Jumaat, 17 April 2009

SIFAT BERPADA DALAM HIDUP

Kereta jenama baru,baharu sahaja dilancarkan . Maka sekali lagi jiwa-jiwa kita terus meronta-ronta untuk menukar kereta. Jika kita mampu, tidak mengapa. Tetapi jika kenderaan yang ada, masih boleh kita gunakan, mengapa harus kita menjebakkan diri kita kepada belenggu hutang? Kereta yang berharga 70K akhirnya akan menjadi 100K (termasuk interest).

Anda tidak akan bahagia selagi anda tidak memiliki sifat berpada dalam hidup ini. Berasa cukup dengan apa yang ada, setelah anda berusaha dengan sebaik-baiknya, akan menjadikan anda lebih tenteram dan damai dalam menghadapi hidup ini. Kita perlukan ketenangan dan kedamaian kerana dari sinilah kita membangunkan diri, keluarga dan masyarakat yang sihat. Inilah yang dikatakan sifat Qana'ah.

Jangan memaksa diri mengejar matlamat yang tidak mampu kita kejar kerana ini akan meletakkan kita pada keadaan yang tidak tenteram dan sentiasa merasa tidak cukup. Sentiasa berasa tidak cukup pada setiap masa dan berhati tamak adalah punca kesugulan dan ketegangan hidup individu dan masyarakat.

Ini tidak bererti kita tidak perlu bekerja kuat mencapai cita-cita yang baik. Tetapi kita mesti sedar, tidak semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sikap berasa cukup dengan apa yang diperolehi adalah untuk kebaikan diri. Terlalu banyak harapan dan kehendak yang tidak manasabah menjadikan anda tidak tenteram atau biasa kita dengar "Aku boringlah!" "Aku benci dengan hidup ini" dan sebagainya. Kita tidak dapat mengejar dunia ini, hatta kita menjadi pemimpin agung sekalipun. Manusia tidak pernah merasa cukup. Seperti kata penceramah agama, golongan ini akan berkata "Kalau boleh bukit dan gunung adalah milikku, dan langit pun kalau boleh aku beli dan niagakan"

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya:

"Kekayaan itu bukanlah daripada harta yang banyak tetapi daripada hati yang merasa cukup"
"Apabila kamu melihat orang yang diberi lebih banyak harta dan kecantikan, kamu lihatlah kepada orang yang lebih susah daripadamu".

Marilah kita membuat tabungan untuk anak-anak kita. Tenunglah wajah mereka dalam-dalam. Kos pelajaran mereka pada masa akan datang akan lebih tinggi daripada kos masa kini. Ketika itu kita semakin tua. Perubahan pakej bantuan untuk pelajar masa depan masih samar-samar lagi. Apakah kita telah bersedia dengan situasi tersebut? Fikir-fikirkanlah wahai sahabat-sahabatku.....

Tiada ulasan: