Sabtu, 29 Mei 2010

TIDAK SANGKA JUMPA A HALEEM

Hari ini banyak jemputan kahwin. Tetapi yang paling menarik di rumah Idrus taukey lembu yang rumahnya berdekatan rumah ibu mentuaku. Aku agak tertarik dengan suara orang yang berkaroke itu, sungguh seperti A Haleem. Tidak seperti biasa, orang akan menyanyi dengan suara-suara yang sumbang persis radio rosak. Aku pun mendekati khemah DJ. Biar betul?
A Haleem yang sebenar! Bukan tiruan! Selepas habis menyanyi, aku bersalam dengan A Haleem.
Abang A Haleem berkata sekarang beliau terlibat dengan bisnes lembu juga. Sebab itu beliau bersahabat dengan Idrus.

Kepada mereka yang muda, A Haleem merupakan penyanyi lagu Kisah dan Tauladan
Zaman gemilang Pop yea yea

Semenjak kita berpandangan
Mata bertemu menggoda kalbu
Tinggal menjadi satu impian
Tiada lagi satu harapan.........!

Jumaat, 28 Mei 2010

SEBUAH PERTEMUAN YANG SYAHDU


Cikgu Affandi Kasim dan Encik Baharudin Basir
berbual panjang setelah 23 tahun tidak berjumpa

Baharudin Basir


Kira-kira setahun yang lalu, Puan Kamisah Buang kawan sekelasku sewaktu sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Tenaga Setia) dahulu menelefonku. Beliau kini menjadi pensyarah. Kamisah mengatakan ada seorang rakan lamaku ingin menghubungiku. Orang yang dimaksudkan ialah Encik Baharudin Basir. Menurut Kamisah, Baharudin telah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pendidikan Khas.

Beberapa hari lalu, tiba-tiba Baharudin menelefonku. Katanya ingin ke Batu Pahat kerana hendak memantau program Linus di sebuah sekolah di Batu Pahat. Aku cepat-cepat bertanya sekolah mana? Lega aku dibuatnya apabila beliau menyebut SK BANDAR.

En Baharudin, kini memegang jawatan jemaah nazir kerana beliau sudah penat berulang-alik dari Putrajaya ke Jasin. Sebagai guru, biasalah apabila disebut nazir, memang fobia sikit.

Baharudin ialah teman serumahku semasa menyewa rumah di Jalan Baiduri, Nong Chik di Johor Bahru dahulu. Afandi dan Baharudin merupakan juniorku. Kami menyewa rumah itu seramai 10 orang. Dengan berkongsi, maka setiap orang cuma mengeluarkan RM 35 untuk bayaran sewa itu.

Baharudin dengan Saadon memang banyak merancang aktiviti lapang kami. Antaranya menangkap ketam pada waktu malam buta di pantai (Danga Bay sekarang). Berjoging melalui rumah-rumah mewah kerabat diraja di Jalan Strait View sampai ke Pantai Lido. Bermain gitar dan menyanyikan lagu rock kapak seperti Cinta Tiga Dimensi, lagu-lagu Lefthanded dan lain-lain.

Itu dulu, 23 tahun dulu. Kini semuanya sudah berlalu. Afandi Kasim ialah teman baik Baharudin.
Maka pada kesempatan Baharudin datang ke Batu Pahat ini, sedaya upaya aku menemui di hotel penginapannya. Baharudin berada di SK Bandar selama dua hari.

Akhirnya aku dapat menemui Baharudin jam 6.00 petang Rabu 26 Mei 2010. Aku mengajaknya berborak di BP Walk, Batu Pahat. Setelah sejam berbual, kami bersolat di mesjid Jalan Ampuan.
Seawal jam 7.45 kami sudah ke rumah Afandi. Betapa terkejutnya Afandi dapat menemui kawan lama! Semuanya tanpa menggunakan facebook. Nombor handphone Afandi pun sudah ditukar. Tersesat juga aku dan bertanya ke sana-sini di mana rumah Afandi. Aku sudah tiga kali ke rumahnya, tetapi tiga tahun dulu. Malam-malam mencari rumah orang jadi keliru, lagi pun banyak rumah baru di taman perumahan itu.

