Ahad, 4 Januari 2009

AWAL TAHUN YANG SEMAKIN SIBUK


Assalamualaikum semua!
Minggu terakhir ini, aku semakin sibuk. Sibuk dengan dunia bisnes IT dan membeli kelengkapan anak-anak sekolah. Membayar yuran dan kelengkapan sekolah mereka. Jumlahnya jangan ditanya, kerana itu sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Saya selalu membayangkan bagaimana kalau anak-anak yang ibu bapanya miskin dan susah? Bagaimanakah mereka menghadapi saat-saat seperti ini? Alhamdulillah, kerajaan telah menangguhkan pembayaran yuran khas yang berjumlah RM 30 ke atas itu, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban itu.

Terlalu banyak rupanya ilmu IT yang aku tidak tahu. Ilmu itu terlalu luas, seluas alam ini. Allah mewajibkan kita menuntut ilmu. Maka usahlah berhenti menimba ilmu. Sekarang telah adanya teknologi IT yang memudahkan kita mencari apa sahaja ilmu, dengan syarat ilmu itu tidak menyimpang daripada Jalan Allah. Bukankah kita membaca Tunjukkanlah Kami Jalan Yang Lurus sebanyak 21 kali dalam sehari?

Maka aku tidak pernah menyesal, walaupun aku tidak masuk ke pusat pengajian tinggi, tetapi aku masih menerima ilmu daripada pelbagai sumber. Yang pentingnya kita rajin membaca. Bukankah Allah memerintahkan dalam ayat Quran yang pertama? Iqra..Bacalah dengan nama Tuhanmu...!

Masa kehidupan ini terlalu singkat, maka penuhilah ia dengan segala kebaikan buat memakmurkan dunia ini. Jauhkanlah sifat-sifat buruk yang bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t. Mampukah kita menghadapi kemurkaanNya nanti?

Semoga kehidupan anda menjadi lebih bermakna pada tahun 1430 hijrah dan 2009 ini. Rebutlah segala peluang yang ada. Saya doakan anda akan menemui sinar kegemilangan! Selamat berjuang!!!

Tiada ulasan: