Ahad, 6 Mac 2011

SOALAN TENTANG URI BAYI

SAYA ingin mengetahui bagaimana cara-cara untuk menguruskan uri bayi yang baru lahir?

JAWAPAN:
Cara yang digalakkan dalam Islam dalam pengurusan uri bayi dengan membasuh menggunakan air dan menanamnya di dalam tanah sekadar tidak dapat digali oleh binatang buas.

Ia hanya perlu ditanam seperti biasa dan bukan mengkafankannya seperti jenazah. Ia bertujuan mengelakkan daripada ia menjadi hina serta membahayakan manusia. Secara tidak langsung ia akan menjadi bangkai dan terdedah kepada pencemaran bau busuk.

Umat Islam diingatkan agar tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak ketika menguruskan uri bayi seperti menaburkan paku ketika menanam uri, menanam bersama dengan duit syiling kerana ia berkaitan perkara khurafat seterusnya boleh membawa kepada perkara syirik.

Orang yang mati dalam keadaan syirik, dosa-dosanya tidak akan diampunkan. Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." (Surah An-Nisa': 48)

PETIKAN:KOSMO.COM.MY 4 MAC 2011

Tiada ulasan: