Selasa, 23 Oktober 2012

TEKS UCAPAN PERPISAHAN TAHUN 6-WAKIL MURID



CONTOH UCAPAN 1

Assalamualaikum w.b.k. Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang berusaha Tuan Guru Besar, Encik Mohd Nizam Bin Abu Bakar, barisan penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi.

Hadirin sekalian,

     Pertama kali,saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kepercayaan mewakili rakan-rakan dalam menyampaikan ucapan wakil pelajar tahun enam dalam majlis Jamuan Akhir Tahun anjuran murid Tahun Enam, Pengawas dan Pengawas Perpustakaan Sekolah Kebangsaan Seri Pasir 2012 ini.


     Seterusnya, saya bagi pihak pelajar Tahun Enam ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua guru yang telah mendidik kami. Sebahagiannya bermula dari peringkat Pra Sekolah, dan sebahagian besarnya bermula dari Tahun Satu sehinggalah ke Tahun Enam, daripada kami tidak mengenal huruf dan angka, sehinggalah kami dapat menguasai semua kemahiran yang dikehendaki. 

    Pada kesempatan ini juga, kami menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf, seandainya ada antara kami ada yang melakukan kesalahan dan kekhilafan dari segi tutur kata dan perbuatan. Selain itu, sebagai wakil bagi semua pengawas dan pengawas perpustakaan 2012, kami juga memohon maaf, sekiranya kami tidak dapat menjalankan tugas dengan cemerlang sebagaimana yang diharapkan.

Akhir kata, sampaikanlah salam kami kepada guru-guru yang sudah tidak bersama-sama kita lagi, sama ada telah berpindah atau bersara, katakanlah bahawa jasa dan bakti mereka, dan guru-guru yang ada di sini, akan kami sanjungi dan kami ingati sepanjang hayat kami. Hanya Allah sahajalah yang membalas segala pengorbanan guru-guru itu.

Sekian, wasalamualaikumwarohmatullahiwabarokatuh.




 CONTOH UCAPAN 2
Berikut ialah ucapan yang dipetik daripada AHBAR DIDIK


Assalamualaikum warohmatullahiwabarokatuh.

      Yang beruasaha Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, SK Seri Pasir, En………., yang dihormati dan dikasihi guru-guru dan seterusnya, rakan-rakan sekalian.

Sidang hadirin yang dihormati,

     Tanpa kita sedari, masa berlalu dengan begitu pantas. Tempoh enam tahun dirasakan umpama semalam sahaja. Kini, kita sudah berada pada penghujung tahun terakhir di sekolah rendah, iaitu tahun enam. Maka, minggu ini merupakan minggu terakhir kita menuntut ilmu di SK……… yang hebat ini. Begitu berat rasanya untuk meninggalkan sekolah  yang tercinta ini. 

Begitu hiba rasanya untuk kita berpisah dengan guru-guru yang amat dedikasi dan prihatin untuk mendidik serta mengasuh kita. Namun demikian, apalaah daya kita untuk menghalang waktu untuk terus berlalu, lantaran setiap pertemuan pastinya akan berakhir dengan perpisahan. Justeru itu, walaupun berat hati untuk berpisah, kenyataannya perpisahan itu pasti akan hadir.

Guru-guru yang dikasihi dan dihormati,
     Jasa dan bakti guru-guru terlalu besar buat kami semua. Tidak akan terbalas dengan wang ringgit dan harta benda untuk segala bakti yang kalian curahkan kepada kami. Pastinya akan kami kenang selama-lamanya selagi jantung dan nadi ini masih berdengup dan berdenyut. Pada kesempatan ini, saya mewakili rakan-rakan ingin menyusun sepuluh jari untuk memohon kemaafan dari hujung rambut sampai ke hujung kaki kepada guru-guru yang dikasihi. Hanya Allah sahaja yang  dapat membalas segala jasa dan bakti yang telah guru-guru abadikan kepada kami.

     Maka dengan ini sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru yang telah mendidik dan membimbing kami selama ini dan maafkanlah segala kesilapan dan kesalahan kami. Kepada rakan-rakan pula, selamat menempuh alam sekolah menengah yang tentu jauh bezanya dengan budaya di sekolah rendah. 

Semoga kita akan terus membina kecemerlangan dan terus berbakti kepada ibu bapa kita serta masyarakat dan negara. Gunakanlah segala ilmu yang telah guru-guru kita curahkan untuk melayari alam remaja dan seterusnya dewasa dengan penuh ketabahan, keimanan dan ketakwaan.

Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.


Sekian, terima kasih.

4 ulasan:

boni kacak berkata...

cikgu2 pasti akan merindui murid2 tersebut kan...

Mama Janet berkata...

sedih pulak baca ucapan2 perpisahan ni......

Contoh-contoh karangan berkata...

Bagus karangan niy .. InsyaAllah, soalan ini akan keluar esok, 10,11,12 SEPT. 2013 ... Doakan kami berjaya untuk UPSR ...

Tintakalbu67 berkata...

Mohon izizn copy dan paste dan contoh karangan ucapan perpisahan ini dan menggunakannya dalam majlis perpisahan murid Tahun 6.Terima kasih.