Khamis, 7 Januari 2010

BULI TERAGUNG ABAD INI

Januari 1976 sekolah dibuka. Sekolah Agama Tenaga Setia sungguh meriah setelah sekian lamanya ditutup kerana cuti akhir tahun. Aku mula masuk sekolah agama Darjah Satu. Sekolah kebangsaan aku Darjah Empat. Aku begitu seronok dapat bersekolah agama. Ketika itu sekolah agama masih menumpang di sekolah kebangsaan.

Bersama dengan aku mendaftar seorang yang dikenali sebagai Mamat. (nama penuhnya terpaksa aku rahsiakan) Badannya lebih besar kerana dia Darjah Enam sekolah kebangsaan dan berumur 12 tahun. Aku dan kawan-kawanku pula baru berumur sepuluh tahun. Mamat kacak orangnya. Rambutnya tegak jika dipotong pendek. Wajah Mamat tidak pernah luput daripada ingatan aku. Sayangnya aku tidak menyimpan gambarnya.

Bermulalah sejarah hitam apabila Mamat menang dalam pemilihan ketua kelas, kelas agama tersebut. Sebahagian besar daripada kami memilih Mamat budak yang muncul di kampung kami itu, kerana dia seperti ada karisma tersendiri. Kulitnya lebih cerah daripada yang lain.

Namun secara terus terang kami tidak mengenali asal-usul Mamat. Yang kami tahu dia menjadi anak angkat secara tiba-tiba kepada guru besar SK Tenaga Setia ketika itu.

Waktu itu sekolah agama tidak cukup guru. Kelas Darjah Satu dibahagi kepada dua kelas kerana murid agak ramai. Satu kelas untuk murid perempuan, dan satu kelas lagi untuk murid lelaki. Guru yang mengajar pun terpaksa membahagi masa, satu masa di kelas lelaki dan satu masa lagi di kelas perempuan.

Seminggu persekolahan berlalu, Mamat belum menunjukkan kehebatannya sebagai Ketua Kelas. Minggu kedua bermulalah tembelang sebenar siapakah Mamat. Ketika guru mengajar di kelas perempuan, Mamatlah mengawal kelas kami.

Mamat mengeluarkan beg sekolahnya. Semua mata tertumpu kepadanya. Dia kata siapa yang berani lawan dia akan dikerjakan cukup-cukup. Dia mengeluarkan lastik daripada beg itu. Mangsa pertama ialah Jamil dari Kampung Air Putih. Kaki Jamil dilastik dengan batu dan Jamil menjerit sekuat hatinya. Oleh sebab kelas kami agak jauh dari kelas lain, maka tiada seorang guru pun yang mendengar tangisan itu. Mamat menghalakan lastiknya kepada Jamil sekali lagi.

"Kalau kau tak berhenti menangis, aku lastik kau lagi!!!"

Semua murid kelas itu termasuk aku kecut perut. Yang aku pelik di dalam kelas itu ada murid yang sudah bermisai, kerana sudah banyak kali tidak lulus peperiksaan, jadi mereka tidak naik kelas. Mereka cuma diam membisu dengan kejadian itu. Jika ikutkan fizikal pasti dua orang abang senior itu dapat menewaskan Mamat. Tapi yang terjadi, mereka jadi dayus dan pengecut.

Pada hari lain, masih aku ingat lagi Mamat menyuruh kami mengangkat dia seperti menjunjung raja dan berpusing mengelilingi kelas. Sambil itu kami disuruh melaungkan "Hidup Mamat!....Hidup Mamat!"

Aku ingat betul, tahun 1975 Mamat belum muncul. Dia belum datang ke Sekolah Kebangsaan Tenaga Setia lagi. Ketika itu kami rasa begitu aman dan seronok bersekolah di situ. Mamat bukan sahaja mengganas di sekolah agama malah di sekolah kebangsaan juga. Dia cuma tewas kepada seorang murid bernama Muslimin. Mereka bertumbuk di bawah pokok saga berhadapan padang sekolah. Muka Mamat kena tumbuk bertalu-talu dengan Muslimin. Nasib baiklah Hj Rosdi tukang kebun sekolah, meleraikan pergaduhan itu, jika tidak, tidak tahulah apa yang terjadi. Kejadian itu berlaku antara pertukaran waktu antara sekolah kebangsaan dengan sekolah agama.

Walaupun Mamat tewas kepada Muslimin, namun murid lain di sekolah kebangsaan tetap takut menghadapi Mamat. Malangnya ketika itu kami tidak bersatu, maka mudahlah Mamat memperkotak-katikkan kami. Aku telah menyaksikan beberapa kejadian di mana Mamat menghantukkan kepala beberapa budak darjah enam ke dinding. Muslimin walaupun kuat, tetapi dia terus mendiamkan diri. Mamat ternyata bijak dengan tidak mencari fasal dengan Muslimin.

Satu lagi kejadian di sekolah agama itu ialah Mamat memanggil satu persatu daripada kami. Selepas mereka dibaringkan Mamat suruh mangsanya itu membuka seluar. Kemudian Mamat mencucuk 'burung' kawan tadi dengan jangka lukis yang tajam itu. Menangislah kawan-kawan aku itu kena dera. Tibalah giliran aku dipanggil Mamat. Aku terus menjerit dan menangis sekuat hati. Kebetulan masa itu cikgu masuk ke kelas. Aku secara automatik berhenti menangis. Mamat sudah menjeling tajam ke arahku. Jelingan itu merupakan amaran yang sangat aku fahami. Maka terselamatlah aku dari jadi mangsa jarum jangka lukis. Yang peliknya apabila cikgu bertanya,

" Kenapa bising-bising tadi?" Tiada satu suara pun yang menjawab. Mamat dengan selamba menjawab.
" Biasalah budak-budak cikgu, cikgu tak ada, bisinglah dia orang"

Dalam hari yang lain di kelas sekolah agama itu, Mamat menyuruh beberapa sahabatku supaya membawa rambutan. Jika mereka tidak membawa rambutan itu mereka akan kena belasah. Esoknya dua orang sahabatku membawa dua plastik rambutan. Oleh sebab rambutan itu masih kelat-kelat, Mamat sungguh marah. Dua orang sahabatku dari Kg Air Putih itu mengopek rambutan itu dan menyerahkan kepada Mamat. Mamat makan rambutan itu dan mengambil kulitnya. Dia meludah dua kulit itu lalu menyuruh dua sahabatku itu mengunyahnya.

"Ha ha ha Kunyah! Kau mesti kunyah, kalau tak aku hantuk kau semua ke dinding!"

Dua sahabatku itu mengunyah dan termuntah-muntah di depan kelas. Mamat ketawa terbahak-bahak. Murid-murid lain termasuk aku menjadi saksi bisu kejadian penderaan itu.

Ada satu hari yang kami rasa merdeka.
" Hari ini kita merdeka" jerit seorang sahabatku.
" Kenapa merdeka?"
" Mamat buat Kad Pengenalan!"

Mamat walaupun nakal tidak pernah ponteng kelas.

Kenakalan Mamat kami ajukan kepada beberapa guru di SK TENAGA SETIA itu. Malangnya mereka takut dengan Guru Besar. Ini kerana Mamat menjadi anak angkat Guru Besar. Guru Besar itu pula memang terkenal garangnya maklumlah guru besar era lepas perang dunia ke Dua. Jadi kami terpaksa menghadapi keganasan Mamat sehingga setahun lamanya.

Cuti akhir tahun pun bermula. Ini menunjukkan pemerintahan Mamat sebagai ketua kami telah berakhir. Tahun depan Mamat akan bersekolah di sekolah menengah.

