Ahad, 18 April 2010

KALAU NAK REHAT BESOK KAT KUBUR

Kata-kata Cikgu Zainal Sureco itu tetap berlegar-legar dalam fikiran aku minggu ini. Kini aku merealisikan kata-kata hikmatnya (yang paling aku benci ketika itu).



Sejak kelahiran Aliff Iskandar, setiap masa aku isi dengan tugas, tugas, tugas, tugas sebagai Mr Mama. Tidak perlulah aku senaraikan di sini betapa sibuknya aku minggu ini, sampai surat beranak Aliff Iskandar pun belum sempat aku menguruskannya. Hinggakan pelanggan KOPI KELAPA DARA aku pun marah-marah, kerana aku tidak sempat menghantar produk killer itu kepada mereka.



Petang-petang aku ke Klinik Pt Sulong untuk pemeriksaan sakit kuning. Entah kenapa bayi yang lahir pada hari ini 80% kena sakit kuning. Darjah sakit kuning anak aku sekitar 12.5 setakat ini. Nampak hari ini seperti berkurangan.




Di Klinik Parit Sulong itu, aku menyaksikan satu van pelajar MRSM. Turunlah mereka satu persatu. Masing-masing memakai penutup mulut dan hidung. Semua kelihatan batuk-batuk yang agak membimbangkan pesakit lain di klinik itu. Setelah mereka duduk di kerusi-kerusi menunggu, mereka sambut-menyambut, berbatuk-batuk. Sudah tiga hari aku berulang-alik ke klinik ini, dan begitulah keadaannya. Gejala ILI mungkin sudah menyerang MRSM Pt Sulong? Hendak juga aku mengambil gambar mereka, tetapi kasihan pulak emak ayah mereka nanti. Memalukan mereka.Dan membimbangkan mereka.




Dalam bidang tugasan kerja pula, dalam keadaan sibuk-sibuk ini, aku dikehendaki menghadiri kursus di IPTHO. Kursus ini atas inisiatif ahli Parlimen kawasan Pt Sulong, Datuk Noraini Ahmad. Beliau berkata dalam ucapannya semalam, semasa menjadi ketua Puteri Umno, beliau telah menggunakan kaedah Smart Study ini untuk pelajar-pelajar seluruh Kelantan, Alhamdulillah hasilnya ketika itu keputusan peperiksaan negeri Kelantan meningkat dengan mendadak. Maka kaedah Smart Study yang diajar kepada guru-guru Parlimen Pt Sulong ini diharapkan akan menaikkan prestasi UPSR pada tahun 2010. Beliau berjanji akan membekalkan bahan-bahan seperti buku-buku kepada semua calon UPSR kawasan Parlimen Pt Sulong.




Aku melihat teknik ini lebih kepada membetulkan kelemahan murid secara berfokus. Daripada pelajar yang lemah dan akhirnya menjadi pelajar yang berpotensi. Datuk Noraini juga menjelaskan bahawa, calon-calon UPSR ini jangan dipandang remeh. Mereka itulah akar yang harus dijaga sepenuhnya kerana ia adalah asas kepada kejayaan mereka pada masa akan datang. Datuk Noraini juga mahu melihat maklum balas program ini selepas sebulan dari sekarang. Seramai 94 orang guru dari Parlimen Pt Sulong yang menghadiri kursus ini telah bersiap siaga untuk menjalankan harapan Yang Berhormat itu.




Miss Mirror mengajak aku menghasilkan satu entri bagi setiap empat jam untuk mendapatkan income yang lebih banyak daripada Nufnang. Oh Miss Miror, dalam keadaan sekarang aku tidak mampu melakukannya! Miss Miror teruskanlah usaha-usaha murnimu itu.

5 ulasan:

Miss Mirror a.k.a Sam berkata...

Budak kena kuning sbb darahnya tak sama jenis dgn ibunya...so bila dia keluar ke bumi dia kena sesesuaikan diri dgn keadaan baru.

Mama Miraki berkata...

ohhhh sibuknya MS.....tu lah pengorbanan kan. nanti kongsi tips UPSR tu yeaaa.

uploadlah foto terbaru Aliff Iskandar....

tunbegia berkata...

haku takde nuffnang pun, ;-P

salamm,

MSOM berkata...

Tunbegia dah jutawan...apa de heran dengan duit ratus-ratus tuh?

MSOM berkata...

Sam dan Mama Miraki, akhirnya saya dapat menjejaki 3 sahabat sesat saya dalam hutan Jengka dulu. Ada lagi 6 orang lagi yang perlu saya cari sampai dapat.