Aliff Iskandar, Arina bersama-sama sepupunya di rumah neneknya
Selamat Tahun Baru 2012, dan 2011 akan tersimpan sebagai artifak kenangan. Semangat untuk terus hidup haruslah ditingkatkan bagi menghadapi hari-hari mendatang. Ramai di luar sana telah tewas dengan situasi sekarang, dalam kos hidup yang semakin tinggi, segala-galanya memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kesederhanaan.
Apabila bertemu teman yang hebat dan berjaya dalam hidup, memang terasa dunia ini indah. Sebaliknya apabila bersua dengan rakan-rakan yang bekerja biasa-biasa, siang dan malam membanting tulang, mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak, menggambarkan betapa susahnya untuk survival kehidupan mereka dalam zaman edan ini.
Satu hari aku terpandang seorang tua yang membawa beca di bandar Batu Pahat, hatiku jadi sayu, kerana pada awal malam begitu lelaki tua itu masih mencari pelanggan. Wajahnya nampak muram, dan perlukan pembelaan. Jua aku pernah terpandang seorang wanita mengumpulkan kotak, dari keliling tong-tong sampah dengan basikalnya. Jua, seorang perempuan yang menjual kuih, termenung, kerana hujan tidak berhenti-henti. Dan banyak lagi contoh...
Bersyukurlah, kita telah diberi kesenangan, makan minum serba cukup. Kita masih lagi boleh menjamu anak kita di restoran makanan segera,menginap dan bersarapan di hotel, melancong ke sana-sini, kerana di luar sana ramai lagi insan-insan yang hanya berlaukkan kicap untuk meneruskan kehidupan ini.
Jika semua senang, tidak adalah rancangan BERSAMAMU TV3, tidak adalah isu orang kita menerima bantuan gereja, pergilah ke ceruk kampung, kawasan setinggan. Duit RM 100 yang kerajaan beri itu pun sebahagiannya mereka belikan beras dan bukannya untuk membeli buku anak-anak mereka, bayangkanlah...!