Setelah jam menunjukkan jam 9.30 malam aku mengajak Baharudin untuk mengundur diri. Oleh sebab Afandi belum puas berbual dengan Baharudin, dia sanggup menyusul kami sehingga ke hotel penginapan Baharudin. Aku meminta diri untuk pulang, dan mereka meneruskan perbualan tentang kenangan silam yang manis untuk dikenang.

Khamis, 27 Mei 2010

TAMBAHKAN MANIS DALAM SENYUMAN

Tambahkan MANIS dalam SENYUMAN, kurangkan MANIS dalam minuman. Baru beberapa hari masalah air selesai, kini muncul masalah baru dalam hidupku. Malam tadi baru teringat gula di dapur kami kehabisan. Maka menjajaulah aku dari sebuah kedai ke sebuah kedai. Semua kedai kata, gula tak ada. Fasal dah empat kedai mendakwa begitu, maka terpaksalah aku gunakan gula alternatif, aku beli gula caster ini untuk minuman pagi tadi. Jika anak-anak kami dibekalkan dengan air kosong, pasti air itu tidak luak. Kawan aku kata, di Carfour banyak gula. Tetapi paling banyak boleh beli dua kilogram sahaja. Lalu pagi tadi aku pergi ke sebuah kedai, akhirnya dapat dua kilo gula. Aku tanya taukey itu kenapa jadi begini dia cakap ada dua sebab:

1. Kilang gula menuntut kenaikan 0.70 sen, tetapi kerajaan benarkan 0.20 sen sahaja baru-baru ini.
2. Kerajaan lambat membayar subsidi gula kepada pekilang.

Peliknya, pekilang gula telah jadi billioner. Bagaimana mereka kata tidak untung? Nampaknya kita kena belajar minum menggunakan gula merah atau gula melaka.

Rabu, 19 Mei 2010

HUJAN RAHMAT TERUS MENCURAH


Bangunan Klinik Tawakkal Parit Sulong kelihatan kelam akibat hujan lebat pada malam yang
indah ini. Hujan dimulai dengan angin yang agak kuat menyebabkan aku hampir gagal menghantar Irfan ke Tuisyen di SK Pt Sulong. Oleh sebab hujan lebat, selepas menghantar Irfan, aku termenung di dalam kereta, dan akhirnya aku terlelap di dataran ini.


Apabila terbangun hujan telah pun berhenti, jam masih menunjukkan jam 9.15 malam. Dan
pemandangan dari cermin tingkap kereta ini mentafsirkan seribu satu persoalan. Mengapa air terus dicatu sedangkan hujan tidak pernah berhenti sepanjang dua bulan ini?
Nampak gaya, aku kena menyiasat juga ke Empangan Bekok jika diberikan kelapangan. Benarkah hujan tidak mahu turun di empangan itu?

Selasa, 18 Mei 2010

SAMBUTAN HARI GURU 2010


Perlawanan Futsal di kalangan guru lelaki SK Seri Pasir

Dikir Barat persembahan Tahun 6 Arif


Cikgu Ahmad Salleh Suraimi
menyanyikan tiga buah lagu


Guru-guru lelaki dengan pakaian koperat



Apabila aku terpandang hadiah yang aku terima ini,
kesian pula dengan ayah dan ibu mereka

STESEN BAS BATU PAHAT



Jika anda telah meninggalkan Batu Pahat sekian lamanya mungkin anda tidak percaya seandainya saya katakan bangunan di atas ialah bangunan Stesen Bas Batu Pahat. Di sinilah tapak asal stesen bas lama Batu Pahat. Seingat saya sejak saya kecil, ayah saya membawa saya menaiki bas nombor 20 dari Seri Medan untuk berhenti di tempat ini (bangunan lama), selepas itu saya dibawa berjalan-jalan dan makan di Cheng Kuan.

Itu duhulu, kini stesen bas ini semakin canggih. Mungkin anda ada banyak kenangan di sini. Mungkin ada orang membuat pertemuan pertama kali dengan pasangan (suami atau isteri anda sekarang) di sini. Mungkin juga anda pernah ditipu orang di sini. Lagi panorama terbaru Batu Pahat....klik....!

Ahad, 16 Mei 2010

PANORAMA BATU PAHAT 3

Khamis lalu aku ke Pasar Awam Batu Pahat, hari Khamis memang pasar ini cuti.
Saja nak tengok-tengok, hari lain susah nak parking kat sini.