Suatu malam pada awal cuti, sedang aku berbaring mendengar drama syair dari radio Singapura, aku dipanggil seseorang. Ipong rupanya.

" Cepat...ikut aku, kawan-kawan kumpul di kedai Kadri"
" Ada apa ni?"
" Ikut je"

Sampai di sana aku melihat ada 30 orang sahabatku. Yang membotakkan kepala ada 10 orang .

" Kau semua tau tak, hujung tahun ni Mamat akan tinggalkan kampung ni!" Kata sahabatku S selaku ketua malam itu.
" Jadi kenapa?"
" Sebelum dia pergi berpindah ke Mersing, kita lanyak habis-habis dia malam ni!"
" Nanti kita kumpul di padang sekolah. Ipong dan Salison akan pergi ke rumah Guru Besar. Kau cakap nak ajak jalan-jalan kepada Mamat, apabila Mamat sampai aje di padang, kita belasah habis-habis sampai menangis!"
" Okey!!!!"
Aku lihat kawan-kawanku ada yang bawa kayu, pisau kecil, buluh dan lastik. Masa itu kami sudah tidak ingat lain. Balas dendam!

Malangnya apabila sampai di sana yang turun bukan Mamat, tetapi Debleng menantu guru besar. Dan kami tahu
guru besar ada senapang patah. Bila-bila masa dia boleh naik angin. Dia pernah menembak ke udara semasa beberapa budak menyerang rumahnya dengan mercun. Debleng memarahi utusan kami. Nampaknya rancangan kami telah bocor. Mesti ada antara kami yang belot! (kejadian ini berlaku pada Disember 1976)

Sebelas tahun kemudian.........1987 Aku kini berada di tahun akhir MPTI, Johor Bahru. Setiap hari boleh dikatakan aku akan berada di Kompleks Tun Abdul Razak. Sedang aku berjalan-jalan di sana, bahuku dilanggar oleh seseorang. Dia memanggiku
" Mat Som!!!"
" Kau? Kau? Kau Mamatkah?"
" Hahahahaha...!!!! Kau ingat aku lagi ya?"
" Aku akan ingat kau sampai mati Mamat!"

Aku lihat badan Mamat dipenuhi tatoo. Dua orang yang mengiringinya nampak seperti pondan jalanan. Badannya dan pakaian mereka begitu tidak terurus.

Sebelas tahun aku tidak berjumpa Mamat. Kalaulah rancangan malam itu berjaya mungkin Mamat telah mati di kampung aku dan mungkin aku dan kawan-kawanku masuk mahkamah.

Kini Mamat telah tiada. Dia telah kembali kepada penciptaNya sewaktu berada di penjara Simpang Renggam. Itu semua aku peroleh daripada cerita kaum kerabatnya. Aku pun tidak tahu jenayah apakah yang dilakukan oleh Mamat!



15 ulasan:

Mama Miraki berkata...

ohhhh satu kisah benar yang sungguh menarik. mesti mamat tu ketua gangster kot yea....

Miss Mirror a.k.a Sam berkata...

heran aku.. bukn duduk hostel pun tp napa puak majoriti boleh kalah dgn hanya seorang manusia?

MSOM berkata...

Terima kasih Mama Miraki dan Sam. Waktu kejadian ini berlaku Sam masih berumur 3 tahun. MAMAT sungguh luar biasa orangnya. Kedudukan menjadi anak angkat GURU BESAR dieksploitasi sepenuhnya.

Sam, MAMAT pelajar yang bijak, malangnya dia menggunakan kehebatnnya itu kepada perkara yang salah.

Raya dua tahun lalu aku ke rumah Mbah Moxxh emak Jamil. Kebetulan Jamil masih berada di rumah ibunya itu.

Dalam perbualan itu, dia bertanya tentang MAMAT.

