MAKLUMAN

NO HANDPHONE SAYA (DI ATAS TU) JENDELALIMA TRADING HANYA UNTUK TEMPAHAN PRODUK YG SAYA JUAL.

Isnin, 27 September 2010

RASUAH MENJAHANAMKAN NEGARA

Patutlah warga asing berlambak-lambak di kota dan pekan kita.....!
Patutlah.....Rupa-rupanya pintu masuk dibolosi dengan begitu mudah!
'Mereka' (penjawat awam itu) menyuapkan api neraka ke dalam usus-usus anak isteri mereka! 

Kita tengok pendedahan Berita Harian ini:

Penjawat awam jaga pintu masuk ke Malaysia perlu amanah pikul tanggungjawab

HARI ini genap sebulan selepas berita pendedahan mengenai sesetengah kakitangan imigresen yang menerima habuan mencecah RM60,000 sebulan di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang. Kebetulan, tarikh sama juga berkuat kuasanya pertukaran 20 anggota serta pegawai kanan jabatan itu dalam usaha membersihkan imej agensi penguat kuasa itu.


Berita Harian pada 27 Ogos lalu melaporkan ada anggota dan pegawai imigresen yang dipercayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.

Susulan berita itu, pertukaran 20 kakitangan membabitkan kakitangan jabatan itu di Pelabuhan Barat, Utara dan Selatan, termasuk di Jeti Penumpang Pulau Ketam diputuskan sebagai tindakan fasa pertama dalam rombakan besar-besaran jabatan berkenaan.

Pertukaran secara berperingkat. Itulah yang dijanjikan pengurusan tertinggi imigresen bagi mengelak kegiatan pintu masuk negara dibolosi pendatang tanpa izin khasnya dari Indonesia berleluasa, sekali gus menggugat keselamatan negara.

Nyata tindakan yang diambil itu menunjukkan pentingnya tugas penjawat awam di pintu keluar masuk negara kerana bermula dari situlah pandangan pertama sesiapa saja mengenai rakyat dan negara ini dicorakkan. Petugas agensi atau jabatan kerajaan di situ seharusnya membabitkan mereka yang bertanggungjawab, selain bangga menyandang jawatan masing-masing.

Sewajarnya pertukaran itu menjadi iktibar kepada semua penjawat awam terutama agensi penguat kuasa supaya tidak terlalu alpa dengan tugasan harian kerana jika tersalah langkah tentu sebarang kegiatan negatif pasti terbongkar suatu hari nanti.
Jangan pula yang berpandangan sempit dan menganggap pendedahan akhbar ini hanya untuk menghukum serta memburukkan imigresen dan pada masa sama, seharusnya agensi penguat kuasa lain perlu sentiasa berhati-hati kerana mungkin juga selepas ini giliran mereka pula jika dikesan terbabit dalam sebarang kegiatan yang boleh disifatkan menjual maruah negara.

Memang yang ditukarkan itu bukan semua terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa tetapi hakikatnya ada yang akaun banknya ‘kembung’ dengan habuan puluhan ribu ringgit sebulan itu, bagaimanapun seperti kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman: “Tidak timbul soal sama ada yang ditukarkan itu terbabit atau tidak (rasuah dan salah guna kuasa). Yang penting barang yang nak dijual iaitu Jabatan Imigresen perlu dilihat sebagai bagus dan untuk menjamin kualiti barang itu tidak terjejas, mana-mana yang tidak bagus mesti segera dikeluarkan.”

‘Gelap mata’ itulah kata orang tua jika seseorang itu mudah terpengaruh dengan ajakan atau tarikan habuan yang ditawarkan, terutama membabitkan jumlah lebih empat angka, tetapi jangan pula lupa kerana ia juga boleh mengakibatkan masa depan dalam kerjaya juga gelap dek perbuatan yang merosakkan moral dan integriti diri.