Pasar Melayu kelihatan klasik namun nampak semakin uzur


Batu Pahat ni banyak kedai dikuasai keluarga Bajrai. Rangkaian
kedai menjual pakaian Muslim, minyak wangi, jamu-jamu dan sebagainya



Pada hari lain Pasar Pagi Jalan Ibrahim ini penuh sesak dengan orang berniaga

Jumaat, 14 Mei 2010

IMPLIKASI PEMANASAN GLOBAL DI BATU PAHAT

Ketika aku menulis entri blog ini, anak-anak dan isteriku tengah asyik menonton perlawanan antara Lin Dan dengan Lee Chong Wei. Terdengar seolah-olah Lee Chong Wei seakan sudah hampir tewas. Aku bukan tidak mahu menonton. Tetapi sewaktu mereka syik dengan perlawanan itulah, maka aku gunakan untuk menulis blog ini tanpa gangguan anak yang ingin bermain game dan sebagainya.



Lagipun siaran langsung Piala Thomas itu mengingatkan aku kembali Piala Thomas yang dimenangi oleh Malaysia ketika melawan Indonesia beberapa puluh tahun yang lalu (yang diadakan di Malaysia ketika itu) . Allahyarham ayahku sangat patriotik dengan bumi kelahirannya, dan kami adik-beradik pula menyebelahi Malaysia, maka suasana ketika itu sangat meriah.




Ayahku begitu marah dengan gelagat penonton Malaysia yang agak melampau ketika itu kerana seolah-olah menghina pemain Indonesia. Maka kamilah yang menjadi mangsanya. Sebab itulah Piala Thomas itu sangat nostalgik buat diriku. Kini, biarlah semangat cintakan tanah air mengalir di tubuh anak-anakku . Namun kita sebagai penonton di stadium hendaklah profesional. Usahlah jadi penonton yang tidak beretika. Sebagaimana penonton Malaysia ketika itu, juga penonton Indonesia di Jakarta yang sudah keterlaluan tahap semangat mereka apabila menyokong pasukan negara masing-masing.




Hari yang penuh berbahagia ini, ingin aku menulis entri panjang berjela. Setelah berhari-hari berperang dan berseloka dalam dunia Facebook. Fenomena Facebook kini menguasai dunia internet dan meninggalkan dunia e-mel di belakang sekali. Rasanya sudah dua minggu aku tidak melihat e-melku. Bosan juga dengan e-mel yang dipenuhi e-mel spam, orang-orang kulit hitam yang hendak menipu kita. Aku bukanlah orang yang memuja dasar aparteid, tetapi rata-rata e-mel sampah itu dikirim oleh gagak-gagak hitam yang kini bertebaran di Kuala Lumpur.



Setelah aku melihat dan menganalisis dengan situasi pemanasan global yang implikasinya telah sampai ke dalam kamar-kamar kita. Usahlah persalahkan sesiapa! Kita semua adalah penyumbang tegar kepada pemanasan global ini. Jika kita memiliki kereta maka kitalah penyumbang utama. Jika kita memiliki rumah batu, kitalah penyumbang itu. Rumah batu? Batu-batu itu asalnya bukit dan gunung yang digondol lalu diproses menjadi batu-bata. Tapak rumah anda asalnya tanah bukit yang cantik ditumbuhi pokok-pokok yangmembekalkan oksigen. Maka usah salahkan pemaju dan ahli koperat dan pekilang. Kita semua adalah penyumbang kebinasaan dunia ini. Kita terasa seolah-olah ingin kembali ke tahun 70-an dulu, aman, hening, damai dan sentosa . Malangnya semuanya telah terlambat!



Berikut ialah IMPLIKASI pemanasan global:

IMPLIKASI POSITIF:
  1. Peladang buah-buahan dapat meningkatkan pendapatan mereka terutamanya peladang tembikai, jambu batu, nenas, nangka dan lain-lain. Penjual buah dan peniaga air di tepi jalan dan pasar malam juga dapat menambah pendapatan mereka
  2. Kedai membaiki Ekon menerima permintaan tinggi untuk servis dan membaiki ekon termasuklah bengkel kereta yang khusus membaiki sistem penghawa dingin untuk kenderaan. (Sebagai contah Din Parit Bilal ni berkata, dalam sehari sekarang ada lebih 10 buah kereta yang ingin mendapatkan servisnya, sehingga Encik Din tidak ada masa untuk bersama keluarga).




