tidak takut menghadapi hari-hari yang beransur tua. Seorang sahabatku, Halim Taib menulis dalam Facebook, Matsom, 44 itu hanya angka-angka. Teruskan semangat anda! 44 ni nombor rumah emak aku di XXXXXXXXXXX Orang Cina takut dengan angka 44 ni. Syukur, Allah S.W.T masih memberiku waktu untuk bernafas di bumi yang indah ini. Kalau Allah S.W.T ingin memendekkan umurku, mungkin aku sudah terkorban di hutan Jengka 1987 dahulu, atau tragedi kereta terbalik di dalam parit di Batu 21 Jln Muar Yong Peng pada 30 Oktober 2004, dan banyak lagi peristiwa yang hampir aku menjadi sirna. Allah masih kasihan dan sayangkan aku, isteri dan anak-anakku yang masih perlukan aku sebagai pelindung.

ALLAH DI BULETIN KATHOLIK

Pentas 2010 dibuka dengan isu panas di mana gereja Katholik boleh menggunakan perkataan ALLAH dalam buletin edaran mereka yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Soalnya jika mereka sudah mengaku Allah sebagai tuhan mengapa mereka tidak mengakui bahawa Allah itu Esa? Kita bimbang kejayaan mereka dalam tuntutan tersebut akan digunakan untuk menyesatkan orang-orang Islam di bumi Mlaysia ini, tambahan pula terlau ramai orang Islam yang jahil terhadap agamanya sendiri, sehingga percaya kepada Rasul Melayu yang penipu, Ayah Pin kerajaan angkasa lepas, apatah lagi dengan dakyah Kristian yang tersusun demikian rapi dan berstrategi?

Sedang orang-orang mereka berbondong-bondong menganut Islam di Eropah, kita di Malaysia ini semakin kalut hingga mempercayai sesuatu yang ternyata sesat daripada kebenaran. Adakah minda kita telah diterbalikkan Allah hingga tidak mampu berfikir untuk memilih mana jalan yang benar?

Kita telah merdeka setengah abad, tetapi apabila terjadinya keputusan seperti itu ramai yang membisu, sedangkan ia mengancam akidah generasi anak bangsa kita pada masa akan datang. Cuma segelintir orang yang terlibat dengan NGO yang menunjukkkan penentangan secara terang-terangan.

Jika sikap seperi ini dibiarkan tidak mustahil lambat laun Islam akan lenyap dari Malaysia seperti hilangnya Islam dari bumi Andalusia.