"Mamat sekarang kat mana?"Jamil bertanyaku.
"Kenapa kau bertanya tentang dia? Kan dah 30 tahun lebih kau tak jumpa dia"

"Kalau dia ke Pahang aku nak henyak dia cukup-cukup!"Balas Jamil dengan geram. Jamil kini pegawai polis di Bentong.

" Mil, kau tak payah nak belasah dia, Mamat dah mati"
" Apa? Kempunan aku nak balas dendam. Akulah yang paling teruk kena dera dengan dia!"

Wajah Jamil begitu kesal...!
Aku tak seteruk Jamil, jadi taklah dapat merasa apa yang jamil rasa.

SeNDuDuK PuTiH berkata...

Macam dalam cerita Drama yang selalu kuar TV plak erk...
Kecik2 dah ade bakat jadi gangster, so tak heranlah kalau dah besar pon menjadi gangster gak... Nauzubillahhh...

YIN-WONG KHOO LAI berkata...

Aku dulu pun mangsa buli jugak dan orang yang membuli aku dan lain-lain namanya bermula dgn huruf 'M' tapi bukan Mamat. Dia punya samseng... Subhanallah... dia punya berani... dia boleh panjat pokok kelapa dan lompat style tupai ke pokok sebelah. Yela... dulu kat SK Seri Chantek Parit Sentang kan dikelilingi pokok kelapa. Masa darjah dua (1972)... dia dah tau buat projek "18SX" dgn budah darjah 2 jugak yang memang murid paling cantik dan dah arwah coz kanser tahun 90-an. Familynya mmg kaki gaduh termasuk bapaknya.
Pernah masa aku study kat UiTM terserempak dgnnya kat bandar Klang. Ko tau apa dia cakap..."Alah Rin... sombongngeh karo dulor sak kampung pun ora kenal... K_ _ _ _ llah... Yang aku dengar dia ditemui mati dibunuh dan sampai beberapa hari cari waris tak dpt coz tak ada apa2 dokumen. Akhirnya dapat jugaklah selepas beberapa hari ditemui. Aku rasa ko kenal familynya coz ko selalu gi kedai Abas.

MSOM berkata...

Aku kalau jumpa Abas tak ada crita lain, kempen suruh dia kahwin. Dia kata tunggu...tunggu apa? Tunggu Bulan Dua. Alhamdulillah bulan Februari. Dia KATA bukan itu, dia kata kau tgok kat atas malam ni bulan ada satu atau dua? Kalau ada satu lagi, aku belum nak kahwin. Kalau kau tgok ada dua biji bulan kat atas tu...ha baru aku kahwinlah.

Abas ada cerita abang Yin ni kerja bahagian pengiklanan. Dia kata Jom minum dulu!!!!! Entahlah apa yang dia maksudkan. SEINGAT AKU ITU IKLAN PROTON. Mesti dulu gambar abang Yin ni selalu masuk TV? Maaflah aku dah lupa fasal jarang tengok TV.

TENTANG BULI di SK SERI CANTEK ni, aku selalu dengar cerita itu sebab sepupu aku sekolah di situ antaranya SUHADI KABAN. Dia kata dahsyat sungguh budak2 kampung tu buli mereka, sampai sekarang budak2Pt Lapis Laman tak mahu daftar di sana,KERANA SEJARAH ITU hingga sekarang mereka memilih Seri Maimon.

Mama Miraki berkata...

Yin....kenapa aku tak pernah dengar cerita ni....tapi yelah time tu aku belum lahir kedunia kot...1972..hujung tahun baru aku nampak dunia...sapa tu yin...nape ko tak pernah citer pun...hihihiihhi ( sessi kepoh joyah ni....)

MSOM berkata...

Malulah LELAKI kena buli, macam aku ni pun jarang aku cerita secara detail dengan Miss Mirror Sam, sebab cerita itu menyebabkan orang akan kata, teruknya engkau, orang buli pun tak nak lawan. Jatuhlah martabat KAMI sebagai lelaki yang ganteng, tegep dan macho ini !!!