3. Bil elektrik meningkat. Ini dapat meningkatkan pendapatan Tenaga Nasional yang menjerit-jerit kononnya mereka tidak berapa untung dan ingin menaikkan bil yang ada.


4. Meningkatkan pendapatan kilang membuat air batu termasuklah pekerja mereka.


5. Meningkatkan pendapatan kilang ais krim dan mereka yang berkaitan dengannya termasuk penjaja.


6. Melipatgandakan perolehan keuntungan taman-taman tema air seperti Wetworld. Sunway Lagoon kat KL lagilah berlipat kali ganda.


7. Air berkabornat menerima permintaan yang sangat tinggi daripada pelanggan.


8. Tidak perlu bersenam, kerana peluh sudah keluar mencurah-curah sehingga baju yang dipakai sudah boleh diperah.


9. Satu peluang untuk menguruskan badan, sebab hati risau dilanda kepanasan.


IMPLIKASI NEGATIF:


1. Ramai berpusu-pusu ke Air Terjun sehingga hendak parking kereta pun susah. Yang dicari ketenangan tetapi akhirnya dapat kebengangan.



2. Krepek pun kurang laku buat sementara kerana ia menyebabkan kehausan. Nak minum banyak-banyak pula SAJH sudah mencatu air (hampir sebulan setengah) sehingga tarikh hari ini.


3. Kedai yang paling rugi dan hampir gulung tikar bantal ialah KEDAI CAR WASH. Kedai CAR WASH sudah jadi KA WUS (orang jawa fahamlah makna dia ni). TAUKEY DIA MAKAN mee segeralah nampaknya.


4. Pihak atasan SAJH sudah keguguran rambut, kerana dituduh dengan pelbagai soalan dan tohmahan. Bersabar sahajalah ya. Hidup ni kan macam roda. Ada masa kita dipuji, ada masa kita dicaci.



5. Musim panas menyebabkan wanita menjadikan ia sebagai satu alasan. Berpakaian seksi yang menjolok dada dan menjolok peha. Lelaki-lelakilah yang menerima akibatnya. DAPATLAH DOSA MATA.

BERSAMBUNG...ADA KAWAN LAMA DATANG RUMAH PULAK...DAH 23 TAHUN TAK JUMPA NI...! Ni Implikasi Fenomena Facebook!

Selasa, 11 Mei 2010

DOA SUPAYA DISAYANGI

Doa dari laman web Ustaz Haron Din ini aku lampirkan di sini khas untuk seorang pengunjung misteri blogku ini. Moga-moga semua akan mendapat manfaatnya.
Anda boleh COPY dan SAVE di komputer

Ahad, 9 Mei 2010

KEDAI MAKAN DI SERI MEDAN DAN DI PT SULONG


Dulu, kalau nak bersarapan di Seri Medan, aku selalu tak tau nak makan di mana, lebih-lebih lagi
jika Warung Yani ditutup. Pagi Sabtu hari itu, aku menemui Restoran baru. Wau! Sungguh mendamaikan. Ia menepati cita rasa kebanyakan pelanggan, bersih, kemas dan layanan yang mesra. Tak adalah bau tahi kucing atau bau longkang, macam sesetengah warung tu. Ditambah pula pelanggan mendengar halwa telinga, lagu-lagu klasik seperti Dyloyd, terasa seolah-olah aku berada pada zaman era 70-an. Lokasi restoran ini berhadapan mesjid besar Seri Medan




Di bawah ini lain pula ceritanya, selepas mencari hadiah HARI IBU, anak-anak aku makanlah apa yang mereka suka di Restoran Noor, depan Pejabat Pos Parit Sulong.


Arina dan Ikhwan tak nak makan lain, minatnya makan Roti Canai da.....
Jadi tengah hari ini, aku dah tak payah masak. Selamat tenaga.