Oleh itu, dalam apa juga keadaan kerjasama berpasukan dan tanggungjawab bersama itu penting ketika melaksanakan tugas hakiki sebagai penjawat awam, bukan bersikap pentingkan diri dan memandang sebelah mata sebarang tindak tanduk negatif yang dilakukan rakan walaupun sedar berlaku sesuatu yang boleh memberi kesan negatif kepada negara.

Pertukaran kakitangan imigresen bukan penghujungnya, malah pasukan bertindak khas yang ditubuhkan antara jabatan berkenaan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak pembongkaran kegiatan itu dijangka memberi impak kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) di semua pintu keluar masuk negara ini.

SPRM yang berpengalaman dalam mengendalikan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan tentu dapat mengesan sebarang kelonggaran dalam sistem penyampaian imigresen. Tentu juga pelbagai pandangan bernas diberi untuk memantapkan kawalan di pintu keluar masuk negara dengan menutup sebarang ruang yang boleh mendorong untuk seseorang penjawat awam itu disogok.

Dalam hal ini, pasukan bertindak terbabit tentu melihat isu ini secara menyeluruh dengan merangka pendekatan jangka pendek dan jangka panjang termasuk sistem, SOP, pertukaran kakitangan dan infrastruktur di semua pintu keluar masuk negara.

Itu belum lagi dilihat dari segi sistem penjualan tiket feri yang tidak sistematik dan memerlukan perubahan drastik bagi memastikan pergerakan warga asing yang keluar masuk sama ada sebagai pelancong atau untuk bekerja di sini lebih mudah dikesan.

Memang ia masih pada peringkat cadangan, tetapi jika tidak dipercepatkan, tentu sindiket yang sememangnya pakar untuk menyembunyikan warga asing tanpa dokumen itu terus bermaharajalela dan menggadai maruah negara tanpa sebarang perasaan serta semangat patriotisme walaupun ada di kalangan mereka anak jati Malaysia.

Mengikut rekod, di Jeti Penumpang Pulau Ketam 561,266 orang keluar masuk sejak Januari lalu itu, tetapi yang menyedihkan susun atur di situ tidak ada laluan sistematik untuk kedua-dua arah keluar dan masuk, begitu juga petugas yang mengendalikan 348,289 orang yang masuk atau 212,977 yang keluar untuk tempoh sama.

Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan jika dengan mudah warga asing, termasuk pendatang haram membolosi laluan itu hanya dengan bantuan ejen sindiket yang begitu berkuasa di situ.

Itu baru membabitkan satu pintu keluar masuk negara. Bagaimana pula dengan lokasi lain di Utara dan Selatan yang sememangnya diketahui sentiasa sibuk dan sesak dengan warga asing, terutama menjelang sebelum dan selepas musim perayaan serta cuti sekolah.

Tentu pasukan bertindak khas yang ditubuhkan itu tidak hanya menumpukan Jeti Penumpang Pulau Ketam, kerana berdasarkan kumpulan 20 kakitangan imigresen yang ditukar itu, semua tiga pelabuhan di Pelabuhan Klang turut menerima tempiasnya.

Memang benar, soal keselamatan negara tidak boleh dikompromi lebih-lebih lagi jika alasannya hanya untuk mendapatkan habuan wang, sedangkan penjawat awam itu diberi tanggungjawab mengawasi pintu keluar masuk negara.

Kata pepatah Arab, “Apabila wang berkata-kata segala kebenaran lenyap begitu saja.” Itulah yang berlaku di negara tercinta ini yang baru saja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53, bulan lalu

4 ulasan:

en_me berkata...

kang matsom, pinjam duit bang.. ihiks

MSOM berkata...

Wong Sugeh kok njalok duit karo wong ora sugeh.

sz | m.s.s berkata...

bila duit menjadi "raja" ...
nauzubillah, itu nak bg makan anak bini...huhuhu

MSOM berkata...

Pabila nampak duit, semua jadi lupa. Orang lain kerja macam nak gila. Dia relax2 dapat 60K sebulan!