MSOM berkata...

Orang yang buli YIN ni macam ada masuk paperlah. Dia mati dalam kawasan BERPASIR... Tragis sungguh setaraf dengan Mamat. Kalau yalah orang itu, pecah rumah sana sini. ISS iSS....

Miss Mirror a.k.a Sam berkata...

conclusionnya di sini.. sapa2 yg kaki buli tu berkesudahan dgn kematian yg trajis.. oh sadisnyaa..

MSOM berkata...

Bukan kaki buli, tapi PELAJAR2 YG KEJAM ITU akhirnya akan menjadi PENJENAYAH yang kejam dalam masyarakat dan ramailah yang BERDENDAM dengan kejahatan mereka.

YIN-WONG KHOO LAI berkata...

Masa aku sekolah agama kat sekolah agama pagi pt sulong ( balai raya ) tahun 1977 ada lagi kaki buli dari Pt Pulai kalau tak salah aku. Nama Abu ( aku lupa Abu apa )sekarang ni umurnya dah 47 tahun sbb dia tua setahun dari aku. Muka memang garang dan badan besar. Aku badan besar jugak tapi hati kecik. Aku rasa ko pernah jumpa atau kenal dia, sbb kalau aku balik kampung ada nampak dia kat Spg 3. Dia pernah tengok cincin akik yang arwah abah aku bagi lepas tu di kata dia nak. Aku tak tercakap apa2. Seorang lagi budak Pt Karim Air Hitam. Bapak dia pemain ghazal... aku tak ingat nama budak tu tapi nama bapak dia aku ingat Tamjis lebih kurang macam tu la.Dia selalu gertak aku masa kat SMDS coz ketawakan dia sebab masa hari guru, cikgu temuramah dia kat pentas dan tanya citi2 dia... dia kata nak jadi ahli politik..so aku gelakla... esoknya dia warning aku.. cinabeng betul.. kecut aku.
Ko kenal Cikgu Mokli Kassan. Last dengar cerita dia sakit buah pinggang. Tak tau perkembangan dia.
Kalau ko nak tau masa darjah 6-1976 aku jadi tukang angkat air perigi dan letak depan tandas untuk dia basuh berak. Dulu mana ada paip. Berkat keikhlasan aku ... Alhamdulillah aku jadi cikgu...

YIN-WONG KHOO LAI berkata...

Oppps lupa... Suhadi Kaban ada abang nama dia Ismail Kaban kan coz dia dulu jual nenas dengan Ahmad Darman dulu... lalu jalan rezab... jauh tu.. lebih 3-4 km jalan kaki sambil pimpin basikal yang ada nenas. Kalau tak silap aku dia ada adik pompuan... kira kategori cun jugakla masa tu... kalau tak silap orangla...

Teman Setia Anis berkata...

Aku dulu kat kelas ada jugak 3budak lelaki yang nakal suka buli budak pompuan. Dia cuba nak buli aku gak tapi tak berjaya kerana aku nigarang gila zaman kanak2 dulu. Aku bagi warnig kalau berani aku repot kat mak bapak korang... Ada sorang budak lelaki tu mcm bagus sangat.. Last2 mcm pondan siap mengadu kat mak dia... Baru dia tahu aku ni cucu siapa... Ada ke patut dia meludah kat meja aku. Aku kata ko ambik balik ludah ko ni... Kalau x siap ko nanti.. Ngegeh2 mengelap meja tu... Tapi mamat tu mcm aku pernah jumpa dulu masa dia dah bujang.. Rasanya kak yati kenallah kot..

MSOM berkata...

Abang Suhadi Naim namanya, tak taulah dia ada nama lain?

Anis, kowey memang putune Mbah Sondono. Sopo sing wani karo kowey yo!!!

Mamat ni bagusnya satu, samseng2 dia, dia tak kacau langsung budak2 perempuan!