ELAKKAN MEMAKAI SUSUK

Minggu ini aku sempat menonton Al-Kuliyah di TV 3.
Tajuk yang diketengahkan ialah SUSUK. Ustaz tersebut banyak menerangkan tentang susuk yang mempunyai pendamping yang terdiri daripada jin. Akibatnya, orang yang memakai susuk antaranya akan sentiasa tidak tenang dan tidak khusuk beribadat. Oleh itu atas apa nama dan alasan pun, elakkan memakai susuk.


Seorang penonton di Studio bertanya,
" Apakah Islam mempunyai cara-cara untuk menjadikan wajah sentiasa indah dan berseri?"


Ustaz menerangkan Islam merupakan agama yang lengkap. Beberapa perkara berikut disarankan:

1. Doa ketika melihat cermin adalah antara doa agar kita diberikan wajah yang elok


2. Kita seeloknya sentiasa dalam keadaan berwudhu (mengambil air sembahyang).
Sebab itulah orang Islam wajib mengambil wudhu sebelum solat.


3. Kita haruslah memperbanyak zikir. Seperti Allahu Akbar, Alhamdulillah dan lain-lain.agar hati kita tenang. Hati yang tenang akan mempamerkan wajah yang tenang seperti wajah-wajah para alim ulama.


Jumaat, 7 Mei 2010

HIDUP INI HANYA SEMENTARA

Gambar kenangan bersama Zul 1985




Allahyarhamah Rohaina Ali

Minggu ini setelah aku mengupload gambar di facebook, aku menerima berita yang agak menyedihkan. Zaidi Salleh mengumumkan bahawa sahabat sekelasku di MPTI pada masa itu,
Cikgu Rohaina Ali telah kembali ke rahmatullah kerana penyakit barah. Ini diberitahu sendiri oleh suaminya Mad Rozahan Mat Nayan kepada Zaidi Salleh.


Cikgu Zul Pasir Tumbuh

Semasa di MPTI, antara sahabat akrab aku ialah
Saudara Mohamad Zulkifli

dari Kota Bharu. Sahabatku tidak mengira dari negeri mana, walaupun ketika itu kadang-kadang
pelajar Johor dengan Kelantan sering bergaduh di mana-mana universiti atau maktab.

Puas sudah aku mencarinya dalam search engine Yahoo, Google dan FaceBook, namun aku gagal menemuinya. Rupa-rupanya Zul menggunakan nama Cikgu Zul Pasir Tumbuh. Tiba-tiba sahaja Zul muncul dalam facebook dengan imej yang sangat berkarisma. Pasir Tumbuh merangkumi sekolah pondok yang telah mengeluarkan ramai ilmuan agama. Zul sentiasa mengingatkan aku tentang haluan hidup. Memang Zul masih istiqomah dengan pegangan agama dan semakin kukuh.




Begitulah rapatnya hubungan persahabatan aku dengan Zul.
Yang menuntun basikal itu ialah orang kuat di PPD Batu Pahat,
En Azman Shahdan. (Lokasi di kampung Pt Nipah, kampung Encik Azman)




Allahyarhamah Rohaina (bertudung hitam) semasa konvo 1988.


Sesungguhnya hidup ini hanya pinjaman...Alfatihah

Rabu, 5 Mei 2010

GELANG OBOR-OBOR

Kawan-kawan Irfan mungkin tertanya-tanya kenapa tangan Irfan ada gelang ajaib?


Gambar di atas menceritakan kembali bagaimana terjadinya gelang kekal itu.....

Pada masa itu umur adik Irfan, Iwan dalam setahun setengah, maknanya kejadian ini berlaku pada tahun 2003. Rahmat Salamon dan sahabat-sahabatnya mengadakan hari keluarga. Kami tumpang sekali. Lokasi ialah Rompin Beach Resort, Rompin.

Seronok di sini kerana kolam renang itu ada gelongsor. Puas sudah anak kami turun naik gelongsor.

Faham-faham ajelah Irfan tu. Dia mana puas hati dengan mandi di kolam itu. Merengek-rengek, jomlah mandi tepi pantai, marilah mandi pantai.

Semua budak lain mandi di kolam renang itu. Senyap-senyap aku mengajak Ili Nabilah dan Irfan ke pantai. Irfan tanpa sabar-sabar terlonjak-lonjak dan dengan pantas terus mandi di tepi laut itu.

Dalam beberapa saat sahaja dia menjerit dengan sekuat hati. Aku cepat-cepat mengangkatnya ke tepi.

Alamak! Apa ni? Kenapa tangan dia merah? Ini mesti obor-obor?

Kami bergegas balik ke bilik resort dan aku tanpa membuang masa membawa Irfan ke Pusat Kesihatan Rompin. Walaupun klinik penuh dengan orang, tetapi pegawai perubatan yang bertugas hari itu mengkategorikan kes Irfan sebagai kes kecemasan.

Rupa-rupanya obor-obor ini boleh membunuh, menurut kata pihak klinik tersebut. Alhamdulillah selepas dirawat Irfan kembali senyum.

Sejak peristiwa itu aku melarang keras anak-anakku mandi di laut. Setakat bina istana pasir bolehlah.

Isnin, 3 Mei 2010

KUIH KERIA ROSAK MR MAMA


Kuih Keria sebelum digoreng


Bahan-bahan:
Keledek Rebus
Gula
Telur
Tepung Gandum

Cara buat:

Uli je lahhhhhhh...........


Setiap kali berjumpa dengan pengusaha kebun kubis dan kledek Hj Johari, pasti Hj akan menghulurkan kepada aku berkilo-kilogram keledek dan kubis. Macam-macam dah aku buat. Krepek keledek. Keledek goreng. Sayur keledek. Pengat keledek. Petang Ahad semalam, tengah tak tau nak buat apa dengan keledek ni, aku pun teringat resepi yang diajar di MPTI, Puan Fatimah sempat ajar kami tiga resepi iaitu Kuih Melaka, Lepat Pisang Berinti Kelapa dan Kuih Keria. Semua itu aku ingat betul. Cara-cara dan bahan-bahan dia. Dwen Onezaba pun tentu kau sempat belajar dengan pensyarah Ekonomi Rumah Tangga itu?


Nah lihat apa yang terjadi???





Kuih Keria Rosak ni dah hitam separuh sebab asyik berbual dengan Arina!
Kalau macam ni lebih baik aku beli je kat kedai!

Ahad, 2 Mei 2010

But if divorce is better, it is up to you.

Hi all,

Leave days employees yesterday, anda today at Parit Sulong road is too busy. If not for want to buy the essential things i definitely would not drive a car to get there.


The weather here is too hot. Not like i started living here 14 years ago. At that time in my house the are only a fan. Now the fans are not meaningful.


The demands facing the need I am more patient. It's kin experiencing various life problems. Disease and similar problems. But the serious problem of couples who are already moving toward. I came to know from others. So what if people want to continue acting on the world stage?



Hopefully they can solve the problem that their domestic problems. Cases of divorce is increasing very rapidly. Do you add the statistics available in the office of the kadhi. Marriage is not gambling.
But if divorce is better, it is up to you.



DULU DAN SEKARANG

Petang semalam aku mengajak Ikhwan, Arina dan Ili Nabilah ke Karfour Batu Pahat, untuk mencari cermin mata Ikhwan.

Power mata ikhwan ialah 125 125. Dah dua orang anak aku rabun. Ikhwan kata dalam kelas dia belum ada kawan-kawan yang pakai cermin mata.

Kedai tu kata punca-punca rabun ialah:
1. Menonton TV/komputer dekat sangat
2. Membaca sambil berbaring
3. Keturunan
4. Membaca di tempat yang gelap

Kami perasan Ikhwan rabun kerana setiap kali sebelum sampai trafic light Parit Sulong, dia gagal menyebut angka yang sedang tertera pada skrin lampu itu. Berbanding dengan Irfan, dari jauh lagi dia boleh sebut angka yang sedang terpapar di sana.

Setelah siap buat tempahan, kami berjalan-jalan sekejap. Berhentilah kami membeli ais krim di kedai menjual makanan itu. Tiba-tiba aku disapa seorang wanita Cina. Dia membelikan air krim untuk tiga orang anaknya yang cute-mute.

"Ini Cikgu Mat Som ke?" Kata wanita Cina yang memperkenalkan dirinya sebagai Siew Fang.

"Ya, awak ni siapa"

"Saya Siew Fang, dulu cikgu ajar saya tahun 1988 di SMK Paloh"

Lama sungguh! Kalau macam tu, Siew Fanglah antara murid yang pertama aku ajar sejak aku menjadi guru yang sah. Sebelum itu aku menjalani latihan mengajar selama enam bulan di SMK Seri Tebrau, Johor Bahru.

"Muka awak saya ingat, wah sudah ada anak comel-comel, awak tinggal di mana?"

"Saya tinggal di Yong Peng, Cikgu macam tak tua-tua, cikgu makan apa?"

"Yakah, saya pendek mana boleh tinggi lagi?"

"Maaflah ya, saya tak ingat nama awak"

"Tak apa, murid mesti ingat cikgu, cikgu tak ingat murid tak apa, murid ramai mana mau ingat?"

Saya pun mengeluarkan kamera, minta izin untuk ambik gambar Siew Fang dengan anak-anaknya. Malangnya, bateri dah habis, buat malu je.....!



Gambar tiada kaitan dengan entri. Murid di belakang ialah calon UPSR 2010 yang aku ajar
tahun ini.


Ni gambar aku pada tahun 1985 (nostalgik sungguh).
Yang duduk ini sekarang sudah muncul dalam blog aku secara tiba-tiba, beliau ialah
SDRA RITHUAN
Pinggang aku dulu sampai sekarang masih 27, berat je yang naik sikit dari 47 Kg ke 54 kg

Sabtu, 1 Mei 2010

BUKAN TOYOL TAPI HANTU RAYA



Pada tahun 2008 aku menyimpan gelang dan rantai leher isteriku di tempat yang paling selamat di rumah, kerana ketika itu Hamidah berada di wad selama sebulan.



Setelah Hamidah pulang ke rumah beberapa hari, barulah aku teringat perkara tersebut. Aku melihat tempat aku menyimpan aksesori wanita tersebut. Alangkah terkejutnya aku, kedua-duanya sudah tiada di situ. Mustahil ada orang mengambil, memandangkan lokasinya memang aku saja yang tahu.


Sepanjang tempoh itu juga tidak ada tetamu yang datang ke rumah, kerana aku banyak berada di hospital. Tiada tanda rumah dimasuki oleh orang lain.


Sehinggalah pada bulan lalu aku berbual dengan seorang rakan aku dari Parit Gantung. Tanpa aku bertanya, dia bercerita tentang emas milik isterinya hilang dan dia telah berjumpa tiga orang bomoh. Semua bomoh itu tidak sanggup menolongnya. Katanya, itu adalah satu ilmu syaitan, di mana emas yang tidak dipakai oleh pemiliknya boleh dicuri syaitan pujaan itu. Maknanya bukan aku sorang saja yang kehilangan barang kemas. Baru aku teringat, dulu Kak Wok pernah bercerita dia kehilangan cincin perkahwinan.


Malam tadi, aku bertemu Zailani di Warung Tomyam Sri Bayu. Bersama-sama Zailani ada seorang yang nampak ketokohan sebagai seorang yang amat berkarisma. Beliau dikenali sebagai Ustaz Dali. Ustaz memang biasa mengatasi masalah yang mistik seperti masalahku ini.

Apabila aku mengajukan permasalahan itu, beliau mengatakan:

1. Ada dua jenis toyol, satu dari Mekah, yang jenis ini duit yang diselit dalam Quran pun dia kebas. Kalau yang dari Indonesia, dia ada malu sikit.

2. Tapi masalah aku ni kata dia bukan kerja toyol. Itu kerja hantu raya atau gondrong. Dia pun tahu kawasan aku duduk ini memang ada orang bela benda tu. Tapi ia dilakukan oleh orang seberang yang kerja di sini.

3. Jika nak menyimpan barang berharga seperti emas, yang terbaik ialah simpan di dalam air. Kerana mahluk itu tidak dapat masuk ke sana.

4. Aku bertanya, bank itu kenapa tidak dicuri toyol? Beliau menjelaskan semua bank telah dipagar sebelum beroperasi. Ada yang dipagar oleh cerdik pandai agama. Ada juga yang dipagar dengan kaedah tradisional.

Dulu aku tak percaya langsung benda-benda seperti ini. Tetapi setelah menjadi mangsa, aku kini perlu mempunyai benteng. Benteng itu ialah kena banyak membaca Al-Quran, agar syaitan tidak menembusi rumah kita.

Sesiapa yang ada masalah berkaitan makhluk halus telefonlah USTAZ DALI 013